كِتَاب الطَّهَارَةِ
KITAB BERSUCI
BAB 1 |
بَابُ
التَّخَلِّي عِنْدَ قَضَاءِ الْحَاجَةِ
“MENYENDIRI SEMASA QADHA’ HAJAT”
HADIS 1 |
حَدَّثَنَا
عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ بْنِ قَعْنَبٍ الْقَعْنَبِيُّ، حَدَّثَنَا عَبْدُالْعَزِيزِ يَعْنِي ابْنَ مُحَمَّدٍ عَنْ مُحَمَّدٍ يَعْنِي ابْنَ عَمْرٍو، عَنْ
أَبِي سَلَمَةَ عَنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ :«أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا ذَهَبَ
الْمَذْهَبَ أَبْعَدَ»
Daripada al-Mughirah bin Syu’bah: “Nabi saw apabila hendak pergi untuk qadha’ hajat, baginda menjauh diri (dari manusia)”
Status Hadis: sahih lighairih
PERBAHASAN MATAN |
[1] GHARIBUL HADIS
Dalam matan hadis, ada digunakan perkataan المذهب yang berasal dari perkataan ذهب iaitu pergi. Al-Aini dalam
Umdah al-Qari menyatakan, maksud perkataan itu dalam hadis ini adalah Nabi saw
pergi jauh dari penglihatan manusia untuk baginda buang air besar.
[2] PENAMBAHAN MATAN
Dalam riwayat al-Nasaie, hadis ini ada penambahan
matan berikut:
قَالَ:
فَذَهَبَ لِحَاجَتِهِ وَهُوَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ فَقَالَ: «ائْتِنِي
بِوَضُوءٍ، فَأَتَيْتُهُ بِوَضُوءٍ، فَتَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى الْخُفَّيْنِ»
Berkata (Mughirah): Nabi saw pergi untuk memunaikan
hajatnya yang ketika itu baginda dalam setengah permusafiran. Baginda pun
berkata: bawakan air wuduk kepadaku. Aku (Mughirah) pun membawa air wuduk
kepada Nabi, lalu baginda berwuduk dan sapu pada dua khufnya” (al-Nasaie, hadis
no: 17)
PENGAJARAN |
HINDARI DARI KELIHATAN AURAT SEMASA QADHA’ HAJAT
Hadis ini menjelaskan bahawa Nabi saw qadha’ hajat bahawa
nabi akan pergi jauh. Hal ini kelihatan bercanggah dengan hadis yang lain:
عَنْ حُذَيْفَةَ، قَالَ: «كُنْتُ مَعَ
النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَانْتَهَى إِلَى سُبَاطَةِ قَوْمٍ،
فَبَالَ قَائِمًا» فَتَنَحَّيْتُ فَقَالَ: «ادْنُهْ» فَدَنَوْتُ حَتَّى قُمْتُ
عِنْدَ عَقِبَيْهِ «فَتَوَضَّأَ فَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ»
“daripada
Huzaifah berkata: Aku bersama dengan nabi saw, lalu melintasi himpunan sampah
sesuatu kaum, nabi pun kencing dalam keadaan berdiri. Aku menjauhkan diri, lalu
nabi berkata: dekatilah. Aku pun dekati baginda hingga aku berdiri betul-betul
di belakang baginda. Baginda berwudu’ dan sapu pada dua khufnya” (muslim, hadis
no: 273)
Untuk diseragamkan antara dua hadis ini, dapat
disimpulkan bahawa semasa qadha’ hajat adalah seperti berikut:
Takwil pertama: keutamaan adalah qadha’ hajat dalam
keadaan menjauhi dari manusia. Namun, jika berhampiran dengan seseorang seperti
kes Huzaifah, matan menyebut bahawa Nabi hanya kencing, bukan buang air besar.
