Friday, March 25, 2022

HADIS 27 (BAB 15)

  

BAB 15

 

بَابٌ فِي الْبَوْلِ فِي الْمُسْتَحَمِّ

“KENCING DI TEMPAT MANDI”

 

HADIS 27

 

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ حَنْبَلٍ وَالْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ قَالَا: حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ  قَالَ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا مَعْمَرٌ أَخْبَرَنِي أَشْعَثُ  وَقَالَ الْحَسَنُ: عَنْ أَشْعَثَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنِ الْحَسَنِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُغَفَّلٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:"لَا يَبُولَنَّ أَحَدُكُمْ فِي مُسْتَحَمِّهِ ثُمَّ يَغْتَسِلُ فِيهِ"

 

Daripada Abdullah bin Mughaffal berkata, Rasulullah saw bersabda: Janganlah sekali-kali salah seorang dalam kalangan kamu kencing di tempat mandinya kemudian dia mandi di tempat tersebut"

 

 قَالَ أَحْمَدُ: ثُمَّ يَتَوَضَّأُ فِيهِ فَإِنَّ عَامَّةَ الْوَسْوَاسِ مِنْهُ

 

Berkata Ahmad: Kemudian dia berwuduk padanya, kerana umum was-was itu daripadanya.

  

Status hadis: Sahih Lighairih

 

PERBAHASAN LAFAZ

 

[1] Perkataan المستحم di terjemah sebagai tempat mandi, yang ia berasal dari kata حميم, iaitu air panas.  Firman Allah:

 

وَالَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ شَرَابٌ مِنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ (4) – يونس

“Orang-orang yang kafir pula, disediakan bagi mereka minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur” (Surah Yunus, ayat 4)

 

Disebut sebagai المستحم kerana pada zaman dahulu, tempat mandi bukan sekadar mereka meratakan air pada badan, bahkan mereka turut berjemur dalam bilik yang panas.

 

[2] dari asal makna, perkataan was-was adalah sesuatu yang disentuh oleh syaitan. Dalam al-Quran, Allah ada menyatakan bahawa orang yang membazir adalah adik beradik syaitan:

 

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ (27) - الإسراء

“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah adik beradik syaitan” (Surah al-Isra’, ayat 27)

 

Lalu, dalam al-Siyar, Al-Zahabi menjelaskan bahawa orang yang membazir air disebut sebagai موسوس iaitu orang yang disentuh oleh syaitan.

 

Dalam erti kata yang lain, orang was-was adalah orang yang mendapat gangguan syaitan sehingga dia meragui perbuatannya, terutama dalam beribadat.

 

Menurut Anwar Shah al-Kasymiri pula, was-was adalah sesuatu kejadian yang menimpa hati dan fikiran.

 

PENJELASAN HADIS

 

[1] MAKSUD TEMPAT MANDI

 

Hadis ini menjelaskan bahawa nabi saw melarang dari kencing di tempat mandi, kemudian mandi di situ.

 

Yang dimaksudkan dengan tempat mandi dalam hadis ini perlu dimaginasikan dalam bentuk dahulu, bukan seperti tempat mandi di rata-rata rumah di Malaysia.

 

Dengan maksud, ia tempat mandi yang di bawahnya adalah tanah, tidak tidak mempunyai longkang. Apabila mandi di situ, air hanya meresap ke dalam tanah sahaja.

 

Dalam bentuk tempat sebegini yang dimaksudkan sebagai larangan dalam hadis ini. Dengan erti kata yang lain, bilik mandi seperti yang ada di Malaysia pada hari ini tidak termasuk dalam maksud hadis ini.

 

[2] LARANGAN MANDI DI SITU

 

Dalam hadis, disebut larangan kencing di tempat mandi, “kemudian mandi di situ”.

 

Ini membuktikan bahawa larangan kencing itu kerana kebimbangan air kencing masih bertakung di situ; yang apabila mandi, air kencing yang bertakung di situ akan bercampur dengan air mandi, lalu merecik pada badan orang yang mandi.

