BAB 4 |
بَابُ
كَرَاهِيَةِ اسْتِقْبَالِ الْقِبْلَةِ عِنْدَ قَضَاءِ الْحَاجَةِ
“MAKRUH MENGADAP KIBLAT KETIKA QADHA’ HAJAT”
HADIS 7 |
حَدَّثَنَا مُسَدَّدُ بْنُ مُسَرْهَدٍ حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ عَنِ الْأَعْمَشِ عَنْ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ يَزِيدَ عَنْ سَلْمَانَ قَالَ: قِيلَ لَهُ لَقَدْ عَلَّمَكُمْ نَبِيُّكُمْ كُلَّ شَيْءٍ حَتَّى الْخِرَاءَةَ، قَالَ: أَجَلْ لَقَدْ «نَهَانَا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ بِغَائِطٍ أَوْ بَوْلٍ، وَأَنْ لَا نَسْتَنْجِيَ بِالْيَمِينِ، وَأَنْ لَا يَسْتَنْجِيَ أَحَدُنَا بِأَقَلَّ مِنْ ثَلَاثَةِ أَحْجَارٍ، أَوْ نَسْتَنْجِيَ بِرَجِيعٍ أَوْ عَظْمٍ»
Daripada
Salman (al-Farisi): “ada orang berkata kepadanya (Salman):
"Sungguh Nabi kamu telah mengajarkan kepada kamu segala sesuatu hingga
urusan qadha’ hajat?"
Salman
menjawab: "Benar, baginda telah melarang kami menghadap kiblat ketika
buang air besar atau buang air kecil; (nabi melarang) kami agar tidak
beristinja dengan tangan kanan; (nabi melarang) salah seorang dari kami agar
tidak beristinja dengan kurang dari tiga batu atau beristinja dengan najis
binatang atau tulang”
PENJELASAN HADIS |
[1]
MATAN
Dalam
hadis ini, dinyatakan bahawa “ada orang berkata kepada Salman”, tanpa
dijelaskan siapa orang yang berkata itu.
Jika
dilihat dalam riwayat muslim, dijelaskan bahawa orang yang berkata itu adalah
orang musyrik. Juga dijelaskan bahawa orang musyrik itu bukan sekadar berkata
kepada Salman seorang sahaja, bahkan turut ada bersama Salman beberapa orang
yang lain.
Namun,
jika dilihat dalam riwayat Abu Daud ini, seakan-akan orang musyrik itu berkata
kepada Salman sahaja.
[2]
MAKNA HADIS
Hadis
ini menjelaskan bahawa ada orang musyrik telah berjumpa dengan beberapa orang
sahabat termasuk Salman al-Farisi. Mereka memberitahu bahawa Nabi Muhammad saw
itu mengajar manusia semua hal, termasuk dalam hal melibatkan qadha’ hajat.
Hal
itu diperakui oleh Salman al-Farisi yang dia terus menjelaskan bahawa nabi saw
mengajar hal melibatkan Qadha’ hajat seperti berikut;
a.
Nabi
melarang dari qadha’ hajat sama ada buang air besar atau air kecil dalam
keadaan mengadap Qiblat.
b.
Nabi
melarang beristinja’ menggunakan tangan kanan.
c.
Nabi
melarang beristinja’ dengan kadar kurang 3 biji batu.
d.
Nabi
melarang beristinja’ menggunakan tahi kering dan tulang.
[3] MAKNA PERKATAAN
PERTAMA:
Dalam hadis, dinyatakan bahawa orang musyrik memberitahu kepada Salman
al-Farisi bahawa Nabi Muhammad saw mengajar semua perkara sehingga hal
melibatkan الْخِرَاءَةَ yang diterjemahkan sebagai Qadha’ Hajat.
Perkataan الْخِرَاءَةَ
ini berasal dari kata خري yang memberi maksud cara dan keadaan qadha’ hajat seperti cara
duduk, cara masuk tandas dan sebagainya.
