BAB 5 |
بَابُ
الرُّخْصَةِ فِي ذَلِكَ
“RUKHSAH (KERINGANAN) DALAM HAL ITU”
HADIS 12 |
حَدَّثَنَا عَبْدُاللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ عَنْ مَالِكٍ عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ يَحْيَى بْنِ حَبَّانَ عَنْ عَمِّهِ وَاسعِ بْنِ حَبَّان عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: لَقَدْ ارْتَقَيْتُ عَلَى ظَهْرِ الْبَيْتِ
«فَرَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى لَبِنَتَيْنِ
مُسْتَقْبِلَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ لِحَاجَتِهِ»
Daripada
Abdullah bin Umar: “Sesungguhnya aku pernah panjat bumbung rumah (Hafsah). Aku pun nampak Rasulullah saw di atas dua batu
bata menghadap Baitulmaqdis sedang qadha’ hajat”
Status
hadis: sahih
PENJELASAN HADIS |
[1]
Hadis ini menjelaskan bahawa Ibn Umar panjat rumah kakaknya, Hafsah yang
merupakan isteri Nabi saw, dia ternampak Nabi saw ketika itu sedang qadha’
hajat dalam keadaan mengadap arah Baitul maqdis.
[2]
ketika ini, Abdullah Umar baru amat muda. Hal ini dilihat pada factor umurnya
bahawa semasa hijrah, umurnya baru 10 tahun, sedangkan Hafsah berkahwin dengan
nabi pada tahun ke-3 hijrah.
Ini
dapat difahami bahawa kejadian panjat itu berlaku sewaktu umurnya masih
kanak-kanak lagi, iaitu mungkin dalam lingkungan 13 hingga 14 tahun.
Adapun hadis ini, dia bercerita selepas kewafatan nabi
saw. Dalam erti kata lain, dia menceritakan pengalamannya semasa kecil yang
nampak Nabi sedang qadha’ hajat kepada Wasi’ bin Habban.
[3] Dalam hadis ini, disebut ظَهْرِ
الْبَيْتِ yang diterjemahkan sebagai atas bumbung rumah, tanpa disebut
rumah siapa. Namun, didapati dalam riwayat Muslim disebut على ظهر بيت حفصة atau dalam riwayat
Ibn Khuzaimah dengan disebut دخلت على حفصة بنت عمر
فصعدت ظهر البيت yang dengan itu disimpulkan bahawa rumah yang dipanjat itu
adalah rumah kakaknya yang merupakan isteri Nabi saw.
PENGAJARAN |
[1] BUAT TANDAS DALAM RUMAH
Hadis
ini menjadi dalil bahawa tidak salah membuat tandas dalam rumah. Hal ini
kerana, Ibn Umar melihat Nabi saw sedang Qadha’ Hajat itu ketika nabi di rumah
Hafsah.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، قَالَ: لَقَدْ
ارْتَقَيْتُ عَلَى ظَهْرِ الْبَيْتِ، «فَرَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى لَبِنَتَيْنِ مُسْتَقْبِلَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ
لِحَاجَتِهِ»
“Daripada Abdullah bin Umar: “Sesungguhnya
aku pernah panjat bumbung rumah. Aku pun
nampak Rasulullah saw di atas dua batu bata menghadap Baitulmaqdis sedang qadha’ hajat” (Abu Daud, hadis no: 12)
Andai
dikatakan larangan membuat tandas dalam rumah, semua itu bermuarakan alasan
bahawa syaitan berhimpun di tempat najis. Hal ini merujuk kepada hadis berikut:
عَنْ زَيْدِ بْنِ
أَرْقَمَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: "
إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمُ الْخَلَاءَ
فَلْيَقُلْ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ
Daripada Zaid
bin Arqam, daripada Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya ini adalah tempat
yang kerumun (oleh syaitan). Apabila seseorang kamu masuk ke tempat qadha’
hajat, maka hendaklah dia membaca doa: Aku minta berlindung dengan Allah dari
Syaitan jantan dan syaitan betina” (Abu Daud, hadis no: 6)
Apabila
diteliti dari sudut manat hadis ini, syaitan suka berkerumun bukan bukan kerana
ia semata-mata tandas, tetapi kerumun kerana tempat itu ada najis. Dalam erti
kata lain, syaitan suka di tempat ada najis yang masih belum dibersihkan.
