Sunday, April 3, 2022

HADIS 42 (BAB 22)

 

BAB 22

 

بَابُ الِاسْتِبْرَاءِ

BAB ISTIBRA’ (BERSIH DARI KOTORAN)

 

PENJELASAN:

[1] Asal perkataan استبراء adalah برئ yang bermaksud membebaskan. Dari sudut makna biasa adalah:

 

Pertama, bebaskan dari sebarang rasa-rasa tidak lawas kencing.

 

Kedua, bersih dari sebarang kotoran. Penggunaan perkataan itu dengan makna kedua ini dapat dilihat hadis dua orang diazab dikubur mereka sebelum ini (hadis ke- 20)

 

[2] Maksud dengan الإستبراء dalam tajuk bab Abu Daud ini adalah adalah istinjak menggunakan air, kerana dengan air dapat membebaskan kotoran najis dengan lebih berkesan berbanding selainnya.

 

HADIS 42

 

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ وَخَلَفُ بْنُ هِشَامٍ الْمُقْرِئُ  قَالَا: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يَحْيَى التَّوْأَمُ ح وَحَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ عَوْنٍ  قَالَ: أَخْبَرَنَا أَبُو يَعْقُوبَ التَّوْأَمُ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي مُلَيْكَةَ عَنْ أُمِّهِ عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: بَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَامَ عُمَرُ خَلْفَهُ بِكُوزٍ مِنْ مَاءٍ، فَقَالَ: «مَا هَذَا يَا عُمَرُ» ، فَقَالَ: هَذَا مَاءٌ تَتَوَضَّأُ بِهِ، قَالَ: «مَا أُمِرْتُ كُلَّمَا بُلْتُ أَنْ أَتَوَضَّأَ، وَلَوْ فَعَلْتُ لَكَانَتْ سُنَّةً»

Daripada Aisyah dia berkata: Rasulullah saw buang air kecil, lalu Umar berdiri di belakang baginda dengan membawa bekas air. Baginda pun bersabda: "Apa ini wahai Umar?"  Umar menjawab: "Air untuk bersuci". Baginda bersabda: "Aku tidak diperintahkan setiap kali selesai buang air kencing untuk bersuci, dan kalau aku melakukannya, maka ia menjadi amalan sunnah."

 

Status hadis: doif—mungkar

  

PENJELASAN HADIS

 

[1] hadis ini, Abu daud letak dibawah tajuk berkenaan istibra’; iaitu memastikan kotoran tidak ada pada badan dan pakaian.

 

[2] hadis ini menjelaskan bahawa Umar bin al-Khattab telah membantu menyediakan air untuk Nabi saw nabi berwuduk. Namun, Nabi saw menyatakan bahawa itu tidak perlu. Bahkan, nabi menjelaskan juga, jika nabi buat juga, itu akan jadi sunnah pula kepada umat.

 

[3] BERCANGGAH DENGAN HADIS-HADIS YANG LAIN

 

Hadis ini menjelaskan bahawa nabi saw lebih selesa menggunakan batu berbanding air semasa istinjak, sehinggakan apabila diberi oleh saidina Umar pun, Nabi saw tidak menerima.

 

Hal ini kelihatan bercanggah dengan hadis berikut;

 

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: «مَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ مِنْ غَائِطٍ قَطُّ إِلَّا مَسَّ مَاءً»

Kata Aisyah: Aku tidak pernah nampak Rasulullah saw keluar dari buang air besar kecuali pasti menyentuh air” (Ibn Majah, hadis no: 354—Sahih)

 

Demikian juga bercanggah dengan hadis-hadis akan datang yang semua hadis-hadis tersebut adalah sahih.

 

Dari sudut status hadis, jika berpegang dengan pendapat mengatakan hadis ini doif, sedangkan ia bercanggah dengan hadis-hadis yang sahih yang lain, bermakna hadis ini adalah hadis MUNGKAR, sedangkan hadis yang sahih yang banyak itu adalah hadis MA’RUF.

 

[4] Walaupun hadis ini DOIF-MUNGKAR, namun ada beberapa unsur yang boleh diterima dari hadis ini:

 

Pertama, Nabi bimbang sesuatu perkara itu diwajibkan. Hal ini sama seperti halnya Nabi saw dalam hal solat tarawih.

 

Kedua, Istinja’ tidak semestinya dengan air. Dengan erti kata lain, jika ada air tetapi tetap mahu menggunakan batu semasa istinjak, ia adalah dibenarkan.

 

Ketiga, tidak salah duduk berhampiran dengan orang yang sedang qadha’ hajat.

