Monday, February 14, 2022

HADIS 3 (BAB 2)

 

 

BAB 2

 

بَابُ الرَّجُلِ يَتَبَوَّأُ لِبَوْلِهِ

“MENCARI TEMPAT KENCING”

 

HADIS 3

 

حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا حَمَّادٌ  أَخْبَرَنَا أَبُو التَّيَّاحِ قَالَ: حَدَّثَنِي شَيْخ قَالَ : لَمَّا قَدِمَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبَّاسٍ الْبَصْرَةَ، فَكَانَ يُحَدِّثُ عَنْ أَبِي مُوسَى، فَكَتَبَ عَبْدُ اللَّهِ إِلَى أَبِي مُوسَى يَسْأَلُهُ عَنْ أَشْيَاءَ، فَكَتَبَ إِلَيْهِ أَبُو مُوسَى: إِنِّي كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَأَرَادَ أَنْ يَبُولَ، فَأَتَى دَمِثًا فِي أَصْلِ جِدَارٍ فَبَالَ، ثُمَّ قَالَ: صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «إِذَا أَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يَبُولَ فَلْيَرْتَدْ لِبَوْلِهِ مَوْضِعًا»

Abu al-Tayyah berkata: “Telah menceritakan kepada kami Seorang Syaikh yang mana dia berkata: Tatkala Abdullah bin Abbas datang ke Basrah, ketika itu beliau menceritakan hadis nabi yang dia ambil dari Abu Musa; Abdullah menulis surat kepada Abu Musa dalam rangka bertanya kepadanya tentang beberapa hal. Maka Abu Musa menulis surat kepadanya (sebagai jawapan): (kandungan surat itu menyebut) sesungguhnya Aku pernah bersama Rasulullah saw pada suatu hari, lalu baginda ingin buang air kecil, baginda pun mendatangi tempat yang bertanah lembut yang berada di bawah dinding, kemudian baginda bersabda: "Apabila salah seorang dari kamu hendak buang air kecil, maka hendaklah dia mencari tempat yang bertanah lembut untuk kencingnya itu".


status hadis: hasan lighairih

PENJELASAN HADIS

 

[1] JALAN CERITA HADIS

 

Hadis ini menjelaskan berkenaan seorang sahabat Nabi bernama IBN ABBAS yang sampai di Basrah. Di situ, dia bercerita berkenaan seorang sahabat bernama ABU MUSA AL-ASY’ARI. Lalu, dia menulis surat kepada Abu Musa bertanya beberapa perkara yang dia tahu berkenaan Nabi saw. Makanya, Abu Musa pun membalas surat tersebut dengan menyebut pengalamannya bersama dengan nabi saw.

 

Dalam penceritaannya itu, dia menyatakan bahawa nabi saw mahu kencing. Sebelum itu, nabi saw mencari tempat yang sesuai sehingga nabi nampak di suatu tempat yang ada dinding di situ, dan ternyata tanah di bawah dinding itu tanahnya gembur. Di situ, nabi pun kencing.

 

Setelah nabi kencing, nabi pun memberi satu pesanan agar kencing, hendaklah cari tempat yang sesuai, iaitu terhindar dari air kencing merecik pada pakaian dan badan.

 

[2] LAFAZ HADIS

 

PERTAMA: Perkataan دمث dalam hadis ini bermakna tanah. Namun, tanah itu ada beberapa jenis seperti keras, lembut, bercampur dengan batu dan sebagainya.

 

Perkataan دمث dalam hadis ini adalah tanah yang tidak keras yang ia mudah meresap air—apabila dipancutkan air pada tanah tersebut, ia tidak menghasilkan percikan balas.

 

KEDUA: Perkataan فليرتد, asal maknanya adalah kembali balik. Perkataan murtad مرتد dari akar kata yang sama, ia memberi maksud orang yang telah kembali kepada agama asalnya yang pada zaman dahulu bahawa mereka tidak beragama islam yang memeluk islam, kemudian mereka murtad, iaitu keluar islam dan kembali kepada agama asal mereka.

 

Perkataan yang sama digunakan dalam matan hadis ini yang makna asalnya adalah “kembali semula” yang difahami dari maksud hadis ini adalah, air kencing merecik kena pada orang yang sedang kencing, sama ada kena pada pakaian, badan atau sebagainya.

 

HUBUNGAN HADIS

 

Hadis ke-2, dijelaskan bahawa ketika Nabi saw nak qadha’ hajat, baginda saw akan menjauhkan diri sehingga tidak ada seorang nampak aurat Nabi saw.

 

Hadis ke-3 ini pula, dijelaskan bahawa Nabi suruh mencari tempat yang sesuai semasa kencing.

