Showing posts with label MAKRUH MENGADAP KIBLAT KETIKA QADHA’ HAJAT. Show all posts
Showing posts with label MAKRUH MENGADAP KIBLAT KETIKA QADHA’ HAJAT. Show all posts

Sunday, February 27, 2022

HADIS 11

 

HADIS 11

 

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَى بْنِ فَارِسٍ حَدَّثَنَا صَفْوَانُ بْنُ عِيسَى عَنِ الْحَسَنِ بْنِذَكْوَانَ عَنْ مَرْوَانَ الْأَصْفَرِ قَالَ:  رَأَيْتُ ابْنَ عُمَرَ أَنَاخَ رَاحِلَتَهُ مُسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةِ، ثُمَّ جَلَسَ يَبُولُ إِلَيْهَا، فَقُلْتُ: يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ، أَلَيْسَ قَدْ نُهِيَ عَنْ هَذَا؟ قَالَ: بَلَى إِنَّمَا «نُهِيَ عَنْ ذَلِكَ فِي الْفَضَاءِ، فَإِذَا كَانَ بَيْنَكَ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ شَيْءٌ يَسْتُرُكَ فَلَا بَأْسَ»

Daripada Marwan al-Asfar berkata: “Aku pernah melihat Ibnu Umar “parking” untanya menghadap kiblat, lalu dia duduk dan buang air kecil dalam keadaan menghadapnya, lalu Aku bertanya: "Wahai Abu Abd al-Rahman, bukankah hal ini telah dilarang?" Dia menjawab: "Benar, akan tetapi hal itu dilarang jika dilakukan di tempat terbuka, apabila antara dirimu dan kiblat ada sesuatu yang menutupimu, maka itu tidaklah mengapa”.

 

Status hadis: Hasan

 

PENJELASAN HADIS

 

[1] Hadis ini mengisahkan Ibn Umar telah kencing mengadap arah kiblat, tetapi dalam keadaan dia mengadap ke arah kenderaannya, iaitu unta. Tindakan itu mendapat teguran dari temannya. Namun, dia jelaskan bahawa yang dimaksudkan larangan mengadap arah kiblat semasa qadha’ hajat itu jika di padang lapang. Jika ada dinding atau sesuatu yang mengalang antara orang yang qadha’ hajat dan kiblat, ia tidak termasuk maksud larangan.

 

[2] hadis ini adalah penjelasan Ibn Umar, bukan perkataan atau perbuatan nabi saw. hadis ini boleh dianggap sebagai MAWQUF secara lafaz, tetapi mengandungi maksud MARFU’ dari sudut makna, kerana beberapa hujah berikut;

 

Pertama, dalam hadis ke-12 nanti, akan dibawakan riwayat Ibn Umar juga bahawa dia lihat nabi saw qadha’ hajat dalam keadaan mengadap kiblat.

 

Kedua, dalam hadis ini, disebut نُهِيَ عَنْ ذَلِكَ فِي الْفَضَاءِ – iaitu, dilarang demikian itu; perkataan DILARANG itu kata perbuatan dalam bentuk pasif. Walaupun tidak disebut siapa yang melarang, tetapi tersirat disebalik maksudnya adalah penafsiran dia terhadap apa yang dia faham dari Nabi saw.

 

HUBUNGAN HADIS

 

Dalam hadis ke-10, dijelaskan bahawa nabi saw melarang mengadap kiblat semasa qadha’ hajat.

 

Dalam hadis ke-11 ini pula, dijelaskan bahawa Ibn Umar mentakhsiskan hadis ke-10 dengan menganggap bahawa larangan mengadap kiblat semasa qadha’ hajat itu jika di padang lapang. Namun, jika dalam bangunan atau ada penghalang antara orang yang qadha’ hajat dan kiblat, seperti dinding, atau kenderaan atau sebagainya; ia tidak termasuk maksud larangan.

 

PENGAJARAN

 

MENGADAP KIBLAT SEMASA QADHA’ HAJAT KETIKA DALAM BANGUNAN

 

Ada khilaf ulama dalam hal ini seperti berikut:

 

PERTAMA: HARUS

 

Ini adalah pendapat Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali.

 

Dalam hujahan mereka, yang dikatakan larangan mengadap kiblat semasa qadha’ hajat dalam hadis-hadis yang lepas (hadis ke-10, hadis ke-9, hadis ke-8 dan hadis ke-7) adalah jika di padang lapang. Namun, tidak termasuk dalam maksud larangan jika dalam bangunan.