Kalau memaksudkan sebagai berhadas, ia digunakan
perkataan الخراء
Menurut al-Khattabi, yang dimaksudkan dalam hadis ini
adalah adab dan cara duduk ketika menyendiri untuk qadha’ hajat.
KEDUA: perkataan الإستنجاء berasal dari kata النجوة yang bonggol tanah. Dari
permaknaan arab, dari kata النجوة itu melahirkan perkataan الإستنجاء kerana di era arab dahulu,
apabila mereka Qadha’ Hajat, mereka akan ke tengah padang pasir dan mencari
tanah agak sedikit berbonggol untuk mereka duduk di belakangnya agar terhindar
dari dilihat oleh orang.
Ada pula berpendapat, perkataan الإستنجاء bermakna mencabut sesuatu
dari tempatnya dan membersihkan sehingga tidak kelihatan langsung, seperti
mencabut pokok dari sesuatu tempat yang selepas dicabut dibersihkan sehingga di
tempat itu seakan-akan tidak ada kelihatan langsung bekas tanaman pokok.
Makanya, digunakan dalam maksud membersihkan qubul dan dubur dari najis selesai
dari qadha’ hajat.
HUBUNGAN HADIS |
Hadiske-6 dijelaskan bahawa nabi saw mengajar membaca doa semasa masuk ke tempat
untuk Qadha’ Hajat.
Hadis
ke-7 pula, dijelaskan bahawa orang musyrik memberitahu kepada Salman bahawa
dari sudut pemerhatian mereka, didapati Nabi saw mengajar sehingga dalam qadha’
hajat.
Unsur
kesamaan antara dua hadis ini adalah, sekecil-kecil perkara dalam qadha’ hajat
yang diajar oleh nabi saw adalah berdoa ketika masuk ke tempat Qadha’ hajat.
PENGAJARAN |
[1]
MENGADAP KIBLAT SEMASA QADHA’ HAJAT
Dalam
hadis dijelaskan bahawa Nabi saw melarang dari mengadap qiblat semasa qadha’
hajat. Namun, pemaknaan terhadap melarang itu tidak jelas. Dengan sebab itu,
berlaku khilaf dalam kalangan ulama islam seperti berikut;
PENDAPAT
PERTAMA:
Larangan
itu memberi maksud haram. Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan Ibn
Taimiyyah.
Hujah
mereka dikuatkan lagi dengan hadis lain—Daripada Abu Ayyub al-Ansari bahawa
nabi saw ada berkata:
«إِذَا أَتَيْتُمُ الغَائِطَ فَلاَ
تَسْتَقْبِلُوا القِبْلَةَ، وَلاَ تَسْتَدْبِرُوهَا وَلَكِنْ شَرِّقُوا أَوْ
غَرِّبُوا»
“apabila kamu datangi buang air besar, maka jangan
kamu mengadap qiblat dan jangan kamu membelakangkannya, tetapi hendaklah kamu
mengadap ke timur atau ke barat”
Abu Ayyub menyatakan berdasarkan pengalamannya:
«فَقَدِمْنَا الشَّأْمَ فَوَجَدْنَا مَرَاحِيضَ
بُنِيَتْ قِبَلَ القِبْلَةِ فَنَنْحَرِفُ، وَنَسْتَغْفِرُ اللَّهَ تَعَالَى»
“Kami telah pergi ke Syam, kami dapati tempat qadha’
hajat dibina mengadap ke arah qiblat, maka kami alihkan dan kami memohon ampun
dengan Allah” (al-Bukhari, hadis no: 394 | Abu Daud, hadis no: 9)
ISTIDLAL: hadis ini nabi menggunakan bentuk perkataan
“jangan kamu mengadap” yang memberi maksud larangan. Serta, dalam perkataan Abu
Ayyub yang merupakan sahabat Nabi pula menjelaskan bahawa dia memohon ampun
dengan Allah, apabila didapati tempat qadha’ hajat penduduk Syam dalam keadaan
mengadap qiblat. Dengan ini disimpulkan, hukum qadha’ hajat mengadap arah
qiblat adalah HARAM.
