BAB 13 |
بَابٌ فِي الرَّجُلِ
يَبُولُ بِاللَّيْلِ فِي الْإِنَاءِ ثُمَّ يَضَعُهُ عِنْدَهُ
“LELAKI KENCING WAKTU MALAM DALAM BEJANA AIR YANG KEMUDIAN DIA
LETAK DI SISINYA”
HADIS 24 |
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عِيسَى حَدَّثَنَا حَجَّاجٌ عَنِ ابْنِ جُرَيْجٍ عَنْ حُكَيْمَةَ بِنْتِ أُمَيْمَةَ بِنْتِ رُقَيْقَةَ عَنْ أُمِّهَا أَنَّهَا
قَالَتْ: «كَانَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدَحٌ مِنْ
عِيدَانٍ تَحْتَ سَرِيرِهِ، يَبُولُ فِيهِ بِاللَّيْلِ»
“Nabi memiliki bekas dari tandan pelepah kurma (yang
beliau letakkan) di bawah tempat tidurnya, yang baginda gunakan untuk buang air
kecil pada waktu malam hari”
PERBAHASAN LAFAZ |
Dalam matan hadis, ada disebut قَدَحٌ مِنْ عِيدَانٍ yang diterjemah sebagai mangkuk kayu
daripada ‘Idan.
Kebiasaan dibaca dengan ‘Idan, tetapi dibantah oleh
Imam al-Sayuti dengan menyatakan bacaan yang betul adalah huruf ع itu dibaca dengan baris atas, iaitu
‘Aidan.
Jika
dibaca dengan ‘Idan, ia adalah kata jamak dari perkataan ‘Aud عود yang bermakna kayu, sedangkan perkataan عيدان dalam hadis bukan merujuk kepada kayu,
tetapi kulit tandan pelepah tamar yang disulam untuk dihiaskan pada mangkuk
kayu. Justeru, sebutan yang betul adalah ‘Aidan yang kata mufradnya adalah عيدانة
PENJELASAN HADIS |
[1] Hadis ini menjelaskan bahawa Nabi saw ada menyediakan
satu bekas air yang diletak di bawah katil—ia digunakan untuk letak air kencing
apabila Nabi saw sedar waktu malam untuk kencing.
[2] Kalau dilihat pada riwayat-riwayat lain, didapati
hadis ini ada sambungan matan seperti berikut:
Pertama, dalam matan AL-TIBRANI dalam kitab al-Mu’jam
al-Kabir (hadis no: 447)—Umaimah berkata:
كَانَ
النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبُولُ فِي قَدَحِ عِيدَانٍ، ثُمَّ
يَرْفَعُ تَحْتَ سَرِيرِهِ، فَبَالَ فِيهِ ثُمَّ جَاءَ فَأَرَادَهُ فَإِذَا
الْقَدَحُ لَيْسَ فِيهِ شَيْءٌ، فَقَالَ لِامْرَأَةٍ يُقَالُ لَهَا بَرَكَةُ
كَانَتْ تَخْدُمُ أُمَّ حَبِيبَةَ، جَاءَتْ بِهَا مِنْ أَرْضِ الْحَبَشَةِ:
«أَيْنَ الْبَوْلُ الَّذِي كَانَ فِي الْقَدَحِ؟» قَالَتْ: شَرِبَتُهُ، فَقَالَ:
«لَقَدِ احْتَظَرْتِ مِنَ النَّارِ بِحِظَارٍ»
“Nabi saw kencing dalam mangkuk kayu yang disulami
kulit tandan pelepah tamar, kemudian baginda meletakkan di bawah katil baginda.
Nabi pun kencing dalam mangkuk tersebut. Kemudian, nabi dapati dalam mangkuk
itu tidak ada air kencing lagi. Nabi bertanya kepada seorang perempuan yang
bernama BARAKAH yang merupakan hamba kepada UMMU HABIBAH yang dia merupakan
hamba yang berasal dari Habasyah. (tanya Nabi): dimanakah air kencing yang
berada dalam mangkuk kayu ini? Jawab (Barakah): aku telah minumnya? Nabi pun
kata: Sesungguhnya kamu terselamat dari azab neraka.
