Friday, February 18, 2022

HADIS 5

 

HADIS 5

 

 حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بْنُ عَمْرٍو يَعْنِي السَّدُوسِيَّ حَدَّثَنَا وَكِيعٌ عَنْ شُعْبَةَعَنْ عَبْدِ الْعَزِيزِ هُوَ ابْنُ صُهَيْبٍ عَنْ أَنَسٍ  بِهَذَا الْحَدِيثِ، قَالَ: «اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ» وَقَالَ شُعْبَةُ: وَقَالَ مَرَّةً: «أَعُوذُ بِاللَّهِ»

Daripada Anas dengan lafaz hadis ini, dia (Syu'bah) meriwayatkan (dari Abdul Aziz dengan lafaz): "Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu."

Syu'bah mengatakan: Abdul Aziz dalam kesempatan lain meriwayatkan (dengan lafaz): "Aku berlindung kepada Allah."

  status hadis: sahih

HUBUNGAN HADIS

 

Dalam hadis ke-4, dijelaskan bahawa doa ketika masuk ke tempat qadha’ hajat dengan lima bacaan berikut;

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ

 أَعُوذُ بِاللَّهِ

فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ

 

Dalam hadis ke-5 ini, dianjurkan dua lagi bacaan:

 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ

أَعُوذُ بِاللَّهِ

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[1] AL-HASAN BIN AMRU AL-SADUSI (224H)

الْحَسَنُ بْنُ عَمْرٍو السَّدُوسِيَّ

 

Sengaja Abu Daud sebut AL-SADUSI agar tidak tersilap dengan seorang lagi juga bernama yang sama, tetapi perbezaannya adalah nama penuhnya AL-HASAN BIN AMRU BIN SAIF AL-TAMIMI berasal dari Kufah, sedangkan guru Imam Abu Daud yang ini berasal dari Basrah.

 

Abu al-Fath al-Azdi mengatakan bahawa dia mungkar al-Hadis, tetapi itu dibantah oleh Ibn Hajar al-Asqalani dengan menyatakan bahawa Abu al-fath tidak tepat dakwaannya. Bahkan al-Asqalani menyatakan bahawa dia seorang yang soduq.

 

Dia juga guru kepada Imam al-Bukhari.

 

[2] WAKI’ BIN AL-JARRAH (129-197H)

وَكِيعٌ بن الجراح

 

Berasal dari Kufah dan meninggal di situ. Seorang ulama hadis yang terkenal di Iraq  pada zamannya.

 

Beliau merupakan Rijal al-Bukhari, Muslim, Abi Daud, Tarmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah.

 

Beliau merupakan salah seorang guru Imam Ahmad dan imam al-Syafie yang namanya beberapa kali tersebut dalam beberapa syair al-Imam al-Syafie.

 

Menurut Ibn al-Madini, dia ada cenderung kepada syiah, tetapi terlalu sedikit sangat.

 

[3] SYU’BAH BIN AL-HAJJAJ (85H-160H)

عَنْ شُعْبَةَ بن الحجاج

 

Dia adalah Tabiin, berasal dari Basrah. Digelar oleh al-Sauri sebagai Amirul Mukminin dalam ilmu hadis. Al-Daraqutni dalam al-Ilal berkata, banyak kali dia tersilap dalam menyebut nama perawi kerana terlalu sebuk menghafal matan hadis.

 

Dia merupakan rijal al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah.

 

Dia terkenal sebagai ulama hadis yang meriwayatkan hadis secara makna. Tambahan pula, dia tidak terkenal dengan kefaqihan dan ijtihad fiqh. Dengan sebab itu, walaupun dia digelar al-Sauri sebagai Amirul mukminin dalam ilmu hadis, riwayatnya tidak diterima oleh Imam Abu Hanifah.

 

Dia terkenal dengan sifat kasihkan orang miskin. Al-Nadhr bin Syumail pernah berkata: Aku tidak pernah lihat orang yang amat kasihkan orang miskin setahap Syu’bah. Apabila dia nampak orang miskin, pasti dia akan memberi sesuatu kepadanya”

 

[4] ABDUL AZIZ BIN SOHAIB (130H)

عَبْدِ الْعَزِيزِ ابْنُ صُهَيْبٍ

 

Seorang tabiin yang berasal dari basrah. Nama lain yang sering disebtu adalah ABDUL AZIZ BIN AL-ABD

 

Merupakan Rijal al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Nasaie dan Ibn Majah.

 

Berkenaannya telah disebut dalam hadis ke-4.

 

[5] ANAS BIN MALIK (10SH-90H)

 

Telah dijelaskan dalam hadis ke-4

 

PERBAHASAN SANAD

 

Syuaib al-Arnaut mengatakan hadis ini sahih dengan alasan berikut:

 

a.                  Walaupun ada pertikaian terhadap al-Hasan bin Amrual-Sadusi (guru Imam Abu Daud) oleh abu al-fath al-Azdi, tetapi pertikaian itu dibantah oleh Ibn Hajar al-Asqalani.

b.                  Didapati ramai murid-murid al-Hasan bin Amru al-Sadusi yang siqah mengambil hadis darinya seperti al-Imam al-Bukhari dan Ibrahim bin Rashid bin Sulaiman.

c.                   Ibn Hibban menyenaraikan al-HASAN BIN AMRU AL-SADUSI sebagai salah seorang dari kalangan perawi siqah dalam kitab beliau “al-Siqat”.

-          Ramai ulama hadis mengatakan bahawa Abu Daud tidak akan ambil hadis kecuali dari siqah.

 

ALBANI juga mengatakan hadis ini sahih dengan hujah-hujah berikut;

a.                  Hadis ini sahih atas syarat al-Bukhari.

b.                  Hadis ini terdapat dalam beberapa buah kitab hadis  dengan sanad yang sahih seperti Abu ‘Awanah, al-Tarmizi, al-Darimi; semuanya dari jalur perawi bernama Hammad bin Zaid.

c.                   Hadis ini juga ada dalam kitab al-Adab al-Mufrad karya al-bukhari yang sanadnya sahih atas syarat Imam Muslim.

 

TAKHRIJ

 

 al-Bukhari (142, 6322), tarmizi (5), Musnad Ahmad (13999) dan Sahih Ibn Hibban (1408)

No comments:

Post a Comment