Monday, February 28, 2022

HADIS 13

 

HADIS 13

 

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ حَدَّثَنَا وَهْبُ بْنُ جَرِيرٍ حَدَّثَنَا أَبِي قَالَ: سَمِعْتُ مُحَمَّدَ بْنَ إِسْحَاقَ يُحَدِّثُ عَنْ أَبَانَ بْنِ صَالِحٍ عَنْ مُجَاهِدٍ عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: «نَهَى نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ بِبَوْلٍ، فَرَأَيْتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْبَضَ بِعَامٍ يَسْتَقْبِلُهَا»

Daripada Jabir bin Abdillah, berkata: Nabi Allah saw telah melarang kita menghadap kiblat tatkala buang air kecil, kemudian Aku melihat baginda setahun sebelum wafat bahawa baginda buang air kecil menghadap kiblat”


Status hadis: hasan

 

PENJELASAN HADIS

 

Hadis ini menggambarkan bahawa nabi memang melarang mengadap kiblat semasa qadha’ hajat. Namun, setahun sebelum kewafatan Nabi, Jabir bin Abdillah nampak bahawa Nabi mengadap ke arah kiblat semasa qadha’ Hajat.

 

HUBUNGAN HADIS

 

Dalam hadis ke-11, dijelaskan bahawa Ibn Umar kencing ke arah kenderaannya serta memberitahu larangan kencing mengadap arah kiblat adalah jika tidak ada penghalang antara orang yang kencing dan kiblat.

 

Dalam hadis ke-12, Ibn Umar nampak Nabi saw qadha’ hajat dalam keadaan mengadap Baitul Maqdis.

 

Hadis ke-13 ini pula, menguatkan lagi kupasan bahawa mengadap arah kiblat, sama ada ke arah Baitullah, ataupun ke arah Baitul Maqdis, ia tidak termasuk larangan jika berada dalam bangunan.

 

Dari hadis-hadis ini, Khattab menyimpulkan bahawa mengadap kiblat semasa qadha’ hajat di padang lapang berbanding dalam bangunan. Apatah lagi, dalam hadis ini menyebut “setahun sebelum nabi wafat”; disimpulkan bahawa hukum larangan mutlak mengadap arah kiblat semasa qadha’ hajat itu telah dimansukhkan dengan hadis ini.

 

Dengan arti kata yang lain, qadha’ hajat dalam keadaan mengadap arah kiblat adalah tidak haram, jika berada dalam bangunan.

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[1] ABU BAKAR MUHAMMAD BIN BASYSYAR BANDAR (167H-252H)

ابو بكر مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ  بندار

 

Berasal dari Basrah, dan merupakan salah seorang guru kepada 6 orang ulama kutub Sittah.

 

Dia lebih dikenali dengan panggilan Bandar بندار

 

[2] ABU AL-ABBAS WAHB BIN JARIR BIN HAZIM AL-AZDI AL-BASRI (139H-206H)

ابو العباس وَهْبُ بْنُ جَرِيرٍ ابن حازم الأزدي البصري

 

Seorang Ulama hadis dari Basrah dan meninggal dunia dalam perjalanan pulang dari buat ibadat Haji ke Basrah, iaitu di tempat bernama al-Manjasyaniyyah. Menurut ceritanya, jenazahnya di bawa pulang ke Basrah dan ditanam di sana.

 

Ramai ulama rijal mengatakan bahawa dia siqah kecuali segelintir sahaja yang mengtajrih beliau, seperti Abu Hatim bin Habban al-Basti kata, dia ada buat silap. Walaubagaimana pun, dia adalah rijal kutub Sittah.

 

 

[3] JARIR BIN HAZIM AL-AZDI (170H)

 جرير بن حازم الأزدي

 

Dia adalah Tabiin yang dilahirkan di basrah dan meninggal dunia di Mesir.

