BAB 11 |
بَابُ
الِاسْتِبْرَاءِ مِنَ الْبَوْلِ
“MENJAGA KEBERSIHAN SETELAH KENCING”
HADIS 20 |
حَدَّثَنَا زُهَيْرُبْنُ حَرْبٍ وَهَنَّادُ بْنُ السَّرِيِّ قَالَا: حَدَّثَنَا وَكِيعٌ حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ قَالَ: سَمِعْتُ مُجَاهِدًا
يُحَدِّثُ عَنْ طَاوُسٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: مَرَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى قَبْرَيْنِ، فَقَالَ: "إِنَّهُمَا
يُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا هَذَا فَكَانَ لَا
يَسْتَنْزِهُ مِنَ الْبَوْلِ، وَأَمَّا هَذَا فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ،
ثُمَّ دَعَا بِعَسِيبٍ رَطْبٍ فَشَقَّهُ بِاثْنَيْنِ، ثُمَّ غَرَسَ عَلَى هَذَا
وَاحِدًا، وَعَلَى هَذَا وَاحِدًا، وَقَالَ: لَعَلَّهُ يُخَفَّفُ عَنْهُمَا مَا
لَمْ يَيْبَسَا"
Nabi melintasi di dua
kuburan lalu bersabda: "Sesungguhnya keduanya sedang diazab, dan keduanya
tidak diazab kerana dosa besar. Adapun yang ini, dia tidak bersih dari kencing,
sedangkan yang ini, kerana dia berjalan dengan namimah (batu api)"
Kemudian baginda
menyuruh seseorang mengambil pelepah tamar yang basah, lalu dibelah menjadi
dua, kemudian baginda menanamkannya pada kuburan ini dan menanamkan satunya
pada kuburan yang satu lagi, dan baginda pun bersabda: "Semoga ia dapat
meringankan keduanya selama ia belum kering”
PERBAHASAN LAFAZ |
[1] Dalam hadis, ada disebut perkataan النميمة yang diterjemahkan sebagai
mengumpat. Menurut al-Arnaut, maksud al-Namimah adalah:
النميمة هي نقل
كلام الناس بقصد الإضرار والإفساد
“Menukilkan perkataan manusia dengan tujuan untuk
memudharatkan serta merosakan orang lain”.
[2] Abu Daud ada buat penambahan maklumat seperti
berikut;
قَالَ هَنَّادٌ: يَسْتَتِرُ
مَكَانَ يَسْتَنْزِهُ
Hannad meriwayatkan dengan lafazh “yastatir”
(tertutup) pada tempat “yastanzih” (bersuci)
PENJELASAN: dalam matan hadis bab disebut لا يستنزه—“Tidak bersih”; itu dalam riwayat guru Abu Daud yang
bernama Zuhair. Namun, dalam riwayat Hannad, digunakan perkataan لا يستتر—“tidak tertutup”.
Menurut Ibn Daqiq al-‘Aid, lafaz لا يستتر dari sudut asal maknanya adalah tertutup dari kelihatan aurat.
Justeru, dalam riwayat Hannad ini memberi faham bahawa
orang yang tidak menjaga auratnya sehingga dilihat antara factor mendapat azab
kubur juga.
Namun, apabila dilihat pada tajuk bab yang dibuat oleh
Abu Daud adalah الِاسْتِبْرَاءِ مِنَ الْبَوْلِ—ini
bermaksud, Abu Daud lebih cenderung kepada riwayat dari gurunya yang bernama
Zuhair berbanding Hannad.
PENJELASAN HADIS |
[1] Hadis ini menceritakan bahawa Nabi saw ke tanah
perkuburan. Apabila sampai di tengah-tengah antara dua kubur, nabi saw terhenti
di situ seraya berkata bahawa individu dalam dua kubur ini diazab.
[2] Azab yang dikenakan kepada orang yang dalam kubur
ini adalah dosa yang besar, iaitu; satu, dosa tidak bersih dari kencing. Dua,
menjadi batu api untuk bagi orang berbalah dan bergaduh.
