BAB 9 |
بَابٌ فِي
الرَّجُلِ يَذْكُرُ اللَّهَ تَعَالَى عَلَى غَيْرِ طُهْرٍ
“BERKENAAN LELAKI YANG BERZIKIR KEPADA ALLAH TANPA DIA BERSUCI
(TERLEBIH DAHULU)”
HADIS 18 |
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي زَائِدَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ خَالِدِ بْنِ سَلَمَةَ يَعْنِي الْفَأْفَاءَ عَنِ الْبَهِيِّ عَنْ عُرْوَةَ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: «كَانَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى
كُلِّ أَحْيَانِهِ»
“Rasulullah selalu berzikir kepada Allah di setiap keadaan
baginda”
Status hadis: sahih
PERBAHASAN LAFAZ |
[1] dalam hadis ini, digunakan perkataan كان yang digandingkan dengan يَذْكُرُ—فعل
المضارع yang dari sudut nahu arab, ia memberi
maksudالإستمرار dan المداومة iaitu bersentiasa. Justeru, difahami dari matan hadis ini
bahawa Nabi saw sentiasa berzikir kepada Allah tanpa henti kecuali ada qarinah
yang menyatakan sebaliknya.
[2]
Perkataan يذكر—berzikir dalam hadis ini bersifat umum;
iaitu, termasuk juga membaca tasbih, tahlil, takbir, istighfar, baca al-Quran
dan sebagainya.
Hal
ini kerana, al-Quran juga bermaksud zikir sepertimana firman Allah:
إِنَّا نَحْنُ
نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ (9) – الحجر
“sesungguhnya kami telah turunkan al-Zikr (al-Quran) dan kami
yang menjaganya”
PENJELASAN HADIS |
[1] Hadis ini adalah Marfu’ dari sudut lafaz, tetapi
mawquf dari sudut makna. Hal ini kerana, perkataan Aisyah ini adalah kesimpulan
yang dibuat oleh Isteri nabi itu terhadap baginda. Ia sudah termasuk di bawah
maksud ijtihad Aisyah dalam memahami Nabi saw.
[2] Dalam kesimpulan Aisyah ini, dia menilai bahawa
nabi saw sentiasa berzikir pada setiap waktu yang kelihatannya, tidak
dibataskan ketika waktu suci, bahkan termasuk juga ketika tidak suci, ketika
berhadas kecil dan besar.
HUBUNGAN HADIS |
Dalam hadis ke-17, dijelaskan bahawa Nabi saw tidak
menjawab salam ketika Baginda sedang berhadas. Baginda memberi alasan bahawa
Baginda tidak selesa berzikir kepada Allah dalam keadaan baginda belum bersih
dari hadas terlebih dahulu.
Dalam hadis ke-18 ini pula, dijelaskan bahawa Nabi saw
berzikir pada setiap masa dan ketika.
Berdasarkan kepada tajuk bab, kelihatan Abu Daud mahu
menjelaskan bahawa berzikir semasa tidak bersuci terlebih dahulu bukan sesuatu
larangan. Ia sekadar keutamaan atau afdhal sahaja.
PENGAJARAN |
[1] BERZIKIR KETIKA BERHADAS
Dalam hadis ini, dijelaskan bahawa Nabi saw berzikir
pada setiap masa dan ketika. Sedangkan dalam hadis ke-16 dan 17, digambarkan
bahawa nabi saw tidak menjawab salam ketika masih lagi berhadas.
Dari sini, terdapat beberapa takwil seperti berikut;
TAKWIL PERTAMA:
Maksud hadis ini--nabi saw sentiasa berzikir itu
adalah zikir dalam hati. Sedangkan maksud hadis ke-16 dan 17—maksudnya Nabi saw
tidak menjawab salam itu adalah zikir dalam bentuk berlafaz.
TAKWIL KEDUA:
Tidak salah berzikir semasa tidak suci dari hadas.
Namun, keutamaan adalah berzikir dalam keadaan suci dari hadas besar dan hadas
kecil.
[2]
BACA QURAN
BAGI ORANG BERJUNUB
Berlaku khilaf dalam kalangan ulama Islam berkenaan
membaca al-Quran dalam keadaan masih berjunub dan tidak bersih dari hadas.