Kedua,
dalam AL-TIBRANI dalam kitab yang sama juga, tetapi dalam hadis nombor:
527—Hukaimah berkata;
كَانَ
لِلنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدَحٌ مِنْ عِيدَانٍ يَبُولُ فِيهِ،
وَيَضَعُهُ تَحْتَ سَرِيرِهِ فَقَامَ فَطَلَبَ فَلَمْ يَجِدُهُ فَسَأَلَ فَقَالَ:
«أَيْنَ الْقَدَحُ؟» ، قَالُوا: شَرِبَتْهُ بَرَّةُ خَادِمُ أُمِّ سَلَمَةَ
الَّتِي قَدِمَتْ مَعَهَا مِنْ أَرْضِ الْحَبَشَةِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَقَدِ احْتَظَرَتْ مِنَ النَّارِ بِحِظَارٍ»
“nabi saw ada satu mangkuk kayu yang disulam dengan
kulit tandan pelepah tamar yang baginda kencing dalam mangkuk itu, dan baginda
meletakkannya di bawah katil. Apabila Nabi bangun, baginda cari tetapi baginda
tidak berjumpa. Baginda pun bertanya: Di manakah mangkuk kayu? Sahabat jawab: seorang hamba wanita kepunyaan Ummu Salamah,
yang dia menemani Ummu Salamah semasa hijrah ke Habsyah dahulu, nama dia
Barrah; dia telah meminumnya. Nabi pun berkata: “Dia telah selamat dari api
neraka”
Penambahan matan hadis ini tidak berlaku kecuali dalam
dua riwayat yang kedua-duanya diriwayatkan oleh al-Tibrani dalam al-Mukjam
al-Kabir sahaja.
Apabila diteliti, didapati hadis ini doif disebabkan
dua factor berikut;
Pertama, berdasarkan kepada sanad, didapati hadis ini
ada perawi bernama HUKAIMAH yang sudah dijelaskan di atas statusnya sebagai
doif.
Kedua, dalam dua riwayat ini terdapat penceritaan yang
tidak konsisten, iaitu satu riwayat (hadis no:447) menyatakan yang minum
kencing Nabi itu adalah Barakah yang merupakan hamba kepada Ummu Habibah,
sedangkan dalam riwayat kedua (hadis no: 527) menyebut bahawa yang minum itu
adalah Barrah yang merupakan hamba kepada Ummu Salamah.
Makanya, dapat disimpulkan bahawa dakwaan bahawa ada
sahabat minum air kencing Nabi saw adalah tidak benar sama sekali.
SYAWAHID |
Dalam hadis ini diceritakan oleh seorang Sahabiyyah
bernama UMAIMAH BINTI RUQAIQAH, dan ia ada dua pengajaran yang dapat diambil:
1.
Nabi saw kencing dalam mangkuk yang diletakkan di
bawah katil baginda.
2.
Air kencing Nabi saw yang berada dalam mangkuk itu telah
diminum.
Hadis ini sudah dinyatakan bahawa ia adalah doif.
Justeru, ia tidak boleh digunakan sebagai sandaran agama.
Namun begitu, pada perkara (1), didapati ada syawahid
dari hadis yang lain; iaitu melibatkan isteri nabi, iaitu Aisyah berkata:
يَقُولُونَ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصَى إِلَى عَلِيٍّ لَقَدْ دَعَا بِالطَّسْتِ لِيَبُولَ
فِيهَا فَانْخَنَثَتْ نَفْسُهُ وَمَا أَشْعُرُ فَإِلَى مَنْ أَوْصَى
“mereka
(sahabat) berkata bahawa nabi mewasiatkan kepada Ali bahawa baginda meminta
sebuah bejana air yang baginda pergunakan untuk buang air kecil, lalu anggota
tubuh beliau perlahan-lahan lemah kerana mendekati ajal. Aku (Aisyah) tidak
tahu kepada siapakah ia berwasiat?" (al-Nasaie, hadis no: 33)
Apabila
dilihat pada konteks hadis ini kelihatan bahawa Nabi saw kencing dalam mangkuk
itu adalah ketika Nabi saw sakit.
