HADIS 9 |
حَدَّثَنَا مُسَدَّدُ بْنُ مُسَرْهَدٍ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَزِيدَ اللَّيْثِيِّ عَنْ أَبِي أَيُّوبَ رِوَايَةً
قَالَ: «إِذَا أَتَيْتُمُ الْغَائِطَ فَلَا تَسْتَقْبِلُوا الْقِبْلَةَ بِغَائِطٍ
وَلَا بَوْلٍ، وَلَكِنْ شَرِّقُوا أَوْ غَرِّبُوا» فَقَدِمْنَا الشَّامَ،
فَوَجَدْنَا مَرَاحِيضَ قَدْ بُنِيَتْ قِبَلَ الْقِبْلَةِ، فَكُنَّا نَنْحَرِفُ
عَنْهَا وَنَسْتَغْفِرُ اللَّهَ
Daripada
Ayub yang dia riwayatkan bahawa Nabi saw bersabda: “Apabila kamu mendatangi
tempat qadha’ hajat, maka janganlah kamu menghadap kiblat pada saat buang air
besar dan buang air kecil, akan tetapi menghadaplah ke timur atau ke barat"
Kami
pun ke Syam, ternyata kami dapati tempat-tempat buang hajat telah dibangunkan
dalam bentuk menghadap kiblat, maka kami berpaling darinya dan memohon ampun
kepada Allah.
MAKNA LAFAZ |
Dalam hadis ini ada digunakan perkataan مَرَاحِيضَ yang boleh
diterjemahkan sebagai tandas. Menurut al-‘Azim Abadi maksud perkataan itu
adalah tempat yang berbantuk bangunan yang tertutup yang digunakan untuk orang
qadha’ hajat.
PENJELASAN HADIS |
[1]
Hadis ini mengisahkan Abu Ayyub al-Ansari yang menyebut bahawa Nabi saw melarang mengadap arah kiblat
semasa qadha’ hajat, sama ada kencing atau buang air besar. Bahkan, nabi saw
menyuruh agar mengadap ke arah timur atau barat.
Abu Ayyub menceritakan bahawa semasa era kewafatan
nabi, dia ada pergi ke Syam yang di sana dia dapati orang di sana sudah lebih
moden berbanding di Madinah, iaitu mereka sudah membuat tandas yang tertutup
untuk qadha’ hajat.
Cuma masalah besarnya adalah, bangunan tandas yang
dibuat dalam keadaan mengadap ke arah kiblat. Makanya, apabila dia dan beberapa
temannya qadha’ hajat, mereka cuba alihkan sedikit arah. Selepas itu, mereka
beristighfar kepada Allah.
[2] Menurut
al-Khattabi, maksud Nabi dalam konteks penduduk Madinah
sahaja. Hal ini kerana, melihat suruhan Nabi agar ke timur atau ke barat semasa
qadha’ hajat yang sudah pasti, ia dalam konteks Madinah.
HUBUNGAN HADIS |
Dalam
hadis ke-8, dijelaskan bahawa nabi saw melarang agar tidak mengadap qiblat
semasa qadha’ hajat.
Pada
hadis ke-9 ini pula, dijelaskan berkenaan hukum mengadap qiblat semasa qadha’ hajat jika dalam
bangunan.
PENGAJARAN |
QADHA’ HAJAT DALAM
BANGUNAN
Dalam hadis ke-7,
ada dijelaskan larangan qadha’ hajat mengadap dan membelakangkan kiblat.
Namun begitu, terdapat
khilaf dalam kalangan ulama andai mengadap arah kiblat itu berlaku ketika
berada dalam bangunan.
PENDAPAT PERTAMA:
DALAM BANGUNAN JUGA HARAM
Ulama Mazhab Hanafi,
Ibn Taimiyyah serta Sufyan al-Sauri menyatakan bahawa hadis bab ini adalah dalil
bahawa larangan mengadap qiblat semasa qadha’ hajat bukan semata-mata padang
lapang, bahkan dalam bangunan juga dilarang.
PENDAPAT KEDUA: LARANGAN
DI PADANG LAPANG SAHAJA.
Ini adalah pendapat
Mazhab Syafie dan maliki serta imam al-Khattabi. Mereka berpendapat, larangan mengadap
kiblat semasa qadha’ hajat adalah khusus di padang lapang sahaja. Adapun dalam
bangunan, ia tidak termasuk di bawah maksud larangan.
Hujah mereka akan dikupas
dalam hadis ke-11, 12 dan 13 nanti.