PENDAPAT KEDUA:
Larangan dalam hadis tidak bersifat mutlak, tetapi
muqayyad, iaitu berkaitan dengan di padang lapang dan bukan dalam bangunan.
Ini adalah pendapat majoriti ulama termasuk
ulama-ulama dalam mazhab maliki, dalam mazhab syafie dan dalam mazhab Hanbali.
Hujah mereka adalah hadis ke-13 yang akan dibincangkan
akan datang.
[2]
ISTINJAK GUNA TANGAN KANAN
Sama
seperti perbahasan di atas, iaitu dalam hadis sekadar menjelaskan bahawa nabi
saw melarang beristinjak menggunakan tangan kanan. Namun, tidak dijelaskan
larangan tersebut di bawah ketagori apa.
PENDAPAT
PERTAMA:
Majoriti
ulama menganggap, larangan beristinjak menggunakan tangan kanan dalam hadis
adalah makruh.
Al-Imam
al-Khattabi menyatakan, larangan dalam hadis dalam kerangka adab sopan, bukan
bermaksud hukum haram.
Tambahan
pula, tangan kanan digunakan dalam hal-hal yang melibatkan kebersihan seperti
makan. Justeru, walaupun tangan kanan yang bersentuh dengan najis boleh
dibasuh, tetapi tetap menggunakannya juga boleh dianggap sebagai tidak wajar.
Atas alasan itu, dianggap hukum makruh.
PENDAPAT
KEDUA:
Pendapat
Ibn Abd al-Bar, Ibn Taimiyyah, al-Syaukani dan aliran Zahiri bahawa larangan
dalam hadis ini adalah haram.
Hujah
mereka kembali kepada kaedah usul yang menyatakan, asal sesuatu larangan adalah
haram selama tidak ada qarinah yang boleh memalingkan hukumnya sebagai tidak
haram seperti makruh.
Pada
mereka, tidak ada sebarang qarinah untuk memalingkan larangan hadis ini kepada
makruh. Justeru, dikekalkan kepada hukum asal larangan, iaitu haram.
Tambahan
pula, mereka melihat pada 3 larangan berbaki dalam hadis yang sama sebagai
haram; haram qadha’ hajat mengadap qiblat, haram beristinjak kurang tiga biji
batu; haram istinjak dengan tahi atau tulang, makanya mereka simpulkan juga
haram juga beristinjak menggunakan tangan kanan.
[3]
ISTINJAK MENGGUNAKAN TIGA BIJI BATU
Dalam
hadis, nabi saw melarang beristinjak menggunakan kurang tiga biji batu. Dalam
hal ini, terdapat beberapa penjelasan ulama seperti berikut;
PERTAMA:
Dalam
mazhab Syafie dan Hanbali, syarat beristinjak menggunakan batu adalah seperti
berikut:
a.
Perlu
menyapu dengan batu pada tempat lubang dubur yang keluar najis itu sehingga
bersih.
b.
Bilangan
batu perlu lebih dari kadar 3 biji batu.