PENDAPAT PERTAMA: TIDAK BOLEH
Ini adalah pendapat jumhur mazhab empat. Hujah mereka
adalah seperti berikut;
SATU: Hadis ke-16 dan ke-17 yang lalu, iaitu Nabi saw
tidak menjawab salam ketika baginda belum berwuduk dan belum bertayammum.
DUA: Hadis—daripada Ali bin Abi
Talib:
إِنَّ رَسُولَ
اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، كَانَ يَخْرُجُ مِنَ الخَلَاءِ
فَيُقْرِئُنَا الْقُرْآنَ، وَيَأْكُلُ مَعَنَا اللَّحْمَ وَلَمْ يَكُنْ يَحْجُبُهُ
- أَوْ قَالَ: يَحْجِزُهُ - عَنِ الْقُرْآنِ شَيْءٌ لَيْسَ الْجَنَابَةَ
“Rasulullah saw selalu keluar dari tempat qadha’
hajat, lalu baginda membaca al-Quran dan makan bersama kami daging, tanpa
baginda tidak terhalang dari al-Quran sedikit pun kecuali berjunub” (Abu Daud,
hadis no: 229)
TIGA: Hadis—daripada Ibn Umar bahawa Nabi saw
bersabda:
لَا تَقْرَأِ
الحَائِضُ، وَلَا الجُنُبُ شَيْئًا مِنَ القُرْآنِ
“Orang berhaid dan berjunub tidak boleh membaca
al-Quran, walaupun sedikit” (al-Tarmizi, hadis no: 131)
PENDAPAT KEDUA: BOLEH
Ini adalah pendapat al-‘Azim Abadi, Imam Malik, Ahmad
bin Hanbal, Imam Bukhari dan Imam
al-Syaukani.
Hujah mereka:
SATU: hadis ke 18 ini, iaitu Nabi saw berzikir pada
setiap masa dan ketika yang sudah pasti, ada ketika nabi sedang berhadas pun,
baginda tetap berzikir.
DUA: orang berjunub sudah ada di zaman nabi. Namun,
tidak ada satu larangan jelas dari Nabi. Hal ini adalah bukti bahawa tidak
dilarang membaca al-Quran semasa berjunub.
TIGA: Hadis Umar bin al-Khattab
كَانَ فِي قَوْمٍ
وَهُمْ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ فَذَهَبَ لِحَاجَتِهِ، ثُمَّ رَجَعَ وَهُوَ
يَقْرَأُ الْقُرْآنَ. فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ،
أَتَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَلَسْتَ عَلَى وُضُوءٍ؟ فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: «مَنْ
أَفْتَاكَ بِهَذَا أَمُسَيْلِمَةُ»
Ada satu kaum
membaca al-Quran. Lalu, Saidina Umar pergi qadha’ hajat. Kemudian dia kembali
dalam keadaan dia sedang membaca al-Quran. Seseorang lelaki pun berkata kepada
beliau: Wahai Amir al-Mukminin, apakah kamu membaca al-Quran walhal kamu tidak
berwuduk? Kata Saidina Umar kepadanya: Siapa yang memfatwakan hal ini kepada
kamu? Apakah Musailamah?” (Muwatta’, hadis no: 684)
EMPAT: Hadis Ibn Abbas;
أَنَّهُ بَاتَ لَيْلَةً عِنْدَ مَيْمُونَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - وَهِيَ خَالَتُهُ – قال : فَاضْطَجَعْتُ فِي
عَرْضِ الْوِسَادَةِ وَاضْطَجَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ وَأَهْلُهُ فِي طُولِهَا فَنَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى إِذَا انْتَصَفَ اللَّيْلُ أَوْ قَبْلَهُ بِقَلِيلٍ
أَوْ بَعْدَهُ بِقَلِيلٍ اسْتَيْقَظَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ فَجَلَسَ يَمْسَحُ النَّوْمَ عَنْ وَجْهِهِ بِيَدِهِ ثُمَّ قَرَأَ الْعَشْرَ
الْآيَاتِ الْخَوَاتِمَ مِنْ سُورَةِ آلِ عِمْرَانَ ثُمَّ قَامَ إِلَى شَنٍّ
مُعَلَّقَةٍ فَتَوَضَّأَ مِنْهَا فَأَحْسَنَ وُضُوءَهُ ثُمَّ قَامَ يُصَلِّي
“Dia pada suatu malam bermalam di rumah Maimunah, isteri Nabi
saw, dan dia adalah ibu saudaranya dari pihak ibu.
