Sunday, March 27, 2022

HADIS 38

 

HADIS 38

 

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ حَنْبَلٍ حَدَّثَنَا رَوْحُ بْنُ عُبَادَةَ حَدَّثَنَا زَكَرِيَّا بْنُ إِسْحَاقَ حَدَّثَنَا أَبُو الزُّبَيْرِ أَنَّهُ سَمِعَ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَقُولُ: «نَهَانَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَتَمَسَّحَ بِعَظْمٍ أَوْ بَعْرٍ»

 

 “Rasulullah saw melarang kami untuk beristinja dengan tulang atau najis binatang”

 

Status hadis: sahih


PENJELASAN LAFAZ

 

Perkataan نتمسح bermaksud melalukan tangan pada sesuatu. Maksud dalam konteks hadis adalah istinjak.

 

HUBUNGAN HADIS

 

HADIS KE-36: digambarkan Nabi saw bebaskan diri dari orang yang beristinjak dengan tahi dan tulang.

 

HADIS KE-38: Jabir Bin Abdillah kata, nabi saw larang istinjak dengan dua perkara tersebut.

 

PENGAJARAN

 

ISTINJAK GUNA TAHI DAN TULANG

 

Larangan berkenaan dilarang dari qadha’ hajat menggunakan najis dan tulang sudah dijelaskan dalam hadis ke-7 dan ke- 8.

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[5] AHMAD BIN MUHAMMAD BIN HAMBAL (164H-241H)

أَحْمَدُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ حَنْبَلٍ

 

Lihat hadis ke-27.

 

[4] RAWH BIN UBADAH (207H)

رَوْحُ بْنُ عُبَادَةَ

 

Nama penuhnya adalah ABU MUHAMMAD RAWH BIN UBADAH BIN AL-‘ALA’ العلاء BIN HASSAN حسان BIN AMRU BIN MARSAD AL-QISI AL-BASRI.

 

Dia dilahirkan di basrah dan meninggal di tempat yang sama. Dia pernahs ampai ke Baghdad.

 

Dia adalah Rijal al-Kutub al-Sittah, bahkan turut sama meriwayatkan darinya adalah Syu’bah, al-Awzaie dan Malik.

 

Terdapat sedikit TAJRIH terhadapnya adalah seperti kata al-Nasaie bahawa dia tidak kuat, dan Abu Hatim al-Razi kata, bahawa dia tidak boleh dibuat hujah.

 

Walaubagaimana pun, Ahmad bin Furat menyatakan bahawa di sana terdapat 12 hingga 13 tohmahan terhadap Rawh, tetapi semua itu tidak benar.

 

Dia adalah perawi siqah lagi sahih.

 

[3] ZAKARIA BIN ISHAQ (150H)

زَكَرِيَّا بْنُ إِسْحَاقَ

 

Ulama Mekah ini adalah rijal al-Kutub al-Sittah, bahkan dianggap siqah oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibn Ma’in, Ibn Hibban dan Ibn Sa’ad.

 

Walaubagaimana pun, Ibn Ma’in menyatakan bahawa ada beberapa pandangannya bersifat qadariyyah.

 

Dia adalah perawi siqah lagi sahih, dan riwayatnya diterima selama tidak ada unsur-unsur menegakkan fahaman Qadariyyyah.

 

[2] ABU AL-ZUBAIR MUHAMMAD BIN MUSLIM (128H)

 أَبُو الزُّبَيْرِ محمد بن مسلم

 

Kali 2 (lihat hadis 2)

 

[1] JABIR BIN ABDILLAH (16SH-78H)

جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ

 

Kali 3 (lihat hadis 2, 13)

 

PERBAHASAN SANAD

 

[1] SANAD ABU DAUD

 

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ حَنْبَلٍ حَدَّثَنَا رَوْحُ بْنُ عُبَادَةَ حَدَّثَنَا زَكَرِيَّا بْنُ إِسْحَاقَ حَدَّثَنَا أَبُو الزُّبَيْرِ أَنَّهُ سَمِعَ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ

 

[2] STATUS HADIS: SAHIH

 

Hadis ini dianggap sahih dengan alasan berikut;

[a] Sahih atas syarat Muslim.

