BAB 3 |
بَابُ مَا
يَقُولُ الرَّجُلُ إِذَا دَخَلَ الْخَلَاءَ
“APA YANG SEORANG LELAKI BACA APABILA DIA MASUK KE TANDAS”
HADIS KE-4 |
4 - حَدَّثَنَا
مُسَدَّدُ بْنُ مُسَرْهَدٍ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ وَعَبْدُ الْوَارِثِ عَنْ عَبْدِالْعَزِيزِ بْنِ صُهَيْبٍ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْخَلَاءَ -قَالَ: عَنْ
حَمَّادٍ قَالَ: «اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ» وَقَالَ: عَنْ عَبْدِ
الْوَارِثِ قَالَ: «أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الْخُبُثِ
وَالْخَبَائِثِ»
Daripada Anas bin Malik: “Rasulullah saw apabila
hendak masuk tandas - dia (Musaddad) meriwayatkan dari Hammad- baginda membaca:
"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung
kepadamu"
Berkata (Musaddad): daripada Abdul Waris-baginda saw
membaca: “Aku minta berlindung dengan Allah dari syaitan jantan dan syaitan
betina”.
PENJELASAN HADIS |
[1]
PENJELASAN RIWAYAT
Hadis ini
memberi gambaran bahawa Anas bin Malik menceritakan perihal Nabi saw semasa
hendak masuk ke tempat qadha’ hajat bahawa baginda membaca doa:
أَعُوذُ
بِاللَّهِ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ
“Aku
minta berlindung dengan Allah, daripada syaitan jantan dan syaitan betina”.
Cuma
ada perbezaan sedikit pada sebutan “aku minta berlindung” itu;
n Dalam riwayat HAMMAD, disebut “aku
minta berlindung dengan engkau (Allah)”, iaitu menggunakan kata nama dhomir.
n Dalam riwayat ABDUL WARIS, disebut
“aku minta berlindung dengan Allah”, iaitu kata nama zahir.
Abu
Daud turut membawakan riwayat lain, iaitu riwayat Abdul Aziz (dari jalur
Syu’bah) dengan digunakan kedua-dua pendekatan.
قَالَ أَبُو
دَاوُدَ: رَوَاهُ شُعْبَةُ عَنْ عَبْدِ
الْعَزِيزِ:" اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ " وَقَالَ مَرَّةً: " أَعُوذُ بِاللَّهِ
"
Abu Daud juga membawakan riwayat WUHAIB dengan bahawa
Anas bin Malik tidak menceritakan perihal nabi, tetapi menyebut bahawa nabi saw
menyuruh agar membaca isti’azah, iaitu memohon agar berlindung dengan Allah
(ketika masuk ke tempat qadha’ hajat)
َقَالَ وُهَيْبٌ:
فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ
“hendaklah seseorang itu meminta berlindung dengan Allah (semasa
mahu masuk ke tempat qadha’ hajat)”
Walaupun riwayat Wuhaib ini sahih, tetapi Albani
anggap sebagai syaz, kerana ia bercanggah dengan riwayat Hammad, Abdul Waris
dan Abdul Aziz yang lebih sahih.
Dalam keadah Usul al-hadis, apabila sesuatu riwayat
sahih bertembung dengan riwayat yang lebih sahih, maka riwayat yang sahih itu
adalah SYAZ dan riwayat yang lebih sahih adalah MAHFUZ.
Dalam erti kata yang lain, riwayat bahawa Anas
menyatakan bahawa Nabi suruh beristi’azah semasa mahu qadha’ hajat itu tidak
boleh dijadikan sandaran, tetapi yang boleh dijadikan sandaran adalah riwayat yang
menggambarkan Anas menceritakan perihal Nabi saw semasa baginda qadha’ hajar
bahawa baginda membaca doa yang tersebut di atas.
Hal
ini sudah pasti memberi implikasi hukum; iaitu, jika dianggap riwayat WUHAIB
itu tidak syaz, sudah pasti membaca doa semasa masuk ke tempat qadha’ hajat
adalah wajib. Hal ini kerana, dalam matan hadis itu disebut bahawa Nabi
menyuruh: “hendaklah
seseorang itu meminta berlindung dengan Allah (semasa mahu masuk ke tempat
qadha’ hajat)”. Dalam kaedah Usul al-Fiqh, suruhan adalah wajib.