Kata Ibn Abbas: "Aku berbaring di sisi bantal sementara
Nabi saw dan isteri baginda berbaring pada bahagian panjang (tengahnya).
“Rasulullah saw lalu tidur hingga pada tengah malam, atau
kurang sedikit, atau lewat sedikit, baginda bangun dan duduk sambil mengusap
mengantuk di wajahnya dengan tangan. Baginda kemudian membaca sepuluh ayat
terakhir dari Surah Ali-‘Imran. Kemudian berdiri menuju tempat wudhu, baginda pun
berwudhu dengan mengelokkan wudhu, lalu solat" (al-Bukhari, hadis no: 183)
LIMA:
Semua hujah
ulama yang melarang dijawab dengan jawapan berikut;
(A)
Hadis bahawa Nabi saw tidak berzikir kecuali dalam
keadaan bersih dari sebarang hadas, hadis ini bukan menyatakan larangan membaca
al-Quran semasa tidak bersih dari hadas, tetapi menggambarkan afdhal dan
keutamaan bagi orang yang membaca al-Quran, bahawa dia perlu bersih dari hadas.
(B)
Hadis Abu Daud bahawa Nabi saw tidak terhalang dari
membaca al-Quran kecuali Junub itu pula, adalah hadis doif. Hal ini kerana,
dalam sanad hadis itu ada perawi doif bernama Abdullah bin Salamah al-Kufi. Antara
yang menjelaskan kedoifan perawi ini adalah al-Imam al-Nawawi, al-Imam Ahmad,
al-Imam al-Bukhari dan al-Imam al-Syafie.
(C)
Hadis Ibn Umar
bahawa nabi tidak izinkan orang berhaid dan berjunub dari membaca al-Quran,
hadis itu mungkar kerana ada perawi mungkar bernama Ismail bin ‘Ayyash.
Dari segala kupasan dan penghujahan ini, dapat
disimpulkan dari sudut hadis, pendapat yang paling kuat adalah pendapat yang
mengatakan tidak salah membaca al-Quran dalam keadaan tidak berwuduk.
[4] PEGANG AL-QURAN TANPA WUDUK
Tidak salah memegang mashaf al-Quran dalam keadaan
tidak berwudu' mengikut pendapat Abu Hanifah. Namun mengikut pendapat
kebanyakkan ulama, bahawa memegang mashaf itu hendaklah dalam keadaan berwudu'.
Hujah majoriti ulama adalah berpegang dengan firman
Allah dari surah Al-Wāqi`ah ayat 79:
لَا يَمَسُّهُ
إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ (79) - الواقعة
"Yang tidak disentuh melainkan oleh
makhluk-makhluk yang diakui bersih suci"
Ayat ini menyatakan bahawa al-Quran tidak disentuh
kecuali orang-orang yang disucikan. Dengan maksud, orang yang memegang al-Quran
hendaklah berwuduk.
Ulama yang mengharuskan memegang al-Quran tanpa wudu'
pula menyatakan bahawa ayat ini tidak merujuk kepada manusia, kerana maksud
al-Quran dalam ayat ini tidak merujuk kepada mashaf al-Quran, tetapi merujuk
kepada al-Quran yang diturunkan dari sisi Allah kepada Luh Mahfuz pada malam
Lailatul Qadar. Sudah pasti, maksud dengan mutahharun (melayu: yang disucikan)
dalam ayat merujuk kepada malaikat yang suci dari hawa nafsu.