 

Dia orang yang paling akhir ambil hadis dari Abu Tufail ‘Amir bin Wasilah (sahabat yang paling akhir mati di Madinah

 

Ada beberapa kritikan terhadap beliau adalah seperti berikut;

 

[a] Sebelum dia meninggal dunia, dia ada ikhtilat. Tetapi, semasa dia ikhtilat itu, tidak ada satu hadis pun orang riwayatkan hadis yang dia riwayatkan secara ikhtilat. Antara mengatakan begitu adalah Abu al-Qasim, al-Asqalani, al-Zahabi dan Abdul Rahman bin Mahdi. Abu Hatim al-Razi kata, ikhtilat itu berlaku setahun sebelum kematiannya.

 

[b] Abu al-Fath al-Azdi menyatakan bahawa dia adalah maqlubah pada beberapa hadis. Abu Hatim al-Basti kata, dia silap itu kerana kebanyakkan hadis yang dia riwayatkan itu secara hafazan. Abu Daud pula menyatakan, dia nyanyok sebelum kematiannya itu sehingga dia pun tidak kenal anaknya sendiri.

 

[c] Imam al-Tarmizi menyatakan bahawa dia kadangkala waham. Namun, al-Tarmizi tetap akui bahawa dia Sadoq. Turut memberi komentar yang sama adalah al-Imam al-Bukhari. Ahmad bin Hambal pula kata, dia banyak buat silap dan tidak kuat hafalannya. Dalam pada mengakui bahawa dia siqah, Al-Asqalani kata, hadis yang dia riwayatkan secara hafalan mengandungi waham.

 

Pun begitu, tidak sedikit dalam kalangan ulama yang menganggap dia siqah, seperti al-Bazzar, al-Nasaie, Ahmad bin Soleh al-Jili, Ahmad bin Soleh al-Misri, al-Daraqutni, Syu’bah bin al-Hajjaj, Ibn Madini, ‘Ali bin Osman, Yahya bin Main. Bahkan, dia salah seorang rijal kutub Sittah.

 

[4] MUHAMMAD BIN ISHAQ (80H-151H)

مُحَمَّدَ بْنَ إِسْحَاقَ

 

Dia adalah ulama yang terkenal mengarang kitab Sirah Ibn Ishaq. Dilahirkan di Madinah dan meninggal dunia di Baghdad.

 

Nama penuhnya adalah Muhammad bin Ishaq bin Yasar. Menurut Al-Zahabi kata, dia pernah jumpa Anas bin Malik dan Ummu Sa’ad bin Sa’ad al-Ansariyyah. Bapa saudaranya adalah seorang ulama hadis terkenal, bernama Musa bin Abdul Rahman. Atuknya, Yasar dikatakan berasal dari Kristian yang kemudian memeluk islam.

 

Tahun 115 H, dia sampai ke iskandariyyah (Mesir) untuk belajar dari Yazid bin Abi Habib. 

 

Ibn Ishaq ini mendapat beberapa kritikan berikut;

 

[a] Ibn hajar mengatakan bahawa dia seorang yang cenderung kepada syiah dan berfahaman Qadariyyah.

 

[b] Ibn Hajar juga kata, dia ada melakukan tadlis.

 

[c] menurut al-Daraqutni, Imam malik menyatakan bahawa hadis Ibn Ishaq dan bapanya tidak boleh dibuat hujah. Bahkan, Imam malik pernah kata, dia adalah Dajjal dari kalangan para dajjal.

 

Namun begitu, di sana terdapat beberapa pujian terhadap Ibn Ishaq seperti berikut;

 

[a] Imam Syafie mengatakan, “sesiapa yang mahu mendapat keluasan ilmu berkenaan maghazi, maka itu boleh belajar dari Muhammad bin Ishaq.

 

[b] Ibn Hibban dan Abu Ya’la al-Khalili mengatakan bahawa Ibn Ishaq mempunyai keluasan ilmu dan siqah. Abu Zur’ah al-Razi pula menyatakan bahawa Ibn Ishaq adalah Soduq.

 

Imam Abu Daud, Tarmizi, nasaie dan Ibn Majah meriwayatkan hadis Ibn Ishaq.

 

Dalam al-Tarikh al-Kabir, al-Imam al-Bukhari tidak mengkritik Ibn Ishaq. Namun, apabila dilihat dalam sahih al-Bukhari, nama Ibn Ishaq hanya berada dalam Mutaba-ah dan ta’liq sahaja. Imam Muslim juga menggunakan pendekatan yang sama.

