Sunday, March 6, 2022

HADIS 15 (BAB 7)

 

BAB 7

 

بَابُ كَرَاهِيَةِ الْكَلَامِ عِنْدَ الْحَاجَةِ

“MAKRUH BERBUAL KETIKA QADHA’ HAJAT”

 

HADIS 15

 

حَدَّثَنَا عُبَيْدُاللَّهِ بْنُ عُمَرَ بْنِ مَيْسَرَةَ حَدَّثَنَا ابْنُ مَهْدِيٍّ حَدَّثَنَا عِكْرِمَةُ بْنُعَمَّارٍ عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي كَثِيرٍ  عَنْ هِلَالِ بْنِ عِيَاضٍ قَالَ: حَدَّثَنِي أَبُو سَعِيدٍ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «لَا يَخْرُجُ الرَّجُلَانِ يَضْرِبَانِ الْغَائِطَ كَاشِفَيْنِ عَنْ عَوْرَتِهِمَا يَتَحَدَّثَانِ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَمْقُتُ عَلَى ذَلِكَ»

Daripada Abu Sa’id berkata, aku dengar Rasulullah saw bersabda: “Janganlah dua orang lelaki pergi ke tempat qadha’ hajat dalam keadaan kedua-dunya membuka aurat, lalu bercakap-cakap kerana sesungguhnya Allah membenci demikian”

 

قَالَ أَبُو دَاوُدَ: هَذَا لَمْ يُسْنِدْهُ إِلَّا عِكْرِمَةُ بْنُ عَمَّارٍ

 

Status hadis: doif.

PENJELASAN HADIS

 

[1] Walaupun hadis ini DOIF dari sudut SANAD, tetapi kandungan matannya tidak DOIF kerana ia telah disokong dengan hadis yang lain.

 

[2] Menurut al-‘Azim Abadi dalam Aun al-Ma’bud, walaupun matan hadis sebut DUA ORANG LELAKI, tetapi termasuk juga perempuan.

 

[3] kandungan matan hadis ini menjelaskan perkara berikut;

 

Pertama, tidak qadha’ hajat di tempat yang sama yang saling nampak aurat antara satu dengan yang lain.

 

Larangan seiras ini sememangnya ada dalam hadis-hadis yang lain seperti hadis berikut;

 

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah saw ada bersabda:

 

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ

“Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki; perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan; tidak boleh lelaki itu masuk dalam lelaki dalam satu pakaian; tidak boleh perempuan masuk dalam perempuan dalam satu pakaian. (Muslim, hadis no: 338)

 

Kedua, larangan bercakap semasa sedang qadha’ Hajat. Berkenaan larangan bercakap semasa Qadha’ Hajat, akan dibincangkan dalam hadis ke-16 akan datang.

 

HUBUNGAN HADIS

 

Hadis ke-14, dijelaskan bahawa keperluan tidak kelihatan Aurat semasa qadha’ Hajat.

 

Dalam hadis ke-15 ini pula, dijelaskan larangan dua orang yang qadha’ hajat di tempat yang sama, yang mereka dapat melihat aurat masing-masing

 

PENGAJARAN

 

AURAT MUSLIMAT DI HADAPAN PEREMPUAN NON MUSLIM

 

Berlaku kekhilafan dalam pandangan ulama berkenaan hukum aurat muslimat di hadapan perempuan non Muslim.

 

PENDAPAT PERTAMA: AURAT MUSLIMAT WAJIB TUTUP AURAT DI HADAPAN PEREMPUAN NON MUSLIM SAMA SEPERTI DIHADAPAN LELAKI.

 

Ini adalah pendapat Mazhab Syafie, sepertimana yang telah disebut oleh al-Imam al-Nawawi, Zakaria al-Ansari, Ulama dalam Mazhab Hanafi dan Maliki.

 

Hujah mereka adalah melihat kepada firman Allah:

 

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ (31) – النور

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan mereka” (Surah al-Nur, ayat 31)

 

Dalam kupasan mereka, ayat ini menjelaskan berkenaan perempuan yang boleh menampilkan beberapa anggota badannya, seperti kepada suami mereka, kepada bapa mereka, kepada atuk mereka, kepada anak mereka, kepada anak tiri mereka, kepada adik beradik mereka, kepada anak saudara mereka di sebelah adik beradik lelaki dan perempuan.