Namun, apabila didapati riwayat WUHAIB itu syaz, maka
perlu dilihat pada hadis bahawa Anas bercerita perihal nabi saw bahawa nabi
membaca doa semasa masuk ke tempat qadha’ hajat, maka itu boleh disimpulkan
bahawa membaca do aitu tidak semestinya wajib. Hal ini kerana, sesuatu perilaku
nabi, boleh sahaja dianggap sebagai sunat kecuali ada qarinah lain yang merujuk
bahawa ia adalah wajib.
[2] MATAN YANG LAIN
Hadis ini terdapat riwayat lain—iaitu melalui jalur
Abdul Aziz bin Sohaib seperti berikut;
عَبْدِ الْعَزِيزِ بْنِ صُهَيْبٍ بِلَفْظِ الْأَمْرِ
قَالَ إِذَا دَخَلْتُمُ الْخَلَاءَ فَقُولُوا بِسْمِ اللَّهِ أَعُوذُ بِاللَّهِ
مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ
“Apabila kamu masuk
tempat qadha’ hajat, maka HENDAKLAH kamu membaca “dengan nama Allah, aku minta
berlindung dengan Allah dari syaitan jantan dan syaitan betina”
Hadis ini, ada dua
perkara yang tidak ada dalam riwayat lain:
n Dimulakan
dengan membaca “Bismillah”
n Digambarkan
bahawa Nabi saw menyuruh membaca Bismillah tersebut.
Walaubagaimana pun, Ibn Hajar dalam kitab Fathul Bari
menjelaskan bahawa, walaupun hadis ini sahih atas syarat muslim, tetapi ia
bersifat tafarrud, iaitu tidak ada kecuali jalur ini sahaja.
Dalam erti kata yang lain, walaupun ia sahih, tetapi
ia tidak dapat menandingi riwayat yang lebih sahih seperti dalam penjelasan di
atas. Justeru, riwayat ini dianggap sebagai syaz yang dengan itu:
n semasa masuk
ke tempat qadha’ hajar, tidak perlu membaca “bismillah” kerana riwayat yang
lebih sahih tidak ada tambahan itu.
n Membaca doa
itu bukan wajib kerana riwayat yang digambarkan suruhan itu adalah syaz.
HUBUNGAN HADIS |
Hadis
ke-3
menggambarkan bahawa Nabi saw mengelak dari air kencing dari merecik pada
pakaian semasa membuang air kecil.
Hadis ke-4 ini pula, menggambarkan nabi saw berdoa
ketika masuk ke tempat Qadha’ hajat.
Seakan-akan Imam Abu Daud mahu menjelaskan bahawa
antara factor penyebab (khubus) syaitan jantan dan (khabais) betina boleh
dekati orang yang qadha’ hajat adalah seseorang itu tidak cermat semasa kencing
sehingga air kencing boleh merecik pada pakaian.
Sepertimana kita tahu, najis amat sinonim dengan
syaitan.
PERBAHASAN LAFAZ |
PERKATAAN الخبث DAN الخبائث
Pertama, ada sebilangan ulama hadis membaca dengan
sebutan Khubs الخبث dengan dibaris mati pada huruf ب. Bacaan ini ternyata salah. Bacaan yang betul adalah KHUBUS, iaitu dibaris depan
pada huruf ب.
Kedua, perkataan الخبث adalah kata jamak bagi
perkataan الخبيث sedangkan perkataan الخبائث adalah kata jamak dari kata الخبيثة yang bermaksud syaitan jantan
dan betina.
Ketiga, Ibn al-Arabi ada menjelaskan bahawa dari sudut
asal perkataan arab, perkataan ini memberi maksud “sesuatu yang tidak disukai”.
Namun, jika digunakan dalam konteks percakapan, ia memberi maksud celaan; jika
digunakan dalam konteks anutan agama, perkataan itu memberi maksud kafir; jika
digunakan dalam konteks makanan, ia memberi maksud makanan yang haram; jika
digunakan dalam konteks minuman, ia memberi maksud minuman tersebut boleh
memudharatkan kepada orang yang minum.