 

 

[5] ABAN BIN SOLEH (60H-115H)

أَبَانَ بْنِ صَالِحٍ

 

Dia dilahirkan di mekah, dan meninggal di ‘Asqalan (Palestine).

 

Terdapat beberapa kritikan terhadapnya, seperti Ibn Abd al-bar kata, dia doif. Justeru, sebarang hadis yang Aban bin Soleh ambil dari Jabir bin Abdillah perlu ditolak. Ibn Hazm pula kata, Aban bin Soleh adalah Majhul.

 

Walaubagaimana pun, pendapat Ibn Abd al-Bar dan Ibn Hazm ini dibantah oleh al-Asqalani dan anggap Ibn Abd al-Bar salah membuat kesimpulan terhadap Aban.

 

 

Ibn Hibban, Ibn Ma’in, Abu Hatim al-Razi dan Abu Zur’ah al-Razi anggap Aban sebagai siqah.

 

Rijal Abi Daud, al-Tarmizi, al-Nasaie dan nasaie.

 

Dalam sahih al-Bukhari dan Muslim, nama Aban hanya diriwayatkan secara mutaba-ah dan ta’liq sahaja.

 

[6] MUJAHID BIN JABAR (21H-104H)

 مُجَاهِدٍ بن جبر

 

Nama bapanya, ada kata Jabar; ada lain kata, Jubair.  Dia dilahirkan dan meninggal di mekah dan terkenal dengan ilmu tafsir.

 

Disamping ilmu tafsir, dia juga mempunyai kebolehan dalam bidang hadis ilmu fiqh dan Qiraat. Kebanyakkan ilmu-ilmu ini dia pelajar dari Ibn Abbas, terutama fiqh dan tafsir.

 

Banyak ambil hadis dari Aisyah, Abu Hurairah, Sa’ad bin Abi Waqas, Jabir bin Abdullah, Abdullah bin Umar dan Abu Sa’id al-Khudri.

 

Dia adalah rijal kutub Sittah.

 

[7] SAHABAT: JABIR BIN ABDILLAH (16SH-78H)

جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ

 

Berkenaan Sahabat Nabi ini sudah disebut dalam hadis ke-2 yang lepas.

 

PERBAHASAN SANAD

 

Sanad hadis ini bermasalah hanya pada perawi bernama MUHAMMAD BIN ISHAQ yang dia diakui ramai ulama hadis sebagai MUDALLIS.

 

Namun, dalam hadis ini, digunakan التحديث bukan عن, maka hadisnya boleh diterima.

 

Dengan itu, ARNAUT mengatakan bahawa hadis ini adalah HASAN.

 

TAKHRIJ

 

Tarmizi (9), Ibn Majah (325), Musnad Ahmad (14872), Ibn Hibban (1420)

 

Sunday, February 27, 2022

HADIS 12 (BAB 5)

 

BAB 5

 

بَابُ الرُّخْصَةِ فِي ذَلِكَ

“RUKHSAH (KERINGANAN) DALAM HAL ITU”

 

HADIS 12

 

حَدَّثَنَا عَبْدُاللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ عَنْ مَالِكٍ عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ يَحْيَى بْنِ حَبَّانَ عَنْ عَمِّهِ وَاسعِ بْنِ حَبَّان عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ:  لَقَدْ ارْتَقَيْتُ عَلَى ظَهْرِ الْبَيْتِ «فَرَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى لَبِنَتَيْنِ مُسْتَقْبِلَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ لِحَاجَتِهِ»

Daripada Abdullah bin Umar: “Sesungguhnya aku pernah panjat bumbung rumah (Hafsah).  Aku pun nampak Rasulullah saw di atas dua batu bata menghadap Baitulmaqdis sedang qadha’ hajat”

 

Status hadis: sahih

 

PENJELASAN HADIS

 

[1] Hadis ini menjelaskan bahawa Ibn Umar panjat rumah kakaknya, Hafsah yang merupakan isteri Nabi saw, dia ternampak Nabi saw ketika itu sedang qadha’ hajat dalam keadaan mengadap arah Baitul maqdis.