 

Lalu, dalam ayat ini menyebut نسائهن yang dhomir هن itu kembali kepada المؤمنات. Apabila mereka tafsirkan begitu, maka mereka keizinan itu hanya sesame mukminat sahaja. Adapun terhadap perempuan non Muslim, ia sama sepertimana kaum lelaki.

 

Ini ditambah lagi dengan kisah Saidina Umar pernah melarang perempuan kitabiyat masuk tandas muslimat.

 

PENDAPAT KEDUA: AURAT MUSLIMAT DIHADAPAN PEREMPUAN NON MUSLIM ADALAH SAMA SEPERTI SESAMA MUKMINAT JUGA

 

Ini adalah pendapat Ben Baz. Dalam kupasan beliau adalah seperti berikut;

 

Satu: perbahasan dhomir dan ayat adalah merujuk kepada jenis wanita, bukan agama mereka.

 

Dua: Kalau seseorang perempuan yang asalnya tidak muslim, kemudian memeluk islam, sudah pasti auratnya sama dengan adik beradiknya yang tidak islam juga.

 

Tiga: Ditakwilkan bahawa kisah Saidina Umar itu dalam konteks berhati-hati dengan kafir Harbi yang sentiasa mencari ruang untuk memburukkan Islam.

 

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[6] UBAIDULLAH BIN UMAR BIN MAISARAH AL-QAWARIRI (152H-235H)

عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ بْنِ مَيْسَرَةَ القواريري

 

Dia adalah guru Bukhari, muslim dan Abu Daud. Dilahirkan di Basrah dan meninggal dunia di Baghdad.

 

Dia antara ulama yang terlibat perbalahan dalam isu Quran makhluk, iaitu pada era khalifah Ma’mun (nama sebenarnya: Abu al-Abbas, Abdullah bin Harun al-Rashid (170-218H) yang belajar dari guru muktazilah bernama Abu al-Huzail al-Allaf)

 

Dia bersama dengan Imam Ahmad yang dihukum kerana pertahankan al-Quran bukan makhluk oleh Gabenor bernama Ishaq bin Ibrahim.

 

Tidak ada sebarang kritikan yang mencacatkan status kesiqahannya. Dia dikira sebagai perawi sahih

 

[5] ABDUL RAHMAN BIN MAHDI (135H-198H)

 عبد الرحمن ابْنُ مَهْدِيٍّ

 

Dilahirkan dan meninggal di Basrah, tetapi pernah sampai ke Kufah. Dia adalah salah seorang murid Imam malik dan pengasas mazhab Maliki di Iraq.

 

Imam Ahmad bin Hanbal pernah kata, Ibn Mahdi ini adalah ulama hadis. Jika dibandingkan dengan Yahya bin Sa’id al-Qattan, dia lebih cenderung dengan fiqh Kufiyyin.

 

Dia adalah rijal Kutub Sittah, dan dia adalah perawi SAHIH.

 

[4] IKRIMAH BIN AMMAR AL-IJLI AL-YAMAMI (159H)

عِكْرِمَةُ بْنُ عَمَّارٍ الْعِجْلِيُّ اليمامي

 

Dia adalah tabiin yang sempat berjumpa dengan sahabat Nabi yang bernama AL-HIRMAS BIN ZIYAD.

 

Ulama kelahiran Basrah dan mati di Yamamah ini pernah berjumpa dengan Imam al-Bukhari, tetapi tidak berhujah dengan hadisnya. Imam Muslim pula, hanya berhujah dengan hadisnya sekadar syawahid sahaja.

 

Terdapat beberapa kritikan terhadapnya adalah seperti berikut;

 

Pertama, MUHDTARIB HADIS DARI YAHYA BIN ABI KATHIR

 

Antara ulama yang mengatakan sebegitu adalah Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-Bukhari.

 

Kedua, DOIF dan MUNGKAR

 

Antara ulama yang mengatakan sebegitu adalah Yahya bin Sa’id, ‘Ali bin al-Madini dan Ibn Kharrash.

 

Walaubagaimana pun, al-‘Azim Abadi menyatakan bahawa Ibn Ma’in dan al-‘Ijli menganggap dia seorang perawi siqah. Turut sama mengatakan dia siqah adalah al-Daraqutni. Dia dianggap sebagai PERAWI HASAN.

