BAB 18 |
18- بَابُ
كَرَاهِيَةِ مَسِّ الذَّكَرِ بِالْيَمِينِ فِي الِاسْتِبْرَاءِ
“MAKRUH SENTUH ZAKAR DENGAN TANGAN KANAN KETIKA ISTIBRA’”
PENJELASAN: Istibra’ bermaksud membersihkan diri dari
tersisa walaupun sekecil-kecil najis. Walaubagaimana pun, maksud istibra’ dalam
hadis ini termasuk juga makna istinja’.
HADIS 31 |
حَدَّثَنَا مُسْلِمُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ قَالَا: حَدَّثَنَا أَبَانُ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلَا يَمَسَّ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا أَتَى الْخَلَاءَ فَلَا يَتَمَسَّحْ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا شَرِبَ فَلَا يَشْرَبْ نَفَسًا وَاحِدًا»
Status
hadis: sahih
HUBUNGAN HADIS |
Dalam hadis ke-30, dijelaskan bahawa Nabi saw meminta
ampun semasa keluar dari tempat qadha’ hajat.
Dalam hadis ke-31 pula, dijelaskan hukum makruh sentuh
zakar dengan tangan kanan dan istinjak menggunakan tangan kanan
KESAMAAN: seakan-akan Abu Daud mahu gambarkan minta
ampun dengan Allah, bukan ketika kita melakukan perkara haram sahaja, bahkan
ketika kita melakukan perkara makruh pun, digalakkan juga kita minta ampun
dengan Allah.
PENJELASAN HADIS |
Ada beberapa penjelasan dari hadis ini adalah seperti
berikut;
[1] TIGA LARANGAN NABI
Ada tiga perkara yang disebut dalam hadis ini:
a.
Larangan sentuh zakar dengan tangan kanan (tapak
tangan), walaupun ketika kencing.
b.
Jangan istinja’ dengan tangan kanan.
c.
Jangan minum air dengan satu nafas.
[2] MATAN HADIS YANG LAIN
Hadis ini, terdapat juga dalam Sahih al-Bukhari di
beberapa tempat yang kesemuanya bermuara dari sahabat Nabi yang bernama ABU
QATADAH yang ambil hadis darinya adalah anaknya sendiri yang bernama ABDULLAH.
Hadis-hadis tersebut adalah seperti berikut;
عَنْ عَبْدِ
اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا شَرِبَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي
الإِنَاءِ، وَإِذَا أَتَى الخَلاَءَ فَلاَ يَمَسَّ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ، وَلاَ
يَتَمَسَّحْ بِيَمِينِهِ» -
البخاري, 153
عَنْ عَبْدِ
اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ، عَنْ أَبِيهِ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَأْخُذَنَّ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ،
وَلاَ يَسْتَنْجِي بِيَمِينِهِ، وَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ» - البخاري, 154
عَنْ عَبْدِ
اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا شَرِبَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ،
وَإِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَمْسَحْ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا تَمَسَّحَ
أَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَمَسَّحْ بِيَمِينِهِ» - البخاري, 5630
PENGAJARAN |
Ada beberapa pengajaran yang boleh diambil dari hadis
ini;
[1] HUKUM SENTUH ZAKAR DENGAN TANGAN KANAN
Ada beberapa isu yang berbangkit dalam hal ini
ISU 1: SENTUH DENGAN TAPAK ATAU BELAKANG TANGAN
Menurut IMAM AL-SYAFIE dan IMAM MALIKI, yang
dimaksudkan sentuh di sini adalah sentuhan dengan tapak tangan sahaja.
Adapun HANAFI dan HANBALI, mereka menyatakan maksud
sentuh dalam hadis ini adalah tapak dan belakang tangan.
ISU 2: HARAM ATAU MAKRUH?
JUMHUR ULAMA (TERMASUK SYAFIE) menyatakan, sentuh
zakar menggunakan tangan kanan ketika kencing adalah MAKRUH.
Hujah mereka adalah, asal sesuatu larangan adalah
haram kecuali ada QARINAH yang kata makruh.
Qarinah yang memalingkan makna haram kepada makruh itu
konteks hadis tidak lebih sekadar adab dan sopan sahaja. Tambahan pula, tangan
kanan sesuai untuk makan—tidak sesuai digunakan untuk memegang kemaluan.