Keempat, ada ahli Bahasa menyatakan bahawa perkataan
al-Khubhus adalah kejahatan; ada kata, kekufuran. Ada pula yang kata, perkataan
al-Khubus bermaksud para syaitan, dan al-Khabais bermaksud segala maksiat.
PENGAJARAN |
[1] BERDOA SEMASA QADHA’ HAJAT
Menurut pengarang kitab Aun al-Ma’bud bahawa hadis ini
mengajar kepada kita bahawa antara perkara yang diajar dalam hadis ini adalah
digalakkan membaca doa
dalam banyak keadaan, termasuk semasa mahu qadha’ Hajat tanpa dibezakan tempat
qadha’ hajat itu berbangunan seperti tandas, ataupun tidak berbangunan seperti
di padang lapang.
[2] TUTUP KEPALA KETIKA QADHA’ HAJAT
Hadis ini menjelaskan bahawa semasa qadha’ hajat perlu
membaca doa agar terhindar dari dari syaitan. Hal itu tidak diperselisihkan.
Namun, ada beberapa dakwaan bahawa untuk hindari dari
syaitan, maka qadha’ hajat itu perlu dengan menutup kepala.
Penjelasan hal ini adalah seperti berikut;
Pertama, tidak terdapat satu riwayat pun yang menyebut
bahawa tutup kepala semasa qadha hajat dapat hindari dari syaitan.
Kedua, dari sudut perbuatan nabi pula, sememangnya
terdapat hadis yang menyebut bahawa Nabi saw menutup kepala semasa Qadha’
hajat. Namun, semua hadis tersebut adalah doif.
Hadis satu: daripada Aisyah berkata:
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : كَانَ النَّبِي صلى الله عليه وسلم
إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ غَطَّى رَأْسَهُ ، وَإِذَا أَتَى أَهْلَهُ غَطَّى
رَأْسَهُ
“Apabila nabi saw masuk
ke tempat qadha’ hajat, baginda tutup kepala. Apabila berjumpa dengan ahli
keluarga, baginda akan tutup kepala”
Hadis ini diriwayatkan al-Baihaqi dalam
al-Sunan (464) dan Abu Nuaim dalam kitab al-Hilyah (2/182).
Hadis ini dinilai doif kerana ada perawi bernama
Muhammad bin Yunus bin Musa al-Qurashi atau disebut sebagai al-Kadimi yang Ibn
Hajar kata dia matruk.
Hadis kedua: daripada Habib bin Soleh berkata:
عَنْ حَبِيبِ بْنِ صَالِحٍ قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى
الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ لَبِسَ حِذَاءَهُ وَغَطَّى رَأْسَهُ
“Apabila Nabi saw masuk
ke tempat Qadha’ Hajat baginda akan pakai alas kaki dan menutup kepala”
Hadis ini diriwayatkan
oleh al-Baihaqi dalam al-Sunan (465). Dinilai doif kerana hadis ini mursal,
iaitu Habib bin Soleh bukan sahabat nabi yang tiba-tiba dia didakwa ambil hadis
dari Nabi. Tambahan pula, Abu Hatim al-Razi menyatakan bahawa dia seorang
majhul.
Ketiga, didapati amalan
menutup kepala semasa Qadha’ Hajat ada sandaran dari Abu Bakar al-Siddiq yang
riwayatnya—daripada Zubair bin al-Awwam (menantu Abu Bakar yang merupakan suami
kepada Asma’):
أَنَّ أَبَا بَكْرٍ الصِّدِّيقَ ، قَالَ ، وَهُوَ يَخْطُبُ
النَّاسَ : يَا مَعْشَرَ الْمُسْلِمِينَ ، اسْتَحْيُوا مِنَ اللهِ ، فَوَالَّذِي
نَفْسِي بِيَدِهِ إنِّي لأظل حِين أَذْهَبُ إلَى الْغَائِطِ فِي الْفَضَاءِ ،
مُغَطّيًا رَأْسِي اسْتِحْيَاءً مِنْ رَبِّي
“ketika sedang
berkhutbah, Abu Bakar ada berkata: Wahai para muslimin, malulah kamu dengan
Allah. Demi nyawaku berada di tanganNya, sesungguhnya aku berteduh (menutup
kepala) semasa aku pergi buang air besar di padang—menutup kepalaku kerana malu
terhadap tuhanku”.
