BAB 12 |
بَابُ
الْبَوْلِ قَائِمًا
“KENCING BERDIRI”
HADIS 23 |
حَدَّثَنَا
حَفْصُ بْنُ عُمَرَ وَ مُسْلِمُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ قَالَا: حَدَّثَنَا
شُعْبَةُ ح وَحَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا أَبُوعَوَانَةَ وَهَذَا لَفْظُ حَفْصٍ عَنْ سُلَيْمَانَ عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ
حُذَيْفَةَ قَالَ: أَتَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُبَاطَةَ
قَوْمٍ «فَبَالَ قَائِمًا، ثُمَّ دَعَا بِمَاءٍ فَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ»
Abu Wa`il dari Hudzaifah berkata: "Rasulullah
pernah mendatangi tempat pembuangan sampah suatu kaum, lalu buang air kecil
dengan berdiri, kemudian beliau meminta untuk didatangkan air, lalu beliau
mengusap dua khufnya."
PENJELASAN HADIS |
[1]
Hadis ini adalah pengkisahan sahabat Nabi bernama Khuzaifah terhadap Nabi saw.
Ia mengisahkan bahawa Nabi saw dalam satu permusafiran yang dia bersama baginda
bahawa nabi saw kencing berdiri di satu longgokan perbuangan sampah. Semasa
baginda kencing berdiri itu, dia berada betul-betul di belakang nabi saw.
[2]
Hadis bab, lafaz yang digunakan adalah dari guru Imam Abu Daud yang bernama
Hafs bukan lafaz Muslim bin Ibrahim (guru ke-2 Abu Daud).
Dalam
riwayat guru ke-2 Abi Daud, iaitu Musaddad, digunakan lafaz berikut;
قَالَ أَبُو
دَاوُدَ: قَالَ مُسَدَّدٌ: قَالَ: فَذَهَبْتُ أَتَبَاعَدُ فَدَعَانِي حَتَّى
كُنْتُ عِنْدَ عَقِبِهِ
Abu Daud berkata: Musaddad berkata: Hudzaifah berkata:
Lalu saya pergi menjauh dari baginda, namun baginda memanggil saya hingga saya
berada di sisi tumitnya”
PENJELASAN:
dalam riwayat
Hafsh, dinyatakan bahawa Nabi kencing berdiri. Setelah istinja’ baginda
berwuduk. Apabila sampai pada kaki, baginda tidak basuh, bahkan nabi hanya sapu
khuf sahaja.
Dalam riwayat Musaddad pula, ditambah sedikit maklumat
bahawa semasa Nabi kencing itu, Khuzaifah menjauhkan diri dari Nabi. Namun,
nabi saw memanggil Khuzaifah agar mendekatkan diri kepada Nabi. Dia pun
hampirkan diri dengan nabi yang ketika itu berada betul-betul di belakang nabi
saw.
[3] Hadis yang sama juga turut sama meriwayatkannya
adalah al-Imam al-Bukhari yang kandungan matannya adalah seperti berikut:
أَتَى
النَّبِيُّ صلّى الله عليه وسلم سُبَاطَةَ قَوْمٍ فَبَالَ قَائِمًا، ثُمَّ دَعَا
بِمَاءٍ فَجِئْتُهُ بِمَاءٍ فَتَوَضَّأَ
“Nabi saw datang tempat longgokan sampah sesuatu kaum. Nabi pun kencing berdiri
(di situ). Kemudian, baginda minta dibawakan air kepadanya, lalu baginda
berwuduk (dengan air terbabit)”. (al-Bukhari, hadis no: 224)
PENJELASAN: Dalam riwayat Abu Daud tidak dijelaskan berkenaan suruhan
Nabi kepada Khuzaifah agar dibawakan air. Serta tidak dinyatakan juga agar
berwuduk menggunakan air terbabit.