Pihak yang melarang menyentuh al-Quran bagi orang yang
tidak berwudu' pula berhujah dengan hadis—daripada Abdullah bin Abi Bakar bin
Hazm:
أَنَّ فِي الْكِتَابِ
الَّذِي كَتَبَهُ رَسُولُ اللهِ لِعَمْرِو بْنِ حَزْمٍ: أَنْ لاَ يَمَسَّ
الْقُرَآنَ إِلاَّ طَاهِرٌ
“Sesungguhnya surat yang Rasulullah tuliskan untuk
Amru bin Hazm: bahawa tidak menyentuh al-Quran kecuali orang itu bersih”
(al-Muwatta’, hadis no: 680)
Hujah
berasaskan hadis ini dijawab dengan menyatakan bahawa hadis tiada kaitan
larangan memegang mashaf tanpa wudu' kerana ia berkait dengan peperangan; Nabi
saw melarang sahabat membawa al-Quran dalam peperangan kerana bimbang ia
dirampas oleh musuh lalu dijadikan sebagai alat untuk memprovokasi muslim dalam
peperangan.
Dan lagi, hadis ini tidak merujuk kepada larangan
memegang mashaf tanpa wudu' kerana maksud tahir (melayu: orang yang bersih),
tidak merujuk kepada orang yang berjunub, kerana terdapat satu hadis yang
diriwayatkan daripada Abu Hurairah (ada riwayat lain kata, Huzaifah bin
al-Yaman) bahawa dia telah berselisih jalan dengan Nabi saw ketika itu dia
sedang berjunub. Dia mengelak dari berjumpa dan pergi mandi junub. Selesai
mandi, dia pun datang berjumpa dengan Rasulullah saw. Nabi saw bertanya
kepadanya, kenapa dia mengelak dari berjumpa dengan baginda saw? Dia menjawab
bahawa ketika itu dia belum mandi junub lagi.
Mendengar itu, Nabi saw terus bersabda:
سُبْحَانَ اللَّهِ،
إِنَّ المُسْلِمَ لاَ يَنْجُسُ
"maha suci
Allah, sesungguhnya orang mukmin itu tidak bernajis" (al-Bukhari, hadis
no: 283)
Dari hadis ini menandakan bahawa maksud tahir (melayu:
orang yang bersih) dalam hadis bukan merujuk kepada orang yang tidak berwuduk
kerana dinyatakan bahawa kalau seseorang mukmin itu tidak mandi junub itu, dia
tetap dikira sebagai bersih lagi. Tetapi maksud tahir dalam hadis ini adalah
merujuk kepada orang musyrik, kerana firman Allah dari surah At-Tawbah ayat 28:
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ (28) - التوبة
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya
(kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis".
Majoriti ulama menyatakan bahawa najis dalam ayat ini
tidak merujuk kepada Najis pada jasad, tetapi merujuk kepada najis pada aqidah.
Dan lagi, hadis ini juga tidak menunjukkan larangan
mutlak orang musyrik dari memegang al-Quran, tetapi larangan ia bersifat Sad
al-Zaraie, iaitu menutup pintu-pintu larangan kerana merujuk kepada sebab warid
hadis yang menceritakan larangan itu dalam kondisi perang yang bimbang ia
digunakan musuh sebagai alat provokasi.
Apatah lagi, dalam ayat surah al-Taubah tadi, jika dilihat
pada sambungannya; ia menyebut berkenaan perang.
قَاتِلُوا الَّذِينَ
لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَا بِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا
حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ الْحَقِّ مِنَ الَّذِينَ
أُوتُوا الْكِتَابَ حَتَّى يُعْطُوا الْجِزْيَةَ عَنْ يَدٍ وَهُمْ صَاغِرُونَ (29)
– التوبة
“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan
tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang
telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak berugama dengan ugama yang
benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani),
sehingga mereka membayar "Jizyah" dengan keadaan taat dan merendah
diri”
Dari perbahasan ini, jelas bahawa memegang mashaf bagi
orang yang tidak berwudu' adalah perkara khilaf dalam kalangan fuqaha'.
Dalam keadaan begitu, memegang mashaf dalam keadaan
berlapik, sama ada berwudu atau tidak berwudu, ia adalah harus mengikut
kesepakatan ulama fiqh. Berlapik itu, sama ada dengan kain atau dengan apa jua
alat sekalipun.
