HADIS 25 |
حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ جَعْفَرٍ عَنِ الْعَلَاءِ بْنِ عَبْدِالرَّحْمَنِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «اتَّقُوا اللَّاعِنَيْنِ»
، قَالُوا: وَمَا اللَّاعِنَانِ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «الَّذِي يَتَخَلَّى
فِي طَرِيقِ النَّاسِ أَوْ ظِلِّهِمْ»
"takutlah dua pelaknat" Sahabat bertanya: "Apa
dua pelaknat itu, wahai Rasulullah?"
Rasulullah menjawab:
"Seseorang yang buang hajat di jalanan atau tempat berteduh"
status hadis: sahih
PERBAHASAN LAFAZ |
[1] Pada perkataan اتَّقُوا
اللَّاعِنَيْنِ, dalam riwayat muslim, digunakan perkataan: اتَّقُوا اللَّعَّانَيْنِ iaitu dari perkataan لعّان
Perbezaan antara dua ungkapan ini adalah, perkataan اللاعنين bermaksud orang yang melaknat, sedangkan اللعانين adalah orang yang amat dan bersangatan
melaknat.
[2] Asal maknaاللعن adalah mendoakan agar terhindar dari rahmat Allah.
[3] Kata al-Khattabi, perkataan “takutlah olehmu dua
jenis orang yang melaknat” (اللَّاعِنَيْنِ)
adalah majaz Aqli مجاز
عقلي; iaitu
takutilah olehmu dua punca yang menjadikan orang boleh melaknat dan mencela.
[4] Menurut kitab Aun al-Ma’bud, perkataan الطريق iaitu tempat yang sudah disediakan sebagai laluan. Ia
tidak termasuk laluan المهجور iaitu
laluan yang asalnya bukan laluan, tetapi sekali sekala dilalu orang.
[5] Menurut kitab Aun al-Ma’bud, bahawa maksud larangan qadha’
hajar di bawah bayang-bayang bukan bukan semua bayang-bayang, tetapi bayang-bayang
yang menjadi tempat orang sering berteduh.
Dalam erti kata lain, di kawasan yang ada teduh,
tetapi bukan tempat orang berteduh di situ, maka ia tidak termasuk maksud
hadis.
HUBUNGAN HADIS |
Dalam HADIS ke-24, Nabi sediakan bekas untuk letak air
kencing di bawah katil
Pada HADIS ke-25, Nabi minta hindari dari kencing di
laluan orang ramai dan tempat orang berteduh.
Dengan melihat kepada dua hadis ini, didapati ada satu
kesamaan, iaitu keperluan mengelak dari orang boleh tersilap yang melibatkan
kencing. Seperti Kalau letak air kencing bawah katil, ia boleh menyebabkan
orang tersilap minum; kalau di laluan orang ramai serta tempat mereka berteduh,
mengelak dari orang tersilap dari terpijak najis.
PENGAJARAN |
[1] PERILAKU YANG BOLEH MEMBAWA KEPADA ORANG LAKNAT
Secara dasarnya, kita perlu mengelak dari melakukan
perkara yang boleh mengundang makian, celaan dan laknat dari orang ramai.
Namun begitu, ada beberapa perbuatan yang dilakukan
sehingga mengundang laknat, ia tidak terlarang.
Antaranya, Al-Quran ada menyatakan bahawa orang beriman itu adalah orang yang berjihad di jalan Allah serta mereka tidak takut dicela. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ
بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ
عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ
لَائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
(54) – المائدة
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu
berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu
kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat
lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap
orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah,
dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu
adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi
PengetahuanNya. (Surah al-Maidah, ayat 54)
[2] SEBAB LARANGAN QADHA’ HAJAT DI BAWAH TEDUH
Tidak terdapat satu hadis yang sahih dan sarih
menjelaskan sebab dan punca larangan kencing di bawah bayang-bayang pokok.
Namun begitu, terdapat hadis doif menyatakan bahawa sebab larangan tersebut
dikaitkan dengan pokok yang berbuah.
Al-Tibrani dalam al-Mukjam al-Awsat (hadis no: 2392)
meriwayatakan daripada Ibn Umar berkata:
نَهَى رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَتَخَلَّى الرَّجُلُ تَحْتَ
شَجَرَةٍ مُثْمِرَةٍ
“Rasulullah saw melarang bahawa seorang lelaki qadha’ hajar di bawah
pokok yang berbuah” (hadis ini dinilai Doif Jiddan kerana pada sanadnya ada
perawi matruk bernama Furat bin al-Saib)
Walaupun hadis ini
doif jiddan, tetapi kandungan matannya selaras dengan fitrah manusia. iaitu, buah-buahan
yang boleh dimakan, jika jatuh di atas najis, sudah pasti ia tidak dapat
dimakan. Makanya, ia wajar dielak dari berlaku.