Bermakna, ia sudah terhindari dari bau busuk. (perbahasan hadis Huzaifah
panjang lebar dalam perbincangan akan datang)
Takwil kedua: walaupun Huzaifah berdiri di belakang
nabi, ketika itu aurat Nabi saw tidak kelihatan. Demikian juga hadis ini yang
baginda menjauhkan diri ketika qadha’ hajat untuk memastikan aurat baginda
tidak kelihatan.
Justeru, manat hadis ini adalah hendaklah terhindari
dari dilihat aurat oleh manusia semasa qadha’ hajat.
BIOGRAFI PERAWI |
[1] ABDULLAH BIN MASLAMAH BIN QA’NAB AL-QA’NABI (130H-221H)
عَبْدُ اللَّهِ
بْنُ مَسْلَمَةَ بْنِ قَعْنَبٍ الْقَعْنَبِيُّ
Beliau dilahirkan di Madinah. Semasa hidup, banyak
masa di Madinah dan di Basrah. Namun, beliau meninggal dunia di Mekah.
Dia merupakan murid kepada Imam malik dan guru kepada
Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud.
[2] ABDUL AZIZ BIN MUHAMMAD AL-DARAWARDI
عَبْدُ
الْعَزِيزِ يَعْنِي ابْنَ مُحَمَّدٍ الدراوردي
Ulama rijal tidak sepakat berkenaan statusnya. Secara
dasarnya, ramai menganggap riwayatnya diguna pakai. Namun begitu, terdapat beberapa
ulama yang memberi komen berkenaannya seperti berikut:
a.
Ahmad bin Hanbal menyatakan bahawa hadis yang dia
tulis lebih sahih dari hadis yang dia hafal.
b.
Ahmad juga berkata, bahawa hadis yang al-Darawardi
ambil dari semua perawi tidak dipertikaikan kecuali jika diambil dari
Ubaidillah bin Umar—didapati banyak mungkar.
c.
Abu Zur’ah pula kata, al-Darawardi buruk hafalan.
Berlaku beberapa kali bahawa dia menyampaikan sesuatu hadis secara hafalan,
tetapi didapati ada kesalahan.
Walaubagaimana pun, dia salah seorang rijal Muslim.
Al-Bukhari pula ada meriwayatkan hadisnya secara mutaba-ah dan secara ta’liq.
[3] ABU AL-HASAN
MUHAMMAD BIN AMRU BIN ‘ALQAMAH BIN WAQAS AL-LAISI (145H)
أبو الحسن مُحَمَّدٍ يَعْنِي ابْنَ عَمْرٍو بن علقمة بن وقاص الليثي
Ada sebilangan ulama mengkritik statusnya seperti
berikut;
a.
Al-Juuzajani dan al-Sa’di kata, dia tidak kuat.
b.
Yahya al-Qattan berkata, dia seorang lelaki soleh,
tetapi hafalannya tidak baik.
Namun begitu, dia ada diriwayatkan oleh muslim secara mutaba-ah
(lihat muslim, hadis no: 2261)
[4] ABU SALAMAH BIN ABDUL
RAHMAN BIN AUF (22H-94H)
أَبِو سَلَمَةَ
ابن عبد الرحمن بن عوف
Anak kepada sahabat Nabi yang terkenal, iaitu Abdul
Rahman bin Auf. tidak diketahui nama sebenarnya, kerana terdapat beberapa
riwayat menyatakan bahawa Namanya adalah Abdullah; ada pula riwayat lain kata,
Namanya adalah ismail.
Beliau merupakan salah seorang dari tujuh orang
fuqaha’ Madinah pada era Tabiin.
[5] SAHABAT: MUGIRAH BIN SYU’BAH (50H)
الْمُغِيرَةِ
بْنِ شُعْبَةَ
Zaman Jahiliyyah, beliau adalah perompak. Kemudian
memeluk Islam semasa perang khandaq (5 Hijriah). Beliau merupakan salah seorang
juru juru tulis Nabi.
