HADIS 56 |
حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ، حَدَّثَنَا حَمَّادٌ أَخْبَرَنَا بَهْزُ بْنُ حَكِيمٍ عَنْ زُرَارَةَ بْنِ أَوْفَى عَنْ سَعْدِ بْنِ هِشَامٍ عَنْ عَائِشَةَ «أَنَّ
النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُوضَعُ لَهُ وَضُوءُهُ
وَسِوَاكُهُ، فَإِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ تَخَلَّى ثُمَّ اسْتَاكَ»
Air wudhu dan sugi Nabi saw diletakkan (dekat tempat tidur baginda). Maka apabila baginda bangun malam, baginda qadha’ hajat, kemudian bersugi.
status hadis: sahih
PENJELASAN HADIS |
[1] Dalam hadis ini menyatakan bahawa Nabi saw disediakan air dan sugi
sebelum baginda tidur. Walaupun dalam matan hadis ini tidak disebut siapa yang
menyediakan itu, tetapi dijelaskan oleh al-Saharanpuri dalam al-Bazl bahawa
yang menyediakan itu adalah ahli keluarga baginda.
[2] Dalam hadis juga dijelaskan bahawa Nabi saw disediakan وضوء
yang huruf waw di baca dengan baris atas. Apabila dibaca dengan Wudu’, ia
memberi makna amalan berwuduk. Tetapi jika dibawa dengan wadu’, ia bermakna air
yang digunakan untuk berwuduk.
Dengan ini
memberi maksud, bahawa bukan sekadar
kayu sugi sahaja disediakan, malah air wuduk juga disediakan. Hal ini menjadi
dalil bahawa menjadi amalan nabi saw bangun malam untuk menunaikan solat.
[3] Apabila disediakan kayu sugi berserta air wuduk, di sini difahami
secara isyarat al-Nas bahawa Nabi saw akan bersugi apabila mahu berwuduk.
[4] Dalam hadis ada disebut perkataan تخلي yang
berasal dari akar kata خلاء. Asal maknanya adalah tempat yang tidak ada seseorang pun.
Dalam penggunaan arab, ia bermaksud tempat qadha’ hajat. Justeru, terjemahan
asal perkataan تخلي adalah berada di tempat yang ketiadaan orang. Namun, dari sudut
ilmu balaghah, ia adalah MAJAZ MURSAL من اطلاق المحل وارادة الحال,
iaitu disebut tempat, tetapi yang dikehendakinya adalah keadaan ketika berada
di tempat tersebut.
[5] Dari sudut matan hadis
ini, digambarkan bahawa Nabi saw bersugi selepas dari qadha’ hajat, bukan
sejurus sahaja bangun dari tidur. Dalam erti kata lain, nabi saw bangun,
baginda tidak terus bersugi. Tetapi, Qadha’ hajat terlebih dahulu. Apabila mahu
berwuduk, baru baginda bersugi.
HUBUNGAN HADIS |
Dalam hadis ke-55, dijelaskan bahawa nabi saw bersugi apabila bangun
dari tidur di waktu malam.
Dalam hadis ke-56 ini pula, dijelaskan bahawa bersugi nabi setiap kali
dari tidur sudah menjadi tabiat sehinggakan keluarga Nabi saw pasti akan
menyediakan air untuk berwuduk dan kayu sugi di tempat nabi saw tidur.
PENGAJARAN |
SENTIASA BERSEDIA UNTUK BERSUGI
Islam antara agama yang
mengajar agar kita sentiasa ada persiapan. Bermula dari persiapan menuju alam
akhirat, persiapan perang sehinggakan sekecil-kecil perkara, iaitu persiapan
sebelum tidur bahawa bangun nanti mahu bersugi dan berwuduk.
BIOGRAFI PERAWI |
[6] MUSA BIN ISMAIL (223H)
مُوسَى بْنُ
إِسْمَاعِيلَ
Sila lihat hadis ke-3, 10 dan 54.
[5] HAMMAD BIN SALAMAH (91H-167H)
حَمَّادٌ[1]
Sila lihat hadis ke-3 dan 54.
[4] BAHZ BIN HAKIM (140H)
بَهْزُ بْنُ
حَكِيمٍ
Nama penuhnya adalah BAHZ BIN HAKIM BIN MUAWIYYAH BIN HAIDAH
AL-QUSYAIRI. Di panggil dengan ABU ABD AL-MALIK AL-BASRI.
Bapanya, Hakim adalah Tabiin. Sedangkan atuknya, Muawiyyah bin Haidah
adalah Sahabat.
Dia meninggal pada tahun 140 Hijrah. Ada pendapat kata, dia meninggal
pada tahun 160 Hijrah.