 

Keempat, tidak salah untuk berkhidmat dengan orang-orang yang ada kelebihan.

 

HUBUNGAN HADIS

 

HADIS ke 41, dijelaskan berkenaan istinja’ menggunakan batu.

 

HADIS ke-42, dijelaskan berkenaan keperluan bersih dari sebarang kotoran, walaupun tidak guna air.

 

PERBAHASAN LAFAZ

 

Maksud dengan تَتَوَضَّأُ di sini ada dua maksud:

 

Pertama, bermakna wudu’ syarie, iaitu membasuh muka, tangan, kepala dan kaki.

 

Kedua, wuduk dari sudut bahasa arab, iaitu merujuk kepada membasuh—merujuk kepada istinja’ menggunakan air.

 

Dalam hadis ini, maksud تَتَوَضَّأُ adalah pada makna yang kedua.

 

PENGAJARAN

 

[1] ISTINJAK DENGAN BATU, WALAUPUN ADA AIR

 

Dalil bahawa istinjak menggunakan batu adalah harus, walaupun ketika ada air.

 

Dalam erti kata lain, istinjak dengan batu bukan ganti bagi air, sepertimana tayammum ganti bagi wuduk.

 

Tidak terdapat satu dalil pun yang menyebut bahawa batu adalah sebagai ganti ketika ketiadaan air.

 

[2] KHIDMAT KEPADA ORANG YANG ADA KELEBIHAN

 

Berkhidmat dengan orang ada kelebihan, sepertimana sahabat berkhidmat dengan Nabi saw amat banyak berlaku.

 

Dalam hadis, ada diceritakan berkenaan itu seperti Abdullah Bin Mas’ud yang berkhidmat dengan mengangkat air untuk baginda beristinja’, menyediakan bantal, sugi dan kasut untuk baginda; Anas bin Malik dan ramai lagi.

 

[3] BERDEKATAN DENGAN ORANG QADHA’ HAJAT

 

Dalam kes hadis ke-1 dan hadis ke-2 yang lalu, dijelaskan bahawa nabi saw akan menjauhkan diri semasa qadha’ hajat. Sudah dijelaskan bahawa tujuan disebalik tindakan nabi itu adalah untuk memastikan tidak kelihatan Aurat baginda semasa qadha’ Hajat.

 

Dalam Hadis Huzaifah (hadis ke- 23) dan hadis Umar ini adalah dalil bahawa dekat dengan orang yang sedang kencing tidak salah selama terselamat dari kelihatan aurat.

 

[4] NABI CUBA ELAK SUSAH DALAM IBADAT

 

Dalam hadis ini, dijelaskan bahawa nabi saw mahu elak dari sesuatu yang menjadi beban kepada umat, makanya Nabi saw tidak menerima air.

 

Sikap mahu elak umat dari mendapat kesusahan ini, memang terdapat dalam peribadi Nabi saw. Antaranya adalah seperti nabi saw tidak mahu solat tarawih diwajibkan kepada umat.

 

Dalam hadis—daripada Aisyah berkata:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي المَسْجِدِ، فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ القَابِلَةِ، فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ: «قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلَّا أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ»

 

“Pada suatu malam Rasulullah saw menunaikan solat di masjid, maka sahabat pun mengikuti solat baginda. Pada malam berikutnya baginda kembali menunaikan solat di masjid dan sahabat yang mengikuti bertambah ramai. Pada malam ketiga atau keempat, sahabat semakin ramai—mereka berkumpul. Namun Rasulullah saw tidak keluar untuk solat bersama mereka. Apabila pagi harinya, baginda bersabda: "Sungguh aku mengetahui apa yang kamu lakukan malam tadi dan tidak ada yang menghalangi aku untuk keluar solat bersama kamu kecuali kerana aku bimbang nanti ia diwajibkan atas kamu". Kejadian ini di bulan Ramadan. (al-Bukhari, hadis no: 1129)

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[5] QUTAIBAH BIN SA’ID (150H-240H)

قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ

 

Lihat hadis 25 dan 40

 

[5] KHALAF BIN HISHAM AL-MUQRI’ (150H-229H)

خَلَفُ بْنُ هِشَامٍ الْمُقْرِئُ

 

Ulama kelahiran kufah dan meninggal di Baghdad ini, nama penuhnya adalah KHALAF BIN HISHAM BIN SA’LABAH AL-MUQRI’. Ada orang kata, namanya KHALAF BIN HISHAM BIN TALIB BIN GHARAB. Dia digelar ABU MUHAMMAD AL-BAZZAR AL-BAGHDADI.

