Showing posts with label MENYENDIRI SEMASA QADHA’ HAJAT. Show all posts
Showing posts with label MENYENDIRI SEMASA QADHA’ HAJAT. Show all posts

Sunday, February 13, 2022

HADIS 2

 

HADIS 2

 

حَدَّثَنَا مُسَدَّدُ بْنُ مُسَرْهَد حَدَّثَنَا عِيسَى بْنُ يُونُسَ أَخْبَرَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، «أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَرَادَ الْبَرَازَ انْطَلَقَ، حَتَّى لَا يَرَاهُ أَحَدٌ»

Daripada Jabir bin Abdillah: “Nabi saw apabila hendak qadha’ hajat, baginda pergi hingga tidak ada seorang pun yang melihatnya”

 

status hadis : sahih lighairih

HUBUNGAN HADIS

 

Hadis pertama menyebut bahawa apabila nabi saw hendak qadha’ hajat, baginda menjauhkan diri dari manusia.

 

Hadis ke-2 ini pula menjelaskan bahawa tujuan Nabi menjauhkan diri dari manusia itu adalah untuk mengelak dari dilihat oleh manusia ketika baginda sedang qadha’ hajat.

 

Hadis ke-2 ini, boleh dianggap sebagai syawahid kepada hadis pertama.

 

PENGAJARAN

 

[1] GHARIB AL-HADIS

 

Dalam matan hadis ini, digunakan perkataan الْبَرَازَ yang asal maksudnya adalah kawasan lapang  seperti di padang pasir. Namun, digunakan untuk maksud tempat qadha’ hajat kerana melihat pada konteks dahulu yang apabila mereka mahu qadha’ hajat, mereka akan menyendiri di kawasan tersebut yang jauh dari penglihatan mata manusia.

 

[2] YANG PENTING, AURAT TIDAK KELIHATAN

 

Salah satu perkara yang dituntut dalam agama islam adalah menutup aurat dan mengelak dari aurat dilihat oleh manusia.

 

Aurat perlu dijaga agar tidak kelihatan, hatta semasa qadha’ hajat.

 

Dalam konteks zaman nabi, qadha’ hajat perlu dilakukan dengan cara menjauhkan diri dari orang.

 

Di era sekarang, memadai dari aurat tidak kelihatan dengan masuk ke dalam tandas yang ditutup pintunya.

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[1] ABU AL-HASAN MUSADDAD BIN MUSARHAD BIN MUSARBIL AL-ASADI AL-BASARI (150H-208H)

ابو الحسن مُسَدَّدُ بْنُ مُسَرْهَد بن مسربل الأسدي البصري

 

Guru al-Imam Abu Daud yang ke-2 ini, juga guru kepada Imam al-Bukhari. Beliau merupakan rijal al-Tarmizi dan al-Nasaie.

 

Beliau berasal dari Basrah, tinggal dan meninggal dunia di situ.

 

[2] ABU MUHAMMAD ISA BIN YUNUS AL-HAMDANI AL-SABI’I AL-KUFI (187H)

أبو محمد عيسى بن يونس الهمداني السبيعي الكوفي

 

Beliau dilahirkan di Kufah, tinggal di Syam dan al-Kufah dan meninggal dunia di al-Hadas (kini, salah satu kawasan di Turki).

 

Beliau merupakan Rijal al-Bukhari, Muslim, Tarmizi, al-Nasaie, Ibn Majah dan Ahmad bin Hanbal.

 

 

Pelbagai riwayat dalam menyatakan tarikh matinya. Selain tahun 187Hijrah, Ada kata tahun 188 Hijrah.  Ibn Sa’ad pula kata, dia meninggal tahun 191 Hijrah

 

[3] ISMAIL BIN ABDUL MALIK BIN ABI AL-SUFAIRA’ AL-ASADI

إسماعيل بن عبد الملك بن أبي الصفيراء الأسدي

 

Pada nama atuknya, ada membaca dengan Abu al-Soghir. Nama betul atuknya adalah Rafi’ رفيع. Beliau adalah penduduk Mekah dan meninggal dunia di situ.