Pendapat ZAHIRI dan AHMAD mengatakan, hukum sentuh
zakar dengan tangan kanan ketika kencing itu adalah HARAM
Hujah mereka adalah merujuk kepada kaedah usul bahawa
asal larangan adalah haram selama tidak ada qarinah untuk jadi makruh.
Alasan Qarinah sopan dan adab tidak dapat diterima
oleh mereka untuk menjadikan hukumnya makruh. Makanya, mereka kekalkan hukum
larangan dalam hadis adalah haram.
ISU 3: KENCING vs SELAIN KENCING?
Menurut IMAM AL-NAWAWI dan IBN TAIMIYYAH, walaupun
hadis ini menyebut dalam hal kencing, tetapi pada mereka hukum makruh sentuh
kemaluan itu turut sama dengan hukum selain dari kencing.
Dalam erti kata yang lain, andai menyentuh zakar
dengan tangan kanan ketika bersetubuh, pada mereka anggap hukumnya adalah
makruh juga.
Walaubagaimana pun, IBN HAJAR AL-ASQALANI bahawa AL-IMAM
AL-BUKHARI pula berpendapat bahawa dalam hadis disebut secara khusus dalam hal
kencing. Justeru, tidak boleh dianggap makruh jika sentuh zakar dalam hal yang
lain.
[2] BATAL WUDUK SENTUH ZAKAR
Dari hadis ini, dinyatakan larangan menyentuh zakar. Justeru,
lahir perbincangan dalam kalangan ulama fiqh berkenaan batal wuduk jika sentuh
kemaluan.
PENDAPAT PERTAMA:
Batal wuduk jika sentuh kemaluan. Ini adalah pendapat MAZHAB
SYAFIE dan HANBALI.
Hujah-hujah mereka adalah seperti berikut:
[a] Hadis—daripada Busrah binti Safwan berkata bahawa
dia dengar Nabi saw bersabda:
مَنْ مَسَّ
ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ
“Barangsiapa yang sentuh zakarnya, maka hendaklah dia berwuduk” (Abu
Daud, hadis no: 181)
ISTIDLAL: Dalam hadis ini, nabi saw suruh berwuduk apabila menyentuh
zakar. Justeru, mereka simpulkan bahawa sentuh zakar boleh menyebabkan wuduk
batal.
[b] hadis—Abdullah bin Umar berkata:
إِذَا مَسَّ
أَحَدُكُمْ ذَكَرَهُ فَقَدْ وَجَبَ عَلَيْهِ الْوُضُوءُ
“Apabila seseorang kamu memegang zakarnya, maka wajib dia berwuduk”
(Muwatta’, hadis no: 129)
ISTIDLAL: kewajipan berwuduk apabila menyentuh zakar disebut oleh
sahabat Nabi, iaitu Abdullah bin Umar.
PENDAPAT KEDUA: TIDAK BATAL
Ini adalah pendapat Mazhab HANAFI.
Hujah mereka adalah merujuk kepada hadis—daripada Qais
bin Talq, dari bapanya yang bernama Talq bin ‘Ali berkata:
سَأَلَ رَجُلٌ رَسُولَ
اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيَتَوَضَّأُ أَحَدُنَا إِذَا مَسَّ
ذَكَرَهُ؟ قَالَ: " إِنَّمَا هُوَ بَضْعَةٌ مِنْكَ أَوْ جَسَدِكَ
“Seseorang lelaki bertanya Rasulullah saw, apakah
perlu seseorang kami berwuduk apabila menyentuh zakar? Jawab nabi: zakar itu
adalah salah satu entity dari badan (jasad) kamu” (Muwatta’, hadis no: 16286)
ISTIDLAL: Hukum asal adalah tidak batal kecuali ada
nas yang sahih dan sarih kata batal. Hadis ini membuktikan bahawa sentuh zakar
tidak membatalkan wuduk.
Walaubagaimana pun, bagaimana pula dengan hadis-hadis
yang dijadikan sandaran dalam mazhab yang mengatakan batal wuduk pula?
Dihujahkan seperti berikut:
Pertama, hadis Abdullah bin Umar itu bukan perkataan
Nabi, tetapi kenyataan Abdullah bin Umar. menandakan ia bukan wahyu. Justeru,
hadis itu tidak valid untuk dijadikan sandaran bahawa batal wuduk dengan sebab
sentuh zakar.
Kedua, hadis Talq bin ‘Ali menyatakan illat hukum,
iaitu tidak batal wuduk itu, illat hukumya adalah zakar itu adalah salah satu
entity jasad manusia juga. Adapun hadis Busrah binti Sofwan, ia tidak
dinyatakan illat hukum.