 

[2] ketika ini, Abdullah Umar baru amat muda. Hal ini dilihat pada factor umurnya bahawa semasa hijrah, umurnya baru 10 tahun, sedangkan Hafsah berkahwin dengan nabi pada tahun ke-3 hijrah.

 

Ini dapat difahami bahawa kejadian panjat itu berlaku sewaktu umurnya masih kanak-kanak lagi, iaitu mungkin dalam lingkungan 13 hingga 14 tahun.

 

Adapun hadis ini, dia bercerita selepas kewafatan nabi saw. Dalam erti kata lain, dia menceritakan pengalamannya semasa kecil yang nampak Nabi sedang qadha’ hajat kepada Wasi’ bin Habban.

 

[3] Dalam hadis ini, disebut ظَهْرِ الْبَيْتِ yang diterjemahkan sebagai atas bumbung rumah, tanpa disebut rumah siapa. Namun, didapati dalam riwayat Muslim disebut على ظهر بيت حفصة atau dalam riwayat Ibn Khuzaimah dengan disebut دخلت على حفصة بنت عمر فصعدت ظهر البيت yang dengan itu disimpulkan bahawa rumah yang dipanjat itu adalah rumah kakaknya yang merupakan isteri Nabi saw.

 

PENGAJARAN

 

[1] BUAT TANDAS DALAM RUMAH

 

Hadis ini menjadi dalil bahawa tidak salah membuat tandas dalam rumah. Hal ini kerana, Ibn Umar melihat Nabi saw sedang Qadha’ Hajat itu ketika nabi di rumah Hafsah.

 

 عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، قَالَ: لَقَدْ ارْتَقَيْتُ عَلَى ظَهْرِ الْبَيْتِ، «فَرَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى لَبِنَتَيْنِ مُسْتَقْبِلَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ لِحَاجَتِهِ»

Daripada Abdullah bin Umar: “Sesungguhnya aku pernah panjat bumbung rumah.  Aku pun nampak Rasulullah saw di atas dua batu bata menghadap Baitulmaqdis sedang qadha’ hajat” (Abu Daud, hadis no: 12)

 

Andai dikatakan larangan membuat tandas dalam rumah, semua itu bermuarakan alasan bahawa syaitan berhimpun di tempat najis. Hal ini merujuk kepada hadis berikut:

 

عَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: " إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمُ الْخَلَاءَ فَلْيَقُلْ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ

Daripada Zaid bin Arqam, daripada Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya ini adalah tempat yang kerumun (oleh syaitan). Apabila seseorang kamu masuk ke tempat qadha’ hajat, maka hendaklah dia membaca doa: Aku minta berlindung dengan Allah dari Syaitan jantan dan syaitan betina” (Abu Daud, hadis no: 6)

 

Apabila diteliti dari sudut manat hadis ini, syaitan suka berkerumun bukan bukan kerana ia semata-mata tandas, tetapi kerumun kerana tempat itu ada najis. Dalam erti kata lain, syaitan suka di tempat ada najis yang masih belum dibersihkan.

 

Dalam hadis ada disebut bahawa seorang Muslimat pada zaman Nabi bernama Hamnah binti Jahsy bahawa dia bertanya kepada nabi saw berkenaan darahnya yang selalu keluar. Nabi saw berkata:

إِنَّمَا هِيَ رَكْضَةٌ مِنَ الشَّيْطَانِ

“Darah itu adalah adalah tekanan dari syaitan” (Tarmizi, hadis no: 128)

 

Dalam komentar al-Sun’ani dalam kitab “Subul al-Salam”:

معناه أن الشيطان قد وجد سبيلا إلى التلبيس عليها في أمر دينها وطهرها وصلاتها حتى أنساها عادتها

“maknanya, syaitan mendapati jalan untuk menganggu pada urusan agamanya, kebersihan dan solatnya hingga dia boleh lupa dari hal kebiasaanya”

 

Ia memberi maksud bahawa maksud dengan syaitan suka berhimpun dan berkerumun itu, apabila tempat itu dibiarkan najis tanpa dibuang atau dibersihkan.