 

Disamping Rijal Abu Daud, Beliau juga rijal al-Tarmizi, Ibn Majah dan Ahmad.

 

Dari sudut ilmu al-Jarh wa Ta’dil pula;

n  al-Nasaie, Yahya bin Ma’in dan Abu Hatim mengatakan bahawa dia tidak kuat.

n  Ibn Hajar pula kata, dia soduq yang banyak membuat kesilapan. Ada ketika lain pula kata, halafannya buruk.

n  Abu Hatim Bin Hibban al-Basti kata, hafalan dan pemahamannya buruk.

n  Abu Daud pernah sekali mengatakan dia doif, dan ada sekali yang lain mengatakan tidak.

 

[4] ABU ZUBAIR MUHAMMAD BIN MUSLIM BIN TADRUS AL-MAKKI (128H)

أَبو الزُّبَيْرِ محمد بن مسلم بن تدرس المكي

 

Dari sudut Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil, terdapat pujian dan kritikan terhadap perawi hadis ini seperti berikut:

 

Kalangan yang Ta’dil (memuji) beliau:

n  Al-‘Ijli kata, dia tabiin yang siqah.

n  Ya’la bin ‘Ata kata, dia orang paling sempurna akal dan hafazan.

n  Yahya bin Ma’in dan Nasaie kata, dia siqah.

n  ‘Ali bin al-Madini kata, dia siqah lagi sabat.

n  ‘Ata bin Abi Rabah kata, Abu Zubair orang yang paling hafal hadis dalam kalangan kami.

n  Ahmad bin Hambal kata, dia tidak ada sebarang masalah.

 

Kalangan yang tajrih (kritik) dia pula:

n  Ibn ‘Adi kata, dia adalah siqah. Cuma ada sesetengah perawi doif meriwayatkan hadisnya sehingga dia dianggap sebagai perawi doif.

n  Abu Zur’ah, Abu Hatim dan al-Bukhari tidak berhujah dengan hadis riwayat Abu al-Zubair.

n  Ibn Hazm tidak menerima riwauat Abu Zubair kecuali jika dia ambil hadis dari Jabir bin Abdullah sahaja.

n  Al-Zahabi kata, di sana terdapat ulama memandang aib pada hadis riwayatnya seperti tadlis. Walaubagaimana pun, al-Zahabi anggap ia tidak doif.

n  Al-‘Azim Abadi dalam kitab Aun al-Ma’bud menyatakan, majoriti ulama anggap dia siqah. Namun, ada sesetengah ulama menganggap dia doif kerana dia banyak melakukan tadlis.

n  Burhanuddin al-Halabi menyebut dalam kitab al-Tabyiin Li Asma’ al-Mudallisin bahawa Abu al-Zubair terkenal dengan tadlis.

 

[5] JABIR BIN ABDILLAH (16SH-78H)

جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ

 

Beliau adalah salah seorang sahabat ansar dari kabilah khazraj.  Bapanya bernama Abdullah bin amru—mati Syahid dalam perang Uhud. Ibunya bernama nusaibah. Ada dakwaan mengatakan nama ibunya pun Unaisah binti Aqabah.

 

Beliau memeluk agama Islam semasa kecil lagi. Iaitu ketika bersama dengan bapanya hadir dalam Bai'ah Aqabah ke 2.

 

Beliau tidak terlibat perang Badar dan Uhud sebab bapanya minta beliau jaga 9 orang adik perempuannya. Selepas bapanya meninggal dunia, beliau tidak pernah terlepas dari terlibat dengan perang.

 

Setelah kewafatan Nabi, Beliau terlibat dalam pembukaan syam bersama Khalid bin Al-Walid. Semasa perang Siffin pula, beliau berpihak kepada Saidina Ali.

 

Beliau pernah menjadi mufti di Madinah.

 

Beliau dikatakan sahabat terakhir mati di Madinah. Ada dakwaan kata, sahabat yang terakhir mati di Madinah adalah Sahal bin Sa'ad.

