BAB 8 |
بَابُ
أَيَرُدُّ السَّلَامَ وَهُوَ يَبُولُ
“APAKAH MEMBALAS SALAM KETIKA SEDANG KENCING”
HADIS 16 |
حَدَّثَنَا عُثْمَانُ وَ أَبُو بَكْرِ
قَالَا: حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ سَعْدٍ عَنْ سُفْيَانَ عَنِ الضَّحَّاكِ بْنِ عُثْمَانَ عَنْ نَافِعٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: «مَرَّ رَجُلٌ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
وَهُوَ يَبُولُ، فَسَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ
Daripada Ibn Umar berkata: Pernah ada seorang lelaki
melintasi Nabi ketika baginda sedang buang air kecil, lalu lelaki itu memberi salam
kepada baginda, namun baginda tidak menjawab salamnya.
قَالَ أَبُو
دَاوُدَ: وَرُوِيَ عَنِ ابْنِ عُمَرَ، وَغَيْرِهِ، «أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَيَمَّمَ ثُمَّ رَدَّ عَلَى الرَّجُلِ السَّلَامَ»
Abu Daud berkata: Diriwayatkan dari Ibn Umar dan
selainnya, bahawa Nabi bertayamum, kemudian baginda menjawab salam lelaki
tersebut”
PENJELASAN
HADIS |
[1] Hadis ABDULLAH BIN UMAR ini menjelaskan bahawa
Nabi saw sedang kencing. Lalu, ada sahabat memberi salam kepada baginda. Ketika
itu, baginda tidak menjawab salam sahabat terbabit.
Dalam riwayat kedua yang turut dibawakan oleh ABU
DAUD, dinyatakan bahawa Nabi saw menjawab salam tersebut selesai sahaja Nabi
saw dari istinjak dan bersuci, walaupun dengan Tayammum.
[2] Hadis yang hampir sama, turut sama diriwayatkan
oleh Sahabat selain ABDULLAH BIN UMAR, seperti satu kisah yang diceritakan oleh
ABU JUHAIM yang berkata:
أَقْبَلَ النَّبِيُّ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ نَحْوِ بِئْرِ جَمَلٍ فَلَقِيَهُ رَجُلٌ
فَسَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ حَتَّى أَقْبَلَ عَلَى الجِدَارِ، فَمَسَحَ بِوَجْهِهِ وَيَدَيْهِ،
ثُمَّ رَدَّ عَلَيْهِ السَّلاَمَ
“Nabi saw
mengadap ke arah umpama telaga yang unta minum di situ. Seseorang lelaki datang,
lalu memberi salam. Baginda tidak menjawab salam hingga baginda mengadap ke
arah dinding, baginda pun sapu muka dan dua tangan baginda (tayammum), kemudian
baru Nabi saw menjawab salam tadi” (al-Bukhari, hadis no: 337 | Muslim, hadis
no: 369)
HUBUNGAN HADIS |
Dalam hadis ke-15, dijelaskan larangan bercakap dua
orang lelaki semasa sedang qadha’ hajat.
Dalam hadis ke-16 ini pula, dijelaskan bahawa Nabi saw
tidak menjawab salam ketika baginda sedang kencing.
PENGAJARAN |
Antara pengajaran boleh diambil dari hadis ini adalah
seperti berikut;
[1] TIDAK BERCAKAP SEMASA QADHA’ HAJAT
Menurut Ibn Hajar al-Haisami dalam al-Tuhfah, hukum
bercakap semasa sedang qadha’ hajat adalah makruh.
Ia dibawah maksud beradab semasa qadha’ hajat—dianggap
tidak sopan bercakap semasa sedang qadha’ hajat.
Dalam penjelasan Ibn Hajar al-Haisami lagi, maksud
bercakap semasa qadha’ hajat yang dianggap makruh itu adalah kadar suara itu boleh
didengari oleh orang lain.
Dalam erti kata lain, jika suara itu hanya didengari
dirinya sendiri, maka itu tidak termasuk di bawah maksud makruh.