[b] Muslim dan Abu ‘Awanah riwayatkan hadis ini dalam kitab sahih masing-masing.

[c] matan hadis ini ada di banyak kitab-kitab hadis

[d] disepakati Sahih oleh ALBANI dan ARNAUT.

 

[3] ISYKAL

 

Ada dakwaan mengatakan bahawa dalam hadis ini ada perawi mudallis, iaitu ABU ZUBAIR. Dijawab oleh ARNAUT, dalam sanad ini, ABU ZUBAIR riwayatkan hadis ini dengan سمع yang sama tahap dengan التحديث, bukan عنعنة. Justeru, ia boleh dijadikan sandaran hujah.

 

TAKHRIJ

 

Muslim (263), Ahmad (15123, 14699), al-Baihaqi (533)

HADIS 37

 

HADIS 37

 

حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ خَالِدٍ، حَدَّثَنَا مُفَضَّلٌ، عَنْ عَيَّاشٍ، أَنَّ شِيَيْمَ بْنَ بَيْتَانَ، أَخْبَرَهُ بِهَذَا الْحَدِيثِ أَيْضًا، عَنْ أَبِي سَالِمٍ الْجَيْشَانِيِّ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو يَذْكُرُ ذَلِكَ وَهُوَ مَعَهُ مُرَابِطٌ بِحِصْنِ بَابِ أَلْيُونَ

Daripada Abdullah bin Umar, dia (Abdullah bin Amru) menyebut hadis tersebut semasa dia (Ibn Amr) dan dia (Abi Salim al-Jaysyani) adalah penjaga benteng pintu kota Alyun.

 

قَالَ أَبُو دَاوُدَ: «حِصْنُ أَلْيُونَ بِالْفِسْطَاطِ عَلَى جَبَلٍ»

Kata Abu Daud: Benteng Alyun di Fustot, iaitu terletak atas puncak gunung.

 

قَالَ أَبُو دَاوُدَ: «وَهُوَ شَيْبَانُ بْنُ أُمَيَّةَ يُكْنَى أَبَا حُذَيْفَةَ»

Kata Abu Daud: Dia (Syaiban al-Qitbani) adalah Syaiban bin Umayyah yang digelar sebagai Abu Huzaifah”


Status hadis: sahih


PENJELASAN HADIS

 

[1] hadis ke-36, kisah ini diceritakan melalui Sahabat Nabi yang bernama RUWAIFI’, sedangkan dalam hadis ke-37 ini pula, kisah ini diceritakan oleh ABDULLAH BIN AMRU, iaitu ABDULLAH berbual dengan ABU SALIM AL-JAISYANI semasa mereka bersama-sama sedang menjaga keamanan kota al-Fistot yang bentengnya bernama Alyun yang ia berada di atas bukit. Dalam perbualan mereka, Abdullah menyatakan perkara yang sama yang pernah disebut oleh RUWAIFI’ (dalam hadis ke-36)

 

[2] al-Fistot adalah kota yang dibuka oleh Amru bin al-As, dan di situ dibina masjid Amru bin al-As. Kini ia di bawah Kaherah lama.

 

[3] Hadis ini memberikan beberapa maklumat tambahan berkenaan hadis ke-36, iaitu berkenaan perawi majhul yang bernama SYAIBAN AL-QITBANI. Abu Daud memberitahu namanya yang sebenar adalah SYAIBAN BIN UMAYYAH dan digelar dengan panggilan ABU HUZAIFAH.