 

Khilaf dalam kalangan ulama berkenaan dengan gelaran AL-MUQRI’ المقرئ. Ada kata, ia nisbah kepada salah satu kampung di Damsyiq, iaitu kampung AL-MUQRA’. Al-Sam’ani kata, ia adalah nisbah kepada dia sebagai seorang guru tajwid al-Quran yang terkenal.

 

Dia adalah salah seorang imam dalam qiraat sepuluh. Dia juga adalah guru Muslim, Abi Daud dan Ahmad.

 

Dia salah seorang perawi siqah lagi sahih.

 

[4] ABDULLAH BIN YAHYA AL-TAW-AM

 عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يَحْيَى التَّوْأَمُ

 

Ada orang kata, namanya UBBAD atau UBADAH BIN SULAIMAN AL-SAQAFI. Digelar dengan panggilan ABU YA’QUB AL-BASRI.

 

Disebut التَّوْأَمُ dikatakan bahawa dia ada adik beradik kembar.

 

Dia dianggap doif oleh Ibn Ma’in dan al-‘Uqaili. Al-Nasaie pula, ada ketika menyebut dia doif dan ada ketika lain kata dia soleh.

 

Walaubagaimana pun, Ibn Habban yang terkenal dengan TASAHUL menganggap bahawa dia siqah.

 

Dia adalah Rijal Abi Daud dan Ibn Majah. Dia dianggap ramai ulama sebagai MAJHUL, tetapi dibantah kerana terdapat empat orang perawi siqah ambil hadis darinya, iaitu ABU OSAMAH, QUTAIBAH, KHALAF BIN HISHAM dan Al-Lais bin Sa’ad.

 

[5] AMRU BIN AUN (225H)

عَمْرُو بْنُ عَوْنٍ

 

Nama penuhnya adalah AMRU BIN AUN BIN AWS BIN AL-JA’D. Di gelar sebagai ABU OSMAN AL-WASITI.

 

Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah dan seorang perawi siqah lagi sahih.

 

[4] ABDULLAH BIN YAHYA AL-TAW-AM

 أَبُو يَعْقُوبَ التَّوْأَمُ

 

Dia adalah ABDULLAH BIN YAHYA AL-TAW-AM di atas. Tetapi kali ini digunakan gelarannya, iaitu ABU YA’QUB.

 

[3] ABDULLAH BIN ABI MULAIKAH (117H)

 عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي مُلَيْكَةَ

Nama sebenarnya adalah ABDULLAH BIN UBAIDULLAH BIN ABI MULAIKAH. Digelar sebagai ABU BAKAR.

 

Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah serta perawi yang siqah lagi sahih.

 

[2] MAIMUNAH BINTI AL-WALID BIN AL-HARIS AL-ANSARIYYAH

 ميمونة بنت الوليد بن الحارث الأنصارية

 

Dia adalah tabiin dan disenaraikan oleh Ibn Hibban dan al-Asqalani dari kalangan perawi siqah.

 

Namun begitu, ramai anggap dia perawi MAJHUL.

 

[1] AISYAH

عَائِشَةَ

 

[1] UMAR BIN AL-KHATTAB (40SH-23H)

عمر بن الخطاب

 

Khalifah islam ke-2 ini, dilahirkan 27 tahun (ada kata: 30 tahun) sebelum Kenabian. Dia memeluk Islam tahun ke-5 Kenabian.

 

KISAH KEISLAMAN

 

Dia masuk Islam ketika mendengar berita bahawa adiknya, Fatimah dan adik iparnya, SAID BIN ZAID sudah memeluk Islam.

 

Semasa dia sampai ke rumah adik dan adik ipar, di situ ada sahabat Nabi bernama KHABBAB.

 

Ketika Saidina Umar sampai, mereka sedang membaca al-Quran. Umar masuk secara mengejut. Dia pun berkata: apa yang kamu baca yang aku dengar tadi?

 

Khabbab berkata: mereka membaca Taha.

 

Sa’ad bin Zaid berkata pula: apa pandangan kamu wahai Umar, jika kebenaran itu bukan pada agama kamu?

 

Umar marah lalu menumbuk adik iparnya itu. Lalu datang adik perempuannya menghalang abangnya yang memukul suaminya. Lalu umar memukul pula kepada adiknya.

 

Adiknya itu bercakap dalam keadaan marah: Aku bersaksi tiada tuhan kecuali Allah. aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah.

 

Apabila Umar mendengar itu, umar terdiam. Dia seakan-akan terkejut. Dia pun berkata: berikan kepadaku kitab yang ada pada kamu”.

 

Fatimah menjawab: kamu adalah najis. Tidak boleh menyentuh al-Quran kecuali yang disucikan”.