Hadis ini diriwayatkan
oleh Ibn al-Mubarak dalam kitab al-Zuhd (1/107), Ibn Abi Syaibah dalam
al-Musannaf (1/105) dengan sanad yang sahih.
Dari sini dapat
disimpulkan bahawa amalan menutup kepala semasa qadha’ hajat, dari riwayat yang
sahih adalah amalan sahabat, bukan dari amalan Nabi Muhammad saw.
Walaubagaimana pun,
salah satu kaedah istinbat hukum mazhab syafie bahawa hadis marfu’ yang doif, kandungannya
boleh dianggap perbuatan nabi saw juga jika terdapat kandungannya itu dalam hadis mawquf yang sahih.
Dalam erti kata yang
lain, walaupun hadis yang menyebut bahawa nabi saw tutup kepala itu
doif—memandangkan ada hadis mawquf (Abu Bakar al-Siddiq) yang sahih
melakukannya, maka amalan tutup kepala tersebut boleh dianggap sebagai sunnah
juga.
Dengan sebab itu, ulama
mazhab syafie seperti Imam al-Nawawi berkata dalam kitab al-Majmuk:
قَالَ إمَامُ الْحَرَمَيْنِ وَالْغَزَالِيُّ وَالْبَغَوِيُّ
وَآخَرُونَ: يستحب أن لا يدخل الْخَلَاءَ مَكْشُوفَ الرَّأْسِ
“berkata Imam al-Haramain,
al-Ghazali, al-Baghawi dan seumpanya: digalakan bahawa tidak masuk ke tempat
Qadha’ hajat dalam keadaan kepala terbuka”.
BIOGRAFI PERAWI |
[1] MUSADDAD BIN MUSARHAD ((150H-208H)
مُسَدَّدُ بْنُ
مسرهد
Guru imam Abu Daud ini sudah dijelaskan biografinya di hadis ke-2.
[2] HAMMAD BIN ZAID BIN DIRHAM AL-AZDI (98H-179H)
حَمَّادُ بْنُ
زَيْدٍ بن درهم الأزدي
Ini guru pertama kepada Musaddad dalam mengambil hadis ini.
Dia digelar sebagai الأزرق. Dia salah
seorang Rijal al-Bukhari, Muslim, Tarmizi, Nasaie, Ibn Majah dan Ahmad bin
Hanbal.
Dia adalah penduduk Basrah, tetapi atuknya berasal dari al-Sajistan
(sekarang di Afghanistan dan sedikit Iran dan Pakistan).
Ibunya mendakwa bahawa dia dilahirkan dalam era pemerintahan Umar bin
Abdul Aziz (pemerintahan itu bermula dari 99H sehingga 101H). Ada pula mendakwa
bahawa dia dilahirkan di akhir pemerintahan Khalifah Sulaiman bin Abdul malik
(dari tahun 96H-99H).
Abdul Rahman bin Mahdi menyatakan bahawa Hammad bukan sekadar alim dalam
bidang hadis, bahkan dia seorang alim dalam bidang fiqh.
Al-Zahabi pernah menyatakan bahawa hafalannya amat kuat sepertimana
berjalannya air.
[3] ABDUL WARIS BIN SA’ID AL-‘ANBARI (102H-180H)
عَبْدُ
الْوَارِثِ بن سعيد بن ذكوان العنبري
Ini guru ke-2 bagi Musaddad dalam riwayat ini. Dia berasal dari Basrah
dan mati di situ. Selain Hammad, dia juga terkenal dalam bidang fiqh.
Dia adalah Rijal Muslim, Tarmizi, al-Nasaie, Ibn Majah dan Ahmad bin
Hanbal.
Dia pernah dituduh berfahaman Qadariyyah, namun Anaknya bernama Abdul
Somad bin Abdul Waris membantah dengan menyatakan itu adalah tuduhan palsu yang
orang lakukan terhadap bapanya. Dia menyatakan bahawa sebagai anak, dia tidak
pernah dengar bapanya bercakap hal-hal aqidah yang mengandungi fahaman
qadariyyah.