Pada zaman Umar menjadi khalifah, beliau dilantik
menjadi Gabenor Basrah, kemudian di Kufah. Selepas kematian Saidina Umar, dia
terus menjadi gabenor sehingga digugurkan jawatannya oleh Saidina Osman.
Al-Sya’by berkata: “Orang cerdik dan bijak Arab itu
ada 4; Muawwiyah kerana kesabaran dan kemurahan hatinya, Amru bin al-Ash kerana
pandai menyelesaikan masalah, al-Mughirah kerana kepandaian memberi jawaban
dengan cepat dan Ziyad bin Abihi karena bijak berhadapan terhadap yang muda dan
tua”
Ketika terjadi perpecahan antara Ali dan Muawiyah
sehingga terjadinya Perang Siffin, Mughirah memilih menjauhkan diri.
Kemudian dari itu, dia membaiah Muawiyah setelah
sebahagian besar umat Islam melakukannya.
Muawiyah kemudian mengangkatnya menjadi gabenor Kufah
kembali, hingga beliau meninggal dunia tahun 50 Hijriah
PERBAHASAN SANAD |
PENDAPAT PERTAMA:
Menurut AL-HAKIM dan AL-ZAHABI, hadis ini sahih atas
syarat bukhari dan Muslim hanya kerana perawi ini adalah rijal Bukhari dan
muslim, walaupun kadangkala sekadar I’tibar sahaja.
PENDAPAT KEDUA:
Hadis ini dinilai HASAN oleh ALBANI dengan dua hujah:
n perawi bernama
ABDUL AZIZ AL-DARAWARDI itu dipertaikakan oleh ramai ulama hadis. Namun,
didapati ia dia adalah rijal Muslim dan al-Bukhari pula pernah ambil riwayatnya
secara mutaba-ah sahaja.
n perawi bernama
MUHAMMAD BIN AMRU ini soduq yang ada berlaku waham serta dipertaikaikan
kekuatan hafalannya. Namun begitu, Imam muslim ada terima riwayatnya secara
mutaba-ah.
PENDAPAT KETIGA:
Atas hujah yang kedua ini juga menjadikan sandaran SYUAIB
AL-ARNAUT. Namun, beliau anggap ia sebagai SAHIH LIGHAIRIH dengan alasan bahawa
hadis ini telah dikuatkan dengan alasan berikut:
n hadis ini ada dalam
jalur selain Abdul Aziz al-Darawardi, iaitu melalui jalur ISMAIL BIN
JA’FAR (lihat
al-Nasaie: 17)
أَخْبَرَنَا
عَلِيُّ بْنُ حُجْرٍ قَالَ: أَنْبَأَنَا إِسْمَاعِيلُ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ
عَمْرٍو، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ، عَنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ
n Ada syawahid
dari sahabat bernama ABDUL RAHMAN BIN ABI QURAD seperti berikut:
عَنْ عَبْدِ
الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي قُرَادٍ، قَالَ: حَجَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «فَذَهَبَ لِحَاجَتِهِ فَأَبْعَدَ»
“Daripada Abdul Rahman bin Abi Qurad berkata: Aku buat haji bersama
Nabi. Baginda pergi untuk qadha’ hajat, dan baginda menjauhkan diri” (Ibn
Majah, hadis no: 334)
KESIMPULAN:
Setelah meneliti segala hujah-hujah sanad ini, secara
peribadi saya berpendapat bahawa hadis ini boleh dibuat hujah dengan alasan
bahawa andai berpegang dengan pendapat yang kata tidak sahih, paling rendah pun,
statusnya adalah HASAN. Apatah lagi, hadis ini ada penguat sehingga dapat
disimpulakan sebagai SAHIH LIGHAIRIH.
TAKHRIJ |
Al-Tarmizi
(20), al-Nasaie dalam al-Kubra (16), Ibn Majah (331) dan Musnad Ahmad (18171)
No comments:
Post a Comment