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[6] YAZID BIN KHALID BIN ABDILLAH BIN MAUHIB AL-HAMDANI (232H)

 يَزِيدُ بْنُ خَالِدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَوْهَبٍ الْهَمْدَانِيُّ

 

Sila lihat hadis ke-36

 

[5] AL-MUFADDHAL BIN FADHALAH AL-MISRI (107H-182H)

الْمُفَضَّلُ ابْنَ فَضَالَةَ الْمِصْرِيَّ

 

Sila lihat hadis ke-36

 

[4] ’AYYASH BIN ABBAS AL-QITBANI

عَيَّاشِ بْنِ عَبَّاسٍ الْقِتْبَانِيِّ

 

Sila lihat hadis ke-36

 

[3] SYIYAYM BIN BAITAN

 أَنَّ شِيَيْمَ بْنَ بَيْتَانَ

Sila lihat hadis ke-36

 

[2] MUKHADRAM: ABU SALIM AL-JAISYANI (80H)

 أَبو سَالِمٍ الْجَيْشَانِيِّ

 

Nama sebenarnya SUFYAN BIN HANI’ AL-MISRI. AL-JAISYANI adalah nama satu kabilah arab dari Yaman—dia mendapat gelaran itu kerana asal keturunannya dari Yaman.

 

Ramai dakwa bahawa ulama kelahiran Mesir ini adalah MUKHADRAM.

 

Dia meninggal Iskandariyah, Mesir di era pemerintahan Abdul Aziz bin Marwan.

 

Dia bersama dengan Amru bin al-As, Syarik bin Summiy al-Muradi dan Maslamah bin Mukhallad dihantar oleh Saidina Umar ke Mesir untuk agenda pembukaan Mesir.

 

Dia adalah rijal Muslim, Abu Daud dan al-Nasaie. Tidak didapati riwayatnya dalam al-Bukhari, al-Tarmizi dan Ibn Majah.

 

Dia salah seorang perawi yang sahih.

 

[1] SAHABAT: ABDULLAH BIN AMRU BIN AL-AS (27SH-65H)

 عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو

 

Sahabat Nabi ini dilahirkan di mekah. Dia adalah anak sulong kepada sahabat Nabi yang terkenal, iaitu Amru bin al-As.

 

Dia ada kebolehan memahami dan bertutur dalam Siryani (Bahasa kitab injil dan taurat).

 

Dia masuk Islam di Mekah pada tahun ke 7 hijrah, iaitu sebelum bapanya memeluk islam (8H)

 

Selepas memeluk Islam, dia berhijrah ke Madinah, iaitu sebelum bapanya datang ke Madinah.

 

Dia terkenal sebagai orang yang suka mencatat. Dengan itu, dia ada satu yang disebut الصحيفة الصادقة iaitu himpunan catatan apa yang dia dengar dan lihat dari Nabi saw.

 

Semasa perang siffin, dia berpihak kepada Muawiyyah, itupun atas arahan bapanya. Dan dia taat itu sebab dalam hadis bahawa Nabi saw suruh seseorang anak taat kepada bapanya.

 

Namun, semasa perang, dia hanya hadir tanpa melakukan sebarang perkara yang melibatkan perang. Bahkan selepas kejadian perang, dia menampilkan penyesalan kerana turut hadir sama.  

 

Penyesalannya itu dapat diketahui melalui satu ucapan dia: “Demi Allah, aku berharap bahawa aku mati 10 tahun sebelum kejadian Siffin. Demi Allah, aku tidak hayunkan pedang langsung, tidak menikam dengan tombak langsung, tidak memanah langsung. Aku berharap aku tidak hadir. Aku minta ampun dengan Allah dan bertaubat kepadaNya”

 

Dia antara orang yang terlibat dalam sejarah pembukaan Syam. Bahkan, terlibat sama dengan bapanya membuka Mesir.

 

Pada tahun 41 hijrah, Muawiyyah lantik dia jadi gabenor Kufah. Selepas bapanya meninggal, Muawiyyah lantik dia ganti bapanya menjadi gabenor Mesir.

 

Para ulama tidak sepakat berkenaan tempat dia meninggal. Ada kata, di Asqalan (Palestine); ada kata di Mesir; ada kata, di Taif; ada kata, di Syam.

 

Menurut ceritanya, sebelum dia meninggal, dia ditimpa sakit mata sehingga buta.