Dalam erti
kata yang lain, tindakan nabi saw kencing dalam mangkuk itu bukan setiap masa,
tetapi hanya ketika baginda sedang sakit sahaja.
HUBUNGAN HADIS |
Dilihat pada hadis ke-23, disebut bahawa Nabi saw
kencing berdiri. Dalam hadis ke-24 ini pula, nabi sediakan bekas untuk letak air
kencing yang bekas itu diletak di bawah katil
Antara kedua-dua hadis ini, kesamaannya adalah maqasid
terhadap bagi kencing dalam bekas atau berdiri adalah dibolehkan selama tidak
mendatangkan factor-faktor yang merosakan, seperti dalam kes melibatkan kencing
berdiri selama tidak merecik pada pakaian solat, ataupun dalam kes kencing
dalam mangkuk tidak mendatangkan salah faham yang menyebabkan orang terminum
air kencing terbabit.
PENGAJARAN |
[1] KENCING DALAM MANGKUK KAYU?
Dalam hadis yang lain, terdapat larang dari Nabi
terhadap kencing dalam bejana air yang diletak dalam rumah yang di situ
ditunaikan solat.
Pertama, daripada Salamah berkata:
لَا تَبُولُ
فِي طَسْتٍ فِي بَيْتٍ تُصَلِّي فِيهِ، وَلَا تَبُولُ فِي مُغْتَسِلِكَ
“Jangan kamu kencing dalam bejana air dalam rumah yang
kamu solat dalam rumah terbabit; dan jangan kamu kencing di tempat mandimu”
(Ibn Abi Syaibah, hadis no: 1844)
Kedua, daripada Abdullah bin Yazid bahawa Nabi saw ada
bersabda:
لَا يُنْقَعُ بَوْلٌ
فِي طَسْتِ فِي الْبَيْتِ، فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَا تَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ
بَوْلٌ يُنْقَعُ، وَلَا تَبُولَنَّ فِي مُغْتَسَلِكَ
“Jangan kamu
tadah air kencing dalam bejana air dalam rumah. Hal ini kerana, malaikat tidak
masuk dalam rumah yang ada air kencing yang ditadah. Jangan jangan kamu kencing
di tempat mandimu” (al-Tibrani, al-Mukjam al-Awsat, hadis no: 2077)
Dua hadis ini menggambarkan bahawa tidak dibenarkan kencing
dalam sebarang bejana air yang disimpan dalam rumah.
Apabila digandingkan dengan hadis Umaimah sepertimana
riwayat Abu Daud ini, serta dikuatkan dengan hadis Aisyah di atas, dapat
disimpulkan bahawa hukum kencing dalam bejana air yang diletak dalam rumah
(termasuk di bawah katil) adalah tidak dibolehkan kecuali dalam hal-hal
tertentu seperti sakit.
Sakit yang perlu difahami dalam kes Nabi adalah dalam
konteks pada zaman baginda, iaitu orang di zaman itu tidak dapat qadha’ hajat
kecuali perlu keluar berjalan jauh dari rumah mereka seperti di tengah padang
pasir. Hal ini sudah pasti menjadi sukar untuk orang sakit qadha’ hajat pada
waktu malam.
Namun, dalam konteks di zaman sekarang, perlu dilihat
dari sudut sakitnya juga. Hal ini dilihat kemudahan tandas yang dibuat dalam
rumah.
Dalam erti kata yang lain, jika pergerakannya terbatas
seperti ada kaki yang patah yang sememangnya sukar untuk bergerak ke tandas,
maka hadis ini boleh dimanfaatkan. Namun, jika masih lagi ada kemampuan untuk
bergerak ke tandas, maka tidak dibolehkan kencing dalam bejana air yang diletak
di bawah katil.
[2] KERINGANAN
KETIKA SAKIT
Hadis ini juga
menjadi dalil bahawa bagi orang yang sakit, sudah pasti dia mendapat keringanan
atau rukhsah.