Dalam metode Usul al-Fiqh mazhab Hanafi, apabila
bertembung antara hadis yang ada illat dengan hadis yang tidak ada illat, maka
didahulukan hadis yang ada illat.
Dalam hal ini, hadis tidak batal wuduk itu ada illat.
Maka, diambil hadis yang ada illat.
Apatah lagi, hadis Busrah itu terbuka kepada
penakwilan. Hal ini kerana, suruha berwuduk kerana sentuh zakar itu boleh
sahaja dianggap suruhan sunat, bukan bermaksud batal wuduk; ataupun seperti
takwilan sebilangan ulama mazhab maliki yang menyatakan bahawa suruhan itu
melibatkan kepada sentuhan zakar yang boleh menaikkan syahwat. Dalam erti kata
yang lain, batal wuduk itu bukan kerana sentuhan, tetapi factor syahwat ekoran
sentuhan dan sebagainya.
Bagi pendapat Ibn Taimiyyah pula, sentuh zakar tidak
membatalkan wuduk. Namun, terlebih utama berwuduk juga.
[3] SENTUH FARAJ BAGI WANITA
Apabila dalam hadis menyatakan sentuh zakar yang
membatalkan wuduk, bagaimana pula hukum perempuan menyentuh farajnya?
PERTAMA, tidak terdapat satu al-Quran dan hadis secara
sarih menyatakan hukum wuduk bagi wanita menyentuh kemaluan.
KEDUA, apabila tidak ada nas sarih, makanya diserahkan
kepada ijtihad ulama.
Dalam kalangan ulama, terdapat dua pendapat berikut;
PENDAPAT
PERTAMA: BATAL WUDUK PEREMPUAN YANG SENTUH FARAJNYA.
Hujah
mereka adalah kembali kepada kaedah bahawa hukum perempuan sama dengan hukum
lelaki kecuali ada nas khusus bagi wanita dalam menyatakan sebaliknya.
Dalam
erti kata lain, hukum wanita sentuh farajnya adalah batal wuduknya, sama
seperti lelaki menyentuh zakarnya kerana faraj dan zakar adalah sama-sama
kemaluan.
PENDAPAT
KEDUA: TIDAK BATAL.
Ini
pendapat Hanafi dan Suhnun (salah seorang ulama dalam Mazhab maliki).
Pendapat
ini menyatakan, hukum berkenaan penentuan batal wuduk adalah ta’abbud. Justeru,
kekalkan hukum tidak batal kecuali ada nas secara khusus menyebut batal.
Yang
pasti, tidak ada nas khusus menyebut bahawa perempuan menyentuh kemaluan itu
batal wuduk. Makanya, disimpulkan bahawa wanita sentuh faraj tidak membatalkan
wuduknya.
Maksud
dengan faraj dalam perbincangan ini adalah pada halaqah faraj. Hukumnya sama
dengan menyentuh halaqah dubur.
[4] ISTINJAK DENGAN TANGAN KANAN
Maksud istinjak dalam hadis ini adalah membersihkan
tempat keluar najis (kencing atau berak) menggunakan tangan kanan, sama ada
dengan batu atau air.
JUMHUR ULAMA termasuk MAZHAB SYAFIE menyatakan
hukumnya adalah MAKRUH, walaupun dilakukan itu secara sengaja.
Dalilnya
mereka adalah seperti berikut;
[a]
hadis ini merujuk kepada adab sopan, bukan hukum halal dan haram.
[b]
Semua hukum dalam hadis ini (sentuh kemaluan dengan tangan kanan, minum air
dengan satu nafas) adalah makruh. makanya, hukum instinjak juga adalah makruh.
[5] MINUM SATU NAFAS
Dalam hadis ini nabi ada melarang dari minum dengan
satu nafas sahaja. Maksud minum satu nafas itu dijelaskan oleh al-‘Azim Abadi
dalam Aun al-Ma’bud, iaitu hendaklah dia minum air seteguk, kemudian dia
berhenti. Kemudian dia minum pula pada teguk kedua. Begitulah sehingga selesai
minum air.