Menurut sebilangan riwayat kata, Umar bangun mandi, berwuduk dan datang semula mengambil al-Quran seraya membaca surah taha dari awal sehingga sampai ayat:

 

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي (14)

 

Ada riwayat lain kata, dia baca surah al-Hadid, dia baca sampai kepada ayat:

 

آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَأَنْفِقُوا مِمَّا جَعَلَكُمْ مُسْتَخْلَفِينَ فِيهِ فَالَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَأَنْفَقُوا لَهُمْ أَجْرٌ كَبِيرٌ (7)

 

Kemudian, dia minta agar dia dibawa kepada Nabi Muhammad saw.

 

Apabila dia di bawa keluar dari rumah Fatimah dan Sa’ad bin Zaid, Khabbab yang ada di luar rumah itu nampak dan berkata bahawa semalam dia mendenga Rasulullah saw bersabda:

 

عَنْ ابْنِ عُمَرَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «اللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلَامَ بِأَحَبِّ هَذَيْنِ الرَّجُلَيْنِ إِلَيْكَ بِأَبِي جَهْلٍ أَوْ بِعُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ» قَالَ: وَكَانَ أَحَبَّهُمَا إِلَيْهِ عُمَر

“Ya Allah, muliakan Islam dengan yang lebih Engkau kasihi dari dua orang lelaki ini—Abu Jahal atau Umar bin al-Khattab. Berkata: antara dua ini yang paling Allah kasihi adalah Umar” (al-Tarmizi, hadis no: 3681)

 

Saidina Umar kata kepada Khabbab: bawakan aku kepada Muhammad saw.

 

Apabila sampai di tempat Nabi Muhammad, ketika itu di rumah tersebut ada Saidina Hamzah. Saidina Hamzah berkata: “jika dia datang dengan tujuan baik, kita akan akan sambut dia sepenuh hati. Jika dia bertujuan jahat, kita akan bunuh dia dengan pedangnya sendiri”

 

Apabila dia masuk, dia perhati tajam pada Nabi saw. Lalu Nabi saw bertanya: apa tujuan kamu datang, Wahai ibn Khattab. Aku tidak nampak kecuali kamu datang dengan membawakan sesuatu yang berbahagia.

 

Kata Saidina Umar: aku datang kepada kamu untuk aku beriman kepada Allah.

 

Dengan kemasukan Saidina Umar ke dalam islam, Ibn Mas’ud kata:

 

كان اسلام عمر فتحا وهجرته نصرا وإمارته رحمة, ولقد كنا وما نصلي عند الكعبة حتي أسلم عمر

“Islam saidina Umar itu adalah kemenangan, hijrahnya itu satu pertolongan. Kepimpinannya adalah rahmat. Sebelum ini, kami tidak dapat tunaikan solat di samping kaabah sehingga Umar memeluk Islam.

 

KELEBIHAN UMAR:

 

Menurut Ibn Abbas:

 

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: " لَمَّا أَسْلَمَ عُمَرُ، نَزَلَ جِبْرِيلُ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، لَقَدِ اسْتَبْشَرَ أَهْلُ السَّمَاءِ بِإِسْلَامِ عُمَرَ"

“ketika Umar memeluk Islam, Jibril turun dan berkata: Wahai Muhammad, penduduk langit memberi khabar gembira berkenaan keislaman Umar” (Ibn Majah, hadis no: 103—doif jiddan. Sahih Ibn Hibban, hadis no: 6883)

 

Antara ijtihad omar yang selaras dengan wahyu:

 

Pertama, Saidina Umar yang mula-mula mencadangkan agar maqam Ibrahim dijadikan sebagai tempat solat.

 

Tidak lama kemudian, turun firman Allah;

 

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى وَعَهِدْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ (125) – البقرة

 

“Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud"

 

Kedua, Saidina Umar melihat ramai orang datang berjumpa dengan Isteri Nabi. Justeru, untuk hindari dari sebarang fitnah, dia telah mencadangkan agar para isteri nabi pakai hijab.

 

Tidak lama kemudian, turun firman Allah;

 

وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ وَمَا كَانَ لَكُمْ أَنْ تُؤْذُوا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا أَنْ تَنْكِحُوا أَزْوَاجَهُ مِنْ بَعْدِهِ أَبَدًا إِنَّ ذَلِكُمْ كَانَ عِنْدَ اللَّهِ عَظِيمًا (53) – الأحزاب

 

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah”

 

Ketiga, ada suatu hari ada beberapa tindakan para Isteri Nabi menyebabkan Nabi saw merajuk. Melihat keadaan itu, Saidina Umar ugut agar Nabi saw ceraikan para isteri nabi dan nabi kahwin dengan perempuan yang lebih baik.