Disamping
hujah dari hadis bab ini, mereka turut kemukakan hujah-hujah tambahan seperti
hadis—daripada Aisyah bahawa nabi ada bersabda:
إذا ذهب أحدُكم إلى الغائطِ، فلْيذهبْ معه بثلاثةِ أحجارٍ
يَستطيبُ بهنَّ؛ فإنَّها تُجزئُ عنه
“apabila seseorang kamu
pergi buang air besar, maka hendaklah di bawa bersamanya tiga biji batu yang
dia gunakan untuk membersihkannya. Maka itu (tiga biji batu) baru memadai” (Abu
Daud, hadis no: 40 | al-Nasaie, hadis no: 44)
Hadis
lain—daripada Jabir bin Abdullah berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:
إِذَا اسْتَجْمَرَ
أَحَدُكُمْ فَلْيُوتِرْ
“Apabila seseorang kamu
beristinjak menggunakan batu,hendaklah dengan bilangan ganjil (bukan genap)”
(Muslim, hadis no: 239)
KEDUA:
Mazhab
Hanafi dan Maliki mengatakan, perkara utama bagi istinjak adalah bersih, tidak
kira dengan batu atau tidak; tidak kira batu yang digunakan itu kurang tiga
biji atau lebih.
Mereka
berhujah lebih kepada maqasid bagi istinjak sahaja, bukan kepada bilangan.
Adapun hadis ini menyatakan tiga biji batu, mereka tafsirkan sebagai sunat
sahaja.
Hujah
mereka adalah seperti berikut;
Abdullah
bin Mas’ud ada berkata:
"أَتَى
النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الغَائِطَ فَأَمَرَنِي أَنْ آتِيَهُ
بِثَلاَثَةِ أَحْجَارٍ ، فَوَجَدْتُ حَجَرَيْنِ ، وَالتَمَسْتُ الثَّالِثَ فَلَمْ
أَجِدْهُ ، فَأَخَذْتُ رَوْثَةً فَأَتَيْتُهُ بِهَا ، فَأَخَذَ الحَجَرَيْنِ
وَأَلْقَى الرَّوْثَةَ " وَقَالَ : هَذَا رِكْسٌ
“Nabi saw datang untuk
Qadha’ Hajat, baginda pun menyuruh aku bahawa membawakan kepadanya tiga biji
batu. Aku mendapati dua biji sahaja. Aku cari yang ketiga, aku tidak
mendapatinya. Aku pun mengambil satu tahi keras dan aku berikan kepada baginda.
Nabi saw mengambil dua biji batu dan melempar buang tahi keras itu. Kata
baginda: ini adalah najis” (al-Bukhari, hadis no: 156)
ISTIDLAL: hadis ini
dijelaskan bahawa Nabi saw hanya menerima dua biji batu, dan melempar buang
tahi keras tersebut. Ia menjadi dalil bahawa istinjak menggunakan batu yang
kurang dua biji batu pun sudah memadai.
Penghujahan ini dibantah
dengan menyatakan bahawa dalam riwayat selain al-Bukhari, seperti riwayat Ahmad
dan al-Tibrani bahawa hadis ini ada sambungannya, iaitu selepas Nabi saw
melempar buang tahi kering tersebut, nabi saw berkata:
إِنَّهَا رِكْسٌ، ائْتِنِي بِحَجَرٍ
“Ia adalah najis. Bawakan
kepadaku satu biji lagi” (Ahmad, hadis no: 4299
| Tibrani dalam al-Mukjam al-Kabir, hadis no: 9951)
Dalam
penghujahan al-Khattabi bahawa menggunakan tiga biji batu itu adalah ta’abbudi
sama seperti tiga kali quru’ bagi iddah Wanita. Dalam erti kata yang lain,
walaupun rahim Wanita sudah bersih dengan sekali quru’ (haid atau suci), tetapi
tetap disuruh agama sebagai tiga kali quru’ kerana terkandung dalam maksud
suruhan itu adalah ta’abbud, iaitu ketaatan dan kepatuhan terhadap perintah
tuhan, walaupun tidak diketahui sebab dan puncanya.
[4]
TIDAK ISTINJAK GUNA NAJIS
Dalam
hadis, nabi saw diberikan tahi kering untuk digunakan istinjak. Namun, ia
dilepar buang oleh Nabi seraya berkata: “ini adalah najis”.
Hadis
ini tidak menjelaskan, apakah berintinjak menggunakan tahi kering itu dapat
membersihkan atau tidak?
