Saturday, February 26, 2022

HADIS 10

 

HADIS 10

 

حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا وُهَيْبٌ حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ يَحْيَى عَنْ أَبِي زَيْدٍ عَنْ مَعْقِلِ بْنِ أَبِي مَعْقِلٍ الْأَسَدِيِّ، قَالَ:  «نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَتَيْنِ بِبَوْلٍ أَوْ غَائِطٍ»

 

قَالَ أَبُو دَاوُدَ: وَأَبُوزَيْدٍ هُوَ مَوْلَى بَنِي ثَعْلَبَةَ

 

Daripada Ma’qil bin Abi Ma’qil al-Asadi berkata: “Rasulullah saw melarang kita menghadap dua kiblat pada saat buang air besar atau buang air kecil”

 

Abu Daud mengatakan: “Abu Zaid adalah bekas hamba Bani Tsa'labah”

 

status hadis: doif

PERBAHASAN LAFAZ

 

Dalam hadis ini, disebut DUA QIBLAT yang al-‘Azim Abadi nyatakan, maksudnya adalah BAITULLAH AL-HARAM dan BAITUL MAQDIS.

 

PERBAHASAN SANAD

 

Hadis ini dinilai DOIF dengan alasan-alasan berikut;

 

[a] ABU ZAID Maula Bani Tsa’labah merupakan seorang yang MAJHUL.

[b] hadis ini di semua kitab-kitab hadis, semua sanadnya bermuarakan dari ABU ZAID. Bermakna, hadis ini tafarrud dari perawi doif.

 

Dengan sebab itu, ALBANI menganggap hadis ini sebagai MUNGKAR, sedangkan ARNAUT anggap hadis ini sebagai doif.

 

Walaubagaimana pun, Imam al-Nawawi mengatakan sanad hadis ini baik dengan alasan bahawa Imam Abu Daud tidak memberi komentar berkenaan hadis ini. Justeru,  dianggap bahawa kemungkinan Abu Daud tidak mendoifkannya.

 

HUBUNGAN HADIS

 

Hadis ke-9, digambarkan bahawa Nabis aw melarang mengadap ke Kiblat semasa qadha’ hajat.

 

Pada hadis ke-10 ini pula, dijelaskan hal yang sama. Cuma ditambah satu lagi, iaitu dimasukkan juga larangan mengadap ke arab Baitul Maqdis.

 

PENJELASAN HADIS

 

Hadis ini, walaupun DOIF atau MUNGKAR dari sudut sanad, tetapi kandungannya tidak salah untuk dibuat hujah.

 

Hal ini melihat kepada matan hadis yang kandungannya ada disebut dalam hadis-hadis sahih yang lain, iaitu melibatkan hal larangan mengadap arah qiblat semasa qadha’ hajat.

 

Tambahan pula, sahabat yang meriwayatkan hadis berkenaan larangan mengadap arah kiblat semasa qadha’ hajat itu adalah sahabat-sahabat yang berbeza, seperti hadis ke-7 melibatkan Salman al-Farisi, hadis ke-8 melibatkan Abu Hurairah dan hadiske-9 melibatkan Abu Ayub al-Ansari.

 

PENGAJARAN

 

[1] HORMAT BAITUL MAQDIS

 

Dalam perbincangan hadis ke-9, dijelaskan khilaf dalam kalangan ulama berkenaan mengadap kiblat semasa qadha’ hajat dalam bangunan.

 

Semua sepakat bahawa yang dimaksudkan kiblat adalah merujuk kepada BAITULLAH AL-HARAM. Namun, berlaku kekhilafan dalam kalangan ulama berkenaan dengan hukum qadha’ hajat dalam keadaan mengadap Baitul Maqdis.

 

Kekhilafan itu adalah seperti berikut;

 

PERTAMA: SAMA DENGAN HUKUM BAITULLAH AL-HARAM JUGA.

 

Al-‘Azim Abadi menyatakan bahawa hukum haram mengadap arah Baitul Maqdis sama sepertimana hukum mengadap arah Baitullah al-Haram.

 

Selain hadis ini, hujah lain yang dikemukakan adalah bahawa Baitul Maqdis adalah pernah menjadi kiblat bagi umat Islam pada suatu masa dahulu. Justeru, ia wajib diberikan penghormatan sama seperti Baitullah al-haram.