 

Kesamaannya adalah, kedua-dua hadis ini menjurus kepada mencari tempat yang sesuai semasa qadha’ hajat. Cuma perbezaannya adalah, hadis ke-2 menjelaskan cari tempat qadha’ hajat yang orang tidak nampak aurat, sedangkan hadis ke-3, cari tempat yang sesuai dalam erti kata, jangan sampai kotoran najis qadha’ hajat itu kena pada badan dan pakaian.

 

PENGAJARAN

 

[1] PERLU MENCARI TEMPAT QADHA’ HAJAT YANG SESUAI

 

Semasa qadha’ Hajat, antara perkara yang perlu adalah dipastikan bahawa terhindar dari kelihatan aurat

 

Dalam erti kata yang lain, memastikan aurat tidak kelihatan bukan dalam keadaan biasa sahaja. hatta semasa sedang qadha’ hajat yang melibatkan aurat perlu dibuka pun, perlu dipastikan aurat tetap terjaga dari dilihat oleh manusia.

 

[2] HINDARI AIR KENCING MERECIK SEMASA KENCING

 

Hadis ini dijadikan hujah oleh al-Khattabi bahawa sunat kencing di tempat yang terhalang dari air kencing merecik pada pakaian. Justeru, perlu mencari tanah yang sesuai semasa kencing seperti tidak keras, berbatu dan sebagainya.

 

Dalam konteks sekarang, sudah ada tandas yang mempunyai lubang jamban yang sudah disediakan untuk qadha’ hajat. Di situ, boleh sahaja air kencing dan najis tahi terkena pada diri.

 

Semua itu perlu diambil sikap berhati-hati, iaitu perlu dipastikan agar najis terhindar dari terkena pada pakaian dan badan.

 

Secara tidak langsung, hadis ini sebagai penafsiran terhadap MANAT hadis nabi kencing berdiri dan duduk; iaitu, tidak mengapa kencing duduk dan berdiri, asalkan jangan sampai air kencing merecik pada pakaian dan badan (hal kencing duduk dan berdiri akan dibincakan dalam perbahasan akan datang).

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[1] ABU SALAMAH MUSA BIN ISMAIL AL-MUNGQIRI AL-BASARI AL-TABUZKI (223H)

أبو سلمة موسى بن إسماعيل المنقري البصري التبوذكي

 

Guru Imam Abu Daud ke-3 ini adalah guru juga kepada Imam al-Bukhari. Beliau adalah Rijal Imam Muslim, Imam Tarmizi dan Imam Ibn Majah.

 

Dia dilahirkan di awal pemerintahan Khalifah Abu Ja’afar al-Mansur. Beliau tinggal dan meninggal dunia di Basrah.

 

Hatim bin al-Lais al-Jawhari ada menyebut bahawa rambut dan janggutnya sentiasa kelihatan merah, kerana beliau selalu inaikan.

 

[2] HAMMAD BIN SALAMAH BIN DINAR (91H-167H)

ابو سلمة حمادٌ بن سلمة بن دينار البصري

 

Dia salah seorang rijal Imam Muslim, Imam Tarmizi, Imam Nasaie dan Ibn Majah. Imam Bukhari pula meriwayatkan hadis Hammad secara mutaba-ah dan ta’liq sahaja.

 

Beliau berasal dari Basrah dan meninggal di situ. Terkenal dalam bidang hadis serta bidang ilmu nahu.

 

Dari kalangan ulama rijal, mereka mengakui kesiqahannya. Namun, ada sedikit kritikan seperti berikut:

n   Ibn Hajar al-Asqalani dan al-baihaqi pernah kata bahawa di akhir umurnya, hafalannya berubah (Ikhtilat)

n  Al-Zahabi kata, dia mempunyai keluasan ilmu dan siqah, tetapi dia soduq yang buat silap dan waham terhadap apa yang dia riwayatkan.

n  Muhammad bin Sa’ad kata, dia siqah dan banyak riwayatkan hadis. Namun, kadangkala dia riwayatkan hadis mungkar.

n  Ya’qub bin Syaibah al-Sadusi kata, dia siqah, seorang lelaki soleh. Tetapi, ada beberapa riwayatnya ada idhtirab.

 

[3] ABU AL-TAYYAH YAZID BIN HUMAID AL-DHIB’I (128H)

أَبُو التَّيَّاحِ يزيد بن حميد الضبعي

 

Beliau juga salah seorang rijal al-Bukhari, Muslim, al-Nasaie, Ibn Majah dan Ahmad bin Hanbal.

 

Beliau berasal dari Basrah dan meninggal di Surakhs (Turkmenistan).