Hal ini tidak
sekadar dalam kes kencing dalam bejana air yang di letak di bawah katil, tetapi
banyak berlaku dalam hal fiqh yang lain seperti keizinan solat duduk ketika
tidak mampu berdiri.
Dalam hadis—daripada
Imran Bin Hushoin berkata:
كَانَتْ بِي
بَوَاسِيرُ، فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ
الصَّلاَةِ، فَقَالَ: صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ
لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
“Aku tertimpa
penyakit buasir. Aku pun bertanya kepada Nabi saw berkenaan solat. Baginda
berkata: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu, solatlah dalam
keadaan duduk. Jika tidak mampu, maka dia boleh berbaring menggunakan
lambungnya” (al-Bukhari, hadis no: 1117)
Demikian juga,
bagi orang yang tidak mampu berpuasa yang al-Quran ada menyatakan;
فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ
مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ (184) – البقرة
“maka sesiapa
di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian
wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain”
(Surah al-Baqarah, ayat 184)
Bagi orang yang sakit sehingga tidak
termampu menyentuh air untuk berwuduk, maka dibenarkan kepadanya bertayammum;
وَإِنْ كُنْتُمْ
مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ
لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا
فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا
(43) - النساء
“Dan
jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu
datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian
kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu
bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan
kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun” (Surah
al-Nisa’, ayat 43)
BIOGRAFI PERAWI
HADIS |
[5]
MUHAMMAD BIN ISA BIN NUJAIH BIN AL-TABBA’ AL-BAGHDADI (150H-224H)
مُحَمَّدُ بْنُ
عِيسَى
بن نجيح بن الطباع
البغدادي
Dia pernah sampai ke Bahdad,
Syam dan mati di Sepanyol. Dia bukan sekadar terkenal sebagai guru hadis,
bahkan terkenal juga dengan mengajar fiqh.
Dari sudut Jar wa ta’dil,
hampir semua ulama rijal kata dia siqah kecuali Abu Daud ada sedikit komen
menyatakan bahawa, walaupun dia seorang yang faqih, dan menghafal hadis
sehingga mencecah sebanyak 40 ribu hadis, tetapi kadangkala dia ada melakukan
tadlis.
Dia adalah guru Imam al-Bukhari dan Abu Daud. Imam Muslim menyebut
namanya sekadar ta’liq sahaja. Dia adalah rijal al-nasaie. Dia adalah perawi yang
sahih.
[4] HAJJAJ
BIN MUHAMMAD AL-MISSISI (206H)
حَجَّاجٌ إبن
محمد الْمِصِّيصِيُّ
Dari
kalangan Tabi’ al-Tabiin. Dia hidup di Baghdad dan pernah sampai ke al-Masisah
(Turki) dan Basrah. Dia meninggal dunia di Baghdad.
Dari sudut
al-Jar wa al-Ta’dil, semua ulama rijal kata dia siqah dan dibuat hujah kecuali
Ibn Hajar al-Asqalani ada berkata, dia siqah dan sabat yang setelah dia hijrah
ke Baghdad, iaitu hampir dengan waktu kematian, berlaku ikhtilat padanya, iaitu
hafalannya semakin celaru.
Namun,
menurut Abu al-Arab al-Soqli bahawa ikhtilatnya itu tidak memudharatkan
sebarang periwayatan hadisnya, kerana setelah dia ikhtilat tidak ada orang
mengambil hadis darinya. Hal ini ditegaskan juga oleh Ibn Hazm al-Zahiri.
Rijal al-Kutub al-Sittah dan dia adalah perawi siqah lagi sahih.
[3] IBN JURAIJ
Lihat hadis ke-19
[2] HUKAIMAH BINTI UMAIMAH BINTI
RUQAIQAH
حُكَيْمَةَ
بِنْتِ أُمَيْمَةَ بِنْتِ رُقَيْقَةَ
Tidak diketahui kelahirannya di mana, tarikh lahir dan
meninggalkanya, tahap hafalan dan kesalehannya. Justeru, dia dianggap sebagai
majhul.