 

Dalam erti kata yang lain, jika tempat mandi itu seperti di kebanyakkan rumah di Malaysia; apabila orang kencing, air kencingnya tidak bertakung, bahkan terus dibasuh dan masuk ke dalam longkang dan keluar dari bilik air, ia tidak termasuk dalam maksud hadis ini. Hal ini disebabkan oleh kebimbangan air kencing bercampur dengan air mandi, serta kebimbangan air kencing yang bercampur itu merecik pada badan orang mandi sudah berlaku lagi.

 

Hal ini dijelaskan oleh al-Imam al-Nawawi sepertimana yang dinukilkan dalam kitab Aun al-Ma’bud.

 

[3] TAMBAHAN PERKATAAN

 

Dalam Abu Daud, ada dijelaskan seperti berikut:

 

قَالَ أَحْمَدُ: ثُمَّ يَتَوَضَّأُ فِيهِ فَإِنَّ عَامَّةَ الْوَسْوَاسِ مِنْهُ

“berkata Ahmad (bin Hambal): kemudian dia berwudu’ padanya. Hal ini kerana, was-was itu selalu dari situ”

 

Ungkapan ini hanya Abu Daud dengar dari gurunya yang bernama AHMAD BIN HANBAL, tetapi tidak dengar dari gurunya bernama AL-HASAN BIN ‘ALI.

 

Menurut ARNAUT, tambahan ini bukan perkataan nabi, tetapi perkataan ABDULLAH BIN AL-MUGHAFFAL (mawquf). Dalam erti kata lain, tambahan ini adalah MUDRAJ.

 

HUBUNGAN HADIS

 

Dalam hadis ke-26, dijelaskan larangan dari qadha’ hajat di laluan air.

 

Dalam hadis ke-27 ini pula, dijelaskan larangan dari kencing di tempat mandi.

 

Unsur kesamaan antara dua hadis ini adalah perlu elak dari mengotorkan tempat yang sepatutnya bersih.

 

PENGAJARAN

 

[1] JANGAN KENCING DI TEMPAT WUDUK

 

Walaupun hadis ini melarang kencing di tempat mandi, ia juga termasuk di bawah maksud larangan dari kencing di tempat wuduk.

 

Dalam konteks sekarang, mungkin air kencing yang ada di tempat wuduk itu boleh dibasuh, makanya soal merecik air kencing bertakung pada pakaian sudah boleh di atasi. Namun, ia perlu juga di elak atas factor adab.

 

Hal ini turut disebut oleh al-‘Azim Abadi dalam kitab “Aun al-Ma’bud”.

 

[2] WAS WAS SEMASA IBADAT

 

Hadis ini juga menjelaskan bahawa sebarang tindakan yang boleh berlaku was-was, maka ia perlu dielak.

 

Dengan sebab itu, dalam fiqh ada membicarakan sesuatu hal perlu kepada pembuktian agar terhindari dari sebarang was-was.

 

Contohnya, dalam Hadis nabi saw menyebut berkenaan orang yang was-was semasa solat, apakah dia berkentut atau tidak. Makanya, ia dianggap sebagai tidak kentut kecuali ada bukti bahawa dia kentut, sama ada berbau kentut atau kedengaran bunyi kentut.

 

Dalam hadis—daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ فِي الصَّلَاةِ فَوَجَدَ حَرَكَةً فِي دُبُرِهِ، أَحْدَثَ أَوْ لَمْ يُحْدِثْ، فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ فَلَا يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا، أَوْ يَجِدَ رِيحًا»

”Apabila seseorang kamu berada dalam solat, lalu dia dapati sesuatu Gerakan di duburnya; apakah dia berhadas atau tidak, dia pun ragu-ragu, maka jangan dia berpaling (dari solat) hingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)” (Abu Daud, hadis no: 177)

 

[3] ELAK SEBARANG RUANGAN YANG BOLEH DATANGKAN WAS-WAS DAN FITNAH

 

Sebarang ruang-ruangan mendatang was-was termasuk fitnah, maka wajib ditutup.