[4] Jika dilihat dalam riwayat lain pula, dinyatakan bahawa Khuzaifah
berkata:
«كُنْتُ
مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَانْتَهَى إِلَى سُبَاطَةِ
قَوْمٍ، فَبَالَ قَائِمًا» فَتَنَحَّيْتُ فَقَالَ: «ادْنُهْ» فَدَنَوْتُ حَتَّى
قُمْتُ عِنْدَ عَقِبَيْهِ «فَتَوَضَّأَ فَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ»
“Aku bersama dengan Nabi saw. Apabila sampai di tempat longgokan sampah
sesuatu kaum, nabi saw kencing berdiri (di situ). Aku menjauhkan diri. Nabi pun
berkata: “dekatkan dirimu”. Aku pun mendekatkan diri hingga aku berdiri
benar-benar di belakang nabi. Nabi pun berwuduk serta sapu khuf” (Muslim, hadis
no: 273)
PENJELASAN: dalam riwayat ini dijelaskan bahawa nabi saw memanggil itu
dengan nabi berkata, sedangkan dalam riwayat lain tidak menyebut apakah nabi
saw menyeru itu dengan berkata, ataupun dengan isyarat sahaja. Hal ini berbeza
dengan riwayat lain yang menyatakan bahawa Nabi memanggil Khuzaifah itu dengan
isyarat, bukan dengan berkata. Berikut adalah Matan—daripada Khuzaifah berkata:
«رَأَيْتُنِي
أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَتَمَاشَى، فَأَتَى
سُبَاطَةَ قَوْمٍ خَلْفَ حَائِطٍ، فَقَامَ كَمَا يَقُومُ أَحَدُكُمْ، فَبَالَ،
فَانْتَبَذْتُ مِنْهُ، فَأَشَارَ إِلَيَّ فَجِئْتُهُ، فَقُمْتُ عِنْدَ عَقِبِهِ
حَتَّى فَرَغَ»
“Aku berjalan-jalan bersama Nabi saw. Baginda sampai ke tempat
pembuangan sampah suatu kaum di balik tembok dan kencing sambil berdiri
sebagaimana kamu berdiri. Aku lalu
menjauh dari baginda, namun baginda memberi isyarat kepadaku agar mendekat,
maka aku pun mendekat dan berdiri di belakangnya hingga beliau selesai”
(al-Bukhari, hadis no: 225)
PENJELASAN: riwayat ini
menjelaskan bahawa Nabi saw memanggil Khuzaifah dengan isyarat, bukan dengan
berkata. Tambahan pula, perbezaan riwayat ini berbabding yang lain adalah,
disebut bahawa nabi saw kencing itu di belakang tembok.
Apabila dilihat tidak seragam
lafaz yang digunakan, di sini dapat disimpulkan bahawa hadis ini diriwayatkan
secara makna, bukan secara lafaz. Apatah lagi, ke semua sanad-sanad hadis ini
bermuarakan dari Syu’bah bin al-Hajjaj yang terkenal meriwayatkan hadis secara
makna.
HUBUNGAN HADIS |
Dalam hadis ke-22,
dijelaskan bahawa bahawa ada pembesar Bani Israel diazab kerana air kencing
tidak terjaga (merecik pada pakaian).
Dalam hadis ke-23 ini
pula, dijelaskan bahawa Nabi saw kencing berdiri.
Hal ini bermaksud, Abu
Daud seakan-akan memberi maklumat kepada kita bahawa kencing berdiri itu tidak dilarang. Tetapi
yang dilarang adalah, jika kencing berdiri itu boleh menyebabkan air kencing
merecik pada pakaian.
Apatah lagi, secara
fiziknya pun diakui bahawa kencing berdiri akan menampilkan pantulan air
kencing lebih kuat berbanding kencing duduk.
PENGAJARAN |
[1] KENAPA NABI KENCING BERDIRI
Menurut kupasan al-Khattabi bahawa kebiasaan Nabi saw
kencing dalam keadaan duduk. Namun, dalam beberapa keadaan tertentu sahaja Nabi
saw kencing berdiri.