 

PERBAHASAN SANAD

 

[1] SANAD ABU DAUD

 

حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ خَالِدٍ، حَدَّثَنَا مُفَضَّلٌ، عَنْ عَيَّاشٍ، أَنَّ شِيَيْمَ بْنَ بَيْتَانَ، أَخْبَرَهُ بِهَذَا الْحَدِيثِ أَيْضًا، عَنْ أَبِي سَالِمٍ الْجَيْشَانِيِّ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو

 

[2] STATUS HADIS: SAHIH

 

[A] Sanad hadis ini sebagai penyempurna kepada sanad hadis yang ke-36. Sanad hadis 36 terputus itu disahihkan dengan hadis ini

[B] Dalam sanad ini, SYUYAIM bertemu langsung dengan RUWAIFI’, tanpa perantara SYAIBAN AL-QITBANI

 

HADIS 36 (BAB 20)

 

BAB 20

 

بَابُ مَا يُنْهَى عَنْهُ أَنْ يُسْتَنْجَى بِهِ

“SESUATU YANG DILARANG GUNA UNTUK BERINSTIJAK”

 

HADIS 36

 

حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ خَالِدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَوْهَبٍ الْهَمْدَانِيُّ حَدَّثَنَا الْمُفَضَّلُ يَعْنِي ابْنَ فَضَالَةَ الْمِصْرِيَّ عَنْ عَيَّاشِ بْنِ عَبَّاسٍ الْقِتْبَانِيِّ أَنَّ شِيَيْمَ بْنَ بَيْتَانَ، أَخْبَرَهُ عَنْ شَيْبَانَ الْقِتْبَانِيِّ قَالَ: إِنَّ مَسْلَمَةَ بْنَ مُخَلَّدٍ اسْتَعْمَلَ رُوَيْفِعَ بْنَ ثَابِتٍ عَلَى أَسْفَلِ الْأَرْضِ قَالَ شَيْبَانُ: فَسِرْنَا مَعَهُ مِنْ كَوْمِ شَرِيكٍ، إِلَى عَلْقَمَاءَ أَوْ مِنْ عَلْقَمَاءَ إِلَى كَوْمِ شَرِيكٍ يُرِيدُ عَلْقَامَ فَقَالَ رُوَيْفِعٌ: «إِنْ كَانَ أَحَدُنَا فِي زَمَنِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيَأْخُذُ نِضْوَ أَخِيهِ عَلَى أَنَّ لَهُ النِّصْفَ مِمَّا يَغْنَمُ، وَلَنَا النِّصْفُ، وَإِنْ كَانَ أَحَدُنَا لَيَطِيرُ لَهُ النَّصْلُ وَالرِّيشُ، وَلِلْآخَرِ الْقِدْحُ» ثُمَّ قَالَ: قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا رُوَيْفِعُ لَعَلَّ الْحَيَاةَ سَتَطُولُ بِكَ بَعْدِي، فَأَخْبِرِ النَّاسَ أَنَّهُ مَنْ عَقَدَ لِحْيَتَهُ، أَوْ تَقَلَّدَ وَتَرًا، أَوْ اسْتَنْجَى بِرَجِيعِ دَابَّةٍ، أَوْ عَظْمٍ فَإِنَّ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْهُ بَرِيءٌ»

Sesungguhnya Maslamah bin Mukhallad melantik Ruwaifi' bin Tsabit sebagai pegawai di daerah dataran rendah (di Mesir).

Syaiban melanjutkan: Kami berjalan bersamanya (Ruwaifi’) dari Kum Syarik ke 'Alqama` (atau dari 'Alqama` ke Kaum Syarik)—yang dia maksudkan adalah untuk ke  'Alqam.

