HADIS 11 |
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَى بْنِ فَارِسٍ حَدَّثَنَا صَفْوَانُ بْنُ عِيسَى عَنِ الْحَسَنِ بْنِذَكْوَانَ عَنْ مَرْوَانَ الْأَصْفَرِ قَالَ: رَأَيْتُ ابْنَ عُمَرَ أَنَاخَ رَاحِلَتَهُ مُسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةِ، ثُمَّ جَلَسَ يَبُولُ إِلَيْهَا، فَقُلْتُ: يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ، أَلَيْسَ قَدْ نُهِيَ عَنْ هَذَا؟ قَالَ: بَلَى إِنَّمَا «نُهِيَ عَنْ ذَلِكَ فِي الْفَضَاءِ، فَإِذَا كَانَ بَيْنَكَ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ شَيْءٌ يَسْتُرُكَ فَلَا بَأْسَ»
Daripada
Marwan al-Asfar berkata: “Aku pernah melihat Ibnu Umar “parking” untanya
menghadap kiblat, lalu dia duduk dan buang air kecil dalam keadaan
menghadapnya, lalu Aku bertanya: "Wahai Abu Abd al-Rahman, bukankah hal
ini telah dilarang?" Dia menjawab: "Benar, akan tetapi hal itu
dilarang jika dilakukan di tempat terbuka, apabila antara dirimu dan kiblat ada
sesuatu yang menutupimu, maka itu tidaklah mengapa”.
Status
hadis: Hasan
PENJELASAN HADIS |
[1]
Hadis ini mengisahkan Ibn Umar telah kencing mengadap arah kiblat, tetapi dalam
keadaan dia mengadap ke arah kenderaannya, iaitu unta. Tindakan itu mendapat
teguran dari temannya. Namun, dia jelaskan bahawa yang dimaksudkan larangan
mengadap arah kiblat semasa qadha’ hajat itu jika di padang lapang. Jika ada
dinding atau sesuatu yang mengalang antara orang yang qadha’ hajat dan kiblat,
ia tidak termasuk maksud larangan.
[2]
hadis ini adalah penjelasan Ibn Umar, bukan perkataan atau perbuatan nabi saw.
hadis ini boleh dianggap sebagai MAWQUF secara lafaz, tetapi mengandungi maksud
MARFU’ dari sudut makna, kerana beberapa hujah berikut;
Pertama,
dalam hadis ke-12 nanti, akan dibawakan riwayat Ibn Umar juga bahawa dia lihat
nabi saw qadha’ hajat dalam keadaan mengadap kiblat.
Kedua,
dalam hadis ini, disebut نُهِيَ عَنْ ذَلِكَ فِي الْفَضَاءِ – iaitu, dilarang
demikian itu; perkataan DILARANG itu kata perbuatan dalam bentuk pasif. Walaupun
tidak disebut siapa yang melarang, tetapi tersirat disebalik maksudnya adalah penafsiran
dia terhadap apa yang dia faham dari Nabi saw.
HUBUNGAN HADIS |
Dalam
hadis ke-10, dijelaskan bahawa nabi saw melarang mengadap kiblat semasa qadha’
hajat.
Dalam
hadis ke-11 ini pula, dijelaskan bahawa Ibn Umar mentakhsiskan hadis ke-10
dengan menganggap bahawa larangan mengadap kiblat semasa qadha’ hajat itu jika
di padang lapang. Namun, jika dalam bangunan atau ada penghalang antara orang
yang qadha’ hajat dan kiblat, seperti dinding, atau kenderaan atau sebagainya;
ia tidak termasuk maksud larangan.
PENGAJARAN |
MENGADAP
KIBLAT SEMASA QADHA’ HAJAT KETIKA DALAM BANGUNAN
Ada
khilaf ulama dalam hal ini seperti berikut:
PERTAMA:
HARUS
Ini
adalah pendapat Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali.
Dalam
hujahan mereka, yang dikatakan larangan mengadap kiblat semasa qadha’ hajat dalam hadis-hadis yang lepas (hadis ke-10, hadis ke-9, hadis ke-8 dan hadis ke-7) adalah jika di padang lapang. Namun, tidak termasuk dalam maksud larangan jika dalam bangunan.
KEDUA:
MAKRUH
Ini
adalah pendapat Mujahid, Nakhaie dan Abu Hanifah.