Walaubagaimana pun, al-Imam al-Nawawi menyatakan dalam
Kitab Majmuk, bahawa hukum makruh itu jika tidak ada sebarang dharurat dan
keperluan mendesak. Jika ada keperluan mendesak, maka hukumnya tidak makruh
lagi, seperti memberitahu agar orang tidak jatuh dalam telaga, nampak ular dan
sebagainya.
[2] TIDAK JAWAB SALAM
SEMASA QADHA’ HAJAT
Hukum menjawab salam adalah wajib. Hal ini merujuk
kepada suruhan al-Quran;
وَإِذَا حُيِّيتُمْ
بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ
عَلَى كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا (86) - النساء
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan
hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang
lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya
Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”
Namun, dalam beberapa keadaan tidak dibenarkan
menjawab salam seperti ketika sedang qadha’ hajat, sama ada ketika buang air
besar atau buang air kecil.
Menurut ulama mazhab Hanafi, antaranya adalah Ibn
al-Himam al-Hanafi dalam kitab Fath al-Qadir; mereka berpendapat bahawa
menjawab salam ketika Qadha’ hajat adalah HARAM. Hujah mereka adalah seperti
berikut;
Pertama, Ibn al-Himam menyatakan bahawa hal ini telah
diijmakkan oleh para ulama.
Kedua, menjawab salam ada unsur ibadat khusiyyah
(penjelasannya dalam hadis ke-17 nanti).
Ketiga, dalam kitab Hasyiah Ibn ‘Abidin al-Hanafi
menjelaskan bahawa dalam mazhab mereka memegang satu ketetapan (dhawabit)
berikut;
كل محل لا يُشرع فيه السلام لا يجب رده
“setiap tempat yang tidak disyariatkan memberi salam,
maka tidak wajib juga menjawab salam”
[3] TIDAK BERCAKAP SEMASA TAYAMMUM
Dalam hadis dijelaskan bahawa Nabi saw menjawab salam
sejurus selesai dari TAYAMMUM.
Ia menjadi dalil bahawa MAKRUH bercakap semasa sedang
bersuci, seperti ketika mandi wajib, ketika berwuduk dan tayammum.
Hujahnya adalah seperti
berikut;
Pertama,
kaedah fiqh
yang berbunyi;
المشغول لا يشغل
“Orang
yang sedang sebuk, jangan disebukkan lagi”
Dalam
erti kata lain, orang yang sedang sebuk dengan bersuci, maka jangan sebukkannya
untuk bercakap.
Kedua,
memakai kaedah manat, iaitu makruh bercakap dalam hal ibadat khusus, seperti
tidak bercakap semasa azan sedang dilaungkan; tidak bercakap ketika kuliah agama
sedang berlangsung; diam ketika solat dan sebagainya. Maka, tidak bercakap juga
ketika sedang bersuci seperti berwuduk, bertayammum dan mandi wajib.
[4] MENJAWAB SALAM KETIKA SEDANG TAYAMMUM
Hukum menjawab salam adalah wajib, tetapi ia tidak
semestinya perlu disegerakan. Dengan sebab itu, dalam hadis, nabi saw menjawab
salam selepas tayammum, bukan semasa sedang tayammum.
Namun
begitu, al-‘Azim Abadi nyatakan dalam Aun al-Ma’bud bahawa tidak jawab salam itu,
jika masih ada ruang untuk menjawab. Andai selesai wuduk, orang yang memberi
salam sudah tiada, maka boleh menjawab salam semasa tengah wuduk.
[5] MENJAWAB SALAM KETIKA
SEDANG SOLAT
Di awal Islam, antara
perkara yang tidak dilarang adalah bercakap semasa sedang solat. Sehinggakan, berlaku
keadaan di mana nabi dan para sahabat memberi salam dan menjawab semasa mereka
sedang solat.
Namun, hukuman tidak
dilarang itu mansukh. Makanya, tidak dibenarkan lagi menjawab salam ketika
sedang solat.