 

Berlaku perbezaan pendapat berkenaan tarikh kematiannya. Ada kata pada tahun 128H, dan ada kata pada tahun 130H.

 

[4] SYAIKH (MUBHAM)

شيخ

 

Dalam hadis ini, ada perawi MUBHAM yang akan disebut dalam perbahasan sanad nanti.

 

[5] SAHABAT: ABDULLAH BIN ABBAS (3SH-68H)

عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبَّاسٍ

 

Salah seorang sahabat Nabi yang terkenal, iaitu Abdullah bin Abbas atau sering diringkaskan dengan disebut Ibn Abbas.

 

Beliau adalah sepupu Nabi saw, iaitu bapanya adalah bapa saudara nabi saw yang bernama al-Abbas bin Abdul Muttalib.

 

Beliau dilahirkan di Mekah 3 tahun sebelum Nabi Hijrah ke Madinah.

 

Dia memeluk islam ketika dalam lingkungan tahun 7 hingga 8 hijrah, iaitu ketika hampir dengan sejarah pembukaan kota Mekah yang semasa sejarah itu tercetus, dia berada di Mekah.

 

Tidak lama dari itu, dia berhijrah ke Madinah bersama dengan bapanya.

 

Semasa perang Jamal (36H) dan Siffin (37H), dia bersama Saidina Ali.

 

Dia meninggal dunia pada tahun 68H di Taif.

 

Beliau terkenal dengan pakar dalam bidang Fiqh, Tafsir, Firasat dan petah dalam berdebat ekoran keberkatan Doa nabi saw kepadanya. Dalam hadis—daripada Ibn Abbas berkata:

 

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: كُنْتُ فِي بَيْتِ مَيْمُونَةَ ابْنَةِ الْحَارِثِ فَوَضَعْتُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَهُورَهُ فَقَالَ: «مَنْ وَضَعَ هَذَا؟» ، فَقَالَتْ مَيْمُونَةُ: عَبْدُ اللَّهِ، فَقَالَ: «اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ»

“Aku berada di rumah Maimunah binti al-Haris (ibu saudaranya yang juga isteri nabi). Aku letakkan satu bekas air untuk Rasulullah bersuci. Nabi saw bertanya: siapa yang meletakkan ini? Maimunah menjawab: Abdullah (ibn Abbas). Nabi pun berdoa: Ya Allah, berilah kefahaman mendalam kepada dia (Ibn Abbas) berkenaan agama, dan ajarkanlah kepadanya ta’wil” (Ibn Abi Syaibah, hadis no: 32223)

 

[6] SAHABAT: ABU MUSA AL-ASY’ARI (44H)

أَبو مُوسَى الأشعري

 

Nama betul beliau Abdullah bin Qais, berasal dari keturunan Yaman.

 

Dia sudah tinggal di Mekah sebelum zaman islam lagi. Beliau memeluk Islam di mekah, kemudian balik ke Yaman, berjaya mengajak 50 orang lebih masuk islam.

 

Beliau terlibat sama hijrah ke Habsyah dan perang bersama nabi yang mula-mula sekali dia terlibat adalah Khaibar (7 Hijrah)

 

Dia antara sahabat yang dua kali Hijrah: (1) Habsyah, (2) Madinah.

 

Pada Tahun 17 H, dia dilantik menjadi gabenor di Basrah selepas digugurkan MUGHIRAH BIN SYU’BAH.

 

Dalam Kalangan ulama hadis, pupa paras Abu Musa ini digambarkan rendah, janggut nipis dan badan kurus.

 

PERBAHASAN SANAD

 

Diberikan kupasan dari sudut sanad hadis ini seperti berikut;

 

KUPASAN PERTAMA:

Hadis ini dinilai doif kerana satu illat sahaja, iaitu salah seorang perawi dalam hadis ini adalah mubham, iaitu apabila ABU AL-TAYYAH mengambil hadis dari guru yang mubham dengan menyebut حَدَّثَنِي شَيْخٌ (telah menceritakan kepada aku seseorang guru).

 

Dengan alasan ini, ARNAUT mengatakan bahawa hadis ini, dari sudut sanadnya doif. Pun begitu, beliau turut kemukakan SYAWAHID, iaitu kemukakan riwayat lain yang hampir sama dengan hadis ini—dalam al-Mukjam al-Awsat, Al-Tibrani meriwayatkan daripada ABU HURAIRAH berkata:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: «كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَبَوَّأُ لِبَوْلِهِ كَمَا يَتَبَوَّأُ لِمَنْزِلِهِ»

“Nabi saw sentiasa mencari tempat untuk kencingnya sepertimana baginda mencari untuk tempat tinggal baginda” (Hadis no: 3064)

 

Hadis ini doif kerana ada dua perawi majhul, iaitu Yahya bin Ubaid dan bapanya sendiri, iaitu Ubaid. Walaubagaimana pun, ia sekadar SYAWAHID kepada hadis Abu Daud ini kerana hadis ini bermuarakan dari SAHABAT bernama ABU HURAIRAH.