Walaubagaimana pun, para ulama mencadangkan agar
memegang mashaf al-Quran itu disertai dengan adab. Dengan maksud, jika memakai
pendapat mazhab Hanafi sekali pun, tetapi digalakkan sangat tetap memegang
mashaf dalam keadaan berwudu'.
BIOGRAFI PERAWI |
[7] MUHAMMAD BIN AL-‘ALA’ BIN KURAIB AL-HAMZANI
(161H-248H)
مُحَمَّدُ بْنُ
الْعَلَاءِ بن كريب الهمداني
Ulama
kelahiran dan meninggal dunia di Kufah ini adalah salah seorang dari 9 orang
guru-guru enam orang imam kutub al-Sittah yang mereka ambil hadis tanpa
perantara sesiapa pun.
Dia
digelar sebagai Abu Kuraib.
[6]
YAHYA BIN ABI ZA-IDAH (120H-183H)
يَحْيَى بْنُ
زَكَرِيَّاءَ بْنِ أَبِي زَائِدَةَ
Ulama
kelahiran dan meninggal dunia di Kufah ini, nama penuhnya adalah YAHYA BIN
ZAKARIA BIN ABI ZA-IDAH.
Dalam kitab-kitab Hadis, Yahya ini kadangkala disebut
dengan YAHYA BIN ZA-IDAH sahaja.
Dia
adalah rijal al-kutub al-Sittah, dan seorang perawi Sahih.
[5] ZAKARIA BIN ABI ZA-IDAH (149H)
زَكَرِيَّاءَ
بْنِ أَبِي زَائِدَةَ
Ulama kelahiran dan meninggal dunia di Kufah ini
bernama Zakaria Bin Abi Za-idah adalah bapa kepada Yahya yang merupakan guru
hadis yang terkenal.
Terdapat beberapa TAJRIH dari sebilangan ulama
terhadapnya adalah seperti berikut:
Pertama, dia banyak melakukan TADLIS
Hal ini diakui oleh Abu Bakar al-Islamili, Abu Hatim
al-Razi dan Abu Daud.
Al-Zahabi pula menyebut secara khusus bahawa dia
tadlis dari gurunya yang bernama al-Sya’bi. Ibn Hajar al-Asqalani pula kata,
jika dia riwayatkan hadis dari al-Sya’bi secara عنعنة, maka riwayat itu dianggap
sebagai DOIF. Namun, jika digunakan تحديث, maka ia diterima.
Kedua, IKHTILAT
Ketika hampir dengan kematiannya, didapati dia banyak
kecelaruan hafalannya dan ingatannya. Hal ini diakui oleh Ibn Hajar
al-Asqalani. Bahkan, secara khusus disebut nama muridnya yang ambil hadis
darinya ketika dia sudah ikhtilat adalah ABU ISHAQ AL-SABI’IE.
Walaubagaimana pun, didapati bahawa ulama yang tajrih
dia, turut mengakui bahawa dia adalah siqah. Apatah lagi, Ibn Hajar al-Asqalani
mengakui bahawa dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah. Dengan ini disimpulkan
bahawa dia adalah perawi hasan.
[4] KHALID BIN SALAMAH AL-FA’FA’ AL-MAKHZUMI AL-JUHANI
AL-KUFI (132H)
خَالِدِ بْنِ
سَلَمَةَ الْفَأْفَاءَ المخزومي الجهني الكوفة
Nama penuhnya ABU SALAMAH KHALID BIN SALAMAH BIN AL-AS
BIN HISYAM BIN AL-MUGHIRAH AL-QURASHI AL-MAKHZUMI AL-KUFI AL-FA’FA’.
Menurut al-Zahabi, dia
seorang penganut murji-ah dan ada kecenderungan kepada syiah (Tasyayyu’).
Menurut Ibn Sa’ad, Khalid dibunuh pada tahun 132 Hijrah oleh Khalifah Abu
Ja’far Abdullah Mansur (96H-158H)
Terdapat sedikit
kritikan terhadapnya, seperti Ibn Raziq mengatakan dia doif, dan al-Daraqutni
kata Zakaria tidak meriwayatkan hadis darinya.
