HADIS 32 |
حَدَّثَنَا
مُحَمَّدُ بْنُ آدَمَ بْنِ سُلَيْمَانَ الْمِصِّيصِيُّ حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي زَائِدَةَ قَالَ:
حَدَّثَنِي أَبُو أَيُّوبَ يَعْنِي الْإِفْرِيقِيَّ، عَنْ عَاصِمٍ عَنِ الْمُسَيَّبِ بْنِ رَافِعٍ، وَمَعْبَدٍ عَنْ حَارِثَةَ بْنِ وَهْبٍ الْخُزَاعِيِّ قَالَ:
حَدَّثَتْنِي حَفْصَةُ زَوْجُ النَّبِيِّ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَجْعَلُ
يَمِينَهُ لِطَعَامِهِ وَشَرَابِهِ وَثِيَابِهِ، وَيَجْعَلُ شِمَالَهُ لِمَا سِوَى
ذَلِكَ»
“Nabi saw menjadikan tangan kanannya untuk makan, minum dan berpakaian.
Baginda menjadikan tangan kirinya untuk selain dari itu”
PENJELASAN HADIS |
[1]
KESIMPULAN ISTERI NABI TERHADAP NABI
Hadis ini
bukan perkataan nabi, tetapi apa yang Hafsah nampak dan dia buat kesimpulan dan
penilaian dia terhadap apa yang dia lihat dan berpengalaman dengan Nabi.
Justeru,
hadis ini boleh dianggap sebagai marfu’ secara lafaz, tetapi mawquf secara
makna.
[2] NABI
SUKA DAHULUKAN YANG KANAN
Dalam
hadis, menyebut nabi gunakan tiga perkara dengan memulai yang kanan, iaitu
makan, minum dan pakaian. Selain dari tiga perkara ini, nabi guna yang kiri.
Dibataskan
yang tiga, bukan gambaran الحصر kerana di
sana ada hadis bahawa nabi saw suka yang kanan dalam hal yang lain.
Antaranya adalah hadis-hadis berikut;
[a] ketika kematian Zainab binti Rasulullah (ada kata: Ummu Kalsum),
orang yang memandikan jenazahnya adalah Ummu Atiyyah. Semasa memandikan itu,
Nabi saw berkata kepada ummu Atiyyah:
ابْدَأْنَ
بِمَيَامِنِهَا وَمَوَاضِعِ الوُضُوءِ مِنْهَا
“mulakan yang kanannya dan anggota-anggota wuduknya” (al-Bukhari, hadis
no: 167)
[b] Abu Hurairah ada berkata berkenaan wuduk bahawa Nabi saw bersabda:
إِذَا
تَوَضَّأْتُمْ فَابْدَءُوا بِمَيَامِنِكُمْ
“Apabila kamu berwuduk, hendaklah kamu mulakan yang kanan” (Ibn Majah,
hadis no: 402)
[c] Aisyah memberitahu bahawa
Nabi suka yang kanan dalam banyak hal. Kata isteri nabi itu:
كَانَ النَّبِيُّ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ، فِي تَنَعُّلِهِ،
وَتَرَجُّلِهِ، وَطُهُورِهِ، وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
“Nabi saw menyukai yang kanan ketika memakai kasut, ketika menyikat
rambut, ketika bersuci; bahkan pada semua keadaan baginda” (al-Bukhari, hadis
no: 168)
HUBUNGAN HADIS |
Dalam hadis ke-31, dijelaskan bahawa nabi saw melarang menggunakan
tangan kanan untuk pegang zakar ketika qadha’ hajat dan istinjak.
Hadis ke-32 ini pula, dijelaskan nabi saw menggunakan tangan kanan dalam
hal-hal yang bersifat kebersihan seperti makan dan minum.
KESAMAAN antara dua hadis ini adalah, kepentingan menggunakan tangan
sesuai dengan fungsinya.
PENGAJARAN |
Ada beberapa pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini adalah seperti
berikut;
KANAN LAMBANG KEMULIAAN
Kanan adalah lambang kemuliaan dan kebersihan. Justeru, perlu digunakan
pada tempat yang sesuai seperti makan dan minum, serta ketika memakai pakaian.
Justeru, dalam hal yang berlawanan dengan tangan kanan, maka perlu digunakan
tangan kiri, seperti masuk masjid sebagai mulia, maka keluar masjid dimulakan
dengan kaki kiri.
Kalau pakai baju sebagai mulia, maka membuka baju dengan memulakan yang
kiri.
Kalau keluar tandas dimulakan dengan kaki kanan, maka masuk tandas dimulakan
dengan kaki kiri.