Dalam hadis—daripada
Abdullah bin Mas’ud berkata:
كُنْتُ
أُسَلِّمُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي
الصَّلاَةِ فَيَرُدُّ عَلَيَّ ، فَلَمَّا رَجَعْنَا سَلَّمْتُ عَلَيْهِ فَلَمْ
يَرُدَّ عَلَيَّ وَقَالَ: إِنَّ فِي الصَّلاَةِ لَشُغْلًا
Áku selalu memberi salam
kepada Nabi saw ketika nabi sedang solat, lalu baginda menjawab salam. Ketika
aku telah pulang (dari musafir), aku memberi salam kepada Nabi, baginda tidak
menjawab salam aku itu. Baginda berkata: Sesungguhnya dalam solat itu ada
kesebukan (focus untuk solat). (al-Bukhari, hadis no: 1216)
Begitujuga, larangan
bercakap semasa solat termasuk menjawab salam adalah turun firman Allah
berikut;
حَافِظُوا
عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَى (238) – البقرة
“janganlah kamu atas solat-solat
dan solat pertengahan”
[6] MEMBERI
SALAM KEPADA ORANG SOLAT
Berlaku
perbezaan pendapat dalam kalangan ulama berkenaan memberi salam kepada orang
yang sedang menunaikan solat.
PENDAPAT
PERTAMA: MAKRUH
Ini adalah
pendapat JABIR BIN ABDILLAH.
Hujah yang
menganggap makruh adalah seperti berikut;
Pertama,
hadis—daripada Jabir bin Abdillah berkata:
لَوْ دَخَلْتُ عَلَى قَوْمٍ ، وَهُمْ يُصَلُّونَ مَا سَلَّمْتُ
عَلَيْهِمْ
“Kalau aku masuk kepada sesuatu kaum ketika
mereka sedang solat, aku tidak akan memberi salam kepada mereka” (al-Mu’jam Ibn
al-Munzir).
Kedua,
apabila orang yang sedang solat dilarang menjawab salam, sudah pasti memberi
salam kepada mereka juga adalah dilarang.
PENDAPAT
KEDUA: HARUS
Ini
adalah pendapat Ibn Umar, Imam Malik, Ahmad bin Hanbal dan sebagainya.
Dalil
mereka adalah seperti berikut;
Pertama,
hadis—daripada Jabir berkata:
إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَنِي
لِحَاجَةٍ ، ثُمَّ أَدْرَكْتُهُ وَهُوَ يَسِيرُ يُصَلِّي - فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ ،
فَأَشَارَ إِلَيَّ
“Nabi saw hantar aku
untuk tunaikan sesuatu urusan. Kemudian, aku dapati baginda sedang menunaikan
solat. Aku memberi salam kepada baginda. baginda pun memberi isyarat kepadaku”
(Muslim, hadis no: 540)
Kedua,
hadis—daripada Sohaib al-Rumi berkata:
مَرَرْتُ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
وَهُوَ يُصَلِّي، فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ، فَرَدَّ إِشَارَةً . قَالَ: وَلَا
أَعْلَمُهُ إِلَّا قَالَ إِشَارَةً بِأُصْبُعِهِ"
“Aku melintasi Nabi saw
yang ketika itu sedang solat. Aku memberi salam kepada baginda. baginda
membalas dengan isyarat. Berkata lagi: Aku tidak tahu kecuali dia berkata: baginda
memberi isyarat itu dengan jari-jarinya” (Abu Daud, hadis no: 925)
Ketiga,
hadis—daripada Abdullah bin Umar berkata:
خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى
قُبَاءَ يُصَلِّي فِيهِ ، فَجَاءَتْهُ الْأَنْصَارُ ، فَسَلَّمُوا عَلَيْهِ وَهُوَ
يُصَلِّي ، قَالَ: فَقُلْتُ لِبِلَالٍ: كَيْفَ رَأَيْتَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرُدُّ عَلَيْهِمْ، حِينَ كَانُوا يُسَلِّمُونَ
عَلَيْهِ وَهُوَ يُصَلِّي؟ ، قَالَ: يَقُولُ هَكَذَا ، وَبَسَطَ كَفَّهُ
“Rasulullah saw keluar
ke Quba’-baginda tunaikan solat di situ. Orang-orang ansar pun datang, lalu
memberi salam kepada baginda ketika baginda sedang solat. Aku (Ibn Umar)
berkata kepada Bilal: bagaimana keadaan mereka memberi salam dalam keadaan
baginda saw sedang solat itu? Jawab bilal: “Baginda jawab begini”, sambil bilal
membuka tapak tangannya” (Abu Daud, hadis no: 927)
ISTIDLAL: dari ketika hadis ini memperlihatkan bahawa
Nabi saw tidak melarang sahabat memberi salam kepada baginda yang sedang solat,
bahkan Nabi membalas salam itu dengan isyarat tangan.