Dengan sebab itu, terdapat beberapa takwilan dari
beberapa orang ulama berkenaan nabi saw kencing berdiri tersebut.
Ada kata, nabi saw kencing berdiri ketika itu kerana
tidak ada tempat untuk duduk, yang kalau duduk juga, boleh memudharatkan
Al-‘Azim Abadi dalam kitab al-Aun ada menukilkan
pendapat yang mengatakan bahawa nabi kencing berdiri itu kerana mahu rawat
tulang sulbi. Hal ini kerana Imam syafie dan Ahmad ada menyebut: cara orang
arab nak rawat sakit tulang sulbi adalah dengan kencing berdiri
Ada pula berkomentar bahawa nabi kencing berdiri itu
kerana ketika itu kaki nabi sakit di bawah pelipat lutut. Hal ini merujuk
kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi, daripada Abu Hurairah yang
berkata:
أن رسول
الله صلى الله عليه وسلم بال قائماً من جرح كان بمأبضه
“Rasulullah
saw kencing berdiri dari keranakan luka yang berada di bawah pelipat kaki
baginda” (al-Baihaqi dan al-Hakim).
Walaubagaimana pun, dakwaan ini tidak kuat kerana hadis ini dianggap doif oleh
al-Baihaqi dan al-Daraqutni.
Dalam
kupasan al-‘Azim Abadi bahawa semua dakwaan-dakwaan ini tidak berpijak pada
sumber yang dipercayai. Justeru, dia simpulkan bahawa Nabi saw kencing berdiri
sepertimana yang diceritakan dalam hadis ini adalah memberikan gambaran hukum
bahawa kencing berdiri adalah sesuatu amalan yang tidak dilarang dalam agama,
bahkan dibolehkan.
[2] DAKWAAN MANSUKH
Menurut Abu ‘Awanah yang merupakan salah seorang perawi dalam
sanad hadis ini, serta Ibn Shahin; kedua-dua ini mendakwa bahawa hadis ini
Mansukh dengan hadis Aisyah berkata:
عَنْ عَائِشَةَ
قَالَتْ: «مَنْ حَدَّثَكُمْ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ بَالَ قَائِمًا فَلَا تُصَدِّقُوهُ؛ مَا كَانَ يَبُولُ إِلَّا جَالِسًا»
“Sesiapa yang cakap nabi kencing berdiri, maka jangan percaya”,
(al-Nasaie,
hadis no: 29)
Pendapat Abu ‘Awanah dan Ibn Shahin
ini dibantah dengan penjelasan berikut;
Dakwaan sesuatu Mansukh, iaitu apabila tidak dapat nak himpun antara
dua hadis yang bercanggah.
Namun, apabila dilihat pada kedua-dua hadis ini, didapati ia
boleh dihimpunkan lagi. Apatah lagi, dalam kaedah hadis:
المثبت مقدم علي المنفي
“mengisbatkan hadis lebih didahulukan berbanding
menidakkan dari diamalkan hadis”
Justeru, dilihat pada hadis Aisyah
adalah Marfu’ dari sudut lafaz, sedangkan maknanya adalah mawquf; iaitu, hadis
Aisyah ini adalah kesimpulan yang Aisyah
lakukan setahap dia kenal Nabi.
Sebagai isteri, Aisyah mungkin sahaja
tahu berkenaan nabi saw ketika berada di rumah yang mungkin sahaja Aisyah tidak
tahu ketika Nabi saw berada di luar, ketika bermusafir bersama sahabat dan
sebagainya.
Justeru, dapat disimpulkan bahawa apa
yang Aisyah katakan itu adalah dalam pengetahuan Aisyah sahaja, tetapi tidak
semestinya merangkumi di luar dari pengetahuan Aisyah seperti Nabi bersama
sahabat dalam permusafiran dan sebagainya.
Makanya, kembali kepada hukum dasar
bahawa kencing berdiri tidak dilarang, bahkan dibenarkan. Apatah lagi, al-‘Azim
Abadi dalam al-Aun menyatakan bahawa di sana terdapat beberapa sahabat Nabi
yang kencing berdiri, Seperti Umar, Ali dan Zaid Bin Sabit.