Dalam erti kata lain, bukan satu botol air diminum
dengan satu teguk sahaja, sepertimana dalam hadis—daripada Ibn Abbas bahawa
nabi saw bersabda:
لَا تَشْرَبُوا
وَاحِدًا كَشُرْبِ البَعِيرِ، وَلَكِنْ اشْرَبُوا مَثْنَى وَثُلَاثَ، وَسَمُّوا
إِذَا أَنْتُمْ شَرِبْتُمْ، وَاحْمَدُوا إِذَا أَنْتُمْ رَفَعْتُمْ
“Jangan kamu minum air satu teguk sepertimana unta
minum air. Tetapi, hendaklah kamu minum dua kali atau tiga kali. Bacalah
bismillah apabila kamu minum. Dan ucaplah alhamdulillah apabila kamu angkat
(bibir kamu dari mulut gelas air minum)” (al-Tarmizi, hadis no: 1885—doif)
Larangan minum air yang banyak dengan satu teguk dalam
hadis ini adalah makruh.
Dilihat dalam beberapa hadis berkenaan minum air
adalah seperti berikut;
Pertama, Anas minum bernafas sebanyak tiga
kali—Daripada Sumamah bin Abdullah berkata:
كَانَ أَنَسٌ،
يَتَنَفَّسُ فِي الإِنَاءِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا، وَزَعَمَ أَنَّ النَّبِيَّ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَنَفَّسُ ثَلاَثًا
“Anas bernafas
dalam bekas air (semasa minum) dengan dua kali atau tiga kali. Dia menyangka
bahawa Rasulullah saw bernafas dengan tiga kali” (al-Bukhari, hadis no: 5631)
Kedua, Nabi
larang bernafas dan tiup air minum. Hadis—daripada Ibn Abbas berkata:
نَهَى رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُتَنَفَّسَ فِي الْإِنَاءِ، أَوْ
يُنْفَخَ فِيهِ
“Rasulullah
saw larang bahawa bernafas dalam bekas air atau ditiup padanya” (Abu Daud,
hadis no: 3728)
Ketiga, Nabi
larang tiup makanan dan minuman. Hadis—daripada Ibn Abbas berkata:
لَمْ يَكُنْ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَنْفُخُ فِي طَعَامٍ، وَلَا
شَرَابٍ، وَلَا يَتَنَفَّسُ فِي الْإِنَاءِ
“Rasulullah
tidak tiup pada makanan, pada minuman, dan tidak bernafas dalam bejana air”
(Ibn Majah, hadis no: 3288)
Hadis dinilai
doif kerana ada perawi bernama SYARIK BIN ABDULLAH AL-QADHI yang buruk hafalannya. Walaubagaimana pun, hadis yang sama terdapat dalam
riwayat sahih—daripada Ibn Abbas berkata:
نَهَى رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ النَّفْخِ فِي الطَّعَامِ
وَالشَّرَابِ
“Rasulullah
melarang dari tiup pada makanan dan minuman” (Ahmad, hadis no: 2817)
BIOGRAFI PERAWI |
Hadis ini, imam Abu Daud ambil dari dua orang guru.
Guru pertama:
[5] MUSLIM BIN IBRAHIM AL-AZDI (130H-222H)
مُسْلِمُ بْنُ
إِبْرَاهِيمَ الأزدي
Dia adalah guru kepada Imam Bukhari juga. Walaupun
Imam Muslim tidak belajar dengan dia, tetapi ada beberapa hadis riwayat dia
terdapat dalam sahih Muslim.
Nama dia sudah disebut dalam hadis ke-23 yang lalu.
Guru kedua Imam Abu Daud yang beliau ambil hadis ini
adalah:
[5] MUSA BIN ISMAIL AL-MUNQARI AL-TABUZKI (223H)
مُوسَى بْنُ
إِسْمَاعِيلَ المنقري التبوذكي
Dia juga guru Imam al-Bukhari. Walaupun dia bukan guru kitab sittah,
tetapi dalam kitab Sahih muslim, Sunan Tarmizi, Abu Daud dan Ibn Majah,
didapati namanya tercatat.
Nama dia juga sudah disebut dalam hadis ke-3 dan ke-10 yang lalu.
Kedua-dua guru Imam Abu Daud ini mengambil hadis dari guru yang bernama:
[4] ABU YAZID ABAN BIN YAZID AL-ATTAR AL-BASRI (160H)
ابو يزيد أَبَانُ ابن يزيد العطار البصري
Ulama basrah ini
merupakan salah seorang Rijal Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi dan al-Nasaie.