 

[3] YAHYA BIN ABI KATHIR (129H)

يَحْيَى بْنِ أَبِي كَثِيرٍ

 

 Nama betul dia adalah YAHYA BIN SOLEH BIN AL-MUWATAKKIL AL-TAIE AL-BASRI AL-YAMAMI

 

Sighar Tabiin ini tinggal di Madinah, Basrah dan Yamamah. Dalam kalangan ulama hadis, terdapat beberapa kritikan berikut

 

Pertama, MELAKUKAN TADLIS.

 

Antara yang mengatakan begitu adalah Abu Ja’afar al-‘Uqaili, Abu Hatim bin Habban al-Basti.

 

Ibn Hajar kata, dia seorang yang siqah, tetapi melakukan tadlis dan irsal hadis.

 

Kedua, TIDAK DENGAR HADIS DARI ANAS

 

Ibn hajar al-Asqalani kata, dia memang pernah melihat Anas, tetapi tidak pernah mendengar hadis dari Anas. Justeru, jika riwayatnya bahawa dia mendengar dari Anas, maka riwayat itu ditolak.

 

Namun begitu, ada yang memujinya dengan seperti berikut;

 

Pertama, TIDAK AKAN AMBIL HADIS KECUALI DARI SIQAH.

 

Yang menyatakan begitu adalah Abu Hatim al-Razi.

 

Kedua, IMAM BERHUJAH DENGANNYA

 

Dalam pada Ibn hajar al-Asqalani mengatakan dia melakukan tadlis dan irsal, Ibn Hajar tetap akui bahawa ramai para imam hadis menerima riwayatnya.

 

Dia adalah Rijal al-Kutub al-Sittah, dan dia adalah PERAWI HASAN.

 

[2] HILAL BIN ‘IYADH

 هِلَالِ بْنِ عِيَاضٍ

 

Dia perawi yang MAJHUL. Ada dakwaan mengatakan bahawa individu perawi ini bukan HILAL BIN IYADH, tetapi IYADH BIN HILAL. Ia adalah MAQLUB yang berlaku pada nama perawi.

 

[1] ABU SA’ID AL-KHUDRI (10SH-74H)

أَبُو سَعِيدٍ الخدري الخزرجي

 

Sahabat Nabi ini dilahirkan dan meninggal dunia di Madinah. Nama sebenarnya adalah SA’AD BIN MALIK BIN SINAN BIN TSA’LABAH AL-KHAZRAJI.

 

Bapanya, Malik Bin Sinan merupakan sahabat nabi yang mati syahid dalam perang Uhud.

 

Adik beradik seibunya bernama Qatadah bin Nu’man—sahabat, mati dalam perang badar.

 

Masa perang uhud, dia minta nak terlibat perang, tetapi nabi tidak izinkan kerana ketika itudia masih budak lagi (umur 13 tahun)

 

Perang yang mula-mula sekali dia terlibat adalah Khandaq, iaitu pada bulan Syawal tahun 5 Hijrah—ketika itu, umurnya 15 tahun.

 

Ada kata, mula-mula terlibat dalam perang bani Mustaliq, iaitu pada bulan sya’ban 5 Hijrah sedangkan ibn ishaq kata, perang Bani Mustaliq berlaku pada 6 Hijrah.

 

PERBAHASAN SANAD

 

[1] SANAD ABU DAUD

 

دَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ بْنِ مَيْسَرَةَ، حَدَّثَنَا ابْنُ مَهْدِيٍّ، حَدَّثَنَا عِكْرِمَةُ بْنُ عَمَّارٍ، عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي كَثِيرٍ، عَنْ هِلَالِ بْنِ عِيَاضٍ، قَالَ: حَدَّثَنِي أَبُو سَعِيدٍ

 

[2] STATUS HADIS: DOIF

 

Hadis ini dianggap DOIF dengan beberapa alasan berikut;

 

[a] HILAL BIN IYADH adalah perawi yang majhul. Namun begitu, Ibn Khuzaimah menjelaskan bahawa IKRIMAH adalah perawi yang terkeliru—dia telah MAQLUB pada pada HILAL BIN IYADH; sebenarnya perawi itu adalah IYADH BIN HILAL.