[3] Selepas Nabi saw dapati orang dalam kubur tersebut
diazab, makanya Nabi saw telah mengambil satu pelepah tamar. Nabi pun
membelahnya menjadi dua. Kedua-dua belah pelepah tamar itu dipacak pada dua
kubur.
[4] Selepas Nabi saw pacak, baginda pun berdoa dengan
berharap semoga kedua-dua orang dalam kubur ini dikurangkan azab selama pelepah
tamar itu belum kering lagi.
[5] Dari sudut konteks hadis, tidak diketahui secara
tepat kejadian yang melibatkan Nabi ini berlaku di waktu bila.
Walaubagaimana pun, kisah ini diriwayatkan oleh Ibn
Abbas yang memeluk Islam pada tahun ke-7 hijrah dan datang ke Madinah selepas
dari Fath Makkah (tahun 8 Hijrah), sedangkan Nabi wafat pada tahun 11 hijrah.
Justeru, boleh dianggarkan bahawa kemungkinan berhampiran dengan
waktu wafat Nabi.
HUBUNGAN HADIS |
Dalam hadis ke-19, dijelaskan bahawa sebarang unsur
yang ada zikrullah sama ada bertulis atau dibaca, ia perlu dielak ketika masuk
ke tempat qadha’ hajat.
Pada hadis ke-20 ini pula, tidak bersih dari najis
ketika solat boleh menyebabkan azab kubur.
PENGAJARAN |
[1] DOSA BESAR ATAU TIDAK?
Dalam matan hadis Abu Daud ini, kelihatan dua
kesalahan ini seperti bukan dosa besar. Pun begitu, mereka tetap mendapat azab
dalam kubur.
Hal ini sudah nampak seperti agak kontradik. Justeru,
hal ini perlu dianalisa dengan lebih mendalam.
Apabila diteliti pada hadis yang sama dalam beberapa riwayat
yang lain, didapati dosa tersebut adalah dosa besar.
Berikut beberapa riwayat yang dimaksudkan;
Pertama: al-Imam al-Bukhari, membuat satu bab
berkaitan dengan ini dengan kata al-Bukhari:
باب من الكبائر
أن لا يستتر من بوله
“bab berkenaan dosa-dosa besar bahawa tidak tertutup
dari kerana kencing”
Kedua:
al-Imam al-Bukhari membawakan hadis yang sama dengan matan agak berbeza sedikit
berbanding hadis bab. Daripada Ibn Abbas berkata:
مَرَّ
النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَائِطٍ مِنْ حِيطَانِ المَدِينَةِ،
أَوْ مَكَّةَ، فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا،
فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يُعَذَّبَانِ، وَمَا
يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ» ثُمَّ قَالَ: «بَلَى، كَانَ أَحَدُهُمَا لاَ يَسْتَتِرُ
مِنْ بَوْلِهِ، وَكَانَ الآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ»
“Nabi melintasi satu kebun dari kebun-kebun penduduk
Madinah atau Mekah. Baginda pun mendengar suara dua orang yang sedang disiksa
dalam kubur mereka. Maka Nabi saw pun berkata: "Keduanya sedang disiksa,
dan tidaklah keduanya disiksa disebabkan suatu yang besar. Kemudian baginda
bersabda: Padahal itu adalah dosa besar. Yang satu disiksa kerana tidak bersuci
setelah kencing, sementara yang satunya lagi disiksa kerana suka mengadu domba
(batu api)” (al-Bukhari, hadis no: 216 dan 1378)
Ketiga: al-Imam al-Bukhari membawakan riwayat yang lain
yang juga menggambarkan ia dosa besar. Daripada ibn Abbas:
خَرَجَ
النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ بَعْضِ حِيطَانِ المَدِينَةِ،
فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا، فَقَالَ:
«يُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، وَإِنَّهُ لَكَبِيرٌ، كَانَ
