Friday, March 11, 2022

HADIS 17

  

HADIS 17

 

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى حَدَّثَنَا عَبْدُ الْأَعْلَى حَدَّثَنَا سَعِيدٌ عَنْ قَتَادَةَ عَنِ الْحَسَنِ عَنْ حُضَيْنِ بْنِ الْمُنْذِرِ أَبِي سَاسَانَ  عَنِ الْمُهَاجِرِ بْنِ قُنْفُذٍ أَنَّهُ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَبُولُ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ، فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ حَتَّى تَوَضَّأَ، ثُمَّ اعْتَذَرَ إِلَيْهِ فَقَالَ "إِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا عَلَى طُهْرٍ أَوْ قَالَ: عَلَى طَهَارَةٍ"

“Al-Muhajir bin Qunfuz datang berjumpa Nabi yang ketika itu baginda sedang buang air kecil. Dia pun memberi salam kepada Nabi, namun baginda tidak menjawab salamnya hingga berwudhu. Kemudian baginda meminta maaf seraya bersabda: "Sesungguhnya aku tidak suka menyebut nama Allah kecuali dalam keadaan suci”

 

Status hadis: sahih


PENJELASAN HADIS

  

[1] hadis ini adalah pengkisahan seorang tabiin bernama HUDHOIN BIN AL-MUNZIR berkenaan pengalaman seorang sahabat bernama AL-MUHAJIR bersama dengan Rasulullah saw.

 

[2] Walaupun dalam pengkisahan itu tidak dinyatakan bahawa al-Muhajir bercerita kepada Hudhoin, tetapi kemungkinan besar kisah itu Hudhoin tahu dari al-Muhajir yang bercerita kepadanya. Hal ini dilihat dari sudut dua sudut; (a) Hudhoin adalah perawi siqah dan sahih. (b) Berdasarkan masa dan tempat, kemungkinan besar Hudhoin dan al-Muhajir pernah bertemu.

 

[3] dalam hadis ini, diceritakan bahawa ketika Nabi sedang kencing, tiba-tiba al-Muhajir telah memberi salam kepada baginda. Memandangkan nabi sedang kencing, baginda tidak menjawab salam tersebut.

 

[4] Walaubagaimana pun, dalam hadis ini menjelaskan bahawa Nabi saw menjawab salam itu setelah selesai baginda berwuduk.

 

[5] Setelah selesai berwuduk, Nabi saw memohon maaf serta menjelaskan bahawa baginda tidak selesa berzikir kepada Allah dalam keadaan baginda belum bersuci dari sebarang hadas, termasuk hadas kecil.

 

HUBUNGAN HADIS

 

Dalam hadis ke-16, dijelaskan bahawa nabi tidak jawab salam kecuali selepas TAYAMMUM.

 

Dalam hadis ke 17 ini pula, dijelaskan bahawa Nabi tidak jawab salam kecuali selepas BERWUDUK.

 

PENGAJARAN

 

[1] JAWAB SALAM SEMASA HADAS KECIL

 

Dalam hadis ini dijelaskan bahawa Nabi saw tidak menjawab salam ketika baginda belum berwuduk. Sama juga seperti hadis ke-16 bahawa Nabi saw tidak menjawab salam ketika baginda belum bertayammum.

  

Menurut penjelasan Ibn Hibban dan Arnaut, hal itu bukan bermaksud ketika berhadas, sama ada kecil atau besar bahawa menjawab salam itu adalah haram. Dalam erti kata lain, Nabi saw lebih mengutamakan menjawab salam ketika baginda sedang bersih dari sebarang hadas.

 

Jika dianggap bahawa menjawab salam perlu dalam keadaan

 

[2] SALAM JUGA DIANGGAP ZIKIR

 

Hadis ini menjelaskan bahawa al-Muhajir memberi salam, dan baginda saw tidak menjawab salam kecuali selepas selesai berwuduk. Namun, apabila Nabi saw memberi penjelasan, baginda menyatakan bahawa baginda kaitkan hal ini dengan berzikir.

 

Ini menjadi dalil bahawa salam juga adalah zikir. Ia sama seperti membaca basmalah, hamdalah, tasbih dan sebagainya.

 

Atas alasan itu, tidak boleh memberi dan menjawab salam ketika sedang qadha’ hajat.