 

Tidak lama kemudian, turun firman Allah:

 

عَسَى رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبْدِلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنَّ مُسْلِمَاتٍ مُؤْمِنَاتٍ قَانِتَاتٍ تَائِبَاتٍ عَابِدَاتٍ سَائِحَاتٍ ثَيِّبَاتٍ وَأَبْكَارًا (5) – الطلاق

 

“Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, - yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, - (meliputi) yang janda dan yang anak dara”

 

Keempat, selepas dari perang badar, Nabi saw bertanya pendapat Abu Bakar berkenaan tawanan perang. Abu Bakar mencadangkan agar tawanan itu dibayar tebus.

 

Apabila Nabi saw bertanya pendapat Saidina Umar, dia mencadangkan agar dibunuh sahaja tawanan perang tersebut.

 

Nabi memilih pendapat Saidina Abu Bakar, tetapi tidak lama kemudian turun ayat yang berpihak dengan pendapat saidina Umar. firman Allah;

 

مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (67) – الأنفال

 

“Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”

 

PEMBUNUHAN TERHADAP UMAR

 

Saidina Umar menjadi khalifah selama 10 tahun lebih, iaitu bermula dari tahun 13 Hijrah sehingga 23 Hijrah.

 

Dia dibunuh pada tahun 23 Hijrah, iaitu ditikam oleh Abu Lu’lu’ah.

 

Abu lu’lu’ah tikam Saidina Umar semasa solat subuh. Selepas dia tikam saidina Umar, dia turut tikam pula 13 orang yang berada di keliling saidina Umar. 7 orang dari kalangan mereka meninggal dunia. Selepas itu, ia tikam dirinya sendiri sampai dia mati.

 

Selepas Umar ditikam, dia tanya: mana Abdul Rahman bin Auf. Minta dia jadi imam solat Jemaah.

Kemudian, dia bertanya kepada anaknya, Abdullah bin Umar: Siapa yang mahu membunuh aku?

 

Jawab Abdullah: Abu Lu’lu’ah.

 

Apabila Saidina Umar dengar itu, dia kata: Alhamdulillah yang tidak jadikan aku dibunuh pada tangan orang yang mengucap “la ilaha Illa Allah”.

 

Umar kata begitu, kerana Abu Lu’lu’ah adalah seorang majusi atau Nasrani.

 

PERBAHASAN SANAD

 

[1] SANAD ABU DAUD

 

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، وَخَلَفُ بْنُ هِشَامٍ الْمُقْرِئُ، قَالَا: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يَحْيَى التَّوْأَمُ، ح وَحَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ عَوْنٍ، قَالَ: أَخْبَرَنَا أَبُو يَعْقُوبَ التَّوْأَمُ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي مُلَيْكَةَ، عَنْ أُمِّهِ، عَنْ عَائِشَةَ

 

STATUS HADIS: DOIF

 

Hadis ini dianggap doif dengan alasan berikut;

[a] Dari dua jalur sanad hadis ini; kedua-duanya bermuarakan dari Abu Yaaqub al-Taw-am yang merupakan PERAWI MAJHUL.

[b] Maimunah binti al-Walid juga seorang perawi MAJHUL

[c] Imam Nawawi dan Arnaut kata, hadis ini doif.

[d] Tafarrud pada Abdullah bin Abi Mulaikah.

 

Walaubagaimana pun, ALBANI anggap sanad hadis ini HASAN dengan alasan-alasan berikut;

 

[a] Sanad hadis ini dikuatkan oleh al-Daraqutni.

[b] Orang yang ambil hadis dari Abu Yaaqub ada 4 orang perawi siqah, iaitu ABU OSAMAH (IBN HIBBAN, 327), QUTAIBAH, KHALAF BIN HISHAM dan Al-Lais bin Sa’ad (Ibn Hibban, 2389). Jadi, tidak kuat nak kata dia Majhul. Tambahan pula, bukan semua kata dia doif, bahkan di sana terdapat ulama kata, dia siqah seperti ibn Hibban dan al-Nasaiem dan Al-Zahabi kata, dia صويلح.

 

Walaupun ALBANI anggap hasan dengan alasan ABU YAAQUB sahaja, tetapi didapati factor hadis ini doif bukan factor ABU YAAQUB sahaja, bahkan ada factor-faktor lain seperti MAIMUMAH dan TAFARRUD pula pada ABDULLAH BIN ABI MULAIKAH.

 

TAKHRIJ

 

Ibn Majah (327), Musnad Ahmad (24643).

No comments:

Post a Comment