KUPASAN
PERTAMA:
Dalam
hal ini, Mazhab Syafie, Mazhab Hanbali, Ibn Hazm dan Ibn Abd al-Bar ada
menjelaskan bahawa istinjak menggunakan batu adalah soal ta’abbud. Hal ini
kerana, kalau dilihat dari sudut bersih, istinjak menggunakan batu dan tahi
kering, implikasi kebersihannya sama sahaja. Namun, tidak digunakan oleh Nabi
kerana disebalik perbuatan itu ada unsur ta’abbud.
KUPASAN
KEDUA:
Bagi
Mazhab Hanafi dan Maliki, soal istinjak ini tidak lebih sekadar kebersihan
sahaja. Dalam erti kata yang lain, jika menggunakan tahi kering untuk
beristinjak, itu sudah tercapai maksud kebersihan; ia sama seperti istinjak
menggunakan batu juga.
Namun,
menggunakan itu dianggap sebagai menyalahi keutamaan (khilaf al-Awla), iaitu
menyalahi dari perbuatan nabi saw (dibawah maksud makruh).
IMPLIKASI
HUKUM:
Melihat
kupasan ini, dapat dilihat beberapa implikasi hukum berikut:
a.
Istinjak
menggunakan selain dari batu, seperti kertas, tisu dan sebagainya.
Memandangkan
Mazhab Syafie dan Hanbali menyatakan bahawa soal istinjak dengan batu bukan
semata-mata soal kebersihan, tetapi soal ta’abbudi juga, makanya dapat
disimpulkan bahawa manhaj mereka, istinjak menggunakan tisu tidak memadai.
Dalam
erti kata yang lain, jika menggunakan tisu itu lebih bersih berbanding batu
sekalipun, istinjak itu tidak dianggap sebagai sah lagi. Justeru, menunaikan
solat dalam keadaan beristinjak menggunakan tisu menjadikan solat tidak sah.
Hal
ini berbeza dengan Mazhab Maliki dan Hanafi yang mengatakan soal istinjak
adalah soal kebersihan. Adapun tidak menggunakan tahi kering sekadar mengelak
perkara makruh sahaja, makanya dalam manhaj mazhab mereka istinjak menggunakan
tisu sudah memadai. Apatah lagi, menggunakan tisu itu lebih bersih berbanding
menggunakan batu.
Dalam
erti kata lain, seseorang yang beristinjak menggunakan tisu, lalu dia solat
dalam keadaan begitu, solatnya dikira sebagai sah.
Penjelasan
yang sama dalam hal melibatkan istinjak menggunakan tulang, roti dan
sebagainya.
b.
Menunaikan
solat jika berisntijak menggunakan tahi kering.
Jika
dilihat dalam manhaj Mazhab Syafie dan Hanbali, istinjak menggunakan tahi
kering adalah tidak sah. Justeru, bagi orang yang solat dalam keadaan dia
beristinjak menggunakan tahi kering, solatnya tidak sah, kerana dia masih lagi
dianggap tidak bersih dari istinja’.
Hal
ini sudah pasti berbeza dengan pendekatan Mazhab Maliki dan Hanafi yang
menganggap soal istinjak adalah kebersihan. Namun, larangan menggunakan tahi
kering sekadar makruh sahaja. Makanya, jika seseorang itu beristinjak dengan
tahi kering, lalu dia solat dalam keadaan begitu, solatnya sudah dikira sebagai
sah.
[5] LARANGAN ISTINJAK MENGGUNAKAN TULANG
Dalam hadis, Nabi saw melarang dari istinjak
menggunakan tulang. Dalam hadis ini, tidak dijelaskan punca dan sebab disebalik
larangan nabi saw itu.
