HADIS 33 |
حَدَّثَنَا
أَبُو تَوْبَةَ الرَّبِيعُ بْنُ نَافِعٍ، حَدَّثَنِي عِيسَى بْنُ يُونُسَ عَنِ ابْنِ أَبِي عَرُوبَةَ عَنْ أَبِي مَعْشَرٍ عَنْ إِبْرَاهِيمَ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: «كَانَتْ يَدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْيُمْنَى لِطُهُورِهِ وَطَعَامِهِ، وَكَانَتْ يَدُهُ
الْيُسْرَى لِخَلَائِهِ، وَمَا كَانَ مِنْ أَذًى»
Tangan kanan Rasulullah saw digunakan
untuk bersuci dan makan, sedangkan tangan kirinya digunakan untuk beristinja
dan membersihkan kotoran
status hadis: doif sanad, sahih matan
PENJELASAN HADIS |
Hadis ini adalah kesimpulan yang dibuat oleh Aisyah
terhadap Nabi saw. Ia boleh dianggap sebagai hadis marfu’ dari sudut lafaz,
tetapi mawquf dari sudut makna.
Dalam penilaian dan kesimpulan Aisyah lakukan melalui
hadis ini adalah bahawa nabi saw itu menggunakan tangan kanan pada dua perkara;
makan dan bersuci. Dan nabi saw menggunakan tangan kiri pada dua perkara;
istinja’ dan melibatkan hal-hal yang kotor.
HUBUNGAN HADIS |
Dalam
hadis ke-32, digambarkan Hafsah cerita bahawa nabi saw dahulukan tangan kanan
ketika makan, minum dan pakai baju.
Namun,
apabila sebut berkenaan tangan kiri, Hafsah menggunakan maksud yang umum, iaitu
semua selain dari makan, minum dan pakai pakaian, Nabi saw menggunakan tangan
kiri.
Dalam
hadis ke-33 ini pula, Aisyah cerita hal sama. Namun, apabila isteri Nabi itu
menyebut berkenaan tangan kiri, ia khususkan dalam hal qadha’ hajat dan
sebarang yang kotor.
PENGAJARAN |
Dalam perbincangan hadis ke-31, sudah disebut
berkenaan menyentuh zakar ketika qadha’ hajat dengan tangan kanan; hadis ke-32
pula dijelaskan berkenaan kemuliaan tangan kanan.
Justeru, dalam hadis ke 33 ini menjelaskan beberapa
hal juga ada berkaitan dengan hadis sebelum ini seperti berikut;
[1]
MEMULAKAN BERSUCI DENGAN KANAN
Hadis
ini menjadi dalil bahawa semasa bersuci seperti berwuduk dan mandi wajib, Nabi
amat suka memulakan yang kanan berbanding yang kiri.
Dalam Syarh al-Nawawi ‘Ala Muslim, beliau berkata:
وَأَجْمَعَ
الْعُلَمَاءُ عَلَى أَنَّ تَقْدِيمَ الْيَمِينِ عَلَى الْيَسَارِ مِنَ الْيَدَيْنِ
وَالرِّجْلَيْنِ فِي الْوُضُوءِ سُنَّةٌ لَوْ خَالَفَهَا فَاتَهُ الْفَضْلُ
وَصَحَّ وُضْوءُهُ
“Ulama telah sepakat bahawa memulakan yang kanan
berbanding yang kiri pada dua tangan dan dua kaki semasa wuduk adalah sunat.
Andai menyalahinya (iaitu, memulakan yang kiri), terluput pahala sunat dan
wuduk tetap sah.