Dari
ini, al-Imam al-Nawawi berkata dalam Syarh Muslim:
تَحْرِيمُ رَدِّ السَّلَامِ فِيهَا بِاللَّفْظِ ، وَأَنَّهُ لَا
تَضُرُّ الْإِشَارَةُ ، بَلْ يُسْتَحَبُّ رَدُّ السَّلَامِ بِالْإِشَارَةِ ،
وَبِهَذِهِ الْجُمْلَةِ قَالَ الشَّافِعِيُّ وَالْأَكْثَرُونَ
“Haram menjawab salam
dengan lafaz, tetapi tidak mudharat solat jika dibalas dengan isyarat—bahkan,
digalakkan jawab dengan isyarat. Ini adalah pendapat Imam Syafie dan
kebanyakkannya”
BIOGRAFI
PERAWI |
[6] OSMAN BIN ABI
SYAIBAH AL-‘ABASI AL-KUFI (160H-239H)
عُثْمَانُ بن محمد بن ابي شيبة العبسي
الكوفي
Namanya adalah OSMAN
BIN MUHAMMAD BIN IBRAHIM BIN OSMAN BIN KHAWASTI. Namun, lebih dikenali dengan
OSMAN BIN MUHAMMAD BIN ABI SYAIBAH AL-KUFI.
Dia
pernah sampai ke Mekah, Baghdad, dan al-ray (iran)
Dia terkenal dalam
bidang ilmu Tafsir dan hadis. Abang dia adalah seorang ulama hadis terkenal,
iaitu Abu Bakar bin Abi Syaibah yang terkenal pengarang kitab “Musannaf Ibn Abi
Syaibah”. Seorang lagi adik beradiknya bernama al-Qasim bin Abi Syaibah yang
juga salah seorang perawi hadis. Namun, dia antara perawi doif
Dia adalah guru imam
Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah, dan dalam kalangan perawi siqah dan
sahih.
[6] ABU BAKAR ABDULLAH
BIN MUHAMMAD BIN ABI SYAIBAH (159-235H)
أَبُو بَكْرِ عبد الله بن محمد بن أَبِي
شَيْبَةَ
Dia adalah abang kepada Osman bin Abi Syaibah, bapa
kepada IBRAHIM BIN ABI BAKAR dan bapa saudara kepada ABU JA’FAR MUHAMMAD BIN
OSMAN.
Dia dilahirkan
di Wasit (Iraq) dan meninggal di kufah. Dia pernah sampai ke Damsyiq. Dia
adalah pengarang kitab “Musannaf Ibn Abi Syaibah”.
Dalam kalangan ulama hadis menggelarkannya sebagai
SAYYID AL-HUFFAZ, iaitu penghulu bagi segala penghafaz hadis. Dia bukan sekadar
terkenal dalam bidang hadis, malah terkenal juga dalam bidang tafsir al-Quran.
Dalam kalangan imam al-Kutub al-Sittah itu, hanya Imam
al-tarmizi sahaja tidak riwayatkan hadisnya. Ibn Majah pula, meriwayatkan
hadisnya dengan perantara.
Walaubagaimana
pun, dia perawi yang sahih.
[5] UMAR BIN SA’AD BIN UBAID AL-HAFARI (203H)
عُمَرُ بْنُ
سَعْدٍ بن عبيد الحفري
Dia berasal dari kufah
dan meninggal di situ. Dia dinisbahkan sebagai AL-HAFARI kerana dia tinggal di
tempat yang bernama AL-HAFAR yang merupakan satu perkampungan dalam Kawasan
kufah. Ada dari kalangan ulama hadis memanggil dia dengan panggilan ABU DAUD
AL-HAFARI, antaranya adalah Imam Muslim.
Dia adalah rijal
Muslim, Abu Daud,
al-Tarmizi dan Ibn majah. Dia adalah perawi siqah lagi sahih.