Tambahan pula, tidak terdapat satu
hadis pun bahawa Nabi sendiri melarang dari kencing berdiri.
[3] BERDEKATAN DENGAN ORANG QADHA’ HAJAT
Dalam hadis pertama dan ke-2 yang lalu, digambarkan
bahawa nabi saw menjauhkan diri dari orang ramai semasa kencing.
Hadis ini pula, dijelaskan bahawa Khuzaifah berhampiran
dengan Nabi saw semasa baginda sedang kencing.
Dengan ini dapat disimpulkan bahawa tidak salah qadha’
hajat berdekatan dengan orang, tetapi dengan syarat; hendaklah dipastikan
bahawa aurat tidak dapat dilihat oleh manusia. Hal ini sama seperti dalam hadiske-22 bahawa Nabi saw kencing dengan ditutupi dengan perisai sedangkan ada dua
orang sahabat berada di situ, iaitu Amru bin al-As dan Abdul Rahman bin
Hasanah.
Dalam kupasan al-Khattabi pula, Nabi saw memanggil
Khuzaifah agar berhampiran dengan Nabi adalah untuk menjadikan Khuzaifah
sebagai pendiding dari dilihat oleh orang semasa baginda saw sedang kencing.
[4] JANGAN TAHAN KENCING.
Dalam hadis ini juga, digambarkan bahawa nabi saw
kencing di tempat sampah serta berhampiran dengan Khuzaifah.
Al-Khattabi mengatakan, keadaan Nabi itu adalah Nabi
mahu bersegera kencing sehingga tidak menyempat untuk pergi jauh dari
Khuzaifah. Dengan ini dia simpulkan MAKRUH menahan kencing kerana ia boleh memberi mudharat pada
kesihatan.
BIOGRAFI PERAWI |
[5]
HAFS BIN UMAR (225H)
حَفْصُ بْنُ
عُمَرَ
Ulama Basrah ini, nama penuhnya adalah ABU UMAR HAFSH
BIN UMAR BIN AL-HARIS AL-HAWDHI الحوضي AL-BASRI AL-AZDI الأزدي
Ibn al-Madini ada menyatakan bahawa sepakat penduduk
basrah sebagai bahawa Hafsh adalah perawi yang ‘adil.
Dia adalah guru al-Bukhari dan Abi Daud. Al-Imam
al-Nasaie ambil hadis darinya dengan perantara. Dia seorang perawi siqah lagi
sahih.
[5] MUSLIM BIN IBRAHIM AL-AZDI (130H-222H)
مُسْلِمُ بْنُ
إِبْرَاهِيمَ الأزدي
Ulama Basrah ini turut dikenali dengan
gelaran ABU AMRU AL-FARAHIDI الفراهيدي
Dia adalah guru kepada
imam Bukhari dan Abu Daud serta rijal Imam Muslim. Dia seorang perawi yang
siqah lagi sahih.
[4] SYU’BAH BIN
AL-HAJJAJ (85H-160H)
شُعْبَةُ بن الحجاج
Lihat
hadis 4, 5 dan 6 (kali ke 4)
[5] MUSADDAD BIN MUSARHAD (150H-208H)
مُسَدَّدٌ بن مسرهد
HADIS
2, 4, 7, 9 dan 22 (kali ke 6)
[4] ABU ‘AWANAH (176H)
أَبُو
عَوَانَةَ
Nama sebenarnya adalah al-Waddah bin Abdullah
al-Yasykuri al-Wasiti. Seorang ulama Basrah dari kalangan Atba’ al-Tabiin. Dia
dilahirkan di Jurjan dan meninggal dunia di Basrah.
Menurut Abu Hatim dan Ahmad, dia dipercayai dalam
periwayatan secara berkitab, tetapi banyak membuat silap jika riwayatkan hadis
secara hafazan.