Ruwaifi' berkata: "Jika salah seorang kita berada pada zaman Rasulullah saw, pasti dia akan memelihara unta yang kurus milik saudaranya. Dengan syarat, saudaranya itu (pemilik unta) mendapat bahagian separuh hasil perolehan ghanimah, dan kami mendapat separuhnya yang berbaki. Dan jika itu terjadi pada salah seorang di antara kita, pasti dia mendapat bahagian mata panah dan bulu burung, sedang yang satu lagi mendapat bahagian kayu panah”

Ruwaifi' melanjutkan lagi: Rasulullah pernah berpesan kepadaku: "Wahai Ruwaifi'! Boleh jadi kamu akan memiliki umur yang panjang selepas aku wafat, maka beritahulah kepada orang  bahawa siapa yang mengikat janggutnya atau berkalung tali, atau beristinja dengan najis binatang atau tulang, maka sesungguhnya Muhammad saw berlepas diri dari orang tersebut"

 

Status hadis: sahih lihairih

 

PERBAHASAN LAFAZ

 

[1] Perkataan كوم شريك adalah nama tempat yang berhampiran dengan iskandariyyah, Mesir.

 

SYARIK dikatakan adalah asal nama seorang sahabat nabi yang nama sebenarnya adalah Syarik bin Summi al-Muradi al-Ghatifi. Dia dikatakan terlibat bersama Amru bin al-As membuka Mesir.

 

Diidhafatkan kepada كوم (longgokan) kerana dikatakan dalam perjalanan untuk pembukaan kota Iskandariyyah, Syarik di hadapan, lalu nampak tentera rom. Mereka nak elak dari tentera rom nampak, di situ mereka membuat satu longgokan tanah untuk memastikan tentera itu tidak nampak mereka.

 

[2] perkataan علقماء adalah satu tempat di tengah-tengah jalan ke Iskandariyyah, Mesir.

 

[3] perkataan علقام adalah satu tempat yang bukan علقماء. Dikatakan, tempat itu berhampiran dengan lautan di Mesir.

 

[4] Dalam hadis, ada disebut bahawa perjalanan tersebut dari Kum Syarik ke Alqama’. Lalu, disebut “ATAU dari Alqama’ ke kum Syarik. “ATAU” dalam hadis ini adalah syak (tidak pasti) dari perawi yang bernama SYAIBAN. Dalam erti kata lain, SYAIBAN tidak pasti, apakah perjalanan itu dari Kum Syarik ke Alqama’ atau dari ‘Alqama’ ke Kum Syarik.

 

[5] maksud dengan لَيَأْخُذُ نِضْوَ أَخِيهِ عَلَى أَنَّ لَهُ النِّصْفَ مِمَّا يَغْنَمُ، وَلَنَا النِّصْفُ adalah unta kurus itu digunakan untuk perang. Hasil dari perang itu, mendapat harta ghanimah. Harta ghanimah itu dibahagikan antara pemilik unta dan orang yang berperang di jalan Allah (penyewa unta untuk pergi berperang).

 

[6] maksud dengan وَإِنْ كَانَ أَحَدُنَا لَيَطِيرُ لَهُ النَّصْلُ وَالرِّيشُ، وَلِلْآخَرِ الْقِدْحُ adalah pembahagian itu tetap berlaku, walaupun semurah-murah harga; iaitu setahap hujung mata anak panah sekalipun. (Ini disebut sebagai isti’arah)

 

[7] maksud لَعَلَّ الْحَيَاةَ سَتَطُولُ بِكَ adalah pengharapan dari nabi agar Ruwaifi’ diberikan umur panjang.

 

[8] perkataanرَجِيعِ دَابَّةٍ  yang diterjemah sebagai tahi binatang, ia berasal dari perkataan رجع yang bermaksud kembali. Dalam erti kata lain, najis binatang itu kembali kepada asal makanannya, iaitu rumput.

 

PENJELASAN HADIS

 

Hadis ini menjelaskan beberapa perkara penting berikut:

 

[1] MASLAMAH adalah gabenor Mesir yang dilantik oleh MUAWIYYAH. Semasa dia jadi gabenor, dia lantik RUWAIFI’ menjadi pegawai dia agar jaga Mesir.

 

[2] Ruwaifi’ menjelaskan berkenaan salah satu sistem muamalat dalam Islam, iaitu mudharabah. Mudharabah bermaksud “satu pihak memberikan wang kepada satu pihak yang lain untuk diniagakan, dan keuntungan dibahagikan sesame dua pihak tersebut.