 

[b] hadis ini berlaku IDHTIRAB pada SANAD. Iaitu, terdapat beberapa jalur sanad yang tidak konsisten terhadap hadis ini. Dalam tahqiq Ahmad, Arnaut nukilkan semua sanad-sanad tersebut seperti berikut;

 

Satu: Ikrimah – yahya – Iyadh   – abi Said - Nabi

 

Dua: ikrimah – yahya – abi salamah – Abu Hurairah – nabi.

 

Tiga: Yahya – Abdullah bin Abi Qatadah – bapanya (Abi Qatadah) – Riwayat Aban al-Attar – nabi.

 

Empat: Yahya – Muhammad bin abdul Rahman bin Sauban – Jabir bin Abdullah.

 

Lima: Yahya bin Abi Kathir (mursal)

 

PENJELASAN: Induk dalam sanad ini adalah pada YAHYA, tetapi tidak jelas dari siapa yang YAHYA ambil hadis, apakah IYADH, atau ABU SALAMAH, atau ABDULLAH BIIN ABI QATADAH, atau MUHAMMAD BIN ABDUL RAHMAN ataupun, hadis ini YAHYA riwayat secara MURSAL.

 

[c] Dalam pelbagai jalur, semuanya bermuarakan dari YAHYA BIN ABI KATHIR.

 

Memandangkan dia sekadar perawi hasan yang mendapat kritikan dari ramai ulama hadis seperti didakwa dia melakukan idhtirab, maka sudah pasti hadis riwayatnya tidak diterima jika jalur hadis hanya dari dia sahaja.

 

[3] SYAWAHID DARI SUDUT MATAN

 

Walaupun hadis ini doif pada sanad, tetapi matannya ada syawahid yang menyebabkan ia boleh dibuat hujah. Jika hadis ini diriwayatkan oleh SAHABAT bernama ABU SA’ID AL-KHUDRI, dalam riwayat lain, SAHABAT LAIN, iaitu ABU HURAIRAH dengan sanad  ada sanad yang layyin meriwayatkan hadis berikut: (Albani, sahih al-targhib wa al-tarhib, hadis no: 156)

وعن أبي هريرة رضي الله عنهـ قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا يخرج اثنان من الغائط فيجلسان يتحدثان كاشفين عن عوراتهما فإن الله عز وجل يمقت على ذلك

 

TAKHRIJ

 

Al-Nasaie (Kubra: 36, 37), Ibn Majah (342), Ahmad (11319)

 

HADIS 14 (BAB 6)

BAB 6

 

بَابُ كَيْفَ التَّكَشُّفُ عِنْدَ الْحَاجَةِ

“CARA MEMBUKA PAKAIAN SEMASA QADHA’ HAJAT”

 

HADIS 14

 

حَدَّثَنَا زُهَيْرُبْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا وَكِيعٌ عَنِ الْأَعْمَشِ عَنْ رَجُلٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ  «أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَرَادَ حَاجَةً لَا يَرْفَعُ ثَوْبَهُ حَتَّى يَدْنُوَ مِنَ الْأَرْضِ»

Daripada Ibn Umar: “Nabi saw apabila hendak qadha’ hajat, baginda tidak mengangkat pakaiannya hingga telah dekat dari tanah”

 

Status hadis: sahih

PENJELASAN HADIS

 

[1] Yang menceritakan kisah dalam hadis ini adalah ABDULLAH BIN UMAR, iaitu anak kepada Saidina Umar bin al-Khattab.

 

Dalam catatan sejarah, Ibn Umar antara sahabat Nabi yang masih muda. Semasa Hijrah, umurnya baru 10 tahun.

 

Justeru, dalam kisah ini boleh dikatakan dia nampak Nabi saw itu ketika di masih kecil.

 

[2] hadis ini menjelaskan bahawa Nabi saw amat berhati-hati dalam hal aurat, hatta ketika mahu qadha’ hajat.

 

Dijelaskan bahawa baginda ketika Qadha’ hajat amat cakna dengan mata-mata manusia yang memerhatikan, makanya baginda tidak akan menyelak pakaian ketika qadha’ hajat kecuali apabila benar-benar duduk, kerana dalam keadaan begitu aurat sudah banyak tertutup.

  

HUBUNGAN HADIS

 

Hadis ke 13 menjelaskan bahawa Nabi saw qadha’ hajat mengadap arah kiblat.