Ibn Madini menyatakan, hadis-hadis riwayatnya yang dia
ambil dari Qatadah bersifat LIN, kerana catatan hadisnya yang dia ambil dari
QATADAH telah hilang. Justeru, sebarang hadis yang dia ambil dari Qatadah, Ibn
Ma’in anggap sebagai doif.
Menurut Ibn Ma’in bahawa Abu ‘Awanah boleh membaca,
tetapi tidak boleh menulis. Semua catatannya itu adalah dia minta bantuan orang
untuk menulisnya.
Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah serta seorang
perawi yang siqah lagi sahih.
[3] SULAIMAN BIN MIHRAN AL-A’MASH (61H-148H)
Lihat
hadis 7, 14, 20 dan 22 (ini kali 5).
[2] ABU WA-IL (1H-82H)
أَبو وَائِلٍ
Lihat hadis ke-22.
[1] HUZAIFAH BIN
AL-YAMAN (36H)
حُذَيْفَةَ بن اليمان
Sahabat nabi yang terkenal dengan penjaga rahsia nabi
ini dilahirkan di Mekah.
Sahabat nabi yang banyak tahu hadis-hadis berkenaan
fitnah akhir zaman ini, di besarkan dan hidup di Madinah. Dia ke Madinah
sebelum era Islam lagi.
Dia adalah salah seorang pembesar dalam kalangan ansar
– mujahirin.
Semasa Nabi saw sampai Madinah, dia tanya Nabi saw,
dia dari kalangan yang mana? Apakah muhajirin atau Ansar. Nabi saw kata: “kamu,
Wahai Huzaifah dari kalangan orang muhajirin dan Ansar”
Nama bapanya, al-Yaman Hasan. Ada kata, Hasil bin
Jabir. Nama ibunya pula, al-Rabbab binti Ka’ab al-Asyhaliyyah.
Dia terlibat semua perang bersama nabi kecuali perang
badar sahaja, kerana ketika itu dia tidak berada di Madinah.
Bapanya juga adalah sahabat, meninggal semasa dalam
perang uhud.
Dia meninggal di Madain, Iraq.
PERBAHASAN SANAD |
[1] SANAD
ABU DAUD
حَدَّثَنَا
حَفْصُ بْنُ عُمَرَ، وَمُسْلِمُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، قَالَا: حَدَّثَنَا شُعْبَةُ،
ح وَحَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ وَهَذَا لَفْظُ حَفْصٍ عَنْ
سُلَيْمَانَ، عَنْ أَبِي وَائِلٍ، عَنْ حُذَيْفَةَ
PENJELASAN:
[A] Sanad hadis ini dari tiga jalur guru Imam Abu
Daud, iaitu Hafsh, Muslim dan Musaddad. Dari ketiga-tiga jalur ini, semuanya
bermuarakan dari Sulaiman. Bermakna, dari sulaiman di situ, terpecah kepada
dua: iaitu, (a) Abu ‘Awanah – Musadadd. (b) Syu’bah – Hafs dan Muslim.
[B] Pada Sanad hadis ini ada "ح" yang bermaksud berpaling
kepada sanad yang kedua. Pada sanad pertama, bermuarakan dari Syu’bah,
sedangkan pada sanad kedua, bermuarakan dari Abu ‘Awanah.
[2] STATUS HADIS: SAHIH
Hadis
ini sahih dengan beberapa alasan berikut:
(A)
Semua
perawi adalah siqah dan sahih.
(B)
Sanadnya
mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim.
(C)
Al-Bukhari
dan Muslim turut meriwayatkan hadis ini dalam kitab sahih masing-masing.
(D)
Ia
disepakati sahih oleh Albani dan Arnaut.
TAKHRIJ |
Al-Bukhari (224, 225, 226 – ringkas), Muslim
(273, 73, 74), Al-Tarmizi (13), Al-Nasaie (al-Kubra-18, 23), Ibn Majah (305),
Musnad Ahmad (23341), Ibn Hibban (1424)
No comments:
Post a Comment