HADIS 22 |
حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَاحِدِ بْنُ زِيَادٍ حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ
عَنْ زَيْدِ بْنِ وَهْبٍ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ حَسَنَةَ قَالَ:
انْطَلَقْتُ أَنَا وَعَمْرُو بْنُ الْعَاصِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ وَمَعَهُ
دَرَقَةٌ ثُمَّ اسْتَتَرَ بِهَا، ثُمَّ بَالَ، فَقُلْنَا: انْظُرُوا إِلَيْهِ يَبُولُ كَمَا تَبُولُ
الْمَرْأَةُ، فَسَمِعَ ذَلِكَ،
فَقَالَ: «أَلَمْ تَعْلَمُوا مَا لَقِيَ صَاحِبُ بَنِي إِسْرَائِيلَ، كَانُوا
إِذَا أَصَابَهُمُ الْبَوْلُ قَطَعُوا مَا أَصَابَهُ الْبَوْلُ مِنْهُمْ،
فَنَهَاهُمْ فَعُذِّبَ فِي قَبْرِهِ»
“Abdurrahman bin Hasanah berkata: Saya pergi bersama Amru bin
Al-Ash menemui Rasulullah, kemudian baginda keluar dengan membawa perisai, lalu
menutup diri dengannya dan buang air kecil. Kami pun berkata:
"Lihatlah, baginda buang air kecil seperti
perempuan buang air kecil"
Nabi mendengar hal itu, maka baginda bersabda:
"Apakah kamu belum tahu apa yang didapatkan oleh
salah seorang Bani Israil?
“Dahulu Bani Israil apabila terkena air kencing, maka
mereka memotong bahagian yang terkena air kencing, lalu orang tersebut melarang
mereka dari perbuatan demikian, maka dia diazab di dalam kuburnya"
PENJELASAN HADIS |
[1] Hadis ini menjelaskan berkenaan dua sahabat Nabi,
iaitu Abdul Rahman bin Hasanah dan Amru Bin al-As berjumpa dengan Nabi saw.
[2] semasa mereka bersama dengan nabi, mereka nampak
Nabi saw memegang satu perisai perang yang baginda gunakan untuk penghadang
agar orang tidak kelihatan ketika Baginda sedang kencing.
[3] Melihat cara Nabi
saw mengelak dari kelihatan aurat, kedua-dua sahabat Nabi ini bercakap
sesame mereka dengan mengatakan bahawa nabi saw itu kencing sepertimana wanita;
memberi maksud bahawa nabi saw kencing dalam keadaan duduk.
[4] Rupa-rupanya apa yang mereka bercakap itu
didengari oleh Nabi, menyebabkan nabi pun memberitahu kepada mereka berkenaan
sejarah Bani Israel yang berlaku pada era sebelum nabi.
[5] Nabi menjelaskan bahawa dalam syariat Bani Israel
dahulu, apabila air kencing terkena pada pakaian, maka mereka perlu memotong
tempat yang kena air kencing tersebut. Namun, ada seseorang pemimpin mereka
melarang dari kaum Bani Israel melakukan sebegitu. Tindakan pemimpin mereka
menyebabkan dia diazab dalam kubur.
[6] Imam Abu Daud turut membawakan riwayat lain bahawa
dalam riwayat bab (Amru bin al-As dan Abdul Rahman bin Hasanah) dijelaskan perkataan
قَطَعُوا مَا أَصَابَهُ الْبَوْلُ مِنْهُمْ—mereka
memotong apa yang terkena air kencing mereka”, sedangkan dalam riwayat Abu Musa
digunakan perkataan: “air kencing kena pada kulit salah seorang dari kalangan
kamu”;
قَالَ أَبُو
دَاوُدَ: قَالَ مَنْصُورٌ عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ أَبِيمُوسَى، فِي هَذَا الْحَدِيثِ قَالَ: جِلْدِ أَحَدِهِمْ
Dalam riwayat Abu Musa juga, tetapi dari jalur ‘Asim
pula, digunakan perkataan: “air kencing kena pada jasad seseorang dari kalangan
kamu”:
وَقَالَ عَاصِمٌ: عَنْ أَبِي مُوسَى عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «جَسَدِ أَحَدِهِمْ»
Bahkan, jika dilihat dalam riwayat al-Bukhari,
digunakan perkataan: air kencing kena pada pakaian seseorang kamu:
عَنْ مَنْصُورٍ،
عَنْ أَبِي وَائِلٍ، قَالَ: كَانَ أَبُو مُوسَى الأَشْعَرِيُّ يُشَدِّدُ فِي
البَوْلِ، وَيَقُولُ: "إِنَّ: بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَ إِذَا أَصَابَ ثَوْبَ
أَحَدِهِمْ قَرَضَهُ" -البخاري, 226
PENJELASAN:
Apabila melihat kepada ketiga riwayat Abu Musa serta riwayat Amru bin al-As dan
Abdul Rahman bin Hasanah ini: kesemuanya menggunakan lafaz yang berbeza,
menyebabkan Ibn Hajar simpulkan bahawa ini bukti bahawa hadis ini diriwayatkan
secara makna.