Walaubagaimana
pun, ramai anggap dia siqah. Apatah lagi, dalam kalangan al-Kutub al-Sittah,
hanya namanya tidak ada dalam al-bukhari sahaja. Dengan ini, dia adalah adalah
perawi Hasan.
[3] ABDULLAH BIN YASAR
AL-BAHIY
عبدالله بن
يسار الْبَهِيِّ
Menurut al-Bukhari, al-Bahiy adalah bekas hamba kepada
Mus’ab bin al-Zubair bin al-Awwam.
Ada beberapa TAJRIH
ulama hadis terhadapnya adalah seperti berikut:
Pertama, TIDAK DIBUAT
HUJAH
Hal ini diakui oleh Ibn
Abi Hatim.
Kedua, SERING MELAKUKAN
KESILAPAN
Hal ini diakui oleh Ibn
Hajar al-Asqalani.
Ketiga, MUDHTARIB
Hal ini diakui oleh Ibn
Abi Hatim.
Walaubagaimana pun,
albani mengatakan bahawa dia dianggap siqah oleh Ibn Sa’ad dan Ibn Hibban serta
disahihkan oleh Imam Muslim.
Dia
adalah Rijal Muslim, Abu Daud, tarmizi dan Ibn Majah. Al-Bukhari dan al-Nasaie
tidak riwayatkan hadisnya. Dia adalah perawi yang hasan.
[2] ‘URWAH
BIN AL-ZUBAIR BIN AL-AWWAM (23H-94H)
عُرْوَةَ بن الزبير بن العوام
Dia adalah anak kepada Asma’ binti Abi Bakar al-Siddiq,
dan bapanya adalah sahabat Nabi yang terkenal, iaitu al-Zubair bin al-Awwam.
Dalam erti kata lain, dia adalah cucu Abu Bakar al-Siddiq.
Dia adalah adik kepada Abdullah bin al-Zubair. Dia
tidak sempat berjumpa dengan nabi, berbeza dengan abangnya.
Aisyah adalah ibu saudaranya. Dia dianggap antara
perawi yang paling banyak mengetahui hadis-hadis dari Aisyah.
Dia dilahirkan di Madinah dan meninggal dunia di
mekah. Dia adalah salah mahaguru fiqh di Madinah sehingga digelar sebagai
Fuqaha’ al-Sab’ah.
Dia terkenal dengan
ahli ibadat sehingga diriwayatkan bahawa dia membaca al-Quran sehari sebanyak ¼
al-Quran. Dia sering berpuasa sehingga ketika hampir dengan waktu kematiannya
pun dia masih berpuasa.
Kealimannya dalam
bidang hadis dan fiqh diakui ramai. Terutama Umar bin Abdul Aziz pernah
berkata:
ما أجد أعلم من عروة بن الزبير، وما أعلمه يعلم شيئًا أجهله
“Aku tidak dapati ada orang yang
lebih alim berbanding Urwah bin al-Zubair. Aku tidak tahu sebarang ilmu yang
dia jahil”
[1] AISYAH BINTI ABI
BAKAR AL-SIDDIQ (19SH-58H)
عائشة بنت ابي
بكر الصديق
Dia adalah Isteri Nabi yang ketiga, iaitu berkahwin
dengan nabi pada bulan syawal tahun ke 2 hijrah, iaitu selepas Perang
badar—sebelum itu, nabi kahwin dengan Saudah binti Zam’ah (Suami awalnya SAKRAN
BIN AMRU, mati setelah pulang dari Habsyah, iaitu sebelum hijrah ke
Madinah-nabi kahwininya tahun 10 kenabian. Namun, al-Zahabi kata, Saudah kahwin
dengan nabi pada tahun Nabi berkahwin dengan Aisyah.
Aisyah dilahirkan di mekah dan meninggal di Madinah.
Bapanya adalah Sahabat Nabi yang terkenal, iaitu Abu
Bakar al-Siddiq, sedangkan ibunya bernama UMMU RUMMAN BINTI ‘AMIR.
Adik beradik seibu sebapa dia adalah Abdul Rahman.