أَحَدُهُمَا لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ، وَكَانَ الآخَرُ يَمْشِي
بِالنَّمِيمَةِ»
Nabi saw keluar dari salah satu kebun yang ada di
Madinah, lalu baginda mendengar suara dua orang yang sedang disiksa dalam kubur
masing-masing. Setelah itu baginda
bersabda: "Tidaklah keduanya disiksa kerana dosa besar namun hal
itu adalah perkara yang besar; salah satu darinya adalah tidak bersuci dari
kencingnya sedangkan yang satu lagi selalu mengadu domba (batu api)"
(al-Bukhari, hadis no: 6055)
Keempat: terdapat hadis bahawa nabi saw ada menyatakan
azab kubur dari kerana kencing. Daripada Anas bin Malik berkata bahawa nabi saw
bersabda:
تنزهوا من البول فإن
عامة عذاب القبر من البول
“bersihkan
dari kencing. Hal ini kerana, kebiasaan azab kubur itu dari kerana kencing”
(al-Baihaqi kata, hadis ini mahfuz lagi mursal)
KESIMPULAN
Dari segala
hadis yang dikemukakan ini dapat disimpulkan bahawa amalan batu api dan tidak
jaga kebersihan pada pakaian dengan najis seperti kencing adalah dosa besar
yang menyebabkan pelakunya boleh diazab dalam kubur. Apatah lagi, mudharat batu
api lebih besar berbanding mengumpat, walhal dosa mengumpat itu ada disebut
dalam al-Quran:
-
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ
إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ
أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ
اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ (12) – الحجرات
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan
dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu
mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah
kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan
daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah
tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang
tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima
taubat, lagi Maha mengasihani”
[2] HUKUM LETAK PELEPAH TAMAR PADA KUBUR
Berlaku khilaf dalam kalangan ulama berkenaan hukum
meletakkan pelapah tamar pada sesuatu kubur.
PERTAMA: DIBOLEHKAN SEBAB IKUT NABI
Mereka berpendapat bahawa meletakkan pelepah tamar
pada kubur adalah dibolehkan hanya kerana ia pernah dilakukan oleh Rasulullah
saw.
Imam al-Ramli menyatakan dalam kitab Nihayah
al-Muhtaj:
ويستحب وضع الجريد الأخضر على القبر للاتباع أي: اتباع الرسول
صلى الله عليه وسلم في ذلك
“digalakkan meletakkan
pelepah tamar yang masih hijau atas kubur kerana ittiba’; iaitu mengikut
Rasulullah saw dalam hal demikian itu.
Dalam kitab Sahih al-Bukhari, ada disebut;
وَأَوْصَى بُرَيْدَةُ
الأَسْلَمِيُّ: «أَنْ يُجْعَلَ فِي قَبْرِهِ جَرِيدَانِ»
“Buraidah
al-Aslami memberikan wasiat bahawa diletakkan pada kuburnya dua pelepah tamar”
Menjadi
kebiasaan bagi imam al-Bukhari bahawa beliau cenderung kepada sesuatu pendapat,
beliau akan nukilkan amalan salaf soleh pada terjemah bab.
KEDUA: DIBOLEHKAN SEBAB PELEPAH TAMAR BERZIKIR
Pada pendapat ini pula, mereka menyatakan bahawa
meletakkan pelepah tamar di kubur itu ada khasiatnya tersendiri; iaitu dengan
kepercayaan bahawa pelepah tamar yang masih hijau—belum kering itu, hakikatnya
ia sedang berzikir.