 

KEDUA: MAKRUH

 

Ini adalah pendapat Mujahid, Nakhaie dan Abu Hanifah.

 

Dalam hujahan mereka, tujuan larangan mengadap kiblat semasa qadha’ hajat adalah hormati kiblat, yang sudah pasti bukan ketika di padang lapang sahaja, bahkan dalam bangunan pun perlu juga hormati kiblat.

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[1] MUHAMMAD BIN YAHYA ABDULLAH BIN KHALID BIN FARIS BIN ZUAIB AL-ZAHLI (172H-258H)

مُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَى بن عبد الله بن خالد بْنِ فَارِسٍ بن ذؤيب الذهلي

 

Dilahirkan di Naisabur dan meninggal di Khurasan. Dia pernah sampai ke Basrah, Baghdad, Mekah, Yaman, syam dan mesir.

 

Abu Bakar bin Abi daud menggelarkan dia sebagai Amirul Mukminin dalam hadis. Al-Zahabi pula kata, dia adalah imam ahli hadis di Khurasan.

 

Dia tidak pernah berjumpa dengan Yahya bin Sa’id al-Qattan. Dia menyatakan, semasa dia sampai di Basrah, dia dapati orang sedang sebuk mengurus jenazah Yahya untuk dikebumikan.

 

Dia menghimpunkan banyak riwayat-riwayat hadis yang diketahui oleh al-Zuhri sehingga dia ada mengarang kitab bertajuk “Ilal Hadis al-Zuhri”. Kemahiran dia berkenaan al-Zuhri diakui oleh Ahmad bin Hanbal.

 

al-Hakim mengatakan bahawa dia adalah guru Imam al-Bukhari (hadis no: 7155).

 

Disamping Abu Daud, dia juga guru Imam al-Tarmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah.

 

[2] SAFWAN BIN ISA AL-QURASHI AL-ZUHRI AL-BASRI (198H)

صَفْوَانُ بْنُ عِيسَى القرشي الزهري البصري

 

Dilahir di Basrah dan meninggal di tempat yang sama.

 

Menurut al-Zahabi, dia adalah rijal kutub al-Sittah. Namun, didapati al-Bukhari meriwayatkan hadisnya secara ta’liq sahaja.

 

[3] ABU SALAMAH AL-HASAN BIN ZAKWAN AL-BASRI

ابو سلمة الْحَسَنِ بْنِ ذَكْوَانَ البصري

 

Yahya pernah kata, dia adalah mungkar al-Hadis. Ahmad bin Hanbal dan Zakaria bin Yahya al-Saji kata, hadis-hadisnya batil. Al-Nasaie, Abu Hatim al-Razi, Abu Zur’ah al-Razi dan al-Daraqutni mengatakan dia Doif. Ibn Hajar al-Asqalani kata, dia seorang mudallis hadis yang al-Iraqi menyebut bahawa individu yang dia tadliskan itu adalah Amru bin Khalid. Abu Daud menyatakan bahawa dia adalah berfahaman Qadariyyah. Turut mengakui perkara yang sama adalah Ibn Hajar al-Asqalani.

 

Namun begitu, terdapat satu hadis riwayatnya yang diambil oleh al-Bukhari, iaitu dalam kitab al-Riqaq seperti berikut;

 

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنِ الحَسَنِ بْنِ ذَكْوَانَ، حَدَّثَنَا أَبُو رَجَاءٍ، حَدَّثَنَا عِمْرَانُ بْنُ حُصَيْنٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «يَخْرُجُ قَوْمٌ مِنَ النَّارِ بِشَفَاعَةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَدْخُلُونَ الجَنَّةَ، يُسَمَّوْنَ الجَهَنَّمِيِّينَ»

“satu kaum akan keluar dari neraka dengan syafaat Nabi Muhammad. Mereka pun masuk ke syurga. Mereka digelar sebagai “al-Jahanamiyyin” (al-Bukhari, hadis no: 6566)

 

[4] ABU KHALAF MARWAN AL-ASFAR BIN KHAQAN AL-BASRI

ابو خلف مَرْوَانَ الْأَصْفَرِ بن خاقان البصري

 

Tabiin dari Basrah. Dalam al-Bukhari, dikatakan dia ambil hadis dari Anas bin malik dan Ibn Umar.