Kalau ketika membuang hingus, dimulakan dengan menghembus dari lubang
hidung yang kiri.
BIOGRAFI PERAWI |
[7]
MUHAMMAD BIN ADAM BIN SULAIMAN AL-MISSISI AL-JUHANI (205H)
مُحَمَّدُ بْنُ
آدَمَ بْنِ سُلَيْمَانَ الْمِصِّيصِيُّ الجهني
Dia adalah Guru Abu Daud dan
al-Nasaie. Dia adalah ulama yang berasal dari salah satu tempat di Syam yang
bernama Masisah.
[6] YAHYA BIN ZAKARIA BIN ABI
ZAIDAH (120H-183H)
يحي بن زكريا ابْنُ
أَبِي زَائِدَةَ
Dia adalah rijal al-Bukhari dan Muslim. Dia meninggal
di kufah. Berkenaan dia, boleh lihat hadis ke-18 yang lalu.
[5] ABU AYYUB ABDULLAH BIN ‘ALI AL-AZRAQ AL-KUFI
AL-IFRIQI
أَبُو أَيُّوبَ
عبد الله بن علي الأزرق الكوفي الْإِفْرِيقِيَّ
Dilahirkan
di tempat Afriqiyyah, iaitu salah satu Kawasan yang berhampiran Andalusia. Dia
sempat sampai ke Riqqah (Syam) dan meninggal dunia di Kufah.
Dia
adalah rijal al-Nasaie dan Ibn Majah.
Terdapat
beberapa TAJRIH terhadapnya, seperti dikatakan dia tidak mantap dalam
periwayatan hadis sepertimana kata Abu Zur’ah al-Razi. Ibn Hajar al-Asqalani
mengatakan dia sering buat silap, walaupun dia seorang soduq. Di tempat yang
lain, Ibn Hajar kata dia seorang yang doif, tetapi riwayatnya diambil kira.
[4]
ASIM BIN BAHDALAH (127H)
عَاصِمٍ بْنِ بَهْدَلَةَ
Dia
sering disebut dengan nama ASIM BIN ABI AL-NUJUD AL-ASADI. Berasal dari kufah
dan mati di situ. Dia terkenal dengan ilmu qiraat al-Quran sehingga sering
disebut dengan “qiraat ‘Asim”.
Dia
adalah rijal Abu Daud, al-tarmizi, al-nasaie dan Ibn Majah. Menurut al-Zahabi,
al-bukhari dan Muslim hanya ambil riwayatnya secara mutaba-ah sahaja.
Berlaku beberapa Tajrih terhadapnya. Abu Ja’far
al-Uqaili, Ismail bin Ulaiyyah, al-Daraqutni, Yahya bin Sa’id al-Qattan, al-Nasaie
kata, hafalannya amat buruk.
Hammad bin Salamah al-Basri pula kata, bahawa di akhir
tuanya, hafalannya semakin bercampur baur.
Menurut Zuhair bin Harb al-Nasaie dan Ya’qub bin
Sufyan bahawa dia mudhtarib. Namun begitu, Ya’qub tetap mengatakan bahawa dia
seorang siqah.
Muhammad bin Sa’ad Katib al-Waqidi mengatakan bahawa dia seorang banyak
membuat silap dalam periwayatan hadisnya. Namun, al-Waqidi tetap akui dia
seorang siqah.
Yahya Bin Ma’in pula kata, dia tidak kuat dalam periwayatan hadis dalam
pada akui dia juga siqah.
‘Asim bin Bahdalah ambil hadis ini dari dua orang perawi, pertama:
[3] ABU AL-‘ALA’ MUSAYYIB BIN RAFI’ AL-ASADI AL-KAHILI (105H)
ابو العلاء الْمُسَيَّبِ بْنِ
رَافِعٍ الأسدي الكاهلي
Dia berasal dari kufah dan meninggal di situ. Dia seorang
tabiin dan merupakan rijal kutub al-Sittah.
Ibn Ma’in mendakwa bahawa dia dengar hadis dari dua
orang sahabat sahaja, iaitu al-Barra’ dan ‘Amir bin Abdah. Justeru, sebarang
dakwaan riwayat yang digambarkan dia ambil dari sahabat selain dua sahabat ini,
ia tidak boleh diterima.
Perawi kedua yang ‘Asim ambil hadis ini adalah:
[3] MA’BAD BIN KHALID BIN MURID AL-JADALI (118H)
مَعْبَد بن
خالد بن مريد الجدلي
Seorang
tabiiin yang terkenal dengan kaki ibadat di Kufah. Dia meninggal di situ. Dia
juga salah seorang rijal kutub al-Sittah. Dia seorang perawi siqah lagi sahih.