 

Justeru, apabila dibandingkan dengan tandas yang ada pada hari ini, ia tidak boleh disamakan dengan kandungan hadis bahawa syaitan yang berkerumun dan berhimpun. Hal ini kerana, konsep tandas pada hari ini tidak sama dengan dahulu; apabila selesai qadha’ hajat, dipam dan flush sehingga najis masuk dalam lubang tandas. Dalam erti kata lain, dilarang itu kerana factor kotoran. Konteks tandas kita yang sentiasa bersih, tidak termasuk dalam larangan hadis.

 

[2] QADHA’ HAJAT MENGADAP BAITUL MAQDIS

 

Dalam hadis ke-10 sudah dijelaskan hukum qadha’ hajat dalam keadaan mengadap Baitul Maqdis (Sila klik)

 

Hadis ini sebagai mengukuhkan pendapat mazhab Syafie dan Hanbali yang menyatakan tidak dilarang qadha' hajat mengadap arah kiblat, jika dalam bangunan. (Sila klik)

 

Dan sebenarnya, ini juga adalah pendapat Abu Daud. Hal ini dapat dilihat pada tajuk bab yang beliau sebut: “bab rukhsah pada demikian itu”, iaitu keizinan mengadap Baitul Maqdis semasa qadha’ Hajat jika dalam bangunan.

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[1] ABDULLAH BIN MASLAHAH AL-QA’NABI (130H-221H)

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ القعنبي

 

Dilahirkan di Madinah dan meninggal di mekah. Dia pernah sampai Madinah dan Basrah.

 

Dia murid Malik dan guru al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud.

 

Sudah dibahas dalam hadis pertama.

 

[2] MALIK BIN ANAS (93H-179H)

عَنْ مَالِكٍ بن انس

 

Pengasas Mazhab Maliki. Dilahirkan di Madinah dan mati di tempat yang sama.

 

Atuknya bernama MALIK BIN ABI ‘AMIR AL-ASBUHI AL-HIMYARI; seorang tabiin yang ada meriwayatkan hadis dari Omar bin al-Khattab, Osman bin Affan, Talhah bin Ubaidullah, Aisyah, Abu Hurairah, Hassan bin Sabit, ‘Aqil bin Abi Talib dan sebagainya.

 

Moyangnya bernama ABU ‘AMIR NAFI’ BIN AMRU yang al-Qadhi Bakar bin al-‘Ala’ al-Qusyairi menyatakan bahawa dia salah seorang saahabt Rasulullah saw yang terlibat semua peperangan kecuali perang Badar sahaja.

 

Ada pula dakwaan lain kata, moyangnya bukan sahabat, tetapi MUKHDARAM; dia sampai di Madinah selepas Nabi saw sudah wafat.

 

Imam Malik mempunyai empat orang anak, iaitu Yahya, Muhammad, Hammad dan Fatimah.

 

Imam Malik terkenal sebagai seorang yang terkenal dengan kealiman dalam bidang hadis dan fiqh. Terkenal juga dengan kekuatan hafalan dan kebijaksaaan.

 

Ia adalah pengarang kitab AL-MUWATTA’ yang merupakan kitab hadis yang paling sahih sebelum penulisan kitab hadis.

 

Al-Imam al-Syafie pernah berkata:

 

ما بعد كتاب الله تعالى كتابٌ أكثرُ صواباً من موطأ مالك

“Kitab yang paling benar selepas al-Quran adalah Muwatta’ Malik”

 

Guru hadis yang paling lama dia belajar adalah Nafi’, iaitu bekas hamba kepada Abdullah bin Umar yang sanad Nafi’ adalah dari bekas tuannya itu.

 

Dia mengajar hadis di masjid Nabawi. Bahkan, turut mengeluarkan fatwa-fatwa fiqh di situ.

 

Imam Malik antara ulama yang teramat berhati-hati dalam memberikan fatwa kerana bimbang tersalah dalam fatwa. Ekoran itu, semasa dia memulakan jawapan dari seorang fiqh, dia akan mulakan dengan menyebut:

 

ما شاء الله لا قوة إلا بالله

 

Dan dia sering menjawab: “Aku tidak tahu”, dalam banyak jawapan-jawapan dari persoalan fiqh yang dibangkitkan kepadanya.