Kata al-Nawawi
lagi:
واعلم أن
الابتداء باليسار وان كَانَ مُجْزِيًا فَهُوَ مَكْرُوهٌ نَصَّ عَلَيْهِ
الشَّافِعِيُّ وَهُوَ ظَاهِرٌ
“Ketahuilah bahawa memulakan yang kiri, walaupun ia
sudah sah, tetapi hukumnya adalah makruh. Hal ini telah dinaskan oleh
al-Syafie, dan ini yang zahirnya”
[2]
HUKUM MAKAN
TANGAN KIRI
Dalam hadis ini,
dijelaskan bahawa Nabi makan menggunakan tangan kanan. Hal ini dikuatkan lagi
dengan pesanan Nabi saw kepada Umar bin Abi Salamah yang semasa dia kecil, dia
berada atas riba Nabi saw—ketika itu, dia hulurkan tangannya ke arah pinggan
makanan, lalu Nabi saw berkata:
يَا غُلاَمُ،
سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ
“Wahai budak kecil, bacalah nama Allah, makanlah
dengan tangan kamu, dan makanlah apa yang hampir denganmu” (al-Bukhari, hadis
no: 5376)
Walaubagaimana pun,
terdapat perbezaan pendapat ulama berkenaan makan menggunakan tangan kiri
seperti berikut;
PENDAPAT PERTAMA:
HARAM
Syaikh Soleh Usaimin
dan al-Imam Ibn al-Arabi berpendapat bahawa haram makan dan minum guna tangan
kiri.
Hujah-hujah mereka adalah seperti berikut:
Satu: Nabi menyuruh agar makan menggunakan tangan
kanan.
Daripada Salamah bin al-Akwa’ bercerita:
أَنَّ رَجُلًا
أَكَلَ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِشِمَالِهِ،
فَقَالَ: «كُلْ بِيَمِينِكَ» ، قَالَ: لَا أَسْتَطِيعُ، قَالَ: «لَا اسْتَطَعْتَ»
، مَا مَنَعَهُ إِلَّا الْكِبْرُ
“Ada seseorang lelaki makan di samping nabi saw dengan dengan tangan
kiri. Nabi pun berkata kepadanya: “makan dengan tangan kanan kamu”. Dia
berkata: “Aku tidak mampu”. Kata Nabi: kamu tidak mampu—tidak mencegah kamu
dari makan tangan kanan kecuali kesombongan dan keegoan kamu sahaja” (muslim,
hadis no: 2021)
Dua: Nabi samakan orang yang makan dengan tangan kiri
dengan Syaitan.
Daripada Ibn Umar bahawa nabi saw ada bersabda:
«إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا
شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ،
وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ»
“Apabila seseorang kamu makan, hendaklah menggunakan
tangan kanan. Apabila minum, hendaklah dia minum dengan tangan kanan. Hal ini
kerana, syaitan itu makan dengan tangan kiri dan minum dengan tangan kiri”
(Muslim, hadis no: 2020)
PENDAPAT KEDUA: MAKRUH
Ini adalah pendapat majoriti ulama
termasuk al-Imam al-Nawawi.
Hujah-hujah mereka
adalah seperti berikut;
Satu: al-Imam Al-Aini menyatakan
bahawa hukum makan tangan kiri adalah hukum tabiiyyah تبعية bagi hukum makan dan minum
tangan kanan. Dalam erti kata yang lain, andai hukum makan tangan kanan tidak
wajib, maka sudah pasti makan tangan kiri tidak boleh dikatakan haram. Justeru,
larangan dalam hadis tidak lebih sekadar makruh sahaja.
Dua: Kalau hadis menyatakan sesuatu amalan itu adalah
syaitan, maka perlu disimpulkan hukum amalan tersebut sebagai syaitan, maka qailulah
(tidur sekejap di siang hari) menjadi wajib, walhal hukumnya tidak wajib.
Dalam hadis—daripada Anas bin Malik berkata bahawa
Rasulullah saw bersabda:
قِيلُوا
فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَقِيلُ
“tidurlah Qailulah. Hal ini kerana syaitan itu tidak tidur
Qailulah” (al-Tibrani, al-Mu’jam al-Awsat, hadis no: 28)
Dari sini dapat disimpulkan, dari sudut penghujan
didapati pendapat jumhur ulama termasuk ulama dalam mazhab syafie yang
mengatakan makruh adalah pendapat yang lebih kuat berbanding pendapat yang
mengatakan haram.
[3] SELAIN DARI MAKAN DAN MINUM
Dari dari makan dan minum, al-Imam al-Nawawi ada menyenaraikan
beberapa perkara yang sunat didahulukan bahagian kanan.