Kata Ibn Hajar al-Haitsami dalam kitab Tuhfah
al-Muhtaj:
يُسَنّ وضع جريدة خضراء على القبر للاتباع وسنده صحيح ؛ ولأنه
يخفف عنه ببركة تسبيحها إذ هو أكمل من تسبيح اليابسة لما في تلك من نوع حياة
“Digalakkan meletak pelepah tamar yang masih hijau
atas kubur kerana ittiba’ (ikut Nabi saw). Dan sandarannya adalah sahih. Ia
juga dapat meringankan (azab) dengan sebab keberkatan tasbih pelepah tamar
tersebut. Hal in kerana, tasbih pelepah tamar yang basah itu lebih sempurna
berbanding pelepah tamar yang basah kerana ia juga salah satu jenis hidup”
KETIGA: KHUSUS UNTUK NABI SAHAJA
Pendapat yang ketiga pula menyatakan bahawa amalan
pacak pelepah tamar yang dapat mengurangkan azab, itu hanya khusus untuk nabi
Muhammad saw. Ini adalah pendapat al-Imam al-Khattabi.
Antara hujah yang dikemukakan adalah seperti berikut;
SATU: kalau pelepah tamah basah, maka ia berzikir, ia
bercanggah dengan ayat al-Quran yang sebut, semua makhluk berzikir.
Firman Allah:
تُسَبِّحُ لَهُ
السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا
يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ
حَلِيمًا غَفُورًا (44) – الإسراء
“Langit
yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap
tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya;
akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha
Penyabar, lagi Maha Pengampun”
PENJELASAN: al-Quran menjelaskan bahawa semua makhluk
yang ada di bumi dan di langir berzikir bertasbih, tanpa dibataskan yang masih
hijau sahaja. dalam erti kata yang lain, pelepah tamar yang kering pun turut
berzikir kepada Allah.
Jika dikatakan pelepah tamar yang masih hijau sahaja
berzikir, ini sudah bercanggah dengan firman Allah ini yang menyebut bahawa
semua makhluk tanpa dibataskan kering atau basah bahawa berzikir kepada Allah.
Justeru, dakwaan mengatakan pelepah tamar yang basah
(masih hijau) sahaja yang berzikir yang dengan itu dikurangkan azab adalah
tidak tepat.
DUA: Apabila semua berzikir, tidak kira pelepah tamar
hijau atau kering, maka ini dapat difahami bahawa amalan pacak pelepah tamar
itu adalah khususiyyah al-Nabi saw.
Hujahnya adalah seperti berikut;
Dalam hadis, ada dijelaskan bahawa manusia tidak dapat
mendengar suara orang yang sudah mati.
Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Nabi saw ada
bersabda:
إِذَا وُضِعَتِ الجِنَازَةُ،
وَاحْتَمَلَهَا الرِّجَالُ عَلَى أَعْنَاقِهِمْ، فَإِنْ كَانَتْ صَالِحَةً،
قَالَتْ: قَدِّمُونِي، وَإِنْ كَانَتْ غَيْرَ صَالِحَةٍ، قَالَتْ: يَا وَيْلَهَا
أَيْنَ يَذْهَبُونَ بِهَا؟ يَسْمَعُ صَوْتَهَا كُلُّ شَيْءٍ إِلَّا الإِنْسَانَ،
وَلَوْ سَمِعَهُ صَعِقَ"
“apabila jenazah sudah diletakkan, dan para lelaki
sudah menanggung jenazah atas tengkok mereka (untuk bawa ke kubur). Ketika itu,
Jenazah itu jika dia orang baik, dia akan berkata: segerakan aku. Jika dia
bukan orang baik, dia akan kata: Wahai kecelakaan, mereka mahu bawa aku ke
mana? Suaranya itu didengari oleh semua perkara kecuali manusia sahaja. andai
manusia dengar, sudah pasti mereka akan pengsan” (al-Bukhari, hadis no: 1314)
PENJELASAN: hadis ini memberitahu bahawa manusia tidak
dapat mendengar suara orang mati, sedangkan dalam hadis bab, bahawa Nabi saw
mendengar suara orang dalam kubur. Ini sudah pasti, khususiyyat Nabi saw.