 

Ada dakwaan mengatakan, sebelum meninggal dunia, dia berwasiat agar mayatnya tidak disolatkan oleh Hajjaj Yusuf As-Saqafi. Antara yang menunaikan solat jenazah kepadanya adalah Anak Saidina Osman, iaitu Aban bin Osman bin Affan.

 

PERBAHASAN SANAD

 

Dari sudut sanad hadis, hadis ini dianggap sebagai doif kerana berfaktorkan perawi bernama:

a.                   ISMAIL BIN ABDUL MALIK yang banyak waham, dan;

b.                  MUHAMMADBIN MUSLIM AL-MAKKI yang merupakan seorang mudallis yang menggunakan riwayat عنعنة.

 

Walaubagaimana pun, hadis ini ada syawahid dan mutaba-ah dari sudut matan yang banyak menyebabkan hadis ini dianggap sebagai sahih, iaitu sahih dengan factor lain yang disebut sebagai SAHIH LIGHAIRIH. Hal ini disepakati antara ALBANI dan ARNAUT.

 

PERBAHASAN MATAN

 

Hadis ini ada syawahid dan mutaba-ah dari sudut matan seperti berikut;

 

[1] SYAWAHID

 

Pertama: Hadis ini sebagai syawahid kepada hadis pertama (Sahabat bernama al-Mughirah bin Syu’bah).

 

Kedua: Abdullah bin Ja’afar berkata:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ جَعْفَرٍ، قَالَ: «وَكَانَ أَحَبَّ مَا اسْتَتَرَ بِهِ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِحَاجَتِهِ، هَدَفٌ أَوْ حَائِشُ نَخْلٍ»

“Nabi saw amat suka bertutup untuk qadha’ hajat dengan rimbunan pelepah tamar” (Muslim, hadis no: 342)

 

PENJELASAN: Dua hadis ini dianggap sebagai syawahid, kerana:

a.                   hadis ke-2 ini diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah, sedangkan hadis pertama dari sahabat Nabi yang lain, iaitu al-Mughirah bin Syu’bah

b.                  Demikian juga riwayat muslim, ia diriwayatkan oleh Sahabat lain pula, iaitu Abdullah bin Ja’afar.

c.                   Kandungan matan hadis di atas menjurus kepada satu maksud, iaitu Nabi saw tidak mahu dilihat manusia semasa baginda sedang qadha’ hajat.

 

[2] MUTABA-AH

 

Jika dilihat pada riwayat-riwayat lain, didapati hadis yang bermuara dari Jabir bin Abdullah ini menggunakan perbezaan matan yang menjurus kepada makna yang satu.

 

Pertama: Sunan Ibn Majah (hadis no: 335):

عَنْ جَابِرٍ، قَالَ: خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «لَا يَأْتِي الْبَرَازَ حَتَّى يَتَغَيَّبَ فَلَا يُرَى»

Berkata Jabir: KAMI keluar bersama Rasulullah saw dalam satu permusafiran. Rasulullah saw tidak mendatangi tempat qadha’ hajat hinggalah nabi saw tidak kelihatan dari penglihatan manusia.

 

Kedua: Ibn Abi Syaibah (hadis no: 1138) menggunakan matan yang sama. Cuma, perbezaan hanya pada lafaz خَرَجْنَا (kami keluar) yang Ibn Abi Syaibah guna lafaz خَرَجْتُ (Aku keluar)

 

Ketiga: Al-Darimi (hadis no: 17) mendatangkan riwayat yang sama dengan Ibn Abi Syaibah. Cuma, disertakan penambahan yang panjang seperti berikut;

خَرَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ وَكَانَ لَا يَأْتِي الْبَرَازَ حَتَّى يَتَغَيَّبَ فَلَا يُرَى فَنَزَلْنَا بِفَلَاةٍ مِنَ الْأَرْضِ لَيْسَ فِيهَا شَجَرَةٌ وَلَا عَلَمٌ فَقَالَ: «يَا جَابِرُ اجْعَلْ فِي إِدَاوَتِكَ مَاءً ثُمَّ انْطَلِقْ بِنَا» قَالَ: فَانْطَلَقْنَا حَتَّى لَا نُرَى، فَإِذَا هُوَ بِشَجَرَتَيْنِ بَيْنَهُمَا أَرْبَعُ أَذْرُعٍ فَقَالَ: " يَا جَابِرُ انْطَلِقْ إِلَى هَذِهِ الشَّجَرَةِ فَقُلْ: يُقُولُ لَكِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْحَقِي بِصَاحِبَتِكِ حَتَّى أَجْلِسَ خَلْفَكُمَا "، قَالَ: فَفَعَلْتُ فَرَجَعَتْ إِلَيْهَا فَجَلَسَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَلْفَهُمَا، ثُمَّ رَجَعَتَا إِلَى مَكَانِهِمَا، فَرَكِبْنَا مَعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَسُولُ اللَّهِ بَيْنَنَا كَأَنَّمَا عَلَيْنَا الطَّيْرُ تُظِلُّنَا، فَعَرَضَتْ لَهُ امْرَأَةٌ مَعَهَا صَبِيٌّ لَهَا فَقَالَتْ: يَا رَسُولُ اللَّهِ إِنَّ ابْنِي هَذَا يَأْخُذُهُ الشَّيْطَانُ كُلَّ يَوْمٍ ثَلَاثَ مِرَارٍ، قَالَ: فَتَنَاوَلَ الصَّبِيَّ فَجَعَلَهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ مُقَدَّمِ الرَّحْلِ، ثُمَّ قَالَ: «اخْسَأْ عَدُوَّ اللَّهِ، أَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، اخْسَأْ عَدُوَّ اللَّهِ أَنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثًا» ثُمَّ دَفَعَهُ إِلَيْهَا فَلَمَّا قَضَيْنَا سَفَرَنَا، مَرَرْنَا بِذَلِكَ الْمَكَانِ فَعَرَضَتْ لَنَا الْمَرْأَةُ مَعَهَا صَبِيُّهَا، وَمَعَهَا كَبْشَانِ تَسُوقُهُمَا، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ اقْبَلْ مِنِّي هَدِيَّتِي، فَوَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا عَادَ إِلَيْهِ بَعْدُ، فَقَالَ: «خُذُوا مِنْهَا وَاحِدًا وَرُدُّوا عَلَيْهَا الْآخَرَ» ، قَالَ: ثُمَّ سِرْنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَنَا كَأَنَّمَا عَلَيْنَا الطَّيْرُ تُظِلُّنَا، فَإِذَا جَمَلٌ نَادٌّ حَتَّى إِذَا كَانَ بَيْنَ سِمَاطَيْنِ خَرَّ سَاجِدًا، فَجَلَسَ رَسُولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهِ عَلَيْهِ وسلَّمَ، وَقَالَ عَلَيَّ النَّاسَ: «مَنْ صَاحِبُ الْجَمَلِ؟» فَإِذَا فِتْيَةٌ مِنَ الْأَنْصَارِ قَالُوا: هُوَ لَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «فَمَا شَأْنُهُ؟» . قَالُوا: اسْتَنَيْنَا عَلَيْهِ مُنْذُ عِشْرِينَ سَنَةً، وَكَانَتْ بِهِ شُحَيْمَةٌ فَأَرَدْنَا أنْ نَنْحَرَهُ فَنَقْسِمَهُ بَيْنَ غِلْمَانِنَا، فَانْفَلَتَ مِنَّا، قَالَ: «بِيعُونِيهِ» قَالُوا: لَا، بَلْ هُوَ لَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «أَمَّا لَا فَأَحْسِنُوا إِلَيْهِ حَتَّى يَأْتِيَهُ أَجَلُهُ» قَالَ الْمُسْلِمُونَ عِنْدَ ذَلِكَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، نَحْنُ أَحَقُّ بِالسُّجُودِ لَكَ مِنَ الْبَهَائِمِ، قَالَ: «لَا يَنْبَغِي لِشَيْءٍ أَنْ يَسْجُدَ لِشَيْءٍ، وَلَوْ كَانَ ذَلِكَ كَانَ النِّسَاءُ لِأَزْوَاجِهِنَّ»

Kata Jabir: saya keluar bersama Rasulullah dalam satu permunsafiran dan baginda apabila hendak qadha’ hajat, baginda selalu bersembunyi hingga tidak kelihatan.