PERINGATAN: ada
seorang lagi perawi yang turut bernama UMAR BIN SA’AD (23H-66H), tetapi perawi
ini adalah anak kepada sahabat Nabi terkenal, iaitu Sa’ad bin Waqas
[4] SUFYAN BIN SA’ID
AL-SAURI (97H-161H)
سُفْيَانَ بن
سعيد الثوري
Dilahirkan di Kufah dan meninggal dunia di Basrah. Nama sebenarnya adalah
SUFYAN BIN SA’ID BIN MASRUQ BIN HABIB BIN RAFI’ BIN ABDULLAH BIN MAUHIBAH BIN
ABI BIN ABDULLAH BIN MUNQIZ BIN NASR BIN AL-HARIS BIN TSA’LABAH BIN ‘AMIR BIN
MULKAN BIN SAUR.
Dia
belajar hadis dari bapanya sendiri yang merupakan seorang ulama hadis terkenal
pada zaman itu, iaitu SA’ID BIN MASRUQ AL-SAURI yang merupakan murid kepada
AL-SYA’BI (salah seorang sighar al-Tabiin).
Dikatakan
bahawa gurunya mencapai bilangan seramai 6 ratus orang yang kebanyakkan mereka
ambil hadis dari Abu Hurairah, Jarir bin Abdillah, Ibn Abbas dan sebagainya.
Dalam catatan sejarah, diceritakan bahawa selepas Abu
Hanifah meninggal dunia dalam penjara pada era Abu Ja’far al-Mansur ekoran tolak
jawatan Qadhi, khalifah tanya orang ramai: siapa yang layak untuk jawatan itu?
Ramai kata, Sufyan al-Sauri.
Mengetahui itu, Sufyan lari ke Mekah. Hal itu berlaku
pada tahun 155H.
Khalifah tawarkan bahawa sesiapa yang dapat tangkap
Sufyan, akan diberikan hadiah 10 ribu Dinar.
Dengan itu, dia lari ke Basrah. Di Basrah, dia kerja
di satu kebun. Namun, ada orang tahu bahawa dia ulama besar. Dengan itu, dia
pun lari ke Yaman.
Di Yaman dia dituduh mencuri dan ditangkap. Dia dihantar kepada Gabenor
Yaman bernama MA’AN BIN ZA-IDAH.
Setelah gabenor kenal, dia diberi peluang untuk tinggal di Yaman atau
berhijrah.
Dia memilih untuk tidak tinggal di Yaman. Makanya, dia pun ke Mekah
sekali lagi, iaitu tahun 158H.
Apabila khalifah tahu, diarahkan gabenor mekah agar tangkap Sufyan.
Mengetahui arahan khalifah tersebut, Sufyan pergi ke Kaabah dan bergantung pada
kelambu kaabah seraya berdoa agar khalifah tidak dapat masuk mekah.
Tidak lama kemudian, Khalifah sakit dan mati sebelum masuk ke Mekah.
Selepas kematian Abu Ja’far al-Mnasur, anak khalifah bernama MAHDI
sambung jawatan.
Sekali lagi, khalifah yang baru minta agar Sufyan terima jawatan sepertimana
bapanya dahulu minta. Tetapi kali ini, dia menulis surat.
Apabila surat itu sampai ke tangan Sufyan, surat itu dia buang ke
sungai.
Kemudian, dia pun lari ke Basrah, dan menyorok di rumah YAHYA BIN SA’ID
AL-QATTAN.
Namun begitu, lama kelamaan orang tahu dia berada di situ, iaitu melalui
orang yang belajar hadis darinya. Dia pun lari ke Kufah, dia menyorok ke rumah
ABDUL RAHMAN BIN MAHDI.
Khalifah al-Mahdi dapat tahu, dia arah tangkap Sufyan, makanya dia lari
ke Basrah. Di situ, dia tulis surat kepada khalifah. Sebelum suratnya sampai,
Sufyan meninggal dunia.
Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah dan sebagai seorang perawi siqah
lagi sahih.
[3] AL-DHAHHAK BIN OSMAN AL-MADANI ABU
OSMAN (153H)
الضَّحَّاكِ
بْنِ عُثْمَانَ المدني ابو عثمان
Dia
dilahirkan di Mekah dan menetap di Madinah sehingga mendapat gelaran al-Madani.