 

Dia adalah salah seorang perawi yang disenaraikan oleh Ibn Hibban dalam kitab al-Siqat. Dia juga adalah rijal al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi.

 

[5] ABDULLAH BIN UMAR (10SH-73H)

 عبدالله ابْنَ عُمَرَ

 

 

Dia adalah anak kepada Saidina Umar bin al-Khattab yang terkenal dengan periwayatan hadis serta kafaqihan ilmu. Dilahirkan di Mekah dan mati di Mekah juga.

 

Adik beradik si ibu sebapa dengan Hafsah (isteri Nabi saw) yang nama ibunya ZAINAB BINTI MAZ’UN.

 

Antara sahabat yang banyak mengeluarkan fatwa dan banyak riwayatkan hadis.

 

Masuk islam semasa di mekah, bersama dengan bapanya, Saidina Umar.

 

Awal terlibat perang adalah perang Khandaq yang ketika itu berumur 15 tahun. Sebelum itu tidak berperang, kerana Nabi tidak izin ekoran umurnya terlalu muda.

 

Dia meninggal pada era Hajjaj Yusuf al-Saqafi yang Hajjaj turut menunaikan solat jenazahnya.

 

Dikatakan badannya agak gemuk dan kepalanya botak. Dia suka pakai wangian. Cincinnya tertulis Namanya “Abdullah bin Umar”.

 

Jawatan-jawatan yang ditawarkan dan dia tolak adalah jawatan qadhi pada era Osman dan jawatan Gabenor di Syam pada era Ali.

 

PERBAHASAN SANAD

 

Ada tiga pendapat ulama berkenaan status hadis ini.

 

PERTAMA: DOIF

 

Ini adalah pendapat AL-ARNAUT. Alasan beliau adalah pada perawi yang bernama AL-HASAN BIN ZAKWAN yang kritikan terhadapnya amat banyak dan sukar untuk dipertahankan.

 

KEDUA: SAHIH

 

Ini adalah pendapat AL-HAKIM yang disokong oleh AL-ZAHABI. Alasannya, ia sahih mengikut syarat al-Bukhari, iaitu semua perawi-perawi hadis ini adalah rijal al-Bukhari, termasuk AL-HASAN BIN ZAKWAN.

 

KETIGA: HASAN

 

Ini adalah pendapat ALBANI. Beliau simpulan begitu dengan alasan berikut;

 

[a] al-Munziri diam berkenaan status hadis ini. Bermakna, berkemungkinan al-Munziri tidak menolak hadis ini.

[b] al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani kata dalam kitab al-Fath bahawa sanadnya tidak ada masalah.

[c] al-Hazimi mengatakan, hadis ini hasan.

[d] al-Daraqutni kata, semua perawi hadis ini siqah.

 

Namun begitu, kritikan terhadap hadis ini semuanya bermuarakan dari perawi bernama AL-HASAN BIN ZAKWAN. Walaupun kritikan terhadapnya amat kuat, tetapi tidak semua ulama hadis menolak riwayatnya dengan alasan berikut;

 

[a] al-Zahabi menganggap bahawa al-Hasan sebagai soleh al-Hadis.

[b] al-Bukhari ada bawakan satu hadis riwayat al-Hasan (hadis no: 6566)

[c] Ibn Hajar dalam pada mengatakan dia melakukan kesalahan, tetapi tetap akui bahawa dia Soduq.

 

Melihat kepada alasan-alasan ini, ALBANI tidak mendoifkan hadis ini sepertimana AL-ARNAUT, bahkan tidak mengambil pendekatan AL-HAKIM yang mengatakan sahih kerana mengambil kira kritikan ramai ulama hadis terhadap AL-HASAN BIN ZAKWAN. Justeru, ALBANI simpulkan hadis ini sebagai HASAN.

 

Apatah lagi, hadis ini ada SYAWAHID, iaitu melibatkan sahabat Nabi bernama JABIR BIN ABDILLAH dalam hadis ke-13 akan datang dan ada MUTABA-AH MAKNA, iaitu pada hadis ke-12 nanti.

 

TAKHRIJ

 

Ibn Jarud (al-Muntaqa: 32), Ibn Khuzaimah (60), Al-Daraqutni (161), Ibn Syahin (nasikh al-hadis: 84), Al-Hakim (1/154), Al-Baihaqi (1/92).