Ini dikuatkan lagi dengan hadis riwayat Muslim yang
secara jelas nabi saw memberitahu bahawa baginda mahu memberi syafaat kepada
orang dalam kubur terbabit.
إِنِّي
مَرَرْتُ بِقَبْرَيْنِ يُعَذَّبَانِ، فَأَحْبَبْتُ، بِشَفَاعَتِي، أَنْ يُرَفَّهَ
عَنْهُمَا، مَا دَامَ الْغُصْنَانِ رَطْبَيْنِ
“Aku melintasi di dua kubur yang kedua-duanya diazab.
Aku amat berharap syafaat aku dapat mengurangkan terhadap kedua-duanya selama
dahan kayu ini masih basah” (muslim, hadis no: 3012)
Dari hujah-hujah ini, al-Khattabi simpulkan bahawa
maksud dikurangkan azab selama pelepah tamar itu belum kering itu adalah tabarruk
dan doa Nabi saw, bukan kerana pelepah tamar yang basah itu berzikir.
[5] BACA AL-QURAN DI KUBUR UNTUK KURANGKAN AZAB
PENDAPAT PERTAMA: MEMBACA AL-QURAN DI KUBUR DAPAT
KURANGKAN AZAB
Kata al-Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim:
واستحب
العلماء قراءة القرآن عند القبر لهذا الحديث؛ لأنه إذا كان يرجى التخفيف بتسبيح
الجريد فتلاوة القرآن أولى والله أعلم
“Ulama menggalakkan membaca al-Quran di samping
kubur dengan sebab hadis ini, kerana apabila diharapkan ringan azab dengan
sebab tasbih pelepah tamar, justeru bacaan al-Quran adalah lebih diharapkan
lagi (diringankan azab).
Demikian juga, kata Qadhi Iyyadh dalam
kitab Ikmal al-Muallim:
أخذ
العلماء من هذا استحباب قراءة القرآن على الميت لأنه إذا خٌفِّف عنه بتسبيح الجريدتين
وهما جماد، فقراءة القرآن أولى
“Ulama mengambil dari ini bahawa digalakkan
membaca al-Quran terhadap mayat kerana apabila ia dapat mengurangkan azab
dengan sebab tasbih dua belahan pelepah tamar, walhal kedua-duanya jamad, maka
membaca al-Quran terlebih lagi boleh mengurangkan azab”.
Abu Bakar bin al-Khallal berkata dalam kitab al-Qiraah
‘Ala al-Qubur bahawa Al-Hasan bin al-Sobbah al-Za’farani berkata:
سألت
الشافعي عن القراءة عند القبر فقال: لا بأس به
“Aku tanya Imam al-Syafie berkenaan membaca
(al-Quran) di samping kubur. Jawab al-Syafie: tidak mengapa”
Dalam kitab al-Roh, al-Imam Ibn al-Qayyim ada berkata:
وقد ذكر
عن جماعة من السلف أنهم أوصوا أن يٌقرَأ عند قبورهم وقت الدفن.
“Disebut dari Jemaah dari kalangan salaf bahawa
mereka memberi wasiat agar dibacakan al-Quran di samping kubur mereka—di saat
berlaku pengkebumian”
Dalam kitab yang sama, dinukilkan perkataan Abdul
Haq al-Isybili:
يروى أن
عبد الله بن عمر أمر أن يقرأ عند قبره سورة البقرة، وكان الإمام أحمد ينكر ذلك
أولاً حيث لم يبلغه فيه أثر ثم رجع عن ذلك.
“Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Umar menyuruh
bahawa dibacakan Surah al-baqarah di samping kuburnya. Dahulu, Imam Ahmad
ingkar maklumat itu tidak sampai kepadanya. Apabila sampai, dia pun rujuk
pendapatnya”
Antara hujah-hujah bagi pendapat ini adalah
seperti berikut;
PERTAMA: Tidak dinafikan bahawa tidak
ada satu nas yang sarih menyatakan bahawa bacaan al-Quran dapat mengurangkan
azab orang dalam kubur.