Dalam hadis
ada disebut bahawa seorang Muslimat pada zaman Nabi bernama Hamnah binti Jahsy
bahawa dia bertanya kepada nabi saw berkenaan darahnya yang selalu keluar. Nabi
saw berkata:
إِنَّمَا هِيَ رَكْضَةٌ
مِنَ الشَّيْطَانِ
“Darah itu adalah adalah tekanan dari syaitan” (Tarmizi, hadis
no: 128)
Dalam komentar al-Sun’ani dalam kitab
“Subul al-Salam”:
معناه أن الشيطان قد وجد سبيلا إلى التلبيس عليها في أمر دينها
وطهرها وصلاتها حتى أنساها عادتها
“maknanya, syaitan mendapati jalan untuk menganggu pada
urusan agamanya, kebersihan dan solatnya hingga dia boleh lupa dari hal
kebiasaanya”
Ia memberi maksud bahawa maksud dengan
syaitan suka berhimpun dan berkerumun itu, apabila tempat itu dibiarkan najis
tanpa dibuang atau dibersihkan.
Justeru, apabila dibandingkan dengan
tandas yang ada pada hari ini, ia tidak boleh disamakan dengan kandungan hadis
bahawa syaitan yang berkerumun dan berhimpun. Hal ini kerana, konsep tandas
pada hari ini tidak sama dengan dahulu; apabila selesai qadha’ hajat, dipam dan
flush sehingga najis masuk dalam lubang tandas. Dalam erti kata lain, dilarang itu kerana factor kotoran. Konteks tandas
kita yang sentiasa bersih, tidak termasuk dalam larangan hadis.
[2] QADHA’ HAJAT MENGADAP BAITUL MAQDIS
Dalam hadis ke-10 sudah dijelaskan hukum
qadha’ hajat dalam keadaan mengadap Baitul Maqdis (Sila klik)
Hadis ini sebagai mengukuhkan pendapat mazhab Syafie
dan Hanbali yang menyatakan tidak dilarang qadha' hajat mengadap arah kiblat, jika dalam bangunan. (Sila klik)
Dan sebenarnya, ini juga adalah pendapat Abu Daud. Hal
ini dapat dilihat pada tajuk bab yang beliau sebut: “bab rukhsah pada demikian itu”,
iaitu keizinan mengadap Baitul Maqdis semasa qadha’ Hajat jika dalam bangunan.
BIOGRAFI PERAWI |
[1]
ABDULLAH BIN MASLAHAH AL-QA’NABI (130H-221H)
حَدَّثَنَا عَبْدُ
اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ القعنبي
Dilahirkan di Madinah
dan meninggal di mekah. Dia pernah sampai Madinah dan Basrah.
Dia murid Malik dan
guru al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud.
Sudah dibahas dalam
hadis pertama.
[2] MALIK BIN ANAS
(93H-179H)
عَنْ مَالِكٍ
بن انس
Pengasas Mazhab Maliki. Dilahirkan di Madinah dan mati
di tempat yang sama.
Atuknya bernama MALIK BIN ABI ‘AMIR AL-ASBUHI
AL-HIMYARI; seorang tabiin yang ada meriwayatkan hadis dari Omar bin
al-Khattab, Osman bin Affan, Talhah bin Ubaidullah, Aisyah, Abu Hurairah,
Hassan bin Sabit, ‘Aqil bin Abi Talib dan sebagainya.
Moyangnya bernama ABU ‘AMIR NAFI’ BIN AMRU yang
al-Qadhi Bakar bin al-‘Ala’ al-Qusyairi menyatakan bahawa dia salah seorang
saahabt Rasulullah saw yang terlibat semua peperangan kecuali perang Badar
sahaja.
Ada pula dakwaan lain kata, moyangnya bukan sahabat,
tetapi MUKHDARAM; dia sampai di Madinah selepas Nabi saw sudah wafat.
Imam Malik mempunyai empat orang anak, iaitu Yahya,
Muhammad, Hammad dan Fatimah.
Imam Malik terkenal sebagai seorang yang terkenal
dengan kealiman dalam bidang hadis dan fiqh. Terkenal juga dengan kekuatan
hafalan dan kebijaksaaan.
Ia
adalah pengarang kitab AL-MUWATTA’ yang merupakan kitab hadis yang paling sahih
sebelum penulisan kitab hadis.
Al-Imam
al-Syafie pernah berkata:
ما بعد كتاب الله تعالى كتابٌ أكثرُ
صواباً من موطأ مالك
“Kitab
yang paling benar selepas al-Quran adalah Muwatta’ Malik”
Guru
hadis yang paling lama dia belajar adalah Nafi’, iaitu bekas hamba kepada
Abdullah bin Umar yang sanad Nafi’ adalah dari bekas tuannya itu.
Dia
mengajar hadis di masjid Nabawi. Bahkan, turut mengeluarkan fatwa-fatwa fiqh di
situ.