-           

[3] TIDAK SALAH LAMBAT MENJAWAB SALAM

 

Hadis ini menjelaskan bahawa Nabi saw tidak menjawab salam ketika ia disampaikan, tetapi dijawab setelah selesai dari berwuduk.

 

Hal ini bermaksud, hadis ini adalah dalil bahawa menjawab salam memang wajib, tetapi bukan di bawah maksud الواجب علي الفور, tetapi di bawah maksud الواجب علي التراخي.

 

Maksud dengan الواجب علي الفور adalah kewajipan yang wajib dilakukan dengan segera yang tidak boleh ditunaikan di waktu yang lain. Contohnya, kewajipan menunaikan puasa ramadan tidak boleh dilengahkan di bulan lain; kewajipan solat mesti dalam waktunya, tidak boleh dilengahkan ke luar waktu dan sebagainya.

 

Adapun الواجب علي التراخي, ia bermaksud kewajipan yang boleh dilengahkan ke waktu yang lain. Contohnya, kewajipan ibadat haji yang apabila seseorang itu sudah cukup syarat, tidak semestinya dia wajib tunaikan pada tahun tersebut, tetapi boleh sahaja dia tangguhkan ke tahun hadapan.

 

Antara الواجب علي التراخي adalah kewajipan menjawab salam. Tidak dinafikan ia adalah wajib, tetapi ia tidak semestinya dijawab pada saat ia diberi, bahkan boleh ditangguhkan ke waktu yang lebih sesuai.

 

Walaubagaimana pun, al-‘Azim Abadi menjelaskan bahawa menjawab salam ketika sedang berwuduk atau sedang bertayammum bukan sesuatu yang dilarang. Namun, mengambil pendekatan yang lebih afdhal, maka dijawab salam setelah selesai kedua-duanya; kerana ketika itu kita dalam keadaan tidak berhadas.

 

Oleh yang demikian, jika seseorang itu memberi salam ketika kita sedang berwuduk atau tayammum, dan kita bimbang tidak dijawab dengan segera akan menyebabkan dia akan terluput dari bersama kita, maka tidak salah kita menjawab salam ketika kita sedang berwuduk atau sedang bertayammum.

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[7] MUHAMMAD BIN AL-MUSANNAD (167H-252H)

مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى

 

Nama penuhnya adalah MUHAMMAD BIN AL-MUSANNA BIN UBAID BIN DINAR AL-ANZI.

 

Ulama basrah ini adalah salah seorang dari 9 orang mahaguru kepada para enam orang imam hadis dari kutub Sittah ambil hadis dari mereka tanpa perantara.

 

Dia adalah perawi yang siqah lagi sahih.

 

[6] ABD AL-‘ALA BIN AL-A’LA AL-SAMI (189H)

عَبْدُ الْأَعْلَى ابن الأعلي السامي

 

Ulama Basrah ini adalah salah seorang rijal al-Kutub al-Sittah. Pun begitu, terdapat beberapa kritikan terhadap beliau seperti Ibn Sa’ad kata dia tidak kuat, dan al-Zahabi mengatakan dia dituduh sebagai penganut fahaman al-Qadariyyah.

 

Walaupun begitu, dia adalah perawi sahih. Namun, sebarang hadis riwayatnya yang kandungan matannya ada unsur mengangkat fahaman qadariyyah, hadis itu boleh dipertaikaikan.

 

[5] SA’ID BIN ABI ‘ARUBAH (157H)

سَعِيدُ بْنُ أَبِي عَرُوبَةَ

 

Dia juga ulama Basrah ini adalah rijal al-Kutub al-Sittah. Nama sebenar bapanya adalah Mihran, tetapi lebih dikenali dengan panggilan Abu ‘Arubah.

 

Dalam kalangan ulama hadis, terdapat beberapa TAJRIH terhadap beliau.

 

Pertama, BERFAHAMAN QADARIYYAH

 

Hal ini dinyatakan oleh Ahmad bin Hanbal dan diulang sebut oleh al-Zahabi. Pun begitu, Ahmad menyatakan bahawa dia menyembunyikan fahamannya itu.

 

Kedua, TADLIS

 

Ini disebut oleh al-Sayuti, al-Nasaie dan al-Asqalani.