 

[3] dalam hadis ini juga, Riwaifi’ menyebut berkenaan Nabi saw menggambarkan larangan empat perkara:

(a) ikat janggut (lambang kesombongan dan takbur)

(b) tali yang berambu yang diletak di tengkok

(c) tidak istinjak menggunakan tahi kering.

(d) tidak istinjak menggunakan tulang.

 

HUBUNGAN HADIS

 

Dalam hadis ke-35, disebutkan berkenaan syaitan berhimpun. Ia seiras dengan hadis ke-6.

 

Dalam hadis ke-36 ini pula, ada menyebut istinja’ dengan tulang dan najis. Ia seiras dengan hadis ke-7.

 

PENGAJARAN

 

[1] SETIAP PIHAK PERLU DAPAT BAHAGIANNYA

 

Dalam hadis ini, Ruwaifi’ menyatakan bahawa ada setiap pihak yang terlibat dalam perniagaan secara mudharabah hendaklah mendapat hak masing-masing berasaskan persetujuan bersama, walaupun dalam kadar sebesar mata panah sekalipun.

 

[2] IKAT JANGGUT

 

Dikatakan, pada zaman Jahiliyyah, janggut itu diikat ketika mereka berhadapan dengan perang.

 

Ada pelbagai tafsiran ulama punca larangan tersebut:

 

Pertama, dilarang kerana menganggap ia adalah fesyen orang sombong.

 

Pendapat ini diasaskan kepada bandingan dengan hadis yang melarang melabuhkan pakaian sehingga menutup mata kaki bagi orang lelaki. Daripada Abdullah bin Umar bahawa Nabi saw ada bersabda:

 

مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلاَءَ، لَمْ يَنْظُرِ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ القِيَامَةِ

“Barangsiapa yang menjulurkan pakaiannya kerana sombong, Allah swt tidak akan melihatnya pada kiamat nanti” (al-Bukhari, hadis no: 3665)

 

Kedua, dilarang kerana menganggap ia menyerupai wanita yang membuat tocang rambut.

 

Pendapat ini diasaskan kepada bandingan dengan hadis yang melarang lelaki yang memyerupai wanita. Daripada Ibn Abbas berkata:

 

لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ

“Nabi saw melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita menyerupai lelaki” (al-Bukhari, hadis no: 5886)

 

[3] TALI TANGKAL

 

Maksud larangan tali tangkal adalah sesuatu tali yang diikat pada tengkok binatang atau anak kecil, kononnya nak elak dari penyakit.

 

Ada dakwaan mengatakan, masyarakat jahiliyyah letak loceng kecil pada tali tangkal itu. Hal ini merujuk kepada hadis Ibn Mas’ud berkata:

 

فَأَرْسَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، رَسُولًا أَنْ لاَ يَبْقَيَنَّ فِي رَقَبَةِ بَعِيرٍ قِلاَدَةٌ مِنْ وَتَرٍ، أَوْ قِلاَدَةٌ إِلَّا قُطِعَتْ

Rasulullah mengutus seorang utusan agar tidak membiarkan pada leher-leher unta seutas talipun yang digunakan untuk mengikat panah atau seutas kalung melainkan harus dipotong" (al-Bukhari, hadis no: 3005)

 

[4] BERISTINJAK DENGAN NAJIS

 

Najis adalah kotor, serta ia adalah makanan bagi kenderaan jin, dengan sebab itu ia dilarang dari berinstinjak dengannya. Perbahasan ini sudah disebut dalam hadis ke-7 yang lalu

 

[5] ISTINJAK DENGAN TULANG

 

Tulang adalah makanan jin yang perbahasannya sudah disebut dalam  hadis ke-7 yang lalu.

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[6] YAZID BIN KHALID BIN ABDILLAH BIN MAUHIB AL-HAMDANI (232H)

 يَزِيدُ بْنُ خَالِدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَوْهَبٍ الْهَمْدَانِيُّ

 

Gelarannya ABU KHALID AL-RAMLI. Digelar al-Ramli kerana dia berasal dari Ramallah (Palestine). Al-Hamdani pula adalah satu kabilah Arab dari Yaman. Hal ini kerana, asal keturunannya dari Yaman.