Imam
Malik antara ulama yang teramat berhati-hati dalam memberikan fatwa kerana
bimbang tersalah dalam fatwa. Ekoran itu, semasa dia memulakan jawapan dari
seorang fiqh, dia akan mulakan dengan menyebut:
ما شاء الله لا قوة إلا بالله
Dan
dia sering menjawab: “Aku tidak tahu”, dalam banyak jawapan-jawapan dari persoalan
fiqh yang dibangkitkan kepadanya.
Dalam
periwayatan hadis, dia amat tegas dari perawi ahli Bid’ah. Dengan sebab itu,
tidak riwayat dari syiah dari beliau.
Sebelum
meninggal dunia, dia sakit selama 22 hari. Jenazah dia dikebumikan di Baqi’,
dan turut menunaikan solat jenazahnya adalah gabenor Madinah, Abdullah bin
Muhammad bin Ibrahim.
[3]
YAHYA BIN SA’ID BIN QIAS BIN AMRU AL-ANSARI
(70H-143H)
يَحْيَى بْنِ
سَعِيدٍ ابن قيس بن عمرو الانصاري
Dilahirkan di Madinah dan meninggal di Baghdad.
Dia adalah salah seorang murid kepada tujuh orang fuqaha’ Madinah dari
kalangan Tabiin yang dikenali sebagai Fuqaha’ al-Sab’ah.
Dikatakan bahawa dia sempat belajar dengan Sa’id bin Musayyib dan Urwah
bin Zubair. Juga sempat menjadi mufti di Madinah dan Qadhi di Iraq.
Ramai ulama akui dia siqah, seperti al-Nasaie, Ibn
al-Madini, al-Asqalani, Abu Zur’ah al-Razi, Ahmad bin Soleh al-Jili, Ibn Sa’ad,
Ibn Hibban dan yahya bin Ma’in.
Namun begitu, terdapat sedikit kritikan seperti dakwaan al-Dimyati, Ibn al-Madini dan yahya bin Said al-Qattani mengatakan bahawa bahawa dia adalah seorang mudallis. Walaubagaimana pun, dia adalah rijal kutub al-Sittah.
[4] MUHAMMAD BIN YAHYA BIN HABBAN (47H-121H)
مُحَمَّدِ بْنِ يَحْيَى بْنِ حَبَّانَ
Dilahirkan di Madinah dan meninggal dunia di tempat
yang sama.
Seorang tabiin, dan banyak meriwayatkan hadis. Dia
adalah salah seorang guru Imam malik yang terkenal dengan kefaqihan bahkan
memberi fatwa.
Dia adalah Rijal Kutub al-Sittah dan diperakui ramai
ulama sebagai siqah.
[5] WASI’ BIN HABBAN
وَاسعِ بْنِ
حَبَّانَ
Bapa saudara kepada Muhammad bin Yahya bin Habbban. Al-Asqalani kata,
dia adalah sahabat. Hal ini kerana, ada riwayat kata, dia terlibat dalam Bai’ah
Ridhwan—semasa perjanjian Hudaibiyyah bersama adiknya, Sa’ad bin Habban.
Di tempat lain pula, al-Asqalani kata, dakwaan bahawa dia adalah sahabat adakah tidak tidak sahih. Al-Ijli mengatakan, dia sekadar Tabiin sahaja.
Bapanya adalah HABBAN BIN WASI’ BIN HABBAN BIN MUNQIZ
BIN AMRU AL-KHAZRAJI. Moyangnya, iaitu HABBAN BIN AL-MUNQIZ adalah sahabat Nabi
yang terlibat dalam perang Uhud dan semua perang selepas itu; dia berasal dari
kalangan orang ansar kabilah Khazraj.
Wasi’ menninggal dunia dalam perang Harrah, tahun 63H.
[6] SAHABAT: ABDULLAH BIN UMAR (10SH-73H)
عَبْدِ اللَّهِ
بْنِ عُمَرَ
Berkenaan Sahabat nabi ini, sudah dijelaskan dalam
hadis ke-11.
PERBAHASAN SANAD |
Hadis
ini SAHIH dengan alasan-alasan berikut;
[a] Sahih atas syarat al-Bukhari
dan Muslim.
[b] Imam al-Bukhari
dan Imam Muslim turut keluarkan hadis ini. Turut keluarkan adalah Abu ‘Awanah dalam
sahihnya.
[c] Imam Tarmizi
mengatakan hadis ini Sahih.
[d] hadis ini turut
disepakati sahih oleh Arnaut dan Albani
TAKHRIJ |
Ibn Majah (322), Muslim (266), Al-Bukhari (145, 148), Al-Nasaie (Kubra—22),
Al-Tarmizi (11), Ahmad (4606), Ibn Hibban (1418)
No comments:
Post a Comment