 

Hadis yang ke-14 ini pula, menjelaskan lagi bahawa qadha’ hajat Nabi dalam bangunan. Hal ini kerana, kebiasan orang yang hendak pastikan auratnya tidak kelihatan bahawa dia qadha’ hajat dalam bangunan.

 

Menjadi kebiasaan bagi Nabi saw yang akan berusaha memastikan auratnya tidak kelihatan. Jika dalam konteks di padang pasir atau dalam permusafiran, sudah pasti Nabi saw mengambil pendekatan bahawa pergi jauh dari penglihatan manusia; ataupun qadha’ hajat di balik bongol tanah atau pasir; ataupun dalam hadis bab ini, Nabi saw tidak akan menyelak kainnya kecuali apabila dia benar-benar sudah duduk.

 

PENGAJARAN

 

[1] QADHA’ HAJAT DALAM KEADAAN DUDUK

 

Dalam hadis ini menjelaskan bahawa keutamaan qadha’ hajat adalah dalam keadaan duduk. Namun begitu, berlaku khilaf dalam keadaan ulama berkenaan kencing dalam keadaan berdiri yang bakal dikupas dalam perbincangan akan datang.

 

[2] AURAT TIDAK BOLEH DIBUKA KECUALI DALAM KADAR KEPERLUAN SAHAJA

 

Antara perkara utama yang diajar dalam islam adalah keperluan menutup aurat. Berkenaan aurat lelaki sesame lelaki, aurat Wanita sesame mereka, serta aurat antara muslimat dan Wanita non Muslim, akan dibicangkan dalam hadis ke-15 akan datang.

 

[3] MANDI TELANJANG

 

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan, hadis bab ini menjelaskan keadaan di luar bangunan, seperti qadha’ hajat di padang lapang dan sebagainya.

 

Dengan itu, timbul perbahasan fiqh berkenaan hukum mandi telanjang dalam bangunan yang tertutup.

 

Secara dasarnya, sebarang tindakan yang boleh menyebabkan orang nampak aurat, maka hukumnya adalah haram.

 

Namun, jika didapati sesuatu tempat yang boleh terhindar dari aurat kelihatan, sama ada secara yakin atau secara zann yang kuat, maka berlaku khilaf dalam kalangan ulama berkenaan mandi dalam keadaan telanjang.

 

Al-Imam al-Syaukani dan Imam al-nawawi antara ulama yang pernah memfatwakan bahawa hukum mandi telanjang di tempat yang terselamat dari kelihatan aurat adalah harus.

 

Antara dalil-dalil mereka adalah seperti berikut;

 

pertama, hadis bahawa Nabi Musa mandi telanjang. Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi saw ada bersabda:

 

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ يَغْتَسِلُونَ عُرَاةً، يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ، وَكَانَ مُوسَى صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْتَسِلُ وَحْدَهُ، فَقَالُوا: وَاللَّهِ مَا يَمْنَعُ مُوسَى أَنْ يَغْتَسِلَ مَعَنَا إِلَّا أَنَّهُ آدَرُ، فَذَهَبَ مَرَّةً يَغْتَسِلُ، فَوَضَعَ ثَوْبَهُ عَلَى حَجَرٍ، فَفَرَّ الحَجَرُ بِثَوْبِهِ، فَخَرَجَ مُوسَى فِي إِثْرِهِ، يَقُولُ: ثَوْبِي يَا حَجَرُ، حَتَّى نَظَرَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ إِلَى مُوسَى، فَقَالُوا: وَاللَّهِ مَا بِمُوسَى مِنْ بَأْسٍ، وَأَخَذَ ثَوْبَهُ، فَطَفِقَ بِالحَجَرِ ضَرْبًا

“"kebiasaan kalangan Bani Israil jika mandi bahawa mereka mandi dengan telanjang, hingga sebagian melihat sebagian yang lainnya. Sedangkan Nabi Musa lebih suka mandi sendirian. Maka mereka pun berkata: "Demi Allah, tidak ada menghalangi Musa untuk mandi bersama kita kecuali kerana dia adalah seorang lelaki yang kemaluannya kena hernia. Lalu pada suatu ketika bahawa Musa pergi mandi dan meletakkan pakaiannya pada sebuah batu, lalu batu tersebut lari dengan membawa pakaiannya. Maka Musa lari mengejar batu tersebut sambil berkata: “Wahai batu, kembalikan pakaianku!”, sehingga ramai Bani Israil melihat Musa. Mereka lalu berkata: “Demi Allah, pada diri Musa tidak ada yang ganjil”. Musa kemudian mengambil pakaiannya dan memukul batu tersebut dengan satu pukulan” (al-Bukhari, hadis no: 278 | muslim, hadis no: 339)