Ketika itu kami sedang berada pada tanah lapang yang luas yang tidak ada sebarang pokok. Baginda pun berkata: wahai Jabir, ambillah air dengan bekas airmu dan marilah kita teruskan perjalanan.

Kata Jabir: kami terus melanjutkan permusafiran hingga tidak terlihat.

Tiba-tiba ada dua pokok yang jarak antara keduanya empat hasta. Baginda pun bersabda: Tolong kamu dekati pokok itu, ajaklah ia berbicara, niscaya ia menjawab. Katakanlah padanya: 'temuilah pokok sebelahmu hingga aku boleh duduk di belakang kamu berdua'.

Pohon itu mendekati (pohon sebelahnya) dan Rasulullah duduk di belakang keduanya, kemudian kedua pohon itu kembali ke tempat masing-masing.

Selanjutnya kami menaiki kenderaan kami, dan seakan-akan di atas kami ada seekor burung yang menaungi kami. Tiba-tiba Seorang perempuan bersama bayinya menahan kami di hadapan. 

Dia berkata: wahai Rasulullah sesungguhnya anak saya ini selalu diganggu syaitan setiap hari tiga kali.

Jabir berkata: lalu Rasulullah mengambil bayi tersebut dan meletakannya di depan kendaraannya lalu beliau berkata; pergilah hai musuh Allah! saya adalah Rasulullah.

Rasul mengucapkannya sebanyak tiga kali. Kemudian baginda mengembalikannya kepada perempuan tersebut.

Tatkala kami kembali dari permusafiran, kami melalui jalan yang kami lalu masa permusafiran tempoh hari. Sekali lagi, perempuan itu bersama anaknya telah menahan kami bersama dua ekor kibash yang dia bawa.

Kemudian dia berkata: "Wahai Rasulullah terimalah hadiah dari saya ini. Demi Zat yang mengutus kamu dengan benar. Sesungguhnya syaitan itu tidak datang lagi"

Baginda pun berkata: ambilah satu dan kembalikan yang satunya kepadanya. Kemudian kami terus melanjutkan perjalanan dan burung seolah-olah memayungi kami. Tiba-tiba ada unta melarikan diri, namun saat ia sampai pada dua rerimbunan pokok, ia langsung merunduk bersujud. Rasulullah pun duduk. Baginda pun bertanya kepada orang di situ: "Siapa pemilik unta ini?”

Maka beberapa pemuda dari kaum Ansar menjawab: ia milik kami wahai Rasulullah.

Baginda bertanya lagi: apa yang sedang dialaminya?

Mereka menjawab: kami telah lelah mengurusnya selama dua puluh tahun dan ia telah mempunyai banyak lemak (sudah menjadi gemuk) maka kami ingin menyembelihnya serta ingin membahagikannya kepada kalangan anak-anak kami, akan tetapi ia kabur (lari) dari kami.

Baginda berkata: "baiklah, kalau begitu jualkan sahaja kepada Aku".

Mereka menjawab; "tidak. Bahkan, unta itu sebagai (hadiah) untuk baginda.

Nabi pun berkata: "Jika ia milik aku, maka berlaku baiklah kepadanya sehingga sampai tiba ajalnya”

Pada saat itu kaum muslimin berkata: Wahai Rasulullah kami lebih berhak untuk bersujud kepada baginda dari segala binatang.

Baginda bersabda: Tidaklah berhak satu (makhluk) bersujud kepada makhluk (lainnya), kalau sekiranya hal itu boleh maka para wanita diperkenankan sujud kepada suami-suami mereka. (Kisah tambahan ini turut ada dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah dalam hadis no: 31754)

 

PENJELASAN: kisah penambahan ini hanya ada dalam riwayat al-Darimi dan ibn Abi Syaibah yang kedua-duanya bermuarakan pada dua orang perawi yang doif yang telah dikupas di atas, iaitu Ismail bin Abdul Malik dan Abu Zubair.