Kedua-dua
perawi ini ambil hadis dari sahabat nabi bernama:
[2] SAHABAT: HARISAH BIN WAHB AL-KHUZAIE
Ibunya
bernama UMMU KALSUM BIN AMRU AL-KHUZAIEYYAH. Dia adalah adik beradik seibu
dengan UBAIDULLAH BIN UMAR BIN AL-KHATTAB. Ibunya itu tidak lama dengan Saidina
Umar—mereka bercerai. Kemudian, ibunya berkahwin pula dengan ABU JAHM BIN
HUZAFAH.
Dia
dianggap sahabat kerana dia ada riwayatkan hadis secara langsung dengan
nabi—antaranya adalah hadis berikut;
قال معبد بن خالد: سمعت حارثة بن وهب الخزاعي يقول: سمعت رسول
الله صلى الله عليه وسلم يقول: " تصدقوا فسيأتي زمان يمشي الرجل بصدقته
Berkata
Ma’bad bin Khalid, aku dengar Harisah bin Wahb al-Khuzaie berkata: Aku dengar
Rasulullah saw bersabda: bersedekahlah kamu. Lagi akan datang satu zaman,
seorang lelaki dapat berjalan dengan sebab sedekahnya”.
[1]
SAHABAT: HAFSAH BINTI UMAR BIN AL-KHATTAB (18SH-41H)
حَفْصَةُ بنت عمر بن الخطاب
Dilahirkan
di Mekah dan meninggal dunia di Madinah. dia pernah sampai di Tihamah, yang
sekarang salah satu tempat dalam Kawasan Saudi.
Dia
dalah Isteri ke-4
nabi (selepas Aisyah), berkahwin dengan Nabi pada tahun ke-3 hijrah, iaitu
selepas dari perang Uhud.
Dia adalah Adik beradik seibu sebapa dengan Abdullah dan Abdul Rahman.
Nama ibu mereka adalah ZAINAB BINTI MAZ’UN مظعون
Dia adalah anak perempuan
Saidina Umar yang paling sulong. Dia lebih tua dari Abdullah sebanyak 6 tahun.
Dilahirkan di tahun orang
Quraish sebuk untuk membina kaabah ekoran runtuhan banjir.
Dia memeluk islam semasa di Mekah lagi, bersama dengan bapanya, ketika
itu umurnya 10 tahun.
Sebelum berkahwin dengan Nabi, suami dia bernama KHUNAIS BIN HUZAFAH
AL-SAHMI, iaitu antara sahabat yang terawal memeluk islam, iaitu sebelum nabi
masuk rumah Dar al-Arqam, serta turut berhijrah bersama ke Madinah.
Bekas suaminya mati kesan luka parah dalam perang uhud (ada kata, perang
badar). Di tanam di kubur baqi’, bersebelahan dengan kubur Osman bin Maz’un. Perkahwinan
antara Hafsah dan Khunais tidak mempunyai seorang anak pun.
KHUNAIS antara yang terlibat hijrah ke Habsyah. Kali pertama ke Habsyah,
dia masih bujang lagi. Tidak lama kemudian, dia balik ke Mekah dan berkahwin
dengan Hafsah. Setelah itu, dia ke Habsyah pula untuk kali kedua.
Cuma dalam riwayat, tidak ada satu sumber yang dipercayai menyatakan
bahawa Hafsah turut sama ke Habsyah.
Selepas kematian KHUNAIS, Saidina Umar tawarkan Hafsah kepada Osman yang
ketika itu baru kematian Roqayyah. Osman menolak dengan menyatakan bahawa dia
tidak ada hajat dengan wanita.
Kemudian, ditawarkan kepada Abu Bakar, Abu Bakar tidak memberi sebarang
respon.
Beberapa hari kemudian, Nabi saw sendiri jumpa umar dan pinang Hafsah.
Pada tarikh yang sama, Osman berkahwin dengan Ummi Kalsum dan Nabi berkahwin
dengan Hafsah.
Dia kahwin dengan nabi tahun bulan Sya’ban 3Hijrah.