 

Kedua, hadis bahawa Nabi Ayub mandi telanjang. Daripada Abu Hurairah bahawa nabi saw berkata:

 

بَيْنَا أَيُّوبُ يَغْتَسِلُ عُرْيَانًا، فَخَرَّ عَلَيْهِ جَرَادٌ مِنْ ذَهَبٍ، فَجَعَلَ أَيُّوبُ يَحْتَثِي فِي ثَوْبِهِ، فَنَادَاهُ رَبُّهُ: يَا أَيُّوبُ، أَلَمْ أَكُنْ أَغْنَيْتُكَ عَمَّا تَرَى؟ قَالَ: بَلَى وَعِزَّتِكَ، وَلَكِنْ لاَ غِنَى بِي عَنْ بَرَكَتِكَ

“"Tatkala Ayyub mandi dalam keadaan telanjang, tiba-tiba muncul belalang dari emas. Lalu Ayyub mengumpulkan dan memasukkannya ke dalam baju. Maka Tuhannya memanggilnya: 'Wahai Ayyub, bukankah aku sudah memberimu kecukupan sebagaimana kau lihat?” Ayyub menjawab, “Benar, dan demi segala kemuliaan-Mu. Tetapi aku tidak pernah merasa puas dari limpahan barakah-Mu” (al-Bukhari, hadis no: 279)

 

Dengan dalil-dalil ini, dalam kitab Nail al-Awtar, al-Imam al-Syaukani berkata:

قَالَ الْحَافِظُ: وَهَذَا إنَّمَا يَأْتِي عَلَى رَأْي مَنْ يَقُولُ: شَرْعُ مَنْ قَبْلَنَا شَرْعٌ لَنَا، وَاَلَّذِي يَظْهَرُ أَنَّ وَجْهَ الدَّلَالَة مِنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - قَصَّ الْقِصَّتَيْنِ وَلَمْ يَتَعَقَّبْ شَيْئًا مِنْهُمَا فَدَلَّ عَلَى مُوَافَقَتِهِمَا لِشَرْعِنَا، وَإِلَّا فَلَوْ كَانَ فِيهِمَا شَيْءٌ غَيْرَ مُوَافِقٍ لَبَيَّنَهُ

“berkata al-Hafiz: ini adalah pendapat mereka yang menggunakan alasan bahawa syariat nabi dahulu juga adalah syariat kita. Yang jelas dari pendalilan di sini adalah bahawa Nabi saw mengisahkan dua kisah tanpa baginda memberikan sebarang komentar terhadap dua kisah ini. Ini membuktikan bahawa hukum dalam kejadian dua nabi itu adalah sama dengan hukum bagi syariat kita. Jika ia bukan syariat kita, sudah pasti ia sudah dijelaskan oleh nabi”.

 

BIOGRAFI PERAWI

 

[5] ZUHAIR BIN HARB BIN SYADDAD ABU KHAISAMAH (160H-234H)

زُهَيْر بن حَرْب بن شَدَّاد أَبُو خَيْثَمَة

 

Dia adalah guru kepada al-bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah, serta rijal kepada al-Nasaie. Dan dia adalah perawi yang SAHIH.

 

Dia dilahirkan di al-Nasa’ yang sekarang di dalam negara Turkmenistan dan tinggal dan meninggal dunia di Baghdad.

 

*PERHATIAN: ada seorang lagi yang nama hampir sama, iaitu ABU KHAISAMAH ZUHAIR BIN MUAWIYYAH (100H-174H), seorang perawi hadis yang merupakan rijal al-Kutub al-Sittah yang berasal dari Kufah.

 

[4] WAKI’ BIN AL-JARRAH (129H-197H)

 وَكِيعٌ بن الجراح

 

Sudah dijelaskan dalam hadis ke-5 yang lalu

 

[3] SULAIMAN BIN MIHRAN AL-‘ASMASH (61H-148H)

سليمان بن مهران الْأَعْمَشِ

 

Sudah dijelaskan dalam hadis ke-7 yang lalu.