 

Ketiga, IKHTILAT

 

Dikatakan sebelum dia meninggal dunia, hafalannya semakin celaru. Antara ulama yang kata begitu adalah Abu Nuaim, Ibn Sa’ad, al-Zahabi, Ibn ‘Adi,

 

al-‘Ala’ie menyatakan, antara ulama yang mendengar hadis darinya selepas dia ikhtilat adalah Waki’ bin al-Jarrah, al-Mu’afa bin Imran al-Musili.

 

Yahya bin Ma’in pula kata, dia ikhtilat pada tahun 142 hijrah, sedangkan dia meninggal tahun 157 Hijrah.

 

Walaubagaimana pun, ada sebilangan ulama anggap dia siqah seperti Ibn Sa’ad, tambahan pula dia salah seorang rijal al-Kutub al-Sittah. Dengan itu, dia dianggap perawi yang hasan.

 

[4] ABU KHATTAB QATADAH BIN DI’AMAH AL-SADUSI (61H-118H)

ابو خطاب قَتَادَةَ إبن دعامة السدوسي

 

Ulama wasit (Iraq) ini adalah salah seorang Tabiin yang meninggal disebabkan penyakit taun.

 

Ahmad bin Hanbal dan al-Zahabi kata, dia dituduh qadariiyah dan menyembunyikan fahamannya.  Walaubagaimana pun, dia adalah Rijal al-Kutub al-Sittah dan salah seorang perawi yang sahih.

 

[3] AL-HASAN BIN YASAR AL-BASARI (21H-110H)

الْحَسَنِ  بن يسار البصري

 

Salah seorang ulama yang sering namanya disebut, iaitu al-Hasan al-Basri. Dia dilahirkan di Madidah dan meninggal di Basrah. Pernah sampai ke Kabul dan Khurasan.

 

Bapanya adalah bekas hamba Zaid bin Sabit, dan ibunya bernama Khairah pula adalah bekas hamba kepada Ummu Salamah.

 

Semasa Saidina Umar dibunuh, dia berumur 2 tahun.

  

Dalam beberapa riwayat menyatakan bahawa semasa dia kecil, dia selalu menangis, Ummu Salamah pernah beberapa kali susukan dia sehingga dia menjadi anak susuan Ummu Salamah.

 

Semasa berumur 10 tahun, dia sudah menghafal al-Quran.

 

Dia dibesarkan di Hijaz dan ketika itu, sempat mendengar khutbah Saidina Osman, dan lihat kejadian Saidina Osman dibunuh.

 

Pada tahun 37 hijrah, dia berpindah ke Basrah untuk belajar di sana.  Pada tahun 43 hijrah, dia menjadi juru tulis kepada Rabi’ bin Ziyad al-Harisi (gabenor Khurasan) selama 10 tahun.

 

Selepas itu, dia balik ke Basrah. Di sana, dia mengajar dan mati di situ.

 

Wasil Bin ‘Ata’ (pengasas mazhab Muktazilah) adalah muridnya, yang bertembung dengan dia berkenaan “pelaku dosa dari kalangan muwahhidin”.

 

Dia berhujah menolak pendapat muridnya bahawa semua itu atas kehendak Allah.

 

Wasil bin ‘Ata mencipta satu teori bahawa pelaku dosa besar dari kalangan muslom berada di satu tempat antara dua tempat. Kepercayaan itu melebar sehingga tersebar fahaman Muktazilah.

 

Walaupun dia seorang tabiin, tetapi berlaku kekhilafan dalam kalangan ulama hadis berkenaan pertemuan al-Hasan al-Basri dengan Abu Hurairah.

 

Pendapat yang paling kuat mengatakan bahawa al-hasan al-basri tidak pernah berjumpa dengan Abu Hurairah. Justeru, sebarang periwayatan hadis yang didapati dalam sanad itu menggambarkan al-Hasan al-Basri ambil hadis dari Abu Hurairah menandakan riwayat tersebut tertolak kecuali dikuatkan dengan riwayat atau sanad yang lain.

 

Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah, dan dia adalah seorang perawi yang siqah lagi Sahih.

 

[2] HUDHOIN BIN AL-MUNZIR ABU SASAN AL-RAQASHI (99H)

حُضَيْنِ بْنِ الْمُنْذِرِ أَبو سَاسَانَ الرقاشي

 

Seorang Tabiin yang semasa tercetus perang siffin, dia berpihak kepada Saidina Ali.