Penjelasannya, terdapat dalam hadis yang lain—daripada
Abdullah bin Ma’sud bercerita bahawa para jin ada berjumpa dengan nabi saw.
mereka meminta ditambahkan makanan. Nabi pun berkata:
لَكُمْ كُلُّ عَظْمٍ
ذُكِرَ اسْمُ اللهِ عَلَيْهِ يَقَعُ فِي أَيْدِيكُمْ أَوْفَرَ مَا يَكُونُ لَحْمًا
وَكُلُّ بَعْرَةٍ عَلَفٌ لِدَوَابِّكُمْ.
“Kamu
mendapatkan setiap tulang yang disebutkan nama Allah atasnya (kerana
disembelih), yang mana di tangan kamu lebih banyak menjadi daging dan setiap
najis haiwan adalah makanan untuk haiwan tunggangan kamu”
Nabi saw pun
berkata lagi:
فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ: «فَلَا تَسْتَنْجُوا بِهِمَا فَإِنَّهُمَا طَعَامُ إِخْوَانِكُمْ»
“Jangan kamu
beristinjak dengan kedua-dunya, kerana kedua-dua itu adalah makanan saudara
kamu (jin)” (Muslim, hadis no: 450)
Dengan ini disimpulkan bahawa larangan menggunakan
tulang untuk istinja’ adalah kerana ia adalah perlu menghormati makanan jin.
Apabila hormati makanan jin adalah wajib sehingga
tidak boleh digunakan untuk beristinjak, sudah pasti terlebih haram beristinjak
menggunakan makanan manusia seperti roti dan sebagainya.
Berkenaan sah
atau tidak istinjak menggunakan tulang, perbahasannya sama dengan beristinjak
menggunakan tahi kering yang sudah dikupas di atas.
BIOGRAFI PERAWI |
[1]
MUSADDAD BIN MUSARHAD (150H-208H)
- حَدَّثَنَا مُسَدَّدُ بْنُ مُسَرْهَدٍ
Nama guru Abu Daud ini disebut buat kali ke-3[1].
Dia juga guru Imam al-Bukhari. Penjelasan berkenaan guru Imam Abi Daud yang ini
boleh dilihat dalam hadis 2.
[2] ABU MUAWIYYAH MUHAMMAD BIN KHOZIM AL-DHORIR
(113H-194H)
أَبُو مُعَاوِيَةَ
مُحَمَّدُ بْنُ خَازِمٍ الضرير
Dia berasal dari kufah dan berlegar di sekitar Baghdad
dan Kufah dan meninggal di Kufah.
Ada beberapa kritikan yang dilakukan oleh ulama
berkenaan beliau seperti berikut;
Pertama, didakwa bahawa beliau seorang penganut
Murji-ah. Hal ini mengikut dakwaan ramai ulama seperti Abu Hatim bin Habban
al-Basti, Ahmad bin Soleh al-Jili, Ibn Hajar al-Asqalani, al-Zahabi, al-Waqidi
dan Ya’qub bin Syaibah al-Sadusi.
Lebih berat dari itu, Abu Daud menyatakan bahawa dia
adalah ketua penganut Murji-ah di Kufah. Abu Zur’ah al-Razi pula kata, dia
bukan sekadar penganut, bahkan menyeru manusia kepada fahaman tersebut.
Kedua, didakwa dia seorang mudallis sepertimana kata
Ahmad bin Hamzah bin Abi Tahir, al-Waqidi dan Ya’qub bin Syaibah al-Sadusi.
Ketiga, didakwa bahawa dia mudhtarib kecuali hadis
yang dia ambil dari al-A’mash sahaja, sepertimana kata Ahmad bin Hanbal dan
Abdul Rahman bin Yusuf bin Khirash.
Keempat, didakwa bahawa dia seorang ada buat silap dan
waham dalam periwayatan hadis, sepertimana kata Ibn Hajar al-Asqalani dan Yahya
bin Ma’in.