Dalam syarah Muslim, al-Imam al-Nawawi kata;
هَذِهِ قَاعِدَة مُسْتَمِرَّة فِي الشَّرْع : أنَّ مَا كَانَ مِنْ بَاب
التَّكْرِيم وَالتَّشْرِيف كَلُبْسِ الثَّوْب وَالسَّرَاوِيل وَالْخُفّ وَدُخُول
الْمَسْجِد وَالسِّوَاك وَالِاكْتِحَال , وَتَقْلِيم الْأَظْفَار , وَقَصّ
الشَّارِب , وَتَرْجِيل الشَّعْر (وهو تسريحه), وَنَتْف الْإِبِط , وَحَلْق
الرَّأْس , وَالسَّلَام مِنْ الصَّلَاة , وَغَسْل أَعْضَاء الطَّهَارَة ,
وَالْخُرُوج مِنْ الْخَلَاء , وَالْأَكْل وَالشُّرْب , وَالْمُصَافَحَة ,
وَاسْتِلَام الْحَجَر الْأَسْوَد , وَغَيْر ذَلِكَ مِمَّا هُوَ فِي مَعْنَاهُ يُسْتَحَبّ
التَّيَامُن فِيهِ
“Ini
adalah kaedah yang kekal dalam syarak; bahawa ia (mendahulukan yang kanan)
adalah hal yang melibatkan kemuliaan dan penghormatan, seperti memakai baju,
seluar, khuf, masuk masjid, bersuci, memakai calak, potong kuku, potong misai,
sikat rambut, cabut bulu ketiak, cukur rambut, memberi salam dalam solat,
membasuh anggota wuduk, keluar dari tempat qadha’ hajat, makan, minum,
bersalaman tangan, istilam al-Hajar al-Aswad dan sebagainya—iaitu dalam hal
yang sama makna dengannnya; semua itu digalakan dahulukan yang kanan.
Berkenaan
yang kiri, al-Imam al-Nawawi menyambung:
. وَأَمَّا مَا كَانَ بِضِدِّهِ كَدُخُولِ
الْخَلَاء وَالْخُرُوج مِنْ الْمَسْجِد وَالِامْتِخَاط وَالِاسْتِنْجَاء وَخَلْعِ
الثَّوْب وَالسَّرَاوِيل وَالْخُفّ وَمَا أَشْبَهَ ذَلِكَ , فَيُسْتَحَبّ
التَّيَاسُر فِيهِ , وَذَلِكَ كُلّه لِكَرَامَةِ الْيَمِين وَشَرَفهَا
“Adapun lawan (yang kanan) seperti masuk tempat qadha’
hajat, keluar dari masjid, membuang hingus, istinja’, pecat pakaian dan seluar
serta khuf dan seumpamanya; semua itu digalakkan dahulukan yang kiri. Hal ini
semuanya adalah kemuliaan yang kanan dan penghormatannya”
BIOGRAFI PERAWI |
[6] ABU TAUBAH AL-RABI’ BIN NAFI’ AL-HALABI (150H-241H)
أَبُو تَوْبَةَ
الرَّبِيعُ بْنُ نَافِعٍ الحلبي
Dia
berasal tinggal di Kufah dan pernah sampai ke Damsyiq dan Turki. Dia juga
adalah guru Imam al-Bukhari dan rijal kepada Imam Muslim, Abu Daud, al-Nasaie,
Ibn Majah dan Ahmad bin Hanbal. Dia perawi sahih.
[5]
ABU MUHAMMAD ISA BIN YUNUS AL-HAMDANI AL-SABI’E AL-KUFI (187H)
أبو محمد عِيسَى بْنُ يُونُسَ الهمداني السبيعي الكوفي
Dia
berasal dari Kufah ini pernah disebut dalam hadis ke-dua yang lalu. Dia adalah
Rijal Kutub al-Sittah, dan sahih.