Walaubagaimana
pun, jika dilihat dari sudut matan, perkataan yang tepat adalah sepertimana
yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dengan alasan, tidak munasabah tempat terkena
air kencing itu adalah kulit atau jasad, kerana disuruh potong pada tempat yang
kena air kencing terbabit. Makanya, riwayat al-Bukhari yang menyebut pakaian
itu lebih sesuai dan munasabah.
PENJELASAN LAFAZ |
Dalam matan hadis ini, disebut semasa Nabi saw mahu
kencing, nabi saw bertutup dengan menggunakan دَرَقَةٌ. Menurut ARNAUT,
daraqah adalah perisai yang diperbuat dari kulit tanpa ada sebarang campuran
kayu.
HUBUNGAN HADIS |
Dalam hadis ke-20, dijelaskan bahawa azab kubur
dikenakan kepada mereka yang tidak menjaga kebersihan semasa kencing sehingga
air kencingnya kena pada pakaian.
Dalam hadis ke-22 ini pula, nabi menjelaskan berkenaan
seorang pemimpin Bani Israel yang diazab dengan kesalahan yang sama.
Dari sudut ini, ia selaras dengan hadis ke-3, 9, 11,
12, 13 dan 14.
Pada hadis ke-21 pula dijelaskan bahawa azab kubur
dikenakan kepada mereka yang tidak menjaga aurat semasa kencing sehingga
auratnya dilihat oleh orang.
Pada hadis ke-22 ini pula, dijelaskan bahawa Nabi saw
kencing dalam keadaan tertutup dari kelihatan aurat, iaitu dengan menggunakan
perisai untuk dihadang dari dilihat orang ketika sedang kencing. Hal ini
selaras dengan hadis 1 dan 2.
PENGAJARAN |
[1] KENCING DUDUK LEBIH DIUTAMAKAN
Dalam hadis ini, dijelaskan bahawa Amru bin al-As dan
Abdul Rahman bin Hasanah nampak bahawa Nabi saw kencing sepertimana perempuan
kencing.
Secara isyarat al-Nas, digambarkan bahawa Nabi saw
kencing duduk. Hal ini kerana, umum mengetahui bahawa perempuan itu kencing
dalam keadaan duduk.
Apatah lagi, kencing duduk itu menyebabkan percikan
air kencing tidak kuat berbanding kencing berdiri. Hal ini sudah pasti dapat
mengurangkan resiko pakaian terkena air kencing.
Dalam hadis ke-3 yang lalu, ada menyebut bahawa Nabi
saw itu, apabila mahu kencing, baginda akan mencari tanah yang agak gembur dan
apabila air kencing jatuh kepadanya, percikannya tidak terlalu kuat.
[2] SYARIAT TAURAT DAN INJIL KERAS
Hadis ini membuktikan bahawa ada beberapa unsur dalam
syariat nabi dahulu bersifat keras, iaitu air kencing yang merecik pada
pakaian, maka pakaian itu perlu dipotong-buang sahaja.
Dalam al-Quran, terdapat ayat yang menjelaskan
berkenaan bentuk keras itu berlaku dalam syariat Nabi Musa, iaitu bertaubat
dari dosa syirik itu adalah perlu bunuh diri. Firman Allah:
وَإِذْ قَالَ
مُوسَى لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ إِنَّكُمْ ظَلَمْتُمْ أَنْفُسَكُمْ بِاتِّخَاذِكُمُ
الْعِجْلَ فَتُوبُوا إِلَى بَارِئِكُمْ فَاقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ
لَكُمْ عِنْدَ بَارِئِكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ
الرَّحِيمُ (54) - البقرة
Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada
kaumnya: " Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu
sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah
kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian
itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah
menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima
taubat), lagi Maha Mengasihani"
BIOGRAFI PERAWI |
[5] MUSADDAD BIN MUSARHAD (150H-208)
مُسَدَّدٌ بن
مسرهد
HADIS
2, 4, 7 dan 9 (kali ke-5)
[4] ABDUL WAHID BIN ZIYAD (176H)
عَبْدُ
الْوَاحِدِ بْنُ زِيَادٍ
dia adalah murid kepada al-Hasan al-Basri. Berasal
dari basrah dan seorang ulama sufi pada zamannya.