Pandangan ulama terhadapnya ada pelbagai sikap. Antara ulama yang kata
dia siqah adalah Ibn Main, Ibn Madini, al-Tarmizi dan al-Nasaie. al-Hakim kata,
dia siqah serta dihimpun hadisnya. Bahkan, ada beberapa tokoh siqah yang ambil
hadis darinya, antara adalah al-Zuhri. Apabila para siqah ambil hadis darinya,
itu sudah memadai untuk diterima riwayatnya. Ahmad bin Hambal dan Ishaq
berhujah dengannya. Al-Zahabi kata, dia seorang Imam dan muhaddis. Yahya Bin
Main kata, ramai para siqah riwayat hadis darinya. Bahkan kata: aku tidak
nampak hadis mungkar yang dia riwayatkan. Aku berharap, para siqah ambil hadis
darinya. Tidak mengapa pada hadisnya.
Namun begitu, Abu Hatim kata, hadisnya ditulis, tetapi tidak boleh
dibuat hujah. Abu Daud menyatakan bahawa
dia boleh dibuat hujah.
Ibn Hibban pula kata, dia selalu buat silap sehingga dia ditinggalkan
Jemaah dari kalangan imam kami. Ibn Hibban tidak masukkan namanya dalam kitab
al-Siqat, bahkan memasukkan dalam KITAB AL-MAJRUHIN.
Imam Syafie kata, dia tidak hujjah di sisi Aku. Imam al-Bukhari pula
kata, ulama hadis berbeza pendapat berkenaan dia.
Dia adalah rijal Abu Daud, al-Tarmizi, al-nasaie dan Ibn Majah. Al-Bukhari
ada riwayatkan hadisnya, tetapi secara ta’liq sahaja.
Walaupun begitu, dia adalah perawi siqah lagi sahih.
[3] ZURARAH BIN ABI AWFA (93H)
زُرَارَةَ بْنِ أَوْفَى
Nama penuhnya adalah ZURARAH BIN AWFA AL-‘AMIRI AL-HARASHI. Dia panggil
sebagai ABU HAJIB AL-BASRI.
Dia adalah seorang ulama hadis di Basrah, serta qadhi di wilayah
tersebut. Dia meninggal dunia pada tahun 93 Hijrah,
iaitu di era pemerintahan AL-WALID BIN ABDIL MALIK BIN MARWAN, iaitu ketika dia
sedang membaca al-Quran. Iaitu, apabila sampai pada ayat 10, dia pun rebah dan
meninggal dunia.
يَا أَيُّهَا
الْمُدَّثِّرُ (1) قُمْ فَأَنْذِرْ (2) وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ (3) وَثِيَابَكَ
فَطَهِّرْ (4) وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ (5) وَلَا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ (6)
وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ (7) فَإِذَا نُقِرَ فِي النَّاقُورِ (8) فَذَلِكَ يَوْمَئِذٍ يَوْمٌ عَسِيرٌ (9) عَلَى
الْكَافِرِينَ غَيْرُ يَسِيرٍ (10) – المدثر
Dengan sebab itu, tidak hairan Abu Hatim bin Habban al-Basti kata, dia
terkenal sebagai ahli ibadat.
Ramai ulama kata dia siqah, antaranya adalah al-Nasaie, Ahmad bin Soleh
al-Jili, Ibn Hajar al-Asqalani, al-waqidi dan Ibn ma’in.
Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah, dan seorang perawi siqah lagi
sahih.
[2] SA’AD BIN HISHAM (80-90H)
سَعْدِ بْنِ هِشَامٍ
Nama penuhnya adalah SA’AD BIN HISHAM BIN ‘AMIR AL-ANSARI AL-MADANI. Dia
adalah sepupu disebelah bapa kepada Anas bin Malik.
Menurut Imam al-Bukhari, dia terbunuh di bumi Makran (sekarang di
balochistan, Pakistan) dalam satu peperangan.
Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah, serta seorang perawi siqah lagi
sahih.
[1] AISYAH BINTI ABU BAKAR (19H-58H)
عَائِشَةَ
Lihat hadis ke-18, 30, 33, 34, 40, 42, 50, 51, 52 dan 53 (kali ke-11)
PENJELASAN SANAD |
Hadis ini SAHIH:
A.
Semua perawi hadis ini adalah siqah.
B.
Disepakati sahih oleh Albani dan Arnaut.
C.
Semua
perawi adalah rijal Muslim kecuali BAHZ BIN HAKIM. Namun, dia tetap perawi
siqah.
[1] Ada
seorang lagi perawi abu Daud di tabaqat
yang sama, iaitu HAMMAD BIN ZAID (98H-179H). Justeru, jangan tersilap.
No comments:
Post a Comment