[4] SA’ID BIN ABI ‘ARUBAH (156H)
سعيد ابْنِ أَبِي عَرُوبَةَ
Nama lain dia adalah
ABU AL-NADHR BIN MIHRAN AL-‘ADAWI. Ulama berasal dari Basrah ini adalah Rijal
Kutub Sittah. Dia seorang siqah sepertimana kata Yahya bin Ma’in dan Abu
Zur’ah, tetapi masih lagi terbuka kepada kritikan dari sebilangan ulama hadis.
Menurut Imam Ahmad,
hadis-hadis riwayatnya tidak berkitab; semuanya berdasarkan hafalannya.
Walaupun begitu,
terdapat beberapa kritikan terhadap dirinya.
Pertama, QADARIYYAH.
Ahmad bin Hanbal
mengatakan bahawa dia seorang yang berfahaman Qadariyyah. Pun begitu, dia tidak
menyebarkan fahamannya itu serta dia sembunyikan fahamannya dari diketahui
orang ramai.
Kedua, TADLIS.
Al-Zahabi mengatakan
bahawa dia seorang mudallis. Menurut Ahmad bin Hanbal pula, individu yang dia
tadliskan itu adalah al-Hakam, al-A’mash, Hammad, Amru bin Dinar, Hisyam bin
Urwah, Ismail bin Abi Khalid, Ubaidullah bin Umar, Abi Busyr, Ibn ‘Aqil, Zaid
bin Aslam, Umar bin Abi Salamah dan Abu Zinad. Semua nama yang disenaraikan
oleh Ahmad bin Hambal bahawa Sa’id mendengar pun hadis dari mereka, tetapi dia
tadliskan mereka ini.
Ketiga, IKHTILAT.
Abu Hatim mengakui
bahawa dia adalah siqah. Namun, mengatakan juga bahawa dia seorang ikhtilat
sebelum kematiannya.
Walaubagaimana pun,
hadis ke-33 sunan Abu Daud, ISA BIN YUNUS ambil hadis dari SA’ID BIN ARUBAH
sebelum dia Ikhtilat lagi.
Riwayatnya boleh
diterima, tetapi dalam tahap hasan.
[3] ABU MA’SYAR ZIYAD BIN KULAIB AL-NAKHAIE (119H)
أَبِو مَعْشَرٍ زياد بن
كليب النخعي
Dia tingal di Kufah,
walaupun asal keturunannya dari etnik al-Nakha’, iatu salah satu etnik arab
terkenal dari Yaman.
Imam Muslim, Abu daud,
al-Tarmizi, al-nasaie dan Ibn Majah ambil riwayatnya. Imam a-Bukhari sahaja
tidak ambil.
Walaubagaimana pun,
dia dikira perawi sahih. Apatah lagi, ramai ulama besar mengatakan dia siqah
seperti Imam al-nasaie.
[2] IBRAHIM BIN YAZID BIN QAIS AL-NAKHAIE (47H-96H)
إِبْرَاهِيمَ بن يزيد بن قيس النخعي
Dia berasal dari Kufah dan salah seorang rijal Kutub
al-Sittah. Dia perawi yang sahih, tetapi menurut Abdullah bin Aun bahawa dia
adalah perawi hadis yang meriwayatkan hadis secara makna.
Apabila ada riwayat menyatakan bahawa dia ambil hadis
dari Aisyah, maka sanad hadis tersebut terputus. Hal ini kerana, diragui dia
bertemu dengan Aisyah.
Dalam kajian, dinyatakan bahawa Aisyah meninggal dunia
pada tahun 58 hijrah, sedangkan dia dilahirkan pada tahun 47 Hijrah. Ini
bermakna, semasa Aisyah meninggal dunia, umurnya adalah 11 tahun.
Tambahan pula, semenjak perang Jamal yang berlaku pada
tahun 38 Hijrah, Aisyah tidak pernah keluar dari Madinah sehingga meninggal
dunia, walhal pada tahun itu, Ibrahim belum dilahirkan lagi.
Namun begitu, ada dakwaan mengatakan bahawa IBRAHIM
telah dibawa oleh bapa saudaranya yang bernama AL-ASWAD (adik beradik ibunya)
ke mekah dalam satu musim Haji. Didakwa di situ dia berjumpa dengan AISYAH. Hal
itu masih diragui, kemungkinan ketika itu dia terlalu muda lagi. Apatah lagi,
dakwaan itu tidak dapat membuktikan bahawa dia mendengar hadis dari Aisyah.