Hafsah adalah isteri Nabi yang paling kuat cemburu, terutama dengan
Sofiyah binti Huyay. Pernah berkata: Sofiyah anak orang Yahudi. Mendengar itu, Sofiyah
sedih dan maklumkan hal itu kepada nabi saw. Baginda pun berkata kepada
Sofiyah:
إِنَّكِ
لابْنَةُ نَبِيٍّ، وَإِنَّ عَمَّكِ لَنَبِيٌّ، وَإِنَّكِ لَتَحْتَ نَبِيٍّ،
فَفِيمَ تَفْخَرُ عَلَيْكِ؟
“Kamu adalah keturunan nabi,
bapa saudara kamu adalah nabi, dan kamu berada di bawah Nabi (isteri Nabi).
Atas sebab apa dia (Hafsah) mahu berbangga lebih dari kamu”
Kemudian, nabi pun berkata
kepada Hafsah:
اتَّقِي اللَّهَ يَا حَفْصَةُ
“takutlah kamu akan Allah, wahai Hafsah”
Dalam riwayat, ada dinyatakan bahawa Nabi pernah nak menceraikannya,
tetapi datang Jibril melarang dengan menyatakan bahawa Hafsah adalah isteri
baginda dalam syurga.
Walaubagaimana pun, riwayat-riwayat tersebut berlaku beberapa kritikan
sanad berikut;
Pertama: Dalam riwayat al-Hakim dan al-Tibrani.
Diceritakan bahawa selepas nabi menceraikan Hafsah, maka dua bapa
saudaranya (abang kepada Zainab binti Maz’un), iaitu Osman dan Quddamah bin
Mas’ud berjumpa dan didapati Hafsah sedang menangis. Tidak lama kemudian, nabi
saw datang kepada Hafsah dan memaklumkan bahawa Jibril menyuruh agar rujuk
Hafsah kerana Hafsah adalah isteri baginda dalam syurga.
Kisah ini dikritik oleh Arnaut dalam TAHQIQ IBN HIBBAN dengan kritikan
berikut;
[a] dalam sanad hadis ini ada perawi bernama Qais bin Zaid. Dia seorang
Majhul.
[b] Dari sudut matan, dijelaskan bahawa Osman bin Maz’un datang berjumpa
dengan Hafsah, walhal dalam catatan sejarah, Osman meningggal dunia sebelum
perang uhud, sedangkan Nabi kahwin dengan Hafsah selepas perang uhud.
Kedua: dari kitab Tafsir ibn kathir:
Daripada Anas bin Malik berkata:
عَنْ أَنَسٍ
قَالَ: "طلق رَسُولَ اللَّهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وسلم- حفصة، فأتت أهلها،
فأنزل الله تعالى: {يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ
فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ} ، فقيل له: راجعها؛ فإنها صوّامة قوّامة، وهي من
أزواجك ونسائك في الجنة
“Rasulullah saw talak Hafsah, lalu Hafsah balik berjumpa dengan ahli keluarganya.
Allah pun turunkan firmanNya: “Wahai Manusia, apabila kamu talakkan isteri,
maka talaklah dalam iddahnya”. Diberikan kepada baginda: rujuklah dia (Hafsah),
kerana dia seorang yang rajin berpuasa dan solat, dan Hafsah adalah antara
isteri kamu dalam syurga” (Tafsir ibn kathir)
Hafsah
adalah orang menyimpan mashaf yang dihimpun oleh Abu Bakar atas mesyuarat
bersama Saidina Umar yang dikepalai Zaid bin Sabit. Selepas Umar meninggal
dunia, Mashaf disimpan di rumah Hafsah.
Semasa
Aisyah keluar ke Basrah ekoran fitnah pembunuhan saidina Osman, dia mahu keluar
bersama Aisyah. Tetapi Adiknya, Abdullah halang dia pergi.
Dia meninggal tahun 41H, di awal pemerintahan Khalifah Muawiyah yang
ketika itu, gabenor Madinah adalah MARWAN BIN AL-HAKAM. Dia dikebumikan di
kubur Baqi’.
PERBAHASAN
SANAD |
[1] SANAD
ABI DAUD
حَدَّثَنَا
مُحَمَّدُ بْنُ آدَمَ بْنِ سُلَيْمَانَ الْمِصِّيصِيُّ، حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي
زَائِدَةَ، قَالَ: حَدَّثَنِي أَبُو أَيُّوبَ يَعْنِي الْإِفْرِيقِيَّ، عَنْ
عَاصِمٍ، عَنِ الْمُسَيَّبِ بْنِ رَافِعٍ، وَمَعْبَدٍ، عَنْ حَارِثَةَ بْنِ وَهْبٍ
الْخُزَاعِيِّ، قَالَ: حَدَّثَتْنِي حَفْصَةُ
[2] STATUS HADIS: SAHIH LIGHAIRIH
Sanad hadis ini hanya ada dua yang bermasalah:
a.