[3] MENGGUNAKAN PERKATAAN SOPAN
Menurut kitab Aun al-Ma’bud, perkataan yang digunakan
dalam hadis ini adalah يَتَخَلَّى yang bermaksud
menyendiri, sedangkan dalam konteks hadis ia bermaksud kencing atau berak
secara menyendiri, sedangkan perkataan bagi berak adalah يتغوط.
Dengan ini, disimpulkan bahawa secara tidak langsung
bahawa Nabi saw sudah mengajar kepada kita bahawa semasa bercakap perlu
menggunakan yang sopan, seperti dalam Bahasa melayu disebut “buang air besar”,
bukan “berak”.
BIOGRAFI PERAWI |
[5] ABU RAJA’ QUTAIBAH BIN SA’ID AL-BALKHI (150H-240)
أبو رجاء
قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ البلخي
Dia
berasal dari Balkh, Afghanistan. Dia adalah guru semua imam kutub Sittah
kecuali Ibn Majah sahaja ambil hadisnya dengan ada perantara, iaitu melalui
Muhamad bin Yahya al-Zuhli dan Ibn Abi Syaibah. Dia merupakan murid kepada Imam
Malik dan Imam al-Lais.
Menurut
Abu Daud, dia masuk ke Baghdad tahun 216 hijrah. Apabila sampai di situ, Imam
Ahmad dan Yahya datang berjumpa dengan dia.
Abu
Hatim al-Razi pula kata, apabila dia sampai di Baghdad, Imam Ahmad datang
belajar hadis darinya. Abu Bakar bin Abi Syaibah dan Ibn Numair dari Kufah
datang ke Baghdad untuk buat ujian kekuatan hafalan dia, serta dia buat ujian
juga pada kekuatan hafalan dua ulama kufah tersebut. Kejadian itu berlaku
sampai ke subuh.
Dia adalah perawi siqah lagi sahih.
[4] ISMAIL BIN JA’FAR (110H-138H)
إِسْمَاعِيلُ
بْنُ جَعْفَرٍ
Dilahirkan dan meninggal di Madinah, dan kuburnya di
Baqi’.
Bapanya adalah cicit kepada Saidina Hussin, yang nama
penuh bapanya itu adalah JAAFAR BIN MUHAMMAD BIN ‘ALI BIN AL-HUSAIN BIN ALI BIN
ABI TALIB; atau lebih dikenali sebagai JA’FAR SODIQ.
Ibunya pula adalah cucu kepada Saidina Hassan yang nama penuhnya adalah FATIMAH
BINTI AL-HUSAIN AL-ASRAM الاَثرم
BIN AL-HASSAN BIN ‘ALI BIN ABI TALIB.
Dia dianggap sebagai imam bagi penganut
fahaman syiah Ismailiyyah, sedangkan bapanya adalah rujukan bagi penganut syiah
Ja’afariyyah.
kekhilafan dalam syiah berlaku adalah; menurut dakwaan
penganut syiah Ismailiyyah bahawa bapanya, iaitu Jaafar Sodiq pernah
memberitahu bahawa selepas dia bahawa anaknya; iaitu Ismail ini adalah imam.
Namun begitu, dia meninggal dunia pada tahun 138
hijrah yang lebih 10 tahun awal berbanding bapanya meninggal dunia, iaitu tahun
148 hijrah.
Dengan itu, apabila bapanya meninggal dunia, ada pula
dari penganut syiah menganggap bahawa seseorang imam itu perlu menjadi imam
yang sah dengan kematian bapa terlebih dahulu, baru anaknya. Namun, yang
terjadi adalah anaknya meninggal terlebih dahulu.
Makanya, mereka pun menganggap imam selepas Ja’far
Sodiq adalah adik kepada Ismail yang bernama MUSA AL-KAZIM (128H-183H). Kejadian
sebegini menjadikan berlaku perselisihan antara penganut syiah sehingga lahir
satu fahaman syiah yang disebut sebagai Ismailiyyah.
Kepercayaan sebegini tidak ada dalam fahaman sunni.
Pun begitu, Ismail tetap menjadi sumber pengajian hadis dalam kalangan ahli
al-Sunnah wa al-Jamaah.
Perbezaan antara ahli al-Sunnah wa al-Jamaah
berbanding syiah dalam menanggapi Ismail adalah bahawa ahl al-Sunnah wa
al-Jamaah menganggap bahawa Ismail menyampaikan hadis sama seperti
perawi-perawi hadis yang lain, sedangkan syiah menganggap bahawa Ismail salah
seorang imam ma’sum yang mendapat wahyu dari Allah.
Di samping Musa al-Kazim, Ismail punyai tiga orang
adik lagi, iaitu Abdullah bin Ja’afar, ‘Ali al-‘Uraidhi العريضي dan Muhammad bin Ja’afar.
Dia adalah guru Imam malik, serta rijal al-Kutub al-Sittah.
Dia adalah perawi siqah lagi sahih.
[3] ABU SYIBL AL-‘ALA’ BIN ABDUL RAHMAN BIN
YAAQUB AL-HURAQI AL-MADANI (132H/138H)
ابو شبل
الْعَلَاءِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بن يعقوب الحرقي ابو شبل المدني
Dia adalah seorang Tabbin, dan meninggal di Madinah di
era pemerintahan Khalifah Abi Ja’far al-Mansur.