 

Dia adalah guru Imam Abu Daud, al-Nasaie dan Ibn Majah.

 

Al-Daraqutni kata dia majhul, tetapi tidak sedikit ulama yang kata dia siqah. Apatah lagi, Imam Abu Daud belajar dan riwayatkan hadisnya. Ibn Hibban meletakkan dia dalam senarai perawi-perawi siqah.

 

Dia adalah salah seorang perawi yang sahih.

 

[5] AL-MUFADDHAL BIN FADHALAH AL-MISRI (107H-182H)

الْمُفَضَّلُ ابْنَ فَضَالَةَ الْمِصْرِيَّ

 

Nama penuhnya adalah ABU MUAWIYAH AL-MUFADHHAL BIN UBAID BIN SUMAMAH BIN MARSAD AL-RA’INI الرعيني AL-QITBANI

 

Dia berasal dari Mesir dan pernah menjadi Qadhi di Mesir sebanyak dua kali.

 

Ramai ulama menganggap bahawa dia seorang yang zuhud dan mustajab doa. Antara yang mengatakan sebegitu adalah Imam Abu Daud dan Isa bin Zaghbah. Dikatakan dia seorang ahli ibadat, sehinggakan menurut cerita bahawa dalam dia sakit dan badannya lemah, dia mampu berdiri lama untuk menunaikan solat.

 

Ada TAJRIH terhadapnya seperti Ibn Sa’ad kata, dia munkar hadis. Namun begitu, al-Saharanpuri dalam kitab Bazl al-Majhud kata, Ibn Sa’ad salah dalam menilai al-Mufaddhal. Abu Hatim, Ibn Kharrash dan Ibn Ma’in kata, dia siqah lagi Soduq.

 

Dia salah seorang rijal al-kutub al-Sittah, dan dia dianggap perawi sahih.

 

[4]’AYYASH BIN ABBAS AL-QITBANI

عَيَّاشِ بْنِ عَبَّاسٍ الْقِتْبَانِيِّ

 

Nama penuhnya ABU ABDUL RAHIM ‘AYYASH BIN ABBAS BIN JABIR BIN YASIN AL-HIMYARI AL-MISRI.

 

Gelaran AL-QITBANI adalah nisbah kepada satu kabilah arab dari Yaman, iaitu satu keturunan yang dari orang yang bernama QITBAN BIN RUMAN.

 

Imam Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah meriwayatkan hadisnya. Hanya al-Bukhari sahaja tidak riwayatkan darinya. Walaubagaimana pun, dia perawi yang sahih.

 

[3] SYIYAYM BIN BAITAN AL-QIBTANI

شِيَيْمَ بْنَ بَيْتَانَ الْقِتْبَانِيِّ

 

Ulama Mesir yang berasal dari keturunan Yaman ini adalah rijal Abu Daud, al-Tarmizi dan al-Nasaie. Tidak didapati dia diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Ibn Majah.

 

Abu Bakar al-Bazzar kata, dia tidak masyhur. Namun begitu, Ibn Hajar al-Asqalani, al-Zahabi, Ibn Saad dan Yahya Bin Ma’in kata, dia siqah. Dia dianggap sebagai perawi yang sahih.

 

[2] SYAIBAN AL-QITBANI

 شَيْبَانَ الْقِتْبَانِيِّ

 

Menurut Abu Daud, nama penuh perawi ini adalah SYAIBAN BIN UMAYYAH. Ada pula kata, namanya adalah SYAIBAN BIN QAIS AL-QITBANI.

 

Abu Daud menyatakan, gelaran dia adalah ABU HUZAIFAH.

 

Dia tinggal di Mesir. Ada pula ulama lain dakwa, dia tinggal al-Asqalan (Palestine).

 

Menurut al-Saharanpuri dalam Bazl al-Majhud bahawa dia perawi Majhul.