Antara
kritikan ulama hadis terhadap beliau adalah, Abu al-Qasim bin Biskhawal dan Abu
Zur’ah al-Razi kata bahawa dia doif; Abu Hatim al-Razi kata, dia tidak boleh
dibuat hujah, bahkan Ibn Abd al-Bar kata, dia banyak buat silap. Ibn Hajar al-Asqalani pula kata, dia soduq
yang berlaku waham.
Walaubagaimana
pun, tidak sedikit dari kalangan ulama hadis yang anggap dia siqah, seperti Abu
Daud, Ahmad, Ibn al-Madini, Mus’ab bin Abdullah al-Zabidi, Ibn Ma’in,
al-Baihaqi dan sebagainya. Apatah lagi, dia salah seorang rijal Muslim, Abu
daud, al-Tarmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah.
Dia
adalah seorang perawi siqah yang hasan.
[2] ABU ABDILLAH NAFI’ BIN HURMUZ (117H)
أبو عبدالله نَافِعٍ
بن هرمز
Dia sering diperkenalkan dalam kitab hadis sebagai نافع مولي ابن عمر iaitu
Nafi’ bekas hamba kepada Abdullah bin Umar.
Dia
dilahirkan dan meninggal di Madinah. Salah seorang Tabiin yang banyak ambil
hadis dari bekas tuannya, Ibn Umar; serta guru imam Malik yang paling lama Imam
malik belajar dengannya.
Pelbagai
riwayat dalam menjelaskan asalnya. Ada kata, dia berasal dari maghrib; ada
kata, dia berasal dari Naisabur; ada kata, Kabul.
Nama
bapanya adalah HURMUZ. Ada pula kata, nama bapanya KAWUS.
Di
era Umar bin Abdul Aziz, dia pernah dilantik agar ke Mesir untuk mengajar hadis
di sana. Dikatakan bahawa dia duduk di masjid selepas subuh, dia akan mengajar
manusia sehingga terbit matahari.
Bahkan,
dia pernah dilantik oleh Umar bin Abdul Aziz sebagai pemungut zakat di Yaman.
Dia
meninggal di era pemerintahan HISHAM BIN ABDUL MALIK, iaitu pada tahun 117
hijrah.
Dia
adalah rijal al-Kutub al-Sittah. Sepakat ulama mengatakan bahawa dia adalah
perawi siqah lagi sahih. Imam malik pernah berkata, jika sesuatu hadis yang
Nafi’ ambil dari Ibn Umar, sudah memadai hadis itu tanpa aku perlu dengar dari
orang lain lagi.
[1] SAHABAT: ABDULLAH
BIN UMAR (10SH-73H)
عَبدالله ابْنِ
عُمَرَ
Sudah dijelaskan dalam
hadis sebelum ini.
PERBAHASAN SANAD |
[1] SANAD HADIS
حَدَّثَنَا عُثْمَانُ وَ أَبُو بَكْرِ
قَالَا: حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ سَعْدٍ عَنْ سُفْيَانَ عَنِ الضَّحَّاكِ بْنِ عُثْمَانَ عَنْ نَافِعٍ عَنِ ابْنِ
عُمَرَ
[2] STATUS HADIS:
SAHIH
Dari sudut sanad,
hadis ini sahih dengan hujah berikut;
[a] hadis ini turut
ada dalam sahih Muslim dengan sanad yang sahih.
[b] ada kritikan hanya
pada perawi AL-DAHHAQ BIN OSMAN yang ALBANI anggap bahawa darjatnya sekadar
hasan. Dengan itu, ALBANI anggap hadis ini sebagai hasan. Namun, apabila
dilihat dalam sahih muslim, sanadnya juga ada perawi bernama AL-DHAHHAQ.
Dengan dua alasan ini,
sudah cukup untuk disimpulkan bahawa hadis ini adalah SAHIH. Turut sama mengatakan
ia SAHIH adalah ARNAUT.
TAKHRIJ |
Muslim (370), Al-Tarmizi
(90, 2917), Nasaie (Mujtaba: 37), Ibn Majah (353), Ibn Abi Syaibah (330, 331) –
Ibn Abbas.
No comments:
Post a Comment