 

Dalam periwayatan hadis, dia amat tegas dari perawi ahli Bid’ah. Dengan sebab itu, tidak riwayat dari syiah dari beliau.

 

Sebelum meninggal dunia, dia sakit selama 22 hari. Jenazah dia dikebumikan di Baqi’, dan turut menunaikan solat jenazahnya adalah gabenor Madinah, Abdullah bin Muhammad bin Ibrahim.

 

[3] YAHYA BIN SA’ID BIN QIAS BIN AMRU AL-ANSARI (70H-143H)

يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ ابن قيس بن عمرو الانصاري

 

Dilahirkan di Madinah dan meninggal di Baghdad.

 

Dia adalah salah seorang murid kepada tujuh orang fuqaha’ Madinah dari kalangan Tabiin yang dikenali sebagai Fuqaha’ al-Sab’ah.

 

Dikatakan bahawa dia sempat belajar dengan Sa’id bin Musayyib dan Urwah bin Zubair. Juga sempat menjadi mufti di Madinah dan Qadhi di Iraq.

 

Ramai ulama akui dia siqah, seperti al-Nasaie, Ibn al-Madini, al-Asqalani, Abu Zur’ah al-Razi, Ahmad bin Soleh al-Jili, Ibn Sa’ad, Ibn Hibban dan yahya bin Ma’in.

 

Namun begitu, terdapat sedikit kritikan seperti dakwaan al-Dimyati, Ibn al-Madini dan yahya bin Said al-Qattani mengatakan bahawa bahawa dia adalah seorang mudallis. Walaubagaimana pun, dia adalah rijal kutub al-Sittah.

 

[4] MUHAMMAD BIN YAHYA BIN HABBAN (47H-121H)

 مُحَمَّدِ بْنِ يَحْيَى بْنِ حَبَّانَ

 

Dilahirkan di Madinah dan meninggal dunia di tempat yang sama.

 

Seorang tabiin, dan banyak meriwayatkan hadis. Dia adalah salah seorang guru Imam malik yang terkenal dengan kefaqihan bahkan memberi fatwa.

 

Dia adalah Rijal Kutub al-Sittah dan diperakui ramai ulama sebagai siqah.

 

[5] WASI’ BIN HABBAN

وَاسعِ بْنِ حَبَّانَ

 

Bapa saudara kepada Muhammad bin Yahya bin Habbban. Al-Asqalani kata, dia adalah sahabat. Hal ini kerana, ada riwayat kata, dia terlibat dalam Bai’ah Ridhwan—semasa perjanjian Hudaibiyyah bersama adiknya, Sa’ad bin Habban.

 

Di tempat lain pula, al-Asqalani kata, dakwaan bahawa dia adalah sahabat adakah tidak tidak sahih. Al-Ijli mengatakan, dia sekadar Tabiin sahaja.

 

Bapanya adalah HABBAN BIN WASI’ BIN HABBAN BIN MUNQIZ BIN AMRU AL-KHAZRAJI. Moyangnya, iaitu HABBAN BIN AL-MUNQIZ adalah sahabat Nabi yang terlibat dalam perang Uhud dan semua perang selepas itu; dia berasal dari kalangan orang ansar kabilah Khazraj.

 

Wasi’ menninggal dunia dalam perang Harrah, tahun 63H.

 

[6] SAHABAT: ABDULLAH BIN UMAR (10SH-73H)

عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ

 

Berkenaan Sahabat nabi ini, sudah dijelaskan dalam hadis ke-11.

 

PERBAHASAN SANAD

 

Hadis ini SAHIH dengan alasan-alasan berikut;

[a] Sahih atas syarat al-Bukhari dan Muslim.

[b] Imam al-Bukhari dan Imam Muslim turut keluarkan hadis ini. Turut keluarkan adalah Abu ‘Awanah dalam sahihnya.

[c] Imam Tarmizi mengatakan hadis ini Sahih.

[d] hadis ini turut disepakati sahih oleh Arnaut dan Albani

 

TAKHRIJ

 

Ibn Majah (322), Muslim (266), Al-Bukhari (145, 148), Al-Nasaie (Kubra—22), Al-Tarmizi (11), Ahmad (4606), Ibn Hibban (1418)