Adapun imam Bukhari, dia hanya ambil hadisnya secara Mutaba-ah sahaja. Dari
kalangan imam kutub Sittah, hanya Imam Ibn Majah sahaja tidak ambil hadis
darinya.
Terdapat beberapa TAJRIH
yang dilakukan ulama hadis terhadapnya. Antaranya didakwa bahawa dia seorang
penganut Qadariyyah, seperti dakwaan Ahmad bin Soleh al-Jili. Walaubagaimana
pun, al-Jili tetap mengakui dia adalah seorang siqah. Apatah lagi, dia tidak
pernah sebarkan fahamannya itu.
Di sisi lain, Hammam
bin Yahya bin Dinar al-‘Uzi العوذي
mengakui dia siqah, tetapi kadangkala berlaku waham.
Abu
al-Abbas al-Kudaimi mendoifkan Aban. Namun, ia dibantah oleh Ibn Hajar dengan
menyatakan al-Kudaimi tidak boleh dipercayai. Walaubagaimana pun, Ibn al-Jawzi
senaraikan salah seorang perawi dhu’afa (senarai perawi lemah).
Dia
adalah perawi yang hasan, dan riwayatnya tidak terus diterima kecuali perlu
diadakan penelitian terlebih dahulu.
[3]
YAHYA BIN ABI KATHIR (129H)
يحي ابن ابي
كثير
Nama betul dia adalah YAHYA BIN SOLEH BIN
AL-MUTAWAKKIL AL-TAIE. Dia meninggal di Madinah.
Dia merupakan salah seorang dari rijal kutub
al-Sittah. Pun begitu, terdapat TAJRIH ulama terhadapnya. Antaranya, Ibn Hajar
dan al-‘Uqaili kata bahawa dia selalu buat tadlis dan mursalkan hadis. Pun
begitu, Ibn hajar akui dia seorang siqah dan sabat.
Di tempat yang lain, Ibn Hajar ada juga nyatakan
bahawa dia tidak mendengar hadis dari mana-mana sahabat Nabi. Tidak dinafikan
dia ada melihat Anas bin Malik, tetapi dia tidak pernah mendengar hadis dari
sahabat Nabi itu.
Dia adalah perawi siqah dan sahih, tetapi riwayatnya
perlu diteliti terlebih dahulu.
[2] ABDULLAH BIN ABI QATADAH (95H)
عَنْ عَبْدِ
اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ
Dia
adalah anak kepada sahabat Nabi yang bernama al-Haris bin Rib’I al-Ansari. Dia
meninggal di Madinah.
Dia
salah seorang dari rijal Kutub al-Sittah. Dia perawi siqah lagi sahih.
[1]
SAHABAT: ABU QATADAH BIN RIB’IE AL-ANSARI (16SH-54H)
ابو قتادة بن ربعي
الأنصاري السلمي
Berbagai dakwaan terdapat nama sebenarnya. Ada kata,
nama sebenarnya adalah al-Haris. Ada pula kata, al-Nu’man. Ada pula kata,
‘Amru.
Dia adalah sahabat nabi dari kalangan orang Ansar.
Walaupun dia masuk islam awal, tetapi dia tidak terlibat dalam perang Badar. Namun,
selepas keterlibatan dia dalam perang Uhud, dia tidak pernah tertinggal dari
keterlibatan dia dalam semua perang bersama dengan Nabi saw.
Dia dikenali sebagai tentera berkuda Nabi saw ekoran
ketangkasan dia dalam memacu kuda dalam perang.
Dia meninggal dunia, sewaktu umurnya 70 tahun.
PERBAHASAN SANAD |
[1] SANAD ABU DAUD:
حَدَّثَنَا
مُسْلِمُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، وَمُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ، قَالَا: حَدَّثَنَا
أَبَانُ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ، عَنْ
أَبِيهِ
[2] STATUS
HADIS: SAHIH
Hadis ini sahih dengan
alasan-alasan berikut:
[a] sanadnya sahih
atas syarat al-Bukhari dan Muslim.
[b] Ibn Khuzaimah dan
Abu 3awanah sebut dalam kitab sahih masing-masing.
[c] Al-Tarmizi kata
sahih.
[d] hadis disepakati
sahih oleh ALBANI dan ARNAUT.
TAKHRIJ |
Bukhari (153), Muslim
(267), al-Tarmizi (15), al-Nasaie (Kubra-28, 29, 41), Ibn Majah (310), Ahmad
(19419), Ibn Hibban (1434)
No comments:
Post a Comment