Ramai ulama anggap dia perawi siqah, tetapi hanya
sedikit pesanan dari Ibn hajar al-Asqalani bahawa riwayatnya ambil dari
al-A’mash perlu diteliti lagi.
Walaubagaimana pun, dia adalah Rijal al-Kutub
al-Sittah dan perawi yang siqah lagi sahih.
[3] SULAIMAN BIN MIHRAN AL-A’MASH (61H-148H)
الْأَعْمَشُ سليمان بن مهران
الأعمش
Lihat
hadis 7, 14 dan 20 (kali ke 4)
[2] MUKHADRAM: ZAID BIN WAHB (96H)
زَيْدِ بْنِ
وَهْبٍ
Nama penuhnya adalah Abu Sulaiman Zaid bin Wahb al-Juhani. Berasal dari
Kufah dan tinggal di Hamzan (kini: Iran) dan Kufah.
Dia peluk islam semasa hayat hidup Nabi, tetapi tidak pernah jumpa
dengan Nabi.
Dia peluk islam ketika dalam perjalanan ke Madinah untuk berjumpa dengan
nabi.
Pada era Omar bin al-Khattab, dia terlibat perang pembukaan kota
Azaibaihan.
Kemudian, dia menetap di kufah dan di sana dia belajar dengan Ibn Mas’ud.
Dalam perang Siffin, dia berpihak dengan tentera Ali bahkan turut sama
terlibat dalam perang Jamal.
Dia meninggal semasa pemerintahan Yusuf al-Saqafi. Para ulama khilaf
berkenaan tarikh matinya. Al-Zahabi kata, 83 hijrah, ramai kata, 96 H dan ada
juga kata 90 Hijrah.
Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah, serta perawi siqah lagi sahih.
[2] MUKHADRAM: ABU WA-IL (1H-82H)
ابو وائل
Nama sebenarnya adalah SYAQIQ BIN SALAMAH AL-ASADI
Dia adalah salah seorang dianggap sebagai Mukhadram,
kerana dia dilahirkan pada 1 Hijrah, bermaksud semasa Nabi saw masih hidup.
Semasa Nabi saw wafat, dia tidak sempat berjumpa nabi, walaupun ketika itu
umurnya 11 tahun.
Dia dari keturunan
BANI ASAD BIN KHUZAIMAH, iaitu antara kabilah yang murtad selepas wafat Nabi.
Selepas
dewasa, dia hijrah dari Kufah ke Madinah. Dia meninggal semasa pemerintahan
Hajjaj bin Yusuf al-Saqafi.
[2]
‘ASIM BIN BAHDALAH AL-KUFI (127H)
عَاصِمٌ ابن بهدلة الكوفي
Dia lebih dikenali dengan panggilan ‘Asim bin Abi
al-Nujud al-Asadi. Dia salah seorang dari 7 orang imam Qiraat yang
terkenal.
Dalam pada ulama anggap ‘Asim adalah siqah, terdapat
ada sedikit kritikan terhadap beliau.
Didakwa bahawa dia seorang yang lemah hafalan,
sepertimana kata Abu Jaafar al-Uqaili, Ismail bin Ulayyah, yahya bin Sa’id
al-Qattan, al-Daraqutni.
Ada pula dakwa bahawa dia ikhtilat di saat akhir
umurnya. Antara yang kata begitu adalah Hammad bin Salamah al-Basri.
Ada pula dakwa bahawa dia adalah mudhtarib al-hadis
seperti kata Zuhair bin Harb al-Nasaie dan Ya’qub bin Sofyan.
[1] SAHABAT:
ABU MUSA AL-ASY’ARI (44H)
Nama
betulnya adalah ABDULLAH BIN QAIS BIN SALIM. Gelaran Al-‘Asy’ari kerana sempena
asal keturunannya, iaitu Bani ‘Asy’ar, satu kabilah arab dari Yaman.
Dia
berasal dari Yaman, tetapi telah berhijrah ke Mekah sebelum zaman islam lagi.
Di mekah, dia berjumpa dengan Nabi dan memeluk islam.