Kelima, lebih berat lagi, ada menganggap dia seorang
pemungkar hadis, andai dia ambil hadis dari Ubaidullah bin Umar bin al-Khattab,
sepertimana kata Yahya bin Ma’in. Dalam kata lain, jika dia ambil hadis dari Ubaidullah,
maka riwayatnya itu hendaklah ditolak.
Dalam pada itu, terdapat beberapa factor yang
menyebabkan riwayatnya diterima dengan alasan berikut:
Pertama, dia salah seorang dari rijal kutub sittah.
Kedua, beliau diakui seorang yang penghafaz hadis
serta tekun, sepertimana kata Abu Hatim bin Habban al-Basti, al-Waqidi dan
al-Zahabi.
Ketiga, dia disenaraikan juga sebagai salah seorang
perawi siqah, sepertimana kata Ahmad bin Soleh al-Jili, Ibn Hajar al-Asqalani,
al-Waqidi dan Ya’qub bin Syaibah al-Sadusi.
Keempat, yang paling dipercayai adalah apabila dia
mengambil hadis dari al-‘Amash (seperti dalam hadis ini), kerana dia amat hafal
hadis yang dia belajar dari al-A’mash tersebut. Hal diperakui oleh ramai ulama
seperti Ahmad bin Hanbal, Ibn Hajar al-Asqalani, al-Zahabi, Abdul Rahman bin
Yusuf bin Khirash dan Yahya bin Main
[3] SULAIMAN BIN MIHRAN AL-A’MASH (61H-148H)
سليمان بن مهران الْأَعْمَشِ
Dia adalah rijal Kutub al-Sittah. Dia dilahirkan di
Tabaristan dan meninggal dunia di Kufah. Namun, dikatakan asal dari keturunan
Iran. Menurut dakwaan ramai bahawa dia dilahirkan pada hari Saidina Husain
dibunuh, iaitu pada 10 Muharram tahun 61 hijrah. Dikatakan juga bahawa bapanya
ada di tempat pembunuhan Saidina Husain itu. Dikatakan, dia dilahirkan di
perkampungan ibunya di Tabaristan (sekarang dibawah Iran)
Semasa kecil, keluarganya telah membawanya berhijrah
ke Kufah pada tahun 61H. Ada dakwaan menyatakan, ketika itu dia belum lagi
dilahirkan, bahkan masih dalam kandungan ibunya lagi.
Dia dikenal sebagai al-‘amash kerana semenjak kecil,
dia dihinggapi penyakit mata yang dalam perkataan al-A’mash bermaksud mata
selalu kelihatan berair.
Dia adalah Tabiin yang digelar oleh al-Zahabi sebagai
Syaikh al-Muhaddisin (guru segala ulama hadis). Dia bukan sekadar alim dalam bidang hadis,
malahan alim dalam bidang al-Quran, Qiraat dan ilmu Faraid. Dia terkenal dengan
kuat beribadat.
[4]
IBRAHIM BIN YAZID BIN QAIS AL-NAKHAIE (47H-96H)
عَنْ إِبْرَاهِيمَ بن يزيد بن قيس النخعي
Ini salah seorang ulama yang terkenal dalam kalangan
penuntut ilmu, iaitu IBRAHIM AL-NAKHAIE. Dia terkenal dengan alim dalam bidang
hadis, fiqh dan seorang qari dari kufah.
Dia berasal dari Yaman dari etnik Al-Nakha’ yang
dengan sebab itu beliau disebut sebagai al-Nakhaie. Dia meninggal di kufah,
Iraq.
Dia adalah anak saudara kepada Alqamah bin Qais
al-Nakhaie. Ibunya bernama MULAIKAH BINTI YAZID AL-NAKHAIEYYAH yang merupakan
kakak kepada AL-ASWAD dan ABDUL RAHMAN bin YAZID AL-NAKHAIE; kedua-dua ini
adalah ulama hadis yang terkenal dan tabiin yang terkenal di kufah.