Namun, didapati ada dua orang murid yang ambil hadis
darinya, iaitu:
A. Ibn Juraij
(seperti dalam sanad hadis ini)
B. Yahya bin Abi
Sufyan (boleh dilihat dalam Sunan Abi Daud, hadis no: 1741)
Jelas di sini, Hukaimah boleh dianggap sebagai Majhul
al-Hal ataupun Mastur.
[1]
SAHABAT: UMAIMAH BINTI RUQAIQAH AL-TAIMIYYAH
أميمة بنت
رقيقة التيمية
Ini salah seorang Sahabiyyah.
Beliau adalah anak saudara kepada Khadijah binti khuwailid, iaitu ibunya
bernama Ruqaiqah bin Khuwailid itu adalah adik beradik Khadijah.
Tidak dibintikan dengan
bapanya sebaliknya dibintikan dengan ibunya, kerana ibunya lebih dikenali
berbanding bapanya.
Bapanya, bernama Abdun عبد bin
Bajjad بجاد bin Umair bin al-Haris bin Harisah bin Sa’ad bin Tayyim تيم bin Murrah.
Memandangkan dia anak saudara Khadijah, sudah pasti dia adalah penduduk
Mekah. Makanya, semasa hijrah ke Madinah, dia turut terlibat sama.
Mengikut catatan sejarah, dia terlibat terlibat dalam perang Mu’tah yang
berlaku pada tahun 8 hijrah.
PERBAHASAN SANAD |
[1] SANAD ABI DAUD
حَدَّثَنَا
مُحَمَّدُ بْنُ عِيسَى، حَدَّثَنَا حَجَّاجٌ، عَنِ ابْنِ جُرَيْجٍ، عَنْ
حُكَيْمَةَ بِنْتِ أُمَيْمَةَ بِنْتِ رُقَيْقَةَ، عَنْ أُمِّهَا
[2] STATUS HADIS: HASAN LIGHAIRIH
Hadis ini dinilai doif dari sudut sanad oleh Syaikh
Syuaib al-Arnaut. Alasan doif adalah perawi bernama HUKAIMAH BINTI UMAIMAH yang
rata-rata ulama hadis termasuk al-Imam al-Zahabi dan al-Imam Ibn Hajar
al-Asqalani kata, dia seorang rawi yang majhul.
Dalam usul al-Hadis, ada beberapa jenis hadis doif
boleh menjadi penguat kepada hadis doif yang lain. Antaranya, apabila hadis
doif yang dijadikan penguat itu adalah hadis doif disebabkan perawi yang majhul
al-Hal atau mastur.
Maka dengan demikian, apabila dilihat pada hadis ini,
didapati ia boleh menjadi penguat, kerana perawi hadis ini bernama HUKAIMAH
adalah seorang yang majhul al-Hal atau Mastur sahaja.
Namun begitu, jika dilihat pada pendapat Syaikh Albani
sejak dari awal lagi menilai hadis ini sebagai hasan yang dengan itu boleh
dijadikan hujah.
Hujah Syaikh Albani adalah melihat kepada kitab
al-Siqat, karya Imam Ibn Hibban; kitab terbabit menyenaraikan nama-nama perawi
siqah, didapati salah seorang nama itu adalah HUKAIMAH. Atas alasan itu, Albani
anggap hadis ini hasan.
Pun begitu, ada pihak membantah pendapat Albani dengan
menyatakan bahawa Ibn Hibban terkenal dengan tasahul, iaitu bermudah-mudah
dalam menentukan seseorang itu siqah. Makanya, mereka tetap dengan pendirian
bahawa hadis ini doif, tetapi tahap doif yang ringan yang boleh dijadikan
penguat kepada hadis-hadis doif yang lain.
TAKHRIJ |
Hadis ini turut dapat dilihat dalam kitab al-Sunan
al-Kubra al-Imam al-Nasaie (31) dan Ibn Hibban (1426)
No comments:
Post a Comment