 

Saturday, February 26, 2022

HADIS 10

 

HADIS 10

 

حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا وُهَيْبٌ حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ يَحْيَى عَنْ أَبِي زَيْدٍ عَنْ مَعْقِلِ بْنِ أَبِي مَعْقِلٍ الْأَسَدِيِّ، قَالَ:  «نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَتَيْنِ بِبَوْلٍ أَوْ غَائِطٍ»

 

قَالَ أَبُو دَاوُدَ: وَأَبُوزَيْدٍ هُوَ مَوْلَى بَنِي ثَعْلَبَةَ

 

Daripada Ma’qil bin Abi Ma’qil al-Asadi berkata: “Rasulullah saw melarang kita menghadap dua kiblat pada saat buang air besar atau buang air kecil”

 

Abu Daud mengatakan: “Abu Zaid adalah bekas hamba Bani Tsa'labah”

 

status hadis: doif

PERBAHASAN LAFAZ

 

Dalam hadis ini, disebut DUA QIBLAT yang al-‘Azim Abadi nyatakan, maksudnya adalah BAITULLAH AL-HARAM dan BAITUL MAQDIS.

 

PERBAHASAN SANAD

 

Hadis ini dinilai DOIF dengan alasan-alasan berikut;

 

[a] ABU ZAID Maula Bani Tsa’labah merupakan seorang yang MAJHUL.

[b] hadis ini di semua kitab-kitab hadis, semua sanadnya bermuarakan dari ABU ZAID. Bermakna, hadis ini tafarrud dari perawi doif.

 

Dengan sebab itu, ALBANI menganggap hadis ini sebagai MUNGKAR, sedangkan ARNAUT anggap hadis ini sebagai doif.

 

Walaubagaimana pun, Imam al-Nawawi mengatakan sanad hadis ini baik dengan alasan bahawa Imam Abu Daud tidak memberi komentar berkenaan hadis ini. Justeru,  dianggap bahawa kemungkinan Abu Daud tidak mendoifkannya.

 

HUBUNGAN HADIS

 

Hadis ke-9, digambarkan bahawa Nabis aw melarang mengadap ke Kiblat semasa qadha’ hajat.

 

Pada hadis ke-10 ini pula, dijelaskan hal yang sama. Cuma ditambah satu lagi, iaitu dimasukkan juga larangan mengadap ke arab Baitul Maqdis.

 

PENJELASAN HADIS

 

Hadis ini, walaupun DOIF atau MUNGKAR dari sudut sanad, tetapi kandungannya tidak salah untuk dibuat hujah.

 

Hal ini melihat kepada matan hadis yang kandungannya ada disebut dalam hadis-hadis sahih yang lain, iaitu melibatkan hal larangan mengadap arah qiblat semasa qadha’ hajat.

 

Tambahan pula, sahabat yang meriwayatkan hadis berkenaan larangan mengadap arah kiblat semasa qadha’ hajat itu adalah sahabat-sahabat yang berbeza, seperti hadis ke-7 melibatkan Salman al-Farisi, hadis ke-8 melibatkan Abu Hurairah dan hadiske-9 melibatkan Abu Ayub al-Ansari.

 

PENGAJARAN

 

[1] HORMAT BAITUL MAQDIS

 

Dalam perbincangan hadis ke-9, dijelaskan khilaf dalam kalangan ulama berkenaan mengadap kiblat semasa qadha’ hajat dalam bangunan.

 

Semua sepakat bahawa yang dimaksudkan kiblat adalah merujuk kepada BAITULLAH AL-HARAM. Namun, berlaku kekhilafan dalam kalangan ulama berkenaan dengan hukum qadha’ hajat dalam keadaan mengadap Baitul Maqdis.

 

Kekhilafan itu adalah seperti berikut;

 

PERTAMA: SAMA DENGAN HUKUM BAITULLAH AL-HARAM JUGA.

 

Al-‘Azim Abadi menyatakan bahawa hukum haram mengadap arah Baitul Maqdis sama sepertimana hukum mengadap arah Baitullah al-Haram.

 

Selain hadis ini, hujah lain yang dikemukakan adalah bahawa Baitul Maqdis adalah pernah menjadi kiblat bagi umat Islam pada suatu masa dahulu. Justeru, ia wajib diberikan penghormatan sama seperti Baitullah al-haram.