 

[1] SAHABAT(K): ABU MA’AN MASLAMAH BIN MUKHALLAD AL-ANSARI AL-ZARQI (1H-62H)

ابو معن مَسْلَمَةَ بْنَ مُخَلَّدٍ الأنصاري الزرقي

 

Ulama khilaf berkenaan statusnya. Al-Imam al-Bukhari, al-Daraqutni dan al-Zahabi anggap dia adalah SAHABAT. Sedangkan al-Imam Ahmad dan Abu Hatim kata, dia sekadar MUKHDARAM sahaja.

 

 Kekhilafan ini berlaku kerana dia dilahirkan di Mesir pada 1 hijrah. Bahkan ada riwayat kata, dia dilahirkan pada 4 Hijrah.

 

Jika dia dianggap sebagai sahabat, sudah pasti dia berjumpa dengan nabi saw, sedangkan baginda wafat tahun 11 hijrah yang ketika itu umurnya adalah 11 tahun (atau: 7 tahun).

 

Tidak dinafikan, memang dia pernah sampai di Madinah, tetapi tidak ada satu bukti yang dipercayai bahawa semasa dia sampai di Madinah ketika Nabi saw masih hidup.

 

Walaubagaimana pun, dikatakan dia bersama Amru bin al-As dihantar oleh Saidina Umar untuk pembukaan Mesir. Turut sama dengan mereka adalah Syarik bin Summiy al-Muradi al-Ghatifi dan Abu Salim al-Jaisyani.

 

Di era Muawiyyah menjadi Khalifah, dia dilantik menjadi gabenor Mesir. Kemudian, ditambah untuk menjadi gabenor di Maghribi

 

Pada era Saidina Ali, tercetus perang Siffin, dia di pihak Muawiyyah. Selepas Muawiyyah meninggal, dia tetap menjadi gabenor dia dua wilayah ini pada Era Yazid.

 

Dia adalah orang yang mula-mula yang membuat Menara masjid untuk azan.

 

 Walaupun dia lahir di Mesir dan pernah sampai di Madinah, kemudian ke mesir pula di era Muawiyyah, pendapat masyhur menyatakan bahawa dia meninggal di Madinah. Ibn Yunus pula mendakwa, dia meninggal di Mesir, iaitu di Iskadariyyah.

 

[1] SAHABAT: RUWAIFI’ BIN SABIT

 رُوَيْفِعَ بْنَ ثَابِتٍ

 

Nama penuhnya adalah RUWAIFI’ BIN SABIT BIN AL-SAKN BIN ‘ADI BIN HARITHAH BIN AL-NAJJAR AL-ANSARI.

 

Dia dilahirkan di Maghribi dan meninggal dunia di Libya, iaitu ketika dia menjadi gabenor di situ. Dia pernah sampai Mesir, Madinah dan Afrika.

 

Dia menjadi gabenor atas perlantikan Muawiyyah. Dan pernah terlibat perang di Afrika dalam tahun 47 Hijrah.

 

Dia adalah sahabat Nabi yang paling akhir meninggal di Afrika.

 

PERBAHASAN SANAD

 

[1] SANAD ABU DAUD

 

حدثنا يزيد بن خالد بن عبد الله بن موهَب الهمداني: حدثنا المفَضلُ- يعني:ابن فَضَالة المصري- عن عياش بن عباس القِتْبَاتي أن شِيَيْم بن بَيْتان أخبره عن شيبان القتباني.

 

[2] STATUS HADIS: SAHIH

 

Hadis ini sahih dengan alasan berikut;

[A] Kalau ada kritikan pun, hanya pada perawi bernama SYAIBAN AL-QATBANI (MAJHUL).

[B] Hadis ini ada MUTABA-AH SANAD, iaitu hadis ke-37, SYUYAYM ambil terus dari RUWAIFI’, Tanpa melalui perawi lemah—SYAIBAN AL-QATBANI yang majhul. Atas alasan ini, hadis ini Sahih.

 [C] Imam Nawawi pula kata, sanad hadis ini bagus (Jayyid).

 [D]  Hadis ini disepakati Sahih oleh ARNAUT dan ALBANI.

 

TAKHRIJ

 

Al-Nasaie (Kubra-9284), Ahmad (17000, 169995)