Namun
begitu, Konsep kurang azab dengan sebab syafaat Nabi sememangnya ada. Hal ini
melihat kepada dikurangkan azab terhadap Abu Talib.
Dalil
satu: daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah saw ada bersabda:
أَهْوَنُ أَهْلِ
النَّارِ عَذَابًا أَبُو طَالِبٍ، وَهُوَ مُنْتَعِلٌ بِنَعْلَيْنِ يَغْلِي
مِنْهُمَا دِمَاغُهُ
“Seringan azab
ahli neraka adalah Abu Talib. Dia pakai sepatu dengan dua sepatu, lalu dengan
sebab dua sepatu itu, otaknya bergelegak” (Muslim, hadis 212)
Dalil dua: Hadis
daripada al-Nu’man bin Basyir bahawa dia mendengar Rasulullah saw bersabda:
إِنَّ أَهْوَنَ أَهْلِ
النَّارِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَرَجُلٌ تُوضَعُ فِي أَخْمَصِ قَدَمَيْهِ
جَمْرَتَانِ، يَغْلِي مِنْهُمَا دِمَاغُهُ
“Azab yang
paling ringan untuk ahli neraka pada hari kiamat nanti adalah lelaki yang diletak
dua kakinya pada bara api; dengan sebab dua kaki itu, otaknya bergelegak”
(muslim, hadis no: 213)
Dalam hadis
daripada al-Abbas bin Abd al-Muttalib berkata bahawa dia bertanya kepada nabi
berkenaan Abu Talib. Jawab Nabi saw;
هُوَ فِي ضَحْضَاحٍ
مِنْ نَارٍ، وَلَوْلاَ أَنَا لَكَانَ فِي الدَّرَكِ الأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ
“Dia berada di
tepian neraka. Seandainya bukan kerana aku, dia tentu sudah berada di dasar
neraka” (al-Bukhari, hadis no: 3883)
ISTIDLAL:
Jika kurang azab terhadap orang bukan islam pun berlaku, sudah pasti kurang
azab terhadap muslim juga boleh berlaku.
Kedua,
terdapat dalil
bahawa azab akan dikurangkan dengan sebab doa orang hidup terhadap orang mati.
Antaranya
adalah semasa menunaikan solat jenazah, diajar agar mendoakan terhadap si mati.
Dalam hadis—daripada Auf bin malik berkata:
Antaranya
adalah semasa menunaikan solat jenazah, diajar agar mendoakan terhadap si mati.
Dalam hadis—daripada Auf bin malik berkata:
صَلَّى رَسُولُ
اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى جَنَازَةٍ، فَحَفِظْتُ مِنْ
دُعَائِهِ وَهُوَ يَقُولُ: «اللهُمَّ، اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ
عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ
وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ
الْأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلًا
خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ
وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ - أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ -» قَالَ:
«حَتَّى تَمَنَّيْتُ أَنْ أَكُونَ أَنَا ذَلِكَ الْمَيِّتَ»
Rasulullah saw menunaikan solat terhadap satu jenazah.
Aku hafal doa baginda itu, iaitu baginda berdoa: Ya
Allah, ampunilah dosa-dosanya, kasihanilah ia, lindungilah ia dan maafkanlah
ia, muliakanlah tempat kembalinya, lapangkan kuburnya, bersihkanlah ia dengan
air, salji, dan air yang sejuk. Bersihkanlah ia dari segala kesalahan, sebagaimana
Engkau telah membersihkan pakaian putih dari kotoran, dan gantilah rumahnya -di
dunia- dengan rumah yang lebih baik -di akhirat- serta gantilah keluarganya -di
dunia- dengan keluarga yang lebih baik, dan pasangan di dunia dengan yang lebih
baik. Masukkanlah ia ke dalam syurga-Mu dan lindungilah ia dari siksa kubur
atau siksa api neraka)." (Aku mendengar itu) sehingga aku merasakan
seandainya aku sudah menjadi mayat”
ISTIDLAL:
Kalau mendoakan kepada si mati adalah sia-sia, masakan ia diajar oleh Nabi saw.