Adapun hadis Abu Ayyub al-Ansari yang beristigfar
semasa keluar dari tandas di Syam, itu dianggap bukan tindakan haram, tetapi
merujuk kepada membaca doa keluar tandas yang akan dibincangkan dalam hadis ke-30
nanti bahawa Aisyah berkata:
أَنَّ
النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ مِنَ الغَائِطِ
قَالَ: «غُفْرَانَكَ»
“Nabi saw apabila keluar dari tempat buang air besar
bahawa baginda membaca doa: “Keampunan dosa dariMu (Ya Allah)”.
Dalam erti kata yang lain bahawa Nabi saw meminta
ampun dengan Allah setelah selesai dari qadha’ hajat, bukan kerana qadha’ hajat
itu adalah dosa, apatah lagi seorang yang maksum, tetapi galakkan meminta ampun
dengan Allah, walaupun melakukan perkara makruh; ataupun tidak makruh, tetapi
merendah diri dengan Allah.
BIOGRAFI PERAWI |
[1] MUSADDAD BIN MUSARHAD (150H-208H)
مُسَدَّدُ بْنُ
مُسَرْهَدٍ
Nama
guru Imam Abu Daud ini disebut buat kali ke-3[1].
Dia juga adalah guru Imam al-Bukhari. Perbahasan berkenaan guru imam Abu Daud
ini, boleh dilihat pada hadis ke-2.
[2]
SUFYAN BIN UYAYNAH BIN MAIMUN AL-HILALI (107H-198H)
سُفْيَانُ بن
عُيَيْنَةَ بن ميمون الهلالي
Dilahirkan
di Kufah dan meninggal di Mekah. Dia pernah sampai di Syam. Salah seorang ulama
hadis yang terkenal.
Terdapat beberapa TAJRIH terhadap beliau seperti
berikut:
Pertama, ada ramai mendakwa bahawa dia seorang
mudallis. Namun, tadlis yang dia lakukan tidak mencacatkan hadis kerana dia
tidak akan tadlis kecuali dari perawi yang siqah.
Antara yang mengatakan sebegitu adalah Abu al-Fath
al-Azdi, Abu Bakar al-Bazzar, Abu Hatim bin Habban al-Basti, Ibn Hajar
al-Asqalani, Sabt bin al-‘Ajmi.
Kedua, dikatakan bahawa pada tahun 197 hijrah, berlaku
ikhtilat pada dirinya. Hal ini disebut oleh Muhammad bin ‘Ammar al-Mosili.
Turut mengakui hal itu adalah Yahya bin Sa’id al-Qattan. Bahkan, Yahya berpesan
bahawa riwayat dia selepas dari tahun tersebut tidak boleh diterima.
Namun begitu, hal tersebut dibantah oleh Ibn hajar
al-Asqalani dan al-Zahabi.
Beliau adalah rijal kutub al-Sittah.
[3] MUHAMMAD BIN MUSLIM BIN UBAIDILLAH BIN ABDILLAH
AL-AKBAR BIN SYIHAB AL-ZUHRI (53H-124H)
محمد بن مسلم بن عبيد الله بن عبد الله الأكبر بن شهاب الزُّهْرِيِّ
Salah seorang ulama hadis yang terkenal dalam
kitab-kitab hadis. Beliau merupakan rijal kutub al-Sittah.
Dalam kitab-kitab hadis, kadangkala disebut dengan Ibn
Syihab dan kadangkala disebut dengan al-Zuhri.
Menurut Ibn Hajar al-Asqalani bahawa beliau adalah
ulama yang mula-mula sekali menghimpunkan hadis atas perintah dari Umar bin
Abdul Aziz. Al-Imam al-Sayuti menyatakan bahawa Imam Malik juga mengakui
perkara yang sama.
Ulama Tarikh berbeza pendapat dalam hal Tarikh lahir
dan Tarikh meninggal Ibn Syihab ini. Ada yang mengatakan bahawa dia lahir tahun
49H dan meninggal pada tahun 124 hijrah.
Ada pendapat menjelaskan, untuk mengetahui ketepatan
Tarikh lahirnya adalah melihat Tarikh kematian Saidatina Aisyah; yang mana, dia
dilahirkan di tahun Aisyah meninggal dunia.
Dia pernah berkata bahawa dia belajar dengan Sa’id bin
Musayyib selama 8 tahun dengan bertemu lutut dan lutut.