 

Justeru, dapat disimpulkan bahawa hadis ini sahih pada matan hanya pada bukan penambahan, sedangkan penambahan matan itu adalah doif. Hal ini kerana, I’tibar melalui syawahid dan mutaba’ah ini hanya pada kandungan matan yang tidak ada penambahan sahaja, sedangkan kisah penambahan itu tidak didokong oleh sebarang mutaba-ah dan syawahid.

 

TAKHRIJ

 

Ibn Majah (335) melalui jalur Ismail bin Abdul Malik dengan sanad ini | al-Bazzar dalam al-Nihayah

 


HADIS 1 (BAB 1) [KITAB AL-TAHARAH]

 

كِتَاب الطَّهَارَةِ

KITAB BERSUCI

 


BAB 1

 

بَابُ التَّخَلِّي عِنْدَ قَضَاءِ الْحَاجَةِ

“MENYENDIRI SEMASA QADHA’ HAJAT”

 

HADIS 1

 

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ بْنِ قَعْنَبٍ الْقَعْنَبِيُّ، حَدَّثَنَا عَبْدُالْعَزِيزِ يَعْنِي ابْنَ مُحَمَّدٍ عَنْ مُحَمَّدٍ يَعْنِي ابْنَ عَمْرٍو، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ  عَنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ :«أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا ذَهَبَ الْمَذْهَبَ أَبْعَدَ»

Daripada al-Mughirah bin Syu’bah: “Nabi saw apabila hendak pergi untuk qadha’ hajat, baginda menjauh diri (dari manusia)” 


Status Hadis: sahih lighairih

 

PERBAHASAN MATAN

 

[1] GHARIBUL HADIS

 

Dalam matan hadis, ada digunakan perkataan المذهب yang berasal dari perkataan ذهب iaitu pergi. Al-Aini dalam Umdah al-Qari menyatakan, maksud perkataan itu dalam hadis ini adalah Nabi saw pergi jauh dari penglihatan manusia untuk baginda buang air besar.

 

[2] PENAMBAHAN MATAN

 

Dalam riwayat al-Nasaie, hadis ini ada penambahan matan berikut:

قَالَ: فَذَهَبَ لِحَاجَتِهِ وَهُوَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ فَقَالَ: «ائْتِنِي بِوَضُوءٍ، فَأَتَيْتُهُ بِوَضُوءٍ، فَتَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى الْخُفَّيْنِ»

Berkata (Mughirah): Nabi saw pergi untuk memunaikan hajatnya yang ketika itu baginda dalam setengah permusafiran. Baginda pun berkata: bawakan air wuduk kepadaku. Aku (Mughirah) pun membawa air wuduk kepada Nabi, lalu baginda berwuduk dan sapu pada dua khufnya” (al-Nasaie, hadis no: 17)

 

PENGAJARAN

 

HINDARI DARI KELIHATAN AURAT SEMASA QADHA’ HAJAT

 

Hadis ini menjelaskan bahawa Nabi saw qadha’ hajat bahawa nabi akan pergi jauh. Hal ini kelihatan bercanggah dengan hadis yang lain:

 

عَنْ حُذَيْفَةَ، قَالَ: «كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَانْتَهَى إِلَى سُبَاطَةِ قَوْمٍ، فَبَالَ قَائِمًا» فَتَنَحَّيْتُ فَقَالَ: «ادْنُهْ» فَدَنَوْتُ حَتَّى قُمْتُ عِنْدَ عَقِبَيْهِ «فَتَوَضَّأَ فَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ»

“daripada Huzaifah berkata: Aku bersama dengan nabi saw, lalu melintasi himpunan sampah sesuatu kaum, nabi pun kencing dalam keadaan berdiri. Aku menjauhkan diri, lalu nabi berkata: dekatilah. Aku pun dekati baginda hingga aku berdiri betul-betul di belakang baginda. Baginda berwudu’ dan sapu pada dua khufnya” (muslim, hadis no: 273)