 

Nabi saw sendiri yang apabila memungkin berlaku fitnah terhadap peribadi Nabi, baginda pasti akan cuba menutupnya.

 

Dalam hadis—daripada ‘Ali bin al-Husain:

 

عَنْ عَلِيِّ بْنِ الحُسَيْنِ، أَنَّ صَفِيَّةَ بِنْتَ حُيَيٍّ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَخْبَرَتْهُ: أَنَّهَا جَاءَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَزُورُهُ، وَهُوَ مُعْتَكِفٌ فِي المَسْجِدِ، فِي العَشْرِ الغَوَابِرِ مِنْ رَمَضَانَ، فَتَحَدَّثَتْ عِنْدَهُ سَاعَةً مِنَ العِشَاءِ، ثُمَّ قَامَتْ تَنْقَلِبُ، فَقَامَ مَعَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْلِبُهَا، حَتَّى إِذَا بَلَغَتْ بَابَ المَسْجِدِ، الَّذِي عِنْدَ مَسْكَنِ أُمِّ سَلَمَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مَرَّ بِهِمَا رَجُلاَنِ مِنَ الأَنْصَارِ، فَسَلَّمَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ نَفَذَا، فَقَالَ لَهُمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «عَلَى رِسْلِكُمَا، إِنَّمَا هِيَ صَفِيَّةُ بِنْتُ حُيَيٍّ» قَالاَ: ))سُبْحَانَ اللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ((،وَكَبُرَ عَلَيْهِمَا مَا قَالَ: ))إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ ابْنِ آدَمَ مَبْلَغَ الدَّمِ، وَإِنِّي خَشِيتُ أَنْ يَقْذِفَ فِي قُلُوبِكُمَا((

“Sofiyah binti Huyay, isteri Nabi saw telah memberitahu kepada ‘Ali bin al-Husain bahawa dia datang mengunjungi Rasulullah saw saat baginda tengah beriktikaf di Masjid pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan. Lalu dia berbincang-bincang dengan Nabi hingga menjelang Isya'. Setelah itu dia beranjak untuk pulang, maka Nabi saw pun ikut bersamanya. Sehingga sampai agak jauh dari pintu masjid dan berhampiran rumah Ummu Salamah, isteri Nabi, ada dua orang lelaki Ansar melintasi di situ dan keduanya memberi salam kepada Rasulullah saw, lalu bergegas pergi. Rasulullah saw pun bersabda kepada keduanya: "Kenapa terburu-buru? sesungguhnya dia adalah Sofiyah binti Huyay".

Kedua orang itu berkata: "Mahasuci Allah, wahai Rasulullah"

Maka dengan ucapan dua orang tersebut, baginda berkata: "Sesungguhnya syaitan masuk kepada manusia melalui aliran darah dan aku bimbang apabila syaitan telah membisikkan sesuatu dalam hati kamu berdua" (al-Bukhari, hadis no: 6219)

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[6] AHMAD BIN MUHAMMAD BIN HANBAL (164H-241H)

أَحْمَدُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ حَنْبَلٍ

 

Dia adalah pengasas mazhab Hanbali. Berasal dari Baghdad dan meninggal di situ. Beliau merupakan guru kepada Imam al-Bukhari, Muslim dan Abi Daud, serta rijal bagi al-nasaie dan Ibn Majah.

 

Imam al-Tarmizi tidak riwayat hadis dari Ahmad, tetapi dia ada mengambil komentar sanad oleh Ahmad melalui Imam al-Bukhari dan Ahmad bin Hasan dan Ishaq bin mansur. Imam Tarmizi juga ada ambil komentar fiqh Ahmad di beberapa tempat dalam sunan beliau.


Imam Ahmad bin Hanbal dilahirkan
dalam keadaan Yatim, iaitu ketika ayahnya sudah meninggal dunia.