Dalam
hujahan mereka, tujuan larangan mengadap kiblat semasa qadha’ hajat adalah hormati
kiblat, yang sudah pasti bukan ketika di padang lapang sahaja, bahkan dalam
bangunan pun perlu juga hormati kiblat.
BIOGRAFI PERAWI |
[1]
MUHAMMAD BIN YAHYA ABDULLAH BIN KHALID BIN FARIS BIN ZUAIB AL-ZAHLI (172H-258H)
مُحَمَّدُ بْنُ
يَحْيَى بن عبد الله بن خالد بْنِ فَارِسٍ بن ذؤيب الذهلي
Dilahirkan di Naisabur
dan meninggal di Khurasan. Dia pernah sampai ke Basrah, Baghdad, Mekah, Yaman,
syam dan mesir.
Abu Bakar bin Abi daud
menggelarkan dia sebagai Amirul Mukminin dalam hadis. Al-Zahabi pula kata, dia
adalah imam ahli hadis di Khurasan.
Dia tidak pernah berjumpa dengan
Yahya bin Sa’id al-Qattan. Dia menyatakan, semasa dia sampai di Basrah, dia
dapati orang sedang sebuk mengurus jenazah Yahya untuk dikebumikan.
Dia menghimpunkan banyak
riwayat-riwayat hadis yang diketahui oleh al-Zuhri sehingga dia ada mengarang
kitab bertajuk “Ilal Hadis al-Zuhri”. Kemahiran dia berkenaan al-Zuhri diakui
oleh Ahmad bin Hanbal.
al-Hakim mengatakan bahawa dia adalah
guru Imam al-Bukhari (hadis no: 7155).
Disamping Abu
Daud, dia juga guru Imam al-Tarmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah.
[2]
SAFWAN BIN ISA AL-QURASHI AL-ZUHRI AL-BASRI (198H)
صَفْوَانُ بْنُ
عِيسَى القرشي الزهري البصري
Dilahir di Basrah dan meninggal di tempat yang sama.
Menurut al-Zahabi, dia adalah rijal kutub al-Sittah.
Namun, didapati al-Bukhari meriwayatkan hadisnya secara ta’liq sahaja.
[3] ABU SALAMAH AL-HASAN BIN ZAKWAN AL-BASRI
ابو سلمة الْحَسَنِ
بْنِ ذَكْوَانَ البصري
Yahya pernah kata, dia adalah mungkar al-Hadis. Ahmad
bin Hanbal dan Zakaria bin Yahya al-Saji kata, hadis-hadisnya batil. Al-Nasaie,
Abu Hatim al-Razi, Abu Zur’ah al-Razi dan al-Daraqutni mengatakan dia Doif. Ibn
Hajar al-Asqalani kata, dia seorang mudallis hadis yang al-Iraqi menyebut
bahawa individu yang dia tadliskan itu adalah Amru bin Khalid. Abu Daud
menyatakan bahawa dia adalah berfahaman Qadariyyah. Turut mengakui perkara yang
sama adalah Ibn Hajar al-Asqalani.
Namun begitu, terdapat satu hadis riwayatnya yang
diambil oleh al-Bukhari, iaitu dalam kitab al-Riqaq seperti berikut;
حَدَّثَنَا
مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنِ الحَسَنِ بْنِ ذَكْوَانَ، حَدَّثَنَا أَبُو
رَجَاءٍ، حَدَّثَنَا عِمْرَانُ بْنُ حُصَيْنٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، عَنِ
النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «يَخْرُجُ قَوْمٌ مِنَ
النَّارِ بِشَفَاعَةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَدْخُلُونَ
الجَنَّةَ، يُسَمَّوْنَ الجَهَنَّمِيِّينَ»
“satu kaum akan keluar dari neraka dengan syafaat Nabi Muhammad.
Mereka pun masuk ke syurga. Mereka digelar sebagai “al-Jahanamiyyin” (al-Bukhari,
hadis no: 6566)
[4] ABU KHALAF MARWAN AL-ASFAR BIN KHAQAN AL-BASRI
ابو خلف مَرْوَانَ
الْأَصْفَرِ بن خاقان البصري
Tabiin dari Basrah. Dalam al-Bukhari, dikatakan dia
ambil hadis dari Anas bin malik dan Ibn Umar.