Kedua-dua Hammad dan Abdul Waris; mereka mengambil hadis dari perawi
berikut;
[4] ABDUL AZIZ BIN SUHAIB AL-BANANI (130H)
عَبْدِ
الْعَزِيزِ بْنِ صُهَيْبٍ البناني
Namanya sering disebut sebagai عَبْدِ الْعَزِيزِ
بْنِ العبد. Dia adalah tabiin yang berasal dari Basrah.
Dia adalah Rijal al-Bukhari, Muslim, Tarmizi, al-Nasaie, Ibn Majah dan
Ahmad bin Hanbal
[5] ANAS BIN MALIK (10SH-90H)
عَنْ أَنَسِ
بْنِ مَالِكٍ
Ini
adalah sahabat nabi ke-5 yang disebut dalam Sunan Abi Daud.
Dia
dilahirkan 10 tahun sebelum hjirah. Dengan erti kata lain, semasa awal nabi
sampai di Madinah, umurnya baru 10 tahun.
Dia
dari etnik Bani Najjar – satu etnik besar dalam kabilah Khazraj
Bapanya
bernama Malik bin Nadhar--terbunuh semasa zaman Jahiliyyah lagi.
Ibunya
bernama Ummu Sulaim Mulaikah binti Milhan al-Najjariyyah.
Selepas
kematian Malik bin Nadhar, ibunya berkahwin dengan lelaki bernama Abu Talhah Zaid
bin Sahl al-Ansari (suaminya ini dipersaudarakan Nabi pada awal hijrah dengan
al-Arqam bin Abi al-Arqam/ada dakwaan kata, Abu Ubaidah al-Jarrah)
Awal
Nabi sampai Madinah, ibu Anas hadiahkan Anas kepada Nabi agar berkhidmat kepada
Nabi. Nabi memanggil Anas dengan panggilan Abu Hamzah
Anas
bin Malik pernah didoakan oleh nabi saw dengan doa berikut;
اللهم أكثر ماله وولده وأطل عمره واغفر ذنبه
“Ya Allah, banyakkan
hartanya dan anaknya; panjangkan umurnya; ampunkan dosanya”
Berkat doa nabi saw itu,
dia mempunyai anak seramai 80 lelaki dan 2 orang perempuan (Hafsah dan Ummu Amru)
Hartanya pula, dikurniakan Allah dua buah kebun epal
yang berbuah setahun dua kali.
Anas antara yang terlibat dalam perang menentang orang
murtad di era pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq.
semasa
Abu Bakar menjadi khalifah, dia dilantik jadi amil zakat di Bahrain. Apabila
dia pulang, dia dapati Abu Bakar sudah meninggal – ketika itu, Saidina Umar
sudah jadi khalifah.
Semasa
dia dilantik Abu Bakar sebagai amil zakat, Abu Bakar meminta pandangan Umar.
Umar tersangat sokong cadangan anas dilantik jadi amil zakat.
Semasa dia meninggal, umurnya mencecah 97 tahun. Bahkan, ada kata mencecah
100 tahun.
Dengan itu, ada dakwaan mengatakan bahawa beliau
adalah sahabat nabi yang paling akhir mati di Basrah.
Namun, mengikut catatan sahabat nabi yang paling akhir
meninggal dunia adalah Abu Tufail ‘Amir bin Wasilah, iaitu meninggal pada tahun
102 Hijrah. Namun, dia meninggal dunia di Mekah.
PERBAHASAN SANAD |
Hadis ini SAHIH dengan hujah berikut;
a.
Semua perawi hadis ini adalah sahih, serta mereka
semua adalah rijal Bukhari dan Muslim kecuali ABDUL WARIS BIN SA’ID AL-‘ANBARI
yang dia hanya Rijal muslim.
b.
Hadis ini turut sama diriwayatkan oleh imam al-Bukhari
(142 dan 6322) dan Muslim (375).
TAKHRIJ |
Dari jalur HAMMAD BIN ZAID: muslim (375),
al-Tarmizi (6).
Dari Jalur ABDUL AZIZ BIN SOHAIB: Muslim
(375), al-Nasaie – al-Kubra (19)
No comments:
Post a Comment