 

Dia dibesarkan oleh ibunya yang bernama SOFIYAH BINTI MAIMUNAH BINTI ABDUL MALIK AL-SYAIBANIYYAH.

 

Ulama berbeza pendapat dalam menjelaskan tempat dia dilahirkan

 

Ada kata, dia dilahirkan Turkaministan (kerana bapanya bekerja di sini). Ada pendapat yang lain menyatakan bahawa dia dilahirkan di Baghdad (ini pendapat yang kuat, kerana ketika itu, ibunya sudah hijrah ke Baghdad)

 

Dikatakan bahawa mula belajar hadis pada tahun 179H, iaitu sewaktu umurnya 15 tahun. Dia sempat jelajah beberapa tempat untuk mendapat ilmu, seperti Iraq, Hijaz, Tihamah dan Yaman.

 

Menurut Ibn al-Jawzi dalam Manaqib Ahmad bahawa dia mula mengajar dan memberi fatwa sewaktu umurnya 40 tahun. Dikatakan bahawa dia tidak mengajar kecuali setelah diminta.

 

Dikatakan bahawa dia berkahwin semasa umur 40 tahun dengan isteri bernama al-‘Abasah binti al-Fadhl. Dengan isteri tersebut, dia dapat anak bernama SOLEH.

 

Namun, isterinya meninggal awal. Kemudian dia berkahwin dengan perempuan bernama RAIHANAH. Dari isteri ini, dia dapat anak nama ABDULLAH yang terkenal periwayatan dari dia.

 

Dia antara yang dipenjara kerana bertembung dengan Khalifah al-Ma’mun dan kemudian al-Mu’tasim dan al-Wasiq dalam isu Makhluk al-Quran.

 

Pada era Wasiq, dia dihalang mengajar agama. Apabila naik khalifah al-Mutawakkil ‘Ala Allah bin al-Mu’tasim bin Harun al-Rashid, dia dibenarkan mengajar balik. Hal ini disebabkan oleh Khalifah al-Mutawakkil bukan muktazilah.

 

Dalam kitab al-Siyar, al-Zahabi ada menukilkan pujian Imam Syafie terhadap Imam Ahmad:

 

خرجتُ من بغداد وما خلَّفتُ بها أحداً أورع ولا أتقى ولا أفقه من أحمد بن حنبل

“Aku keluar ke Baghdad, aku tidak dapati seorang pun yang cukup warak dan pertaqwa serta faqih berbanding Ahmad bin Hanbal”.

 

Imam Ahmad rijal al-Kutub al-Sittah serta dia perawi siqah lagi sahih.

 

 

[6] ABU AL-HASAN BIN ‘ALI BIN MUHAMMAD AL-KHALLAL AL-HAZLI AL-HULWANI (242H)

أبو علي الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ بن محمد الخَلَّالُ الهُذَلِيُّ

 

Dia pernah sampai ke Iraq, yaman, Syam dan mesir. Tetapi akhirnya meninggal dunia di Mekah.  Dia adalah guru al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Ibn Majah. Didapati namanya tidak terdapat dalam riwayat al-Nasaie. Dia perawi siqah lagi sahih.

 

[5] ABU BAKAR ABDUL RAZZAQ BIN HAMMAM BIN NAFI’ AL-YAMANI AL-SUN’ANI (126H-211H)

ابو بكر عَبْدُ الرَّزَّاقِ بن هَمَّامٍ بن نافع اليماني الصنعاني

 

Ulama dari Yaman ini terkenal dengan karya bertajuk “musannaf Abd al-Razzaq” dalam bidang hadis, serta karya bertajuk “Tafsir Abd al-Razzaq” dalam bidang tafsir al-Quran.

 

Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah serta perawi siqah lagi sahih.

 

[4] ABU ‘URWAH MA’MAR BIN RASHID AL-AZDI (95H-153H)

أَبُو عُرْوَةَ مَعْمَرٌ بن راشد الأزدي

 

Dia dilahirkan di Basrah dan berhijrah ke San’a, Yaman dan berkahwin dengan perempuan Yaman bernama Halimah dan meninggal dunia di situ.