Ini bermakna, mendoakan kepada si mati agar dikurangkan azab itu boleh berlaku,
termasuk bertabarruk dengan al-Quran semasa berdoa terhadap si mati.
PENDAPAT
KEDUA: TIDAK ADA KONSEP BACA AL-QURAN DI SAMPING KUBUR
Ini
adalah pendapat Abu Hanifah, Mazhab Maliki, Ibn Taimiyyah dan sebagainya.
Antara
dalil-dalil mereka adalah seperti berikut;
PERTAMA:
daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda:
لَا تَجْعَلُوا
بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي
تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
“Jangan kamu
jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Hal ini kerana Syaitan akan lari dari
rumah yang dibacakan surah al-Baqarah” (Muslim, hadis no: 780)
ISTIDLAL: Nabi
saw larang jadikan rumah sebagai kubur. Lalu dijelaskan, perbezaan antara kubur
dan rumah adalah, rumah itu dibacakan al-Quran. Makanya, tidak ada membaca
al-Quran di kubur.
KEDUA: Fiman Allah:
أَلَّا تَزِرُ
وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى (38) وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى (39) – النجم
Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak
akan memikul dosa perbuatan orang lain * Dan bahawa sesungguhnya tidak ada
(balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”
BIOGRAFI PERAWI |
[6] ZUHAIR BIN HARB (160H-234H)
زُهَيْرُ بْنُ
حَرْبٍ
Lihat hadis ke-14
[6] HANNAD BIN AL-SARIY (152H-243H)
هَنَّادُ بْنُ
السَّرِيِّ
Nama penuhnya, HANNAD BIN AL-SARIY BIN MUS’AB BIN ABI
BAKAR SYIBR AL-TAMIMI AL-DARIMI. Ulama kufah ini adalah pengarang kitab
“AL-ZUHD”.
Dia kuat beribadat dan tidak berkahwin sehingga dia
mendapat gelaran “rahib al-Kufah”.
Menurut Ahmad bin Salamah al-Naisaburi, Hannad ini
orang yang kuat menangis. Ibn Salamah bercerita berkenaan pengalaman
peribadinya bahawa dia menunaikan solat Asar bersama dengan Hannad secara
berjemaah, ketika itu dia mengangkat suaranya semasa membaca al-Quran sambil
dia menangis. Selepas itu, dia mengambil Mashaf dan membaca al-Quran sehingga
maghrib.
Ibn Salamah berkata lagi: ini ibadat dia pada waktu
siang hari, bagaimana pula dengan ibadatnya pada waktu malam?
Hannad adalah guru kepada Imam Muslim, Abu Daud, Tarmizi,
Nasaie dan Ibn Majah. Hanya al-Imam al-Bukhari sahaja bukan murid kepada
Hannad.
Hannad adalah perawi siqah lagi sahih.
[5] WAKI’ BIN
AL-JARRAH (129H-197H)
وَكِيعٌ بن
الجراح
Lihat hadis ke-5 dan
14.
[4] SULAIMAN BIN MIHRAN AL-A’MASH (61H-148H)
سليمان بن مهران الْأَعْمَشُ
Lihat
hadis 7 dan 14
[3] MUJAHID BIN JABAR (21H-140)
مُجَاهِد ابن جبر (حبير)
Tabiin hebat ini dipanggil dengan gelaran Abu al-Hajjaj
al-Makhzumi.
Nama bapanya, ada yang baca dengan JABAR dan ada baca
dengan JUBAIR.
Mujahid ini terkenal dalam bidang ilmu tafsir dan Qiraat.
Disamping itu, dia juga alim dalam bidang hadis dan fiqh.