Ibunya
bernama ZOBIYYAH BINTI WAHAB AL-‘ATQIYYAH ظبية
بنت وهب العكيّة yang al-Atqiyyah itu adalah
satu kabilah arab dari Yaman juga. Ibunya memeluk islam dan meninggal di
Madinah.
Abu
Musa terlibat dalam sejarah hijrah ke Habsyah. Dengan sebab itu, perang yang
pertama dia terlibat bersama dengan Nabi adalah perang Khaibar.
Sahabat
Nabi ini diceritakan dalam hadis bahawa pernah dihantar oleh Nabi menjadi
Gabenor di Yaman. Di era Umar pula, dilantik jadi gabenor di Basrah. Di era
Osman, dilantik jadi gabenor di Kufah.
Dia
pernah sampai ke Syam, iaitu dalam sejarah pembukaan kota terbabit bahkan
semasa ucapan Saidina Umar di Kota al-Jabiyyah (dalam Syria), dia turut hadir
dan mendengar ucapan tersebut.
Pada
tahun 17 Hijrah, Saidina Umar mengugurkan jawatan gabenor Basrah dari
al-Mughirah bin Syu’bah, lalu digantikan dengan Abu Musa. Dia antara orang utama
dalam sejarah pembukaan kota al-Asbahan, iaitu pada tahun 23 Hijrah.
Pada
era Osman menjadi Khalifah, Abu Musa digugurkan jawatan gabenor Basrah. Digantikan
dengan Abdullah bin ‘Amir bin Kuraiz.
Semasa
dia digugurkan jawatan tersebut, wang simpanannnya hanya 600 dirham. Selepas
itu, dia pun berhijrah ke Kufah.
Semasa
di Kufah, penduduk Kufah telah keluar beramai-ramai menuntut agar SA’ID BIN
AL-AS digugurkan dari jawatan pegawai Kufah dan meminta agar jawatan tersebut diberikan
kepada Abu Musa al-‘Asy’ari. Permintaan itu dimakbulkan oleh Saidina Osman. Pada
era Saidina Ali, jawatannya di kufah itu digugurkan.
Dalam
tragedy perang Siffin, Abu Musa al-‘Asy’ari adalah juru runding di pihak Saidina
Ali dalam peristiwa Tahkim, sedangkan di pihak Muawiyyah pula adalah Amru bin al-As.
Tidak
diketahui secara tepat, dia meninggal dunia di mana. Ada kata di mekah, dan ada
kata di Kufah. Demikian juga ulama berbeza pendapat berkenaan Tarikh kematiannya;
ada kata, 44 hijrah, ada kata 42 hijrah; ada kata 49 hijrah; ada kata 50
hijrah; ada kata 53 hijrah. Namun, ditarjihkan oleh al-Zahabi dan Ibn al-Jazari
pada tahun 44 hijrah.
Menurut
catatan sejarah, dikatakan bahawa dia berbadan rendah dan kurus serta berjanggut
nipis.
Dia
dikurniakan suara yang merdu, sehinggakan Nabi saw pernah memuji dia membaca
al-Quran dengan kata Nabi:
لقد أوتي هذا مزمارًا من مزامير آل داود
“Sesungguhnya
dia ini diberikan seruling dari segala seruling pengikut Daud”
Seorang
Tabiin (mukhadram) bernama Abu Osman al-Nahdi pernah berkata:
ما سمعت مزمارًا ولا طنبورًا ولا صنجًا أحسن من صوت أبي موسى الأشعري، إن
كان ليصلي بنا فنود أنه قرأ البقرة، من حسن صوته
“aku
tidak pernah dengar seruling, gendang dan sambal yang lebih baik berbanding suara
Abu Musa al-As’ari. Apabila dia menjadi imam solat kepada kami, pasti kami
berharap agar dia membaca surah al-Baqarah disebabkan keindahan suaranya”
[1] SAHABAT: ABDUL RAHMAN BIN HASANAH
عَبْدِ الرَّحْمَنِ
بْنِ حَسَنَةَ
HASANAH AL-3ADAWIYYAH itu adalah nama ibunya, bukan nama bapanya.
Nama bapanya: ABDULLAH BIN AL-MUTO3 المطاع BIN
ABDULLAH BIN AL-GHITRIF الغطريف
Adik beradik tiri dia: SHURAHBIL BIN HASANAH (49 SH-18H).
Shurahbil itu, asal dari Kindah (sekarang sempadan Saudi-Yaman). Dia Antara
terlibat dalam hijrah ke Habsyah. Dia yang bawa balik Ummu Habibah binti Abi
Sufyan ke Madinah dari Habsyah selepas dinikahi oleh Rasulullah. Dia mati dalam
perang Yarmuk. Ada kata, mati sebab sakit Taun Amwas. Dia dikebumikan di
Lubnan, ada kata di Jordan.