 

Dia hadir semasa al-Hasan al-basri meninggal dunia. Dikatakan, itulah titik permulaan kesedaran dia mahu belajar agama. Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah dan seorang perawi siqah lagi sahih.

 

 

[3] ASY’AS BIN ABDILLAH BIN JABIR AL-HUDDANNI

أَشْعَثُ بن عبد الله بن جابر الحُدَّاني

 

Ulama asal Basrah ini adalah murid kepada Imam Malik dan dikira sebagai Tabiin kecil. Dia adalah rijal Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah. Imam Bukhari riwayatkan hadisnya secara ta’liq, dan tidak terdapat dalam muslim riwayatnya.

 

Dia dianggap ramai ulama hadis sebagai siqah dan sahih, tetapi ada satu kritikan sahaja, iaitu Abu Ja’afar al-‘Uqaili kata, pada hadisnya ada waham. Namun, dakwaan Abu Ja’far itu dibantah oleh al-Zahabi.

 

[2] AL-HASAN BIN YASAR AL-BASARI (21H-110H)

الحسن بن يسار البصري

 

Lihat hadis ke-17.

 

[1] SAHABAT: ABU ZIYAD ABDULLAH BIN MUGHAFFAL AL-MUZANI (60H/ADA KATA 75H)

ابو زياد  عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُغَفَّلٍ المزني

 

Ada orang kata, orang panggil dia dengan ABU SA’ID; ada pula kata, ABU ABD AL-RAHMAN. Dia berasal dari Madinah dan meninggal dunia di Basrah.

 

Dia antara sahabat Nabi yang digelar أصحاب الشجرة iaitu terlibat bai’ah al-Ridhwan semasa tercetus Sulh al-hudaibiyyah tahun 6H.

 

Tinggal di Madinah, kemudian hijrah ke Basrah kerana dihantarkan oleh oleh saidina Umar bersama 10 orang sahabat yang untuk mengajar agama di sana. Disebut sebagai NUQABA’.

 

PERBAHASAN SANAD

 

[1] SANAD ABU DAUD

 

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ حَنْبَلٍ، وَالْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ، قَالَا: حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، قَالَ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا مَعْمَرٌ، أَخْبَرَنِي أَشْعَثُ، وَقَالَ الْحَسَنُ: عَنْ أَشْعَثَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنِ الْحَسَنِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُغَفَّلٍ

 

PENJELASAN:

 

A.                    Sama ada dari jalur Ahmad bin Hanbal ataupun dari jalur al-Hasan bi ‘Ali, kedua-duanya menjelaskan bahawa Abdul Razzaq mengambil hadis dari ABU ‘URWAH MA’MAR.

 

B.                    Dalam jalur Ahmad bin Hanbal, Ma’mar ambil hadis dari ASY’AS dengan menggunakan أخبرني sedangkan dalam jalur AL-HASAN BIN ‘ALI, MA’MAR ambil hadis dari ASY’AS DENGAN عن

 

[2] STATUS HADIS: SAHIH LIGHAIRIH

 

Ada tiga pendapat ulama berkenaan hadis ini seperti berikut;

 

A.                  ARNAUT berpendapat bahawa hadis ini SAHIH LIGHAIRIH

B.                  ALBANI berpendapat hadis ini adalah doif.

C.                  AL-HAKIM dan AL-ZAHABI menganggap hadis ini sahih.

 

PENJELASAN

 

Pertama, apabila diteliti pada perawi, didapati semuanya siqah.

 

Kedua, apabila diteliti pada sudut sanad pula, Imam Tarmizi menyatakan bahawa jalur sanad hadis ini yang secara marfu’; semuanya bermuarakan dari ASY3AS BIN ABDULLAH dan tidak ada yang lainnya.