 

Untuk diseragamkan antara dua hadis ini, dapat disimpulkan bahawa semasa qadha’ hajat adalah seperti berikut:

 

Takwil pertama: keutamaan adalah qadha’ hajat dalam keadaan menjauhi dari manusia. Namun, jika berhampiran dengan seseorang seperti kes Huzaifah, matan menyebut bahawa Nabi hanya kencing, bukan buang air besar. Bermakna, ia sudah terhindari dari bau busuk. (perbahasan hadis Huzaifah panjang lebar dalam perbincangan akan datang)

 

Takwil kedua: walaupun Huzaifah berdiri di belakang nabi, ketika itu aurat Nabi saw tidak kelihatan. Demikian juga hadis ini yang baginda menjauhkan diri ketika qadha’ hajat untuk memastikan aurat baginda tidak kelihatan.

 

Justeru, manat hadis ini adalah hendaklah terhindari dari dilihat aurat oleh manusia semasa qadha’ hajat.

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[1] ABDULLAH BIN MASLAMAH BIN QA’NAB AL-QA’NABI (130H-221H)

عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ بْنِ قَعْنَبٍ الْقَعْنَبِيُّ

 

Beliau dilahirkan di Madinah. Semasa hidup, banyak masa di Madinah dan di Basrah. Namun, beliau meninggal dunia di Mekah.

 

Dia merupakan murid kepada Imam malik dan guru kepada Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud.

 

[2] ABDUL AZIZ BIN MUHAMMAD AL-DARAWARDI

عَبْدُ الْعَزِيزِ يَعْنِي ابْنَ مُحَمَّدٍ الدراوردي

 

Ulama rijal tidak sepakat berkenaan statusnya. Secara dasarnya, ramai menganggap riwayatnya diguna pakai. Namun begitu, terdapat beberapa ulama yang memberi komen berkenaannya seperti berikut:

a.                  Ahmad bin Hanbal menyatakan bahawa hadis yang dia tulis lebih sahih dari hadis yang dia hafal.

b.                  Ahmad juga berkata, bahawa hadis yang al-Darawardi ambil dari semua perawi tidak dipertikaikan kecuali jika diambil dari Ubaidillah bin Umar—didapati banyak mungkar.

c.                   Abu Zur’ah pula kata, al-Darawardi buruk hafalan. Berlaku beberapa kali bahawa dia menyampaikan sesuatu hadis secara hafalan, tetapi didapati ada kesalahan.

 

Walaubagaimana pun, dia salah seorang rijal Muslim. Al-Bukhari pula ada meriwayatkan hadisnya secara mutaba-ah dan secara ta’liq.

 

[3] ABU AL-HASAN MUHAMMAD BIN AMRU BIN ‘ALQAMAH BIN WAQAS AL-LAISI (145H)

أبو الحسن  مُحَمَّدٍ يَعْنِي ابْنَ عَمْرٍو بن علقمة بن وقاص الليثي

 

Ada sebilangan ulama mengkritik statusnya seperti berikut;

a.                  Al-Juuzajani dan al-Sa’di kata, dia tidak kuat.

b.                  Yahya al-Qattan berkata, dia seorang lelaki soleh, tetapi hafalannya tidak baik.

 

Namun begitu, dia ada diriwayatkan oleh muslim secara mutaba-ah (lihat muslim, hadis no: 2261)

 

[4] ABU SALAMAH BIN ABDUL RAHMAN BIN AUF (22H-94H)

أَبِو سَلَمَةَ ابن عبد الرحمن بن عوف

 

Anak kepada sahabat Nabi yang terkenal, iaitu Abdul Rahman bin Auf. tidak diketahui nama sebenarnya, kerana terdapat beberapa riwayat menyatakan bahawa Namanya adalah Abdullah; ada pula riwayat lain kata, Namanya adalah ismail.

 

Beliau merupakan salah seorang dari tujuh orang fuqaha’ Madinah pada era Tabiin.