Dari sudut Jarh wa Ta’dil, semua ulama rijal anggap
dia sebagai siqah kecuali beberapa komentar berikut:
a.
Al-Jurjani menyatakan bahawa dia tidak mengapa, tetapi
di waktu lain menyebut bahawa dia tidak kuat.
b.
Ibn al-Jawzi menyebut namanya salah seorang perawi
palsu. Turut menyatakan bahawa al-‘Ala’ ini pernah berkata: Aku telah
memalsukan hadis berkenaan kelebihan Saidina Ali sebanyak 70 buah hadis.
c.
Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa dia Soduq,
tetapi kadangkala ada berlaku waham.
d.
Yahya bin Ma’in menyatakan bahawa tidak menjadi
masalah pada hadisnya, tetapi di waktu lain menyatakan bahawa hadis al-‘Ala’
riwayatkan tidak boleh dijadikan hujah.
e.
Albani terima hadis dia. Tetapi, Ibn Hazm tidak
berhujah dengan hadisnya.
Dia merupakan salah seorang perawi Muslim, Abi Daud,
al-Tarmizi, al-Nasaie dan ibn Majah. Dia bukan rijal al-Bukhari. Dia adalah
perawi hasan.
[2] ABDUL RAHMAN BIN YA’QUB AL-JUHANI (101H)
عَبْدِ
الرَّحْمَنِ بن يعقوب
Ini adalah bapa kepada al-‘Ala’ bin Abdul Rahman di atas.
Abdul Rahman berasal dari Hamzan (Iran) dan meninggal dunia di Madinah.
Dia adalah rijal Muslim, Abi Daud, al-Tarmizi, al-nasaie
dan ibn Majah. Dia bukan rijal al-Bukhari. Dia seorang perawi yang sahih.
[1] ABU HURAIRAH (21SH-59H)
أَبِي هُرَيْرَةَ
Dia dilahirkan di Yaman dari etnik DUS AL-AZDIYYAH دوس الأزدية dan meninggal dunia di
Madinah, dan kuburnya di Baqi’.
Sebelum memeluk Islam, namanya Abdul al-Syams bin
Sakhar. Setelah memeluk islam, namanya ditukar kepada Abdul Rahman bin Sakhar.
Ada banyak riwayat menyatakan nama beliau dengan nama
yang lain. Ada riwayat menyatakan, namanya Abdul Rahman bin Ghanm, ada kata
Abdun bin Ghanm dan banyak lagi.
Sebab beliau digelar
Abu Hurairah kerana kecenderungannya yang amat kuat dalam menyanyanyi anak-anak
kucing. Dalam sebutan Arab, perkataan Hurairah bermaksud anak kucing yang
kecil.
Dia memeluk Islam
setelah mendengar ajaran Islam melalui seorang sahabat bernama AL-TUFAIL BIN
AMRU AL-DUSI.
Selepas peluk islam
tahun 7 hijrah, dia hijrah dari Yaman ke Madinah bersama beberapa orang dari
etnik Dusi.
Dia sampai di Madinah
semasa penduduk Madinah sedang sebuk perang Khaibar yang dengan itu menyebabkan
ulama Islam khilaf berkenaan keterlibatan dia dalam perang tersebut. Imam Ibn
Abdul Bar kata, dia terlibat dalam perang terbabit.
Sebelum Nabi wafat,
beliau tidak berkahwin kerana mahu fokus untuk belajar dengan Nabi, berkhidmat
dengan Nabi dan para isteri nabi. Beliau tinggal di beranda masjid Nabi—disebut
Ahli Sufah.
Selepas kewafatan
Nabi, beliau berkahwin dengan seorang perempuan bernama BUSRAH BINTI GHAZWAN.
Di era Umar bin
al-Khattab menjadi Khalifah, Abu Hurairah dilantik menjadi Gabenor di Bahrain.
Semasa dekat saat
kematian, beliau ada berpesan agar tidak ada sesiapa pun meratap kematiannya
dan beliau minta agar segerakan tanam jenazahnya.
Beliau adalah sahabat
yang paling banyak meriwayatkan hadis yang al-Zahabi menyatakan, hadis yang Abu
Hurairah riwayatkan mencecah angka sebanyak 5374 buah hadis.
PERBAHASAN SANAD |
[1] SANAD ABU DAUD
حَدَّثَنَا
قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ جَعْفَرٍ عَنِ الْعَلَاءِ
بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
[2] STATUS HADIS: SAHIH
Hadis ini dianggap sahih dengan alasan berikut;
A.
Ia sahih atas syarat Muslim.
B.
Hadis ini turut sama diriwayatkan oleh Muslim.
C.
Arnaut dan Albani sepakat hadis ini sebagai sahih.
TAKHRIJ |
Misykat (339) Muslim (269), Ahmad
(8853), Ibn hibban (1415)
No comments:
Post a Comment