Dia terkenal dengan hafalan yang kuat. Ada dakwaan
mengatakan bahawa dia tidak suka makan epal dan amat suka minum madu dengan
alasan epal boleh melemahkan hafalan sedangkan madu dapat menguatkan hafalan.
[4] ‘ATA BIN YAZID AL-JUNDA’IE AL-LAISI (25H-105H)
عَطَاءِ بْنِ يَزِيدَ الجندعى اللَّيْثِيِّ
Dilahirkan di Madinah dan meninggal dunia di tempat
yang sama. Dia pernah sampai ke Syam.
Dia merupakan salah seorang rijal kutub al-Sittah.
[5]
SAHABAT: ABU AYYUB AL-ANSARI (52H)
أَبو أَيُّوبَ
الأنصاري
Dilahirkan di Yasrib dan meninggal di Istanbul,
Turki—iaitu semasa dalam misi berusaha mahu menguasai kota Konstentinopal.
Nama sebenarnya adalah KHALID BIN ZAID BIN KULAIB
AL-ANSARI. Dia dari keturunan Bani Ghanam bin Malik bin al-Najjar bin
al-Khazraj.
Dia antara yang hadir dalam sejarah bai’ah Aqabah ke-2
di Mekah bersama 70 orang sahabat Ansar.
Semasa Nabi Hijrah, sebelum masuk ke Madinah, Nabi saw
bermalam di rumah Abu Ayyub al-Ansari.
Dalam kitab Asad al-Ghabah menceritakan bahawa semasa
Nabi bermalam di rumahnya, dia menjamu makanan yang bercampur dengan bawang kepada
Nabi. Mengetahui itu, baginda tidak makan. Dia bertanya kepada Baginda hal
tersebut, menyebabkan baginda menjawab:
إني وجدت فيه ريح هذه الشجرة، وأنا رجل أناجي، فأما أنتم فكلوه
“aku dapati pada makan
ini adalah bauan pokok ini (bawang). Aku orang yang selalu bermunajat (dengan
Allah). Namun kamu, silakan makan”
Makanan itu dia makan bersama isterinya. Selepas itu,
dia tak jamu bawang lagi kepada nabi.
Dalam kisah ifk, iaitu fitnah orang munafiq lakukan
terhadap Aisyah, berlaku perbualan antara Abu Ayyub dan isterinya seperti
berikut:
Isteri Abu Ayyub tanya Abu Ayub:
أما تسمع ما يقول الناس في عائشة؟
“Apakah kamu dengar apa yang orang perkatakan
berkenaan Aisyah?”
Jawab Abu Ayyub:
بلى، وذلك الكذب، أفكنت يا أم أيوب فاعلة ذلك؟
“Ya, aku dengar. Namun,
itu semua dusta. Apakah kamu sanggup melakukan perbuatan tersebut (zina)?”
Jawab isterinya:
لا والله
“tidak, demi Allah”.
Kata Abu Ayub:
فعائشة والله خير منك
“Aisyah lebih baik berbanding kamu”
Ekoran perbualan itu, turun firman Allah:
لَوْلَا إِذْ
سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنْفُسِهِمْ خَيْرًا
وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُبِينٌ (12) – النور
“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang
beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang)
mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata" (Surah
al-Nur, ayat 12)
Semasa sejarah hijrah,
Nabi saw mempersaudarakan Abu Ayyub dengan Mus’ab bin Umair.
Dalam sejarah perang
Siffin, dia di pihak
Ali. Ali telah mengarahkan kepadanya agar menjaga Madinah semasa perang Siffin
tercetus.
Apabila dilantik Yazid sebagai Khalifah, dia bergabung
dengan Yazid dan mengepalai usaha untuk kuasai Kota Konstentinopal tetapi dia
meninggal dunia di sana.
PERBAHASAN
SANAD |
Hadis ini dinilai
SAHIH dengan alasan-alasan berikut;
[a] semua perawi hadis
ini adalah rijal bukhari.
[b] hadis ini turut
dikeluarkan oleh Imam Muslim dan Abu ‘Awanah dalam kitab sahih masing-masing.
[c] hadis ini disepakati sahih oleh Arnaut dan Albani.
TAKHRIJ |
Bukhari
(144, 394), Muslim (264), Tarmizi (8), Nasaie (kubra – 20, 21), Ibn Majah (318
– jalur al-Zuhri daripada Abu Ayub), Ahmad (23524), Ibn Hibban (1416)
No comments:
Post a Comment