Perawi bernama Abu Ayub al-Ifriqi
b.
Perawi yang bernama ‘Asim bin Abi al-Nujud.
PERTAMA: ABU AYUB AL-IFRIQI
ILLAT:
a.
Abu Zur’ah kata, Layyin, hadisnya mungkar dan tidak متين
b.
Arnaut kata, dia doif.
NAMUN:
a.
Menurut Ibn Hajar al-Asqalani,
walaupun dia pernah buat silap, tetapi dia soduq.
b.
Ibn Ma’in kata, لا
بأس به
c.
Namanya salah seorang
tersenarai dalam kitab al-Siqat, karya Ibn Hibban.
KEDUA: ‘ASIM BIN ABU AL-NUJUD
ILLAT:
a.
Buruk hafalan
b.
Iktilat akhir umur.
c.
Mudhtarib.
d.
Banyak silap
NAMUN: Dalam pada ulama kata negative, pasti ulama sama akui dia siqah.
TAMBAHAN PULA:
a.
AL-HAKIM kata, sanad hadis ini sahih.
b.
Semua perawi adalah rijal Bukhari dan Muslim kecuali Abu Ayyub al-Ifriqi
sahaja.
c.
Matan hadis ke-33 yang akan datang sebagai penguat kepada hadis ini.
KESIMPULANNYA:
Hadis ini hasan, tetapi menjadi Sahih Lighairih. Hal disebabkan oleh
kecacatan hadis ini tidak ketara sangat. Tambahan pula, ada factor penguat
pula. Hal ini selaras dengan kesimpulan Arnaut yang mengatakan hadis ini sahih
lighairih, sedangkan Albani anggap ia sebagai sahih.
[3] PERBAHASAN SANAD LAIN
SANAD PERTAMA: Al-Tibrani (al-Mukjam al-Kabir, hadis no: 346)
حَدَّثَنَا
عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ سَالِمٍ الرَّازِيُّ، وَعَبْدُ اللهِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ
الْعَبَّاسِ الْأَصْبَهَانِيُّ، قَالَا: ثنا سَهْلُ بْنُ عُثْمَانَ، ثنا يَحْيَى
بْنُ زَكَرِيَّا بْنِ أَبِي زَائِدَةَ، حَدَّثَنِي أَبُو أَيُّوبَ، عَنْ عَاصِمٍ،
عَنِ الْمُسَيَّبِ بْنِ رَافِعٍ، وَمَعْبَدِ بْنِ حَارِثٍ، عَنْ جَارِيَةَ بْنِ
وَهْبٍ الْخُزَاعِيِّ، قَالَ: حَدَّثَتْنِي حَفْصَةُ
PERHATIKAN: dalam Sanad ini, ada perawi ganjil:
a.
MA’BAD BIN HARIS
b.
JARIAH BIN WAHAB AL-KHUZAI’E
SANAD KEDUA: Al-Hakim (al-Mustadrak-7091)
حَدَّثَنَا
أَبُو بَكْرٍ مُحَمَّدُ بْنُ أَحْمَدَ بْنِ بَالَوَيْهِ، ثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ
شَاذَانَ الْجَوْهَرِيُّ، ثَنَا مُعَلَّى بْنُ مَنْصُورٍ، ثَنَا ابْنُ أَبِي
زَائِدَةَ، ثَنَا أَبُو أَيُّوبَ الْأَفْرِيقِيُّ، عَنْ عَاصِمٍ عَنِ الْمُسَيِّبِ
بْنِ رَافِعٍ، عَنْ جَارِيَةَ بِنْتِ وَهْبٍ الْخُزَاعِيِّ، حَدَّثَتْنِي حَفْصَةُ
PERHATIKAN: dalam sanad ini:
A.
JARIAH BINTI WAHAB AL-KHUZAIE. (ulang lihat: binti)
B.
Tidak ada nama MA’BAD bersama dengan AL-MUSAYYIB.
KOMENTAR: individu bernama JARIAH adalah majhul. Tetapi, ini adalah
TAHRIF. Nama sebenarnya adalah HARISAH BIN WAHAB AL-KHUZAAIE, iaitu sepertimana
dalam riwayat Abu Daud ini, dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (547).
TAKRHIJ |
Abu Ya’la (7042, 7060), Ibn Hibban (5227), al-Tibrani (al-Kabir-23/346),
al-Hakim (4/109), al-Baihaqi (1/113), Ibn Abi Syaibah (1/152), Abd bin Humaid
(1545), Ahmad (26461), al-Tibrani (23/347)
No comments:
Post a Comment