 

KUPASAN KEDUA:

Turut sama kata doif adalah ALBANI dengan hujah bahawa hadis ini ada perawi waham. Cuma ALBANI turut menukilkan pendapat ulama hadis yang lain yang mengatakan ia doif, seperti Imam al-Baghawi, al-Munziri, al-Nawawi dan al-‘Iraqi.

 

Namun begitu, ALBANI menjelaskan bahawa al-Sayuti mengatakan hadis ini HASAN yang al-Imam al-Munawi mengatakan, kesimpulan al-Sayuti itu kerana hadis ini ada syawahid. Dalam erti kata yang lain, hadis ini bukan hasan Lizatih, tetapi hasan lighairih.

 

 ALBANI tidak bersetuju dengan kupasan al-Sayuti dan komentar al-Munawi tersebut dengan alasan bahawa beliau tidak berjumpa satu riwayat pun yang menyokong kandungan hadis ini (nabi kencing di bawah dinding—tanah di bawah dinding itu gembur serta nabi saw suruh mencari tempat kencing). Dalam erti kata yang lain, kisah ini tidak boleh disandarkan kepada Nabi saw sama-sekali.

 

Namun, ALBANI tidak membantah maksud yang terkandung dalam hadis itu, iaitu apabila dikatakan bahawa perlu memastikan air kencing tidak merecik semasa kencing. Hal ini bersandarkan kepada kaedah fiqh yang ada menyebut:

ما لا يقوم الواجب إلا به فهو واجب

“tidak dapat melaksanakan sesuatu hal yang wajib kecuali dengannya, maka melaksanakan hal itu adalah wajib juga”

 

Hal ini yang dapat difahami dari perkataan al-‘Azim Abadi dalam kitab Aun al-Ma’bud:

والحديث فيه مجهول، لكن لا يضر؛ فإن أحاديث الأمر بالتنزه عن البول تفيد ذلك

“Hadis ini, pada (sanadnya ada perawi) majhul. Tetapi, ia tidak memudharatkan. Hal ini kerana, terdapat hadis-hadis yang memberi faedah agar perlu bersih (terselamat dari percikan) air kencing”

 

KESIMPULAN

 

Dari dua kupasan ini, kesimpulan saya adalah seperti berikut;

 

a.                  Kandungan hadis bahawa kencing di bawah dinding tidak boleh disandarkan kepada Nabi, kerana tidak terdapat satu riwayat yang boleh menguatkan hal itu. Justeru, dakwaan nabi kencing di bawah dinding adalah DOIF yang tidak boleh jadi HASAN LIGHAIRIH.

 

b.                  Suruhan agar mencari tempat yang sesuai semasa kencing, itu boleh disandarkan kepada Nabi, kerana hadis terbabit ada syawahid (Abu Hurairah). Tambahan pula terdapat riwayat yang tidak lemah yang lain yang juga boleh menjadi SYAWAHID—daripada Abu Qatadah berkata:

 

 عن أبي قتادة قال: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْتَادُ لِبَوْلِهِ كَمَا يَرْتَادُ أَحَدُكُمْ لِصَلاتِهِ

“Nabi saw mencari tempat kencingnya sepertimana seseorang kamu mencari tempat dia solat” (ibn Hibban riwayat dalam kitab al-Majruhin, hadis no: 656)

 

Hadis ini ada perawi bernama Umar bin Harun yang matruk. Justeru, hadis ini doif.

 

Justeru, suruhan Nabi saw agar mencari tempat yang sesuai semasa kencing adalah doif, tetapi boleh dikuatkan sehingga menjadi HASAN LIGHAIRIH.

 

c.                   Dari sudut manat hadis ini, iaitu terhindar air kencing dari merecik pada pakaian dan badan; hadis ini boleh dijadikan sandaran. Inilah yang menjadi kupasan ALBANI. Hal ini kerana, di sana terdapat banyak hadis lain yang menjurus kepada makna tersebut. (semua hadis-hadis itu ada dalam perbincangan akan datang).

 

TAKHRIJ

 

Al-Baihaqi (1/93), al-tayalisi (519), Ahmad bin Hanbal, al-Ruyani (558), al-Hakim (3/465-466)

 

No comments:

Post a Comment