[1] SAHABAT: AISYAH BINTI ABI BAKAR (19H-58H)
عَائِشَةَ بنت ابي بكر الصديق
Berkenaan Aisyah, sudah dijelaskan dalam hadis ke-18
yang lalu.
PERBAHASAN SANAD |
[1]
SANAD ABU DAUD
حَدَّثَنَا أَبُو تَوْبَةَ الرَّبِيعُ بْنُ
نَافِعٍ، حَدَّثَنِي عِيسَى بْنُ يُونُسَ، عَنِ ابْنِ أَبِي عَرُوبَةَ، عَنْ أَبِي
مَعْشَرٍ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ عَائِشَةَ
[2]
STATUS HADIS: DOIF SANAD, SAHIH MATAN.
Jika
dilihat pada semua perawi, semuanya adalah siqah. Hal ini diakui oleh SYUAIB
AL-ARNAUT.
Tambahan pula, semua
perawi hadis ini adalah rijal Bukhari dan muslim kecuali ABU MA’SYAR dan ABU AL-TAUBAH yang kedua-dua ini, al-Bukhari SAHAJA tidak ambil hadis dari mereka.
Pun
begitu, hadis ini dianggap Al-Munziri dan ARNAUT sebagai MUNGQATI’—TERPUTUS
SANAD. Hal ini kerana:
[a]
IBRAHIM diragui mendengar hadis dari AISYAH.
[b]
Dalam sanad hadis ke 34, dinyatakan bahawa antara IBRAHIM dan AISYAH, ada
seorang perawi bernama AL-ASWAD BIN YAZID AL-NAKHAIE yang merupakan adik
beradik dengan ibunya.
Makanya,
dari sudut sanad, hadis ini dianggap sebagai DOIF.
Walaubagaimana pun, dari sudut matan, terdapat banyak
sanad-sanad yang sahih yang kandungan hadisnya sama dengan hadis ini. Antara
seperti berikut;
Daripada Aisyah berkata:
عَنْ
عَائِشَةَ، قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
«يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ، فِي تَنَعُّلِهِ، وَتَرَجُّلِهِ، وَطُهُورِهِ، وَفِي
شَأْنِهِ كُلِّهِ»
“nabi saw amat suka memulakan yang kanan ketika pakai kasut,
ketika sikat rambut, ketika bersuci dan pada semua keadaan baginda”
(al-Bukhari, hadis no: 168)
Dalam riwayat yang lain, hadis yang sama bahawa Aisyah
berkata:
عَنْ
عَائِشَةَ، قَالَتْ: إِنْ كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
«لَيُحِبُّ التَّيَمُّنَ فِي طُهُورِهِ إِذَا تَطَهَّرَ، وَفِي تَرَجُّلِهِ، إِذَا
تَرَجَّلَ، وَفِي انْتِعَالِهِ إِذَا انْتَعَلَ»
“Rasulullah saw amat suka memulakan yang kanan pada bersuci,
ketika baginda bersuci; memulakan yang kanan pada menyikat rambut, ketika
baginda menyikat rambut; memulakan yang kanan pada memakai kasut ketika baginda
memakai kasut” (muslim, hadis no: 268)
TAKHRIJ |
Hadis ini ada dalam Sahih al-Bukhari (168)
عَنْ
مَسْرُوقٍ، عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ «يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ، فِي تَنَعُّلِهِ، وَتَرَجُّلِهِ،
وَطُهُورِهِ، وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ»
dan Muslim (268)
عَنْ
مَسْرُوقٍ، عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: إِنْ كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَيُحِبُّ التَّيَمُّنَ فِي طُهُورِهِ إِذَا تَطَهَّرَ،
وَفِي تَرَجُّلِهِ، إِذَا تَرَجَّلَ، وَفِي انْتِعَالِهِ إِذَا انْتَعَلَ»
No comments:
Post a Comment