Adik beradik sebapa, Asma’ (Ibunya: Qutailah), Abdullah (ibunya: Qutailah),
Muhammad (ibunya: Asma’ binti Umais), Ummi Kalsum (ibunya: Habibah binti
Kharijah)
Tarikh lahirnya, berlaku khilaf dalam kalangan ulama. Ada
kata, 4 tahun sebelum hijrah (kiraan melihat kepada riwayat Bukhari muslim
berkenaan umur nikahnya dengan nabi)
ABU NUAIM AL-ASBAHANI (336H-430H) kata, Aisyah
dilahirkan dalam 10 hingga 16 tahun sebelum hijrah (kiraan dengan melihat umur
Asma’ binti Abi Bakar hijrah, umur 27 tahun)
Berlaku kekhilafan dalam status umur Aisyah kahwin dengan
Nabi. Perbahasannya adalah seperti berikut;
Beberapa fakta yang disebut oleh al-Zahabi seperti
berikut:
a.
Asma’ binti Abi Bakar beza umur dengan Aisyah adalah
lebih 10 tahun.
b.
Asma’ meninggal tahun 73H.
c.
Asma’ meninggal umur 100 tahun.
Berdasarkan fakta yang disebut oleh al-Zahabi ini,
bermakna, semasa Hijrah, umur Asma’ 27 Tahun. Ini bermakna, umur Aisyah semasa
hijrah adalah 17 tahun. Kemudian, perkahwinan Aisyah selepas dari perang badar,
sedangkan perang badar tercetus tahun kedua dari hijrah. Bermakna, ketika itu
umur Aisyah semasa kahwin dengan Nabi saw bukan 6 tahun, tetapi 19 tahun lebih.
Ini satu-satunya isteri yang nabi nikahi yang dia
belum pernah berkahwin.
Aisyah tidak dikurniakan seorang anak pun, tetapi
mendapat gelaran UMMU ABDILLAH, sebab anak saudaranya bernama ABDULLAH BIN
ZUBAIR (anak Asma’)
Al-Bukhari (kitab Jihad) menyatakan bahawa Aisyah
terlibat dalam perang Uhud, sebagai membantu rawat orang luka.
Dalam catatan sejarah, dia terlibat perang melawan
Saidina Ali dikenali PERANG JAMAL.
Nabi wafat di rumah Aisyah, ketika itu dihadiri oleh
adik Aisyah bernama Abdul Rahman dan selepas bersugi.
PERBAHASAN SANAD |
[1] SANAD ABU DAUD
حَدَّثَنَا
مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي زَائِدَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ خَالِدِ بْنِ
سَلَمَةَ يَعْنِي الْفَأْفَاءَ عَنِ الْبَهِيِّ عَنْ عُرْوَةَ عَنْ عَائِشَةَ
[2] STATUS HADIS: SAHIH
Hadis ini Sahih dengan alasan berikut;
[b] hadis ini dengan sanad yang sama ada dalam Sahih
Muslim.
[c] disepakati siqah oleh ALBANI dan ARNAUT.
ISYKAL:
[a] Ada dakwaan kata, perawi bernama AL-BAHIY diragui.
[b]
ada dakwaan bahawa Zakaria bin Abi Za-idah melalukan tadlis.
[c] Imam Tarmizi mengatakan hadis ini hasan gharib
kerana dia tidak tahu jalur hadis ini
kecuali melalui Yahya bin Zakaria bin Abi Za-idah yang ambil dari
bapanya, Zakaria sahaja.
حَدَّثَنَا
الْوَلِيدُ بْنُ الْقَاسِمِ بْنِ الْوَلِيدِ، قَالَ: حَدَّثَنَا زَكَرِيَّا،
قَالَ: حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ سَلَمَةَ، عَنِ الْبَهِيِّ، عَنْ عُرْوَةَ بْنِ
الزُّبَيْرِ، عَنْ عَائِشَةَ
Dengan ini disimpulkan bahawa hadis ini adalah Sahih.
TAKHRIJ |
Muslim (373), Al-Tarmizi (3681), Ibn Majah (302),
Musnad Ahmad (24410), Ibn Hibban (802), Al-Bukhari (mu’allaq—305)
No comments:
Post a Comment