Kemahiran dia dalam bidang tafsir al-Quran,
sehinggakan al-Imam al-Sauri pernah berkata: “ambilah tafsir dari empat orang;
Mujahid, Sa’id bin Jubair, Ikrimah dan al-Dahhak”.
Bahkan, dia ada kitab tafsir sendiri yang bertajuk: “Tafsir
Mujahid”.
Dia dilahirkan di Mekah di era Saidina Umar menjadi
khalifah, dan meninggal di tempat yang sama.
Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah, serta seorang
perawi siqah lagi sahih.
[2] TAWUS BIN KAISAN AL-YAMANI (12H-106H)
طَاوُسٍ بن كيسان اليماني
Abu Abdul Rahman Tawus bin Kaisan al-Yamani ini adalah
perawi hadis yang dilahirkan di Yaman semasa era Umar menjadi khalifah
(ada kata: di era Khalifah Osman bin Affan). Dia meninggal di Mina. Ada kata di
Muzdalifah.
Menurut
Ibn Abi Hatim dalam kitab al-Siqat bahawa ibunya berasal dari Farsi, sedangkan
bapanya dari keturunan Yaman, iaitu dari keturunan al-Himyar. Ada pula dakwa, bapanya
dari keturunan al-Hamdani, tetapi bapanya bekas kepada hamba kepada Buhair
al-Himyari. Nama sebenar bapanya al-Namr bin Qasit.
Menurut
Ibn al-Jawzi dalam al-Alqab bahawa nama sebenarnya dalah Zakwan, sedangkan
Tawus adalah gelarannya.
Dia
bukan sekadar terkenal dengan ilmu, bahkan terkenal ketaqwaan dan ahli ibadat.
Menurut
Abdul Mun’im bin Idris, daripada bapanya bahawa Tawus menunaikan solat Subuh
dengan wudu’ solat isyak; amalan harian itu dilakukan selama 40 tahun. Bahkan, menurut
al-Lais bahawa semasa dia sakit yang membawa kepada kematiannya, dia menunaikan
solat dalam keadaan berdiri.
Dia
salah seorang tabiin yang sempat berjumpa dengan beberapa orang sahabat nabi, seperti Aisyah, Zaid bin Arqam, Abu Hurairah,
Jabir bin Abdillah, Suraqah bin malik, Sufwan bin Umayyah, Ibn Omar dan Ibn
Abbas. Malah, dikatakan bahawa dia sempat berjumpa dengan 50 orang sahabat
nabi.
Namun
begitu, sahabat nabi yang paling lama dia bermulazamah adalah Ibn Abbas.
Dia
juga terkenal sebagai salah seorang ulama fiqh di era Tabiin (Fuqaha’ al-Tabiin).
Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah, serta perawi yang
siqah lagi sahih.
[1]
ABDULLAH BIN ABBAS (3SH-68H)
عبد الله ابْنِ عَبَّاسٍ
Lihat hadis ke-3.
PERBAHASAN SANAD |
[1]
SANAD ABU DAUD
حَدَّثَنَا
زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ، وَهَنَّادُ بْنُ السَّرِيِّ، قَالَا: حَدَّثَنَا وَكِيعٌ،
حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ، قَالَ: سَمِعْتُ مُجَاهِدًا، يُحَدِّثُ عَنْ طَاوُسٍ،
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ
[2] STATUS HADIS: SAHIH
(A)
Semua
rijalnya siqah.
(B)
Sanadnya
ikut syarat al-Bukhari dan Muslim.
(C)
Al-Bukhari,
Muslim dan Abu ‘Awanah turut riwayatkan hadis ini dalam kitab sahih
masing-masing.
(D)
Imam
Muslim menganggap hadis ini sahih.
TAKHRIJ |
Al-Bukhari
(6052, 218, 1378), Muslim (292), Al-Tarmizi (70), Al-Nasaie (2207|al-Kubra:
27), Ibn Majah (347), Ibn Majah (387), Ahmad (1980), Ibn Hibban (sahih: 3128)
No comments:
Post a Comment