Dia adalah salah seorang perawi yang disenaraikan oleh
Ibn Hibban dalam kitab al-Siqat. Dia juga adalah rijal al-Bukhari, Muslim, Abu
Daud dan Tarmizi.
[5] ABDULLAH BIN UMAR (10SH-73H)
عبدالله ابْنَ عُمَرَ
Dia
adalah anak kepada Saidina Umar bin al-Khattab yang terkenal dengan periwayatan
hadis serta kafaqihan ilmu. Dilahirkan di Mekah dan mati di Mekah juga.
Adik
beradik si ibu sebapa dengan Hafsah (isteri Nabi saw) yang nama ibunya ZAINAB
BINTI MAZ’UN.
Antara
sahabat yang banyak mengeluarkan fatwa dan banyak riwayatkan hadis.
Masuk
islam semasa di mekah, bersama dengan bapanya, Saidina Umar.
Awal
terlibat perang adalah perang Khandaq yang ketika itu berumur 15 tahun. Sebelum
itu tidak berperang, kerana Nabi tidak izin ekoran umurnya terlalu muda.
Dia
meninggal pada era Hajjaj Yusuf al-Saqafi yang Hajjaj turut menunaikan solat
jenazahnya.
Dikatakan
badannya agak gemuk dan kepalanya botak. Dia suka pakai wangian. Cincinnya
tertulis Namanya “Abdullah bin Umar”.
Jawatan-jawatan
yang ditawarkan dan dia tolak adalah jawatan qadhi pada era Osman dan jawatan Gabenor
di Syam pada era Ali.
PERBAHASAN SANAD |
Ada
tiga pendapat ulama berkenaan status hadis ini.
PERTAMA:
DOIF
Ini
adalah pendapat AL-ARNAUT. Alasan beliau adalah pada perawi yang bernama
AL-HASAN BIN ZAKWAN yang kritikan terhadapnya amat banyak dan sukar untuk dipertahankan.
KEDUA:
SAHIH
Ini
adalah pendapat AL-HAKIM yang disokong oleh AL-ZAHABI. Alasannya, ia sahih
mengikut syarat al-Bukhari, iaitu semua perawi-perawi hadis ini adalah rijal
al-Bukhari, termasuk AL-HASAN BIN ZAKWAN.
KETIGA:
HASAN
Ini
adalah pendapat ALBANI. Beliau simpulan begitu dengan alasan berikut;
[a]
al-Munziri diam berkenaan status hadis ini. Bermakna, berkemungkinan al-Munziri
tidak menolak hadis ini.
[b]
al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani kata dalam kitab al-Fath bahawa sanadnya tidak
ada masalah.
[c]
al-Hazimi mengatakan, hadis ini hasan.
[d]
al-Daraqutni kata, semua perawi hadis ini siqah.
Namun
begitu, kritikan terhadap hadis ini semuanya bermuarakan dari perawi bernama AL-HASAN BIN ZAKWAN. Walaupun kritikan terhadapnya amat kuat, tetapi tidak semua ulama
hadis menolak riwayatnya dengan alasan berikut;
[a]
al-Zahabi menganggap bahawa al-Hasan sebagai soleh al-Hadis.
[b]
al-Bukhari ada bawakan satu hadis riwayat al-Hasan (hadis no: 6566)
[c]
Ibn Hajar dalam pada mengatakan dia melakukan kesalahan, tetapi tetap akui
bahawa dia Soduq.
Melihat
kepada alasan-alasan ini, ALBANI tidak mendoifkan hadis ini sepertimana
AL-ARNAUT, bahkan tidak mengambil pendekatan AL-HAKIM yang mengatakan sahih
kerana mengambil kira kritikan ramai ulama hadis terhadap AL-HASAN BIN ZAKWAN. Justeru,
ALBANI simpulkan hadis ini sebagai HASAN.
Apatah lagi,
hadis ini ada SYAWAHID, iaitu melibatkan sahabat Nabi bernama JABIR BIN ABDILLAH
dalam hadis ke-13 akan datang dan ada MUTABA-AH MAKNA, iaitu pada hadis ke-12
nanti.
TAKHRIJ |
Ibn
Jarud (al-Muntaqa: 32), Ibn Khuzaimah (60), Al-Daraqutni (161), Ibn Syahin
(nasikh al-hadis: 84), Al-Hakim (1/154), Al-Baihaqi (1/92).
No comments:
Post a Comment