 

KEDUA: HUKUM MAKRUH

 

Dalam pandangan Mazhab Syafie sepertimana dalam kupasan al-Imam al-Nawawi, fatwa haram qadha’ hajat adalah jika mengadap BAITULLAH AL-HARAM.

 

Namun, jika mengadap BAITUL MAQADIS, hukumnya adalah MAKRUH, bukan haram.

 

Hujah mazhab Syafie ini adalah seperti berikut:

 

[a] larangan terhadap Baitullah adalah jelas. Namun, larangan berkaitan dengan Baitul Maqdis tidak jelas.

 

Tidak jelas itu kerana hadis ke-9: iaitu Nabi saw menyuruh agar ke timur atau ke barat, jika didapati hendak qadha’ hajat itu sedang mengadap ke arah BAITULLAH AL-HARAM.

 

Dalam erti kata lain, suruhan hadis terbabit khusus untuk penduduk Madinah sahaja, kerana apabila mereka mengadap arah Baitullah, sudah pasti mereka membelakangkan Baitul maqdis. Oleh yang demikian, jika berada ditempat selain Madinah, tidak timbul suruhan agar berpaling ke timur atau ke barat ketika Qadha’ Hajat.

 

[b] hadis yang menjadi dasar larangan mengadap kepada Baitul Maqdis adalah adalah hadis bab ini yang sudah dijelaskan bahawa statusnya adalah Doif atau mungkar.

 

Justeru, disimpulkan hukum mengadap arah Baitul Maqdis semasa Qadha’ Hajat adalah MAKRUH sahaja, bukan haram  dengan alasan-alasan berikut;

 

[a] hukum asal adalah larangan mengadap arah Baitullah al-haram, sedangkan hukum mengadap Baitul Maqdis adalah hukum tab’iyyah تبعية sahaja, iaitu hukum ikutan.

 

[b] walaupun ia bukan hukum asal, tetapi memandangkan Baitul Maqdis pernah menjadi kiblat umat islam, maka perlu juga diberikan penghormatan.

 

Fatwa Makruh mengadap arah Baitul Maqdis semasa Qadha’ Hajat ini tidak kira dalam bangunan ataupun di padang lapang.

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[1] MUSA BIN ISMAIL AL-TABUZKI (223H)

مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ التبوذكي

 

Sudah dijelaskan dalam hadis ke-3.

 

[2] ABU OSMAN WUHAIB BIN WARD (153H)

 ابو عثمان وُهَيْبٌ بن الورد

 

Dia adalah tabi’ al-Tabiin. Al-Zahabi pula kata, dia seorang tabiin, kerana dikatakan dia pernah berjumpa dengan Aisyah.

 

Dia tinggal dan meninggal dunia di Mekah. Terkenal sebagai seorang kuat beribadat.

 

Selain ramai ulama mengatakan dia siqah, dia juga salah seorang rijal kutub al-Sittah.

 

[3] AMRU BIN YAHYA BIN UMARAH AL-MAZINI (140H)

 عَمْرُو بْنُ يَحْيَى بن عُمَارَةَ المَازِنِيِّ

 

Dia meninggal dunia di Madinah. Ibn Sa’ad kata, dia tidak banyak riwayatkan hadis.  

 

Ramai ulama menganggap dia sebagai siqah, walaupun ada kesilapan sedikit. Dia juga salah seorang rijal kutub al-Sittah.

 

[4] ABU ZAID

 

Tidak diketahui nama sebenarnya. Namun, al-Muzi dan ibn kathir menyatakan bahawa Namanya adalah AL-WALID.

 

Abu Daud menyatakan bahawa dia adalah bekas hamba kepada Bani Sa’labah.

 

Ramai ulama menolak riwayatnya, termasuk Ibn Madini, ARNAUT dan ALBANI dengan anggap bahawa dia seorang yang MAJHUL.

 

[5] SAHABAT: MA’QIL BIN ABI MA’QIL AL-ASADI

مَعْقِلِ بْنِ أَبِي مَعْقِلٍ الْأَسَدِيِّ

 

Dikatakan dia mempunyai nama lain, iaitu MA’QIL BIN ABI HAISAM AL-ASADI.

 

Dia turut dipanggil dengan nama MA’QIL BIN UMM AL-MA’QIL AL-ASADI.

 

Dia terlibat dalam perang Uhud bersama dengan bapanya.

 

TAKHRIJ

 

Ibn Majah (319), Ahmad (17838)

No comments:

Post a Comment