 

[5] SAHABAT: MUGIRAH BIN SYU’BAH (50H)

الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ

 

Zaman Jahiliyyah, beliau adalah perompak. Kemudian memeluk Islam semasa perang khandaq (5 Hijriah). Beliau merupakan salah seorang juru juru tulis Nabi.

 

Pada zaman Umar menjadi khalifah, beliau dilantik menjadi Gabenor Basrah, kemudian di Kufah. Selepas kematian Saidina Umar, dia terus menjadi gabenor sehingga digugurkan jawatannya oleh Saidina Osman.

 

Al-Sya’by berkata: “Orang cerdik dan bijak Arab itu ada 4; Muawwiyah kerana kesabaran dan kemurahan hatinya, Amru bin al-Ash kerana pandai menyelesaikan masalah, al-Mughirah kerana kepandaian memberi jawaban dengan cepat dan Ziyad bin Abihi karena bijak berhadapan terhadap yang muda dan tua”

 

Ketika terjadi perpecahan antara Ali dan Muawiyah sehingga terjadinya Perang Siffin, Mughirah memilih menjauhkan diri.

 

Kemudian dari itu, dia membaiah Muawiyah setelah sebahagian besar umat Islam melakukannya.

 

Muawiyah kemudian mengangkatnya menjadi gabenor Kufah kembali, hingga beliau meninggal dunia tahun 50 Hijriah

 

PERBAHASAN SANAD

 

PENDAPAT PERTAMA:

Menurut AL-HAKIM dan AL-ZAHABI, hadis ini sahih atas syarat bukhari dan Muslim hanya kerana perawi ini adalah rijal Bukhari dan muslim, walaupun kadangkala sekadar I’tibar sahaja.

 

PENDAPAT KEDUA:

Hadis ini dinilai HASAN oleh ALBANI dengan dua hujah:

n  perawi bernama ABDUL AZIZ AL-DARAWARDI itu dipertaikakan oleh ramai ulama hadis. Namun, didapati ia dia adalah rijal Muslim dan al-Bukhari pula pernah ambil riwayatnya secara mutaba-ah sahaja.

n  perawi bernama MUHAMMAD BIN AMRU ini soduq yang ada berlaku waham serta dipertaikaikan kekuatan hafalannya. Namun begitu, Imam muslim ada terima riwayatnya secara mutaba-ah.

 

PENDAPAT KETIGA:

Atas hujah yang kedua ini juga menjadikan sandaran SYUAIB AL-ARNAUT. Namun, beliau anggap ia sebagai SAHIH LIGHAIRIH dengan alasan bahawa hadis ini telah dikuatkan dengan alasan berikut:

n  hadis ini ada dalam jalur selain Abdul Aziz al-Darawardi, iaitu melalui jalur ISMAIL BIN JA’FAR (lihat al-Nasaie: 17)

أَخْبَرَنَا عَلِيُّ بْنُ حُجْرٍ قَالَ: أَنْبَأَنَا إِسْمَاعِيلُ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرٍو، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ، عَنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ

 

n  Ada syawahid dari sahabat bernama ABDUL RAHMAN BIN ABI QURAD seperti berikut:

 

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي قُرَادٍ، قَالَ: حَجَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «فَذَهَبَ لِحَاجَتِهِ فَأَبْعَدَ»

“Daripada Abdul Rahman bin Abi Qurad berkata: Aku buat haji bersama Nabi. Baginda pergi untuk qadha’ hajat, dan baginda menjauhkan diri” (Ibn Majah, hadis no: 334)

 

KESIMPULAN:

 

Setelah meneliti segala hujah-hujah sanad ini, secara peribadi saya berpendapat bahawa hadis ini boleh dibuat hujah dengan alasan bahawa andai berpegang dengan pendapat yang kata tidak sahih, paling rendah pun, statusnya adalah HASAN. Apatah lagi, hadis ini ada penguat sehingga dapat disimpulakan sebagai SAHIH LIGHAIRIH.

 

TAKHRIJ

 

Al-Tarmizi (20), al-Nasaie dalam al-Kubra (16), Ibn Majah (331) dan Musnad Ahmad (18171)