 

Dia adalah Rijal Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah, serta dia seorang perawi yang sahih.

 

[1] SAHABAT: AL-MUHAJIR BIN QUNFUZ

 الْمُهَاجِرِ بْنِ قُنْفُذٍ

 

Nama penuhnya adalah AMRU BIN KHALAF BIN UMAIR BIN JUD’AN BIN KA’AB BIN SA’ID BIN TAIM BIN MURRAH.

 

Dari sini dapat diketahui bahawa al-Muhajir adalah gelarannya, sedangkan nama sebenarnya adalah AMRU. Demikian juga nama Qunfuz bukan nama sebenar bapanya, tetapi KHALAF.

 

Dia dari bangsa Quraish dan dilahirkan di Mekah dan tinggal di Madinah. Selepas itu, dia berhijrah ke Basrah dan dan meninggal dunia di situ.

 

Jika dibaca sejarah Hilf al-Fudhul, iaitu kisah di era sebelum baginda belum dilantik menjadi Nabi, baginda saw ada menyebut satu hadis berikut;

 

لَقَدْ شَهِدْتُ فِي دَارِ عَبْدِ اللهِ بْنِ جُدْعَانَ حِلْفًا مَا أُحِبُّ أَنَّ لِيَ بِهِ حُمْرَ النَّعَمِ، وَلَوْ أُدْعَى بِهِ فِي الْإِسْلَامِ لَأَجَبْتُ

“aku saksikan di rumah Abdullah bin Jud’an satu perjanjian yang ia amat aku sukainya berbanding unta merah. Andai aku diseru di era Islam, sudah pasti aku akan sahuti seruan tersebut” (al-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi, hadis no: 13080)

 

Abdullah bin Jud’an dalam hadis ini adalah atuk saudaranya, iaitu bapa saudara kepada bapanya.

 

Ulama khilaf, bilakah dia memeluk Islam. Ada kata, dia memeluk islam semasa sejarah pembukaan kota mekah. Ada sebilangan yang lain kata, dia masuk islam sebelum hijrah lagi.

 

Hal ini merujuk kepada satu kisah bahawa ketika berlaku hijrah, orang musyrik tangkap dia dan siksa dia. Namun, dia berjaya lepaskan diri dan lari ke Madinah. Kejadian itu, Nabi saw ada sebut:

هذا المهاجر حقا

“Ini adalah Muhajir (orang yang berhijrah) yang sebenar” (al-Sindi, tidak diketahui sanadnya)

 

PERBAHASAN SANAD

 

[1] SANAD ABU DAUD

 

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى حَدَّثَنَا عَبْدُ الْأَعْلَى حَدَّثَنَا سَعِيدٌ عَنْ قَتَادَةَ عَنِ الْحَسَنِ عَنْ حُضَيْنِ بْنِ الْمُنْذِرِ أَبِي سَاسَانَ  عَنِ الْمُهَاجِرِ بْنِ قُنْفُذٍ

 

[2] STATUS HADIS: SAHIH

 

Hadis ini sahih dengan alasan-alasan berikut;

(A)               Semua perawi hadis ini sahih.

(B)               Semua perawi adalah rijal bukhari dan muslim kecuali HUDHOIN BIN AL-MUNZIR ABI SASAN sahaja rijal Muslim.

(C)               Ia juga sahih atas syarat muslim.

(D)               Hadis ini disahihkan oleh Ibn Hibban, al-Hakim, al-Zahabi dan al-Nawawi.

(E)                Ada kritikan mengatakan bahawa AL-HASAN AL-BASRI adalah perawi tadlis. Makanya, hadis ini dianggap terputus sanad (munqati’). Kritikan ini dibantah dengan dikatakan TADLIS itu, jika dia riwayatkan hadis dengan diambil terus  sahabat. Namun, jika dia ambil hadis dari tabiin, maka hadisnya diterima dan boleh dibuat hujah.

 

TAKHRIJ

 

Al-Nasaie – (al-Kubra: 34), Ibn Majah- (350), Ahmad (19034), Sahih Ibn Hibban (803), Musnad Ahmad (19034)

No comments:

Post a Comment