 

KEDUA: HUKUM MAKRUH

 

Dalam pandangan Mazhab Syafie sepertimana dalam kupasan al-Imam al-Nawawi, fatwa haram qadha’ hajat adalah jika mengadap BAITULLAH AL-HARAM.

 

Namun, jika mengadap BAITUL MAQADIS, hukumnya adalah MAKRUH, bukan haram.

 

Hujah mazhab Syafie ini adalah seperti berikut:

 

[a] larangan terhadap Baitullah adalah jelas. Namun, larangan berkaitan dengan Baitul Maqdis tidak jelas.

 

Tidak jelas itu kerana hadis ke-9: iaitu Nabi saw menyuruh agar ke timur atau ke barat, jika didapati hendak qadha’ hajat itu sedang mengadap ke arah BAITULLAH AL-HARAM.

 

Dalam erti kata lain, suruhan hadis terbabit khusus untuk penduduk Madinah sahaja, kerana apabila mereka mengadap arah Baitullah, sudah pasti mereka membelakangkan Baitul maqdis. Oleh yang demikian, jika berada ditempat selain Madinah, tidak timbul suruhan agar berpaling ke timur atau ke barat ketika Qadha’ Hajat.

 

[b] hadis yang menjadi dasar larangan mengadap kepada Baitul Maqdis adalah adalah hadis bab ini yang sudah dijelaskan bahawa statusnya adalah Doif atau mungkar.

 

Justeru, disimpulkan hukum mengadap arah Baitul Maqdis semasa Qadha’ Hajat adalah MAKRUH sahaja, bukan haram  dengan alasan-alasan berikut;

 

[a] hukum asal adalah larangan mengadap arah Baitullah al-haram, sedangkan hukum mengadap Baitul Maqdis adalah hukum tab’iyyah تبعية sahaja, iaitu hukum ikutan.

 

[b] walaupun ia bukan hukum asal, tetapi memandangkan Baitul Maqdis pernah menjadi kiblat umat islam, maka perlu juga diberikan penghormatan.

 

Fatwa Makruh mengadap arah Baitul Maqdis semasa Qadha’ Hajat ini tidak kira dalam bangunan ataupun di padang lapang.

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[1] MUSA BIN ISMAIL AL-TABUZKI (223H)

مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ التبوذكي

 

Sudah dijelaskan dalam hadis ke-3.

 

[2] ABU OSMAN WUHAIB BIN WARD (153H)

 ابو عثمان وُهَيْبٌ بن الورد

 

Dia adalah tabi’ al-Tabiin. Al-Zahabi pula kata, dia seorang tabiin, kerana dikatakan dia pernah berjumpa dengan Aisyah.

 

Dia tinggal dan meninggal dunia di Mekah. Terkenal sebagai seorang kuat beribadat.

 

Selain ramai ulama mengatakan dia siqah, dia juga salah seorang rijal kutub al-Sittah.

 

[3] AMRU BIN YAHYA BIN UMARAH AL-MAZINI (140H)

 عَمْرُو بْنُ يَحْيَى بن عُمَارَةَ المَازِنِيِّ

 

Dia meninggal dunia di Madinah. Ibn Sa’ad kata, dia tidak banyak riwayatkan hadis.  

 

Ramai ulama menganggap dia sebagai siqah, walaupun ada kesilapan sedikit. Dia juga salah seorang rijal kutub al-Sittah.

 

[4] ABU ZAID

 

Tidak diketahui nama sebenarnya. Namun, al-Muzi dan ibn kathir menyatakan bahawa Namanya adalah AL-WALID.

 

Abu Daud menyatakan bahawa dia adalah bekas hamba kepada Bani Sa’labah.

 

Ramai ulama menolak riwayatnya, termasuk Ibn Madini, ARNAUT dan ALBANI dengan anggap bahawa dia seorang yang MAJHUL.

 

[5] SAHABAT: MA’QIL BIN ABI MA’QIL AL-ASADI

مَعْقِلِ بْنِ أَبِي مَعْقِلٍ الْأَسَدِيِّ

 

Dikatakan dia mempunyai nama lain, iaitu MA’QIL BIN ABI HAISAM AL-ASADI.

 

Dia turut dipanggil dengan nama MA’QIL BIN UMM AL-MA’QIL AL-ASADI.

 

Dia terlibat dalam perang Uhud bersama dengan bapanya.

 

TAKHRIJ

 

Ibn Majah (319), Ahmad (17838)