Dia terkenal dengan seorang yang zuhud dan rajin
beribadat. Isterinya yang bernama HUNAIDAH pernah bercerita bahawa suaminya itu
sentiasa berpuasa dengan puasa Nabi Daud, iaitu berpuasa selang sehari.
Dia meninggal semasa pemerintahan al-Walid bin Abdul
Malik pada tahun 96 Hijrah, iaitu empat hingga lima bulan selepas kematian
al-Hajjaj bin Yusuf al-Saqafi.
Rijal kutub al-Sittah. Menurut Abdullah bin Aun bahawa
Ibrahim al-Nakhaie antara ulama yang meriwayatkan hadis dengan makna. Dalam
pada itu, dia terkenal dengan kefaqihan dan ijtihad.
Ada
beberapa kritikan berkenaan beliau. Antaranya, andai ada dakwaan mengatakan
bahawa dia menerima hadis dari Abu Sa’id al-Khudri, Umar bin al-Khattab, Ali
bin Abi Talib, Ibn Mas’ud dan Abu Abdullah al-Jadali, maka dakwaan itu tidak
boleh diterima.
Al-Hakim
pula senaraikan dia salah seorang perawi Mudallis. Ibn Hajar al-Asqalani pula
kata, dia banyak melakukan mursal. Pun begitu, al-‘Alai kata bahawa di sana
terdapat Jemaah dari kalangan imam-imam hadis menganggap sahih mursal Ibrahim.
Abu Hatim kata, Ibrahim memang pernah berjumpa Aisyah,
tetapi ketika itu dia masih kecil, iaitu dalam satu ibadat haji yang dia
tunaikan bersama dengan bapa saudaranya. Ekoran itu, sebarang hadis yang
dikatakan dia ambil dari Aisyah tidak boleh diterima.
[5]
ABDUL RAHMAN BIN YAZID BIN QAIS AL-NAKHAIE (83H)
عَبْدِ
الرَّحْمَنِ بْنِ يَزِيدَ بن قيس النخعي
Salah seorang rijal Kutub Sittah ini, dilahirkan di
Yaman dan dibesarkan dan meninggal di kufah.
Dia adalah bapa saudara kepada Ibrahim (mak Ibrahim
adalah adik perempuan Abdul Rahman).
Adik dia adalah AL-ASWAD BIN YAZID AL-NAKHAIE (75H)
juga merupakan ulama hadis yang terkenal.
Dikatakan dia meninggal di Kufah di era pemerintahan
AL-HAJJAJ BIN YUSUF AL-SAQAFI.
[6] SAHABAT: SALMAN AL-FARISI (33H)
سَلْمَانَ
الفارسي
Dia berasal dari Farsi (Iran). Asalnya, dia beragama
majusi. Lepas tu, masuk NASRANI. Dia ke Syam, kemudian ke Yasrib (Madinah).
Semasa Nabi sampai di Madinah, dia masih hamba kepada
yahudi Bani Quraizah.
Menurut ceritanya, asalnya dia ditipu oleh kaum Bani
Kalb semasa dia hendak berpindah ke arab. Dia dibeli oleh
seorang yahudi—kemudian dijual pula kepada yahudi bani Quraizah.
Dia adalah hamba mukatab, iaitu hamba yang perlu membayar
sejumlah bayaran untuk dimerdekakan.
Cerita popular tentangnya, idea gali parit dalam
perang Khandaq yang berlaku pada tahun ke-5 Hijrah.
Selepas wafat Nabi, dia terlibat pembukaan Iraq. Setelah
pembukaan Iraq, dia menetap di sana sehingga meninggal dunia, iaitu di era
pemerintahan Saidina Osman bin Affan.
PERBAHASAN SANAD |
Hadis
ini dinilai sahih dengan alasan berikut:
TAKHRIJ |
Muslim
(262), al-Tarmizi (16), al-Nasaie (al-Kubra-40), Ibn Majah (316), Musnad Ahmad
(23703)
No comments:
Post a Comment