 

Ketiga, dalam pada ia tafarrud, didapati sanad ini ada perawi yang bernama AL-HASAN AL-BASRI yang mengambil hadis dari SAHABAT yang bernama ABDULLAH BIN MUGHAFFAL yang diriwayat dengan menggunakan lafaz عنعنة

 

Menurut para ulama hadis, AL-HASAN AL-BASRI banyak melakukan tadlis. Justeru, ALBANI meragui sanad ini yang menggambarkan AL-HASAN AL-BASRI ambil hadis dari SAHABAT bernama ABDULLAH BIN MUGHAFFAL. Atas alasan ini, ALBANI anggap hadis ini mungqati’ (terputus sanad). Makanya, disimpulkan hadis ini sebagai DOIF.

 

Namun begitu, dalam komentar lain berbeza dengan ALBANI. Hal ini kerana, para ulama hadis mengemukakan hujah berikut:

 

Pertama, semasa ABDULLAH BIN MUGHAFFAL meninggal dunia, umur AL-HASAN AL-BASRI adalah 37 tahun. Tambahan pula, ABDULLAH pernah sampai di Basrah di mana tempat AL-HASAN berada.

 

Ini memggambarkan bahawa kedua-dua tokoh ini mungkin sahaja bertemu dan kemungkinan besar AL-HASAN AL-BASRI pernah mendengar hadis dari ABDULLAH BIN MUGHAFFAL.

 

Kedua, AL-HASAN AL-BASRI yang merupakan TABIIN ditolak dalam periwayatan hadis, apabila hadis itu MURSAL SAHABI, iaitu seperti dikatakan AL-HASAN AL-BASRI mengambil hadis terus kepada Rasulullah, tanpa disebut SAHABAT antara dia dan Rasulullah.

 

Namun, jika MURSAL TABIIN, seperti dikatakan AL-HASAN AL-BASRI mengambil hadis dari sahabat, maka periwayatan AL-HASAN AL-BASRI boleh diterima. Dalam erti kata yang lain, kemungkinan ada tabiin yang lain antara AL-HASAN AL-BASRI dan SAHABAT. Tetapi, itu tidak mencacatkan periwayatan AL-HASAN AL-BASRI.

 

Hal ini dilakukan oleh al-Imam al-Bukhari dalam meriwayatkan hadis: “tidak Berjaya sesuatu kaum yang melantik Wanita sebagai pemimpin” yang sanad hadis itu, AL-HASAN AL-BASRI ambil hadis dari SAHABAT bernama ABU BAKRAH (lihat al-Bukhari, hadis no: 4425 dan 7099)

حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ الهَيْثَمِ، حَدَّثَنَا عَوْفٌ، عَنِ الحَسَنِ، عَنْ أَبِي بَكْرَةَ

 

Dalam erti kata yang lain, Imam al-Bukhari menerima riwayat AL-HASAN AL-BASRI jika ia MURSAL TABIIN.

 

Melihat dari sudut itu, tidak hairan ARNAUT simpulkan hadis ini adalah SAHIH LIGHAIRIH, iaitu asalnya hasan sahaja kerana factor tafarrud pada AL-ASY’AS BIN ABDILLAH, tetapi dikuatkan dengan penghujahan ini.

 

Ada hujjah tambahan pula adalah dikatakan bahawa sanad ini ikut syarat al-bukhari dan muslim yang dengan itu menyebabkan AL-HAKIM dan AL-ZUHRI mengatakan sanad hadis ini sahih.

 

Tetapi, dibantah oleh ALBANI dengan menyatakan ASY’AS BIN ABDULLAH bukan rijal al-Bukhari, sebaliknya ia disebut dalam sahih al-Bukhari sebagai ta’liq sahaja.

 

KESIMPULAN

 

Dari segala perbahasan ini, secara peribadi saya lebih cenderung dengan pendapat ARNAUT yang menganggap hadis ini sebagai SAHIH LIGHAIRIH.

 

TAKHRIJ

 

Ahmad (20569), Musannaf Abd al-Razzaq (978), Ibn Majah (304), Tarmizi (21), al-Nasaie (kubra-33), ibn Hibban (1266)

 

No comments:

Post a Comment