 

[2] SESEORANG LELAKI

 رَجُلٍ

 

Menurut al-‘Azim Abadi dalam Aun al-Ma’bud, dikatakan bahawa lelaki yang dalam sanad ini adalah QASIM BIN MUHAMMAD yang merupakan salah seorang perawi siqah. Menurut dakwaan lain pula, bahawa lelaki itu adalah GHIYAS BIN IBRAHIM yang merupakan salah seorang perawi doif.

 

[1] ABDULLAH BIN UMAR (10SH-73H)

عبدالله ابْنِ عُمَرَ

 

Sudah dijelaskan dalam hadis ke-11 yang lalu

 

PERBAHASAN SANAD

 

[1] SANAD ABU DAUD

 

حَدَّثَنَا زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا وَكِيعٌ عَنِ الْأَعْمَشِ عَنْ رَجُلٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ

 

[2] STATUS HADIS: SAHIH

 

Hadis ini dinilai SAHIH dengan alasan berikut;

 

[a] Walaupun sanad hadis ini ada perawi MUBHAM--رجل, tetapi dalam sanad AL-BAIHAQI telah disebut bahawa perawi itu adalah AL-QASIM BIN MUHAMMAD (cucu Abu Bakar al-Siddiq) yang merupakan perawi yang siqah lagi faqih. Justeru, dakwaan munqati’ tidak valid.

[b] Turut sama mengatakan hadis ini sahih adalah AL-SAYUTI.

 

[3] SANAD LAIN

 

Imam Abu Daud membawakan sanad yang lain bagi hadis ini adalah seperti berikut;

 

قَالَ أَبُو دَاوُدَ: رَوَاهُ عَبْدُ السَّلَامِ بْنُ حَرْبٍ عَنِ الْأَعْمَشِ  عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ  - وَهُوَ ضَعِيفٌ –

 

Sanad ini dinilai DOIF oleh Abu Daud bukan berfaktorkan ABDUL SALAM BIN HARB (91H-187H), kerana ulama kelahiran Basrah yang meninggal di Kufah ini adalah seorang yang siqah bahkan dia salah seorang rijal al-Bukhari.

 

Tetapi, hadis ini dinilai DOIF oleh Abu Daud dengan alasan MUNGQATI’—terputus sanad kerana didapati al-A’mash tidak pernah dengar hadis dari Anas bin Malik.

 

Al-Imam al-Tarmizi berkata dalam al-Sunan:

ويقال لم يسمع الأعمش من أنس ولا من أحد من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم وقد نظر إلى أنس بن مالك قال رأيته يصلي فذكر عنه حكاية في الصلاة

“dikatakan bahawa al-A’mash tidak mendengar hadis dari Anas, dan juga seorang pun dalam kalangan sahabat Nabi. Yang pasti, al-A’mash pernah melihat Anas. Dia sendiri pernah kata, “aku lihat Anas menunaikan solat”. Dia menyebut itu dalam menghikayatkan berkenaan solat”

 

Walaubagaimana pun, kesimpulan Abu Daud bahawa sanad ini doif dengan alasan bahawa al-‘Amash tidak mendengar hadis dari Anas diragui, kerana AL-MUNZIRI ada  berkata:

 

وذكر أبو نعيم الأصبهاني أن الأعمش رأى أنس بن مالك، وابن أبي أوفى وسمع منهما، والذي قاله الترمذي هو المشهور

“Abu Nuaim al-Asbahanni menyebut bahawa al-A’mash melihat anas dan Abdullah bin Abi Awfa, dan MENDENGAR dari kedua-duanya. Yang menyatakan ini adalah al-Tarmizi—ini yang masyhur”

 

Dengan sebab itu, ALBANI tetap menegaskan bahawa hadis ini adalah SAHIH.

 

Dalam tambahan maklumat, seorang murid Abu Daud yang merupakan pencatat hadis-hadis Abu Daud bernama ABU ISA AL-RAMLI (320H) yang berasal dari Baghdad berkata berkenaan sanad yang kedua ini bermuara dari ABDUL SALAM BIN HARB seperti berikut;

قَالَ أَبُوعِيسَى الرَّمْلِيُّ  حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ الْوَلِيدِ  حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ عَوْنٍ  أَخْبَرَنَا عَبْدُ السَّلَامِ بِهِ

 

Walaubagaimana pun, ARNAUT anggap hadis ini HASAN.