[1] SAHABAT: AMRU BIN AL-AS (47SH-42H)
عَمْرُو بْنُ الْعَاصِ
Sahabat Nabi ini dilahirkan di mekah dan meninggal di Mesir.
Dia terlibat pembukaan syam dan mesir di era Saidina Umar menjadi
Khalifah.
Dia adalah orang yang mula-mula menjadi gabenor Mesir, iaitu era
pemerintahan Saidina Umar.
Menurut Ibn Hajar, dia lebih tua dari saidina Umar 7 tahun.
Bapanya bernama AL-AS BIN WAIL AL-SAHMI—salah seorang pembesar Quraish
yang memusuhi Islam. Ibunya adalah adik perempuan Abu Jahal.
Adiknya bernama HISHAM BIN AL-AS (SAHABAT), antara yang terawal memeluk
islam, lalu diseksa oleh bapanya sendiri.
Isteri Amru bernama Rithah binti Munabbih bin al-Hajjaj (Muslimah) yang
memberi makan dan minum kepada Hisham semasa dia diseksa oleh bapanya.
Dalam sejarah hijrah ke Habsyah, adiknya ini antara yang turut sama terlibat
dalam sejarah besar tersebut.
Amru bin al-As adalah antara pendekar Quraish pada zaman Jahiliyyah.
Amru terkenal dengan kebijaksanaan dalam rundingan. Dengan sebab itu,
semasa berlaku hijrah ke Habsyah, Quraish telah hantar dia untuk berunding
dengan Raja Habshah untuk dikembalikan Sahabat yang hijrah ke sana.
Semasa masih kafir, dia terlibat perang Badar, Uhud, Khandaq untuk
melawan islam.
Namun, kemudiannya dia memeluk islam, iaitu selepas berjumpa dengan raja
Habsyah. Kejadian itu berlaku selepas
kejadian Sulh Hudaibiyyah, di mana dia ke sana dan berjumpa raja Habsyah, iaitu
tahun 8H (sebelum Fath Mekkah)
Setelah berjumpa raja Habsyah itu, dia naik kapal laut ke Madinah. sesampai
di perbatasan Madinah, dia berjumpa dengan KHALID BIN AL-WALID dan OSMAN BIN
TALHAH. Ketiga-tiga itu masuk ke Madinah bersama-sama pada bulan Safar 8 Hijrah
(Fath Makkah—Ramadan 8 hijrah), dan menyatakan keislaman. Bermakna, 7 bulan
selepas pembukaan kota Mekah mereka memeluk islam.
Selepas Amru memeluk slam, nabi saw hantar dia untuk terlibat perang
(sariyyah) ZAT AL-SALASIL (Jamadil Akhir, 8 hijrah).
Selepas kewafatan nabi, di era Umar bin al-Khattab menjadi Khalifah, dia
menjadi gabenor Mesir. Kemudian, pada era era Osman—tahun 24 H, dia digugurkan
jawatan tersebut.
Namun, apabila Saidina Osman dibunuh, dia terlibat dengan Muawiyyah
menuntut bela kematian Saidina Osman dari Saidina Ali.
Setelah Muawiyyah menjadi khalifah, dia dilantik semula menjadi gabenor
di Mesir dan meninggal di situ.
Dia terkenal dengan petah bercakap, bijak mempengaruhi keputusan dan
rundingan.
Menurut al-Imam al-Sayuti, semasa muda, dia seorang yang suka rihlah.
Sebelum islam, dia dah sampai ke Mesir, iskandariyyah dan melihat pembangunan
di sana.
STATUS HADIS |
[1] SANAD ABU DAUD
ثنا
مسدد: ثنا عبد الواحد بن زياد: ثنا الأعمش عن زيد بن وهب عن عبد الرحمن ابن حسنة.
[2]
SAHIH
Alasan
hadis ini sahih adalah seperti berikut;
[A]
Sanadnya sahih mengikut syarat al-Bukhari.
[B]
Hadis ini turut disahihkan oleh al-Hakim dan al-Zahabi berdasarkan syarat sahih
masing-masing.
[C]
hadis ini disepakati sahih oleh ALBANI dan ARNAUT.
TAKHRIJ |
Al-Nasaie (kubra-26), Ibn Majah (346), Musnad Ahmad
(177758